Friday, April 11, 2008

Hazad Pasar Malam

Hazad Pasar Malam atau Hazad Renjatan Elektrik Akibat Penyambungan Tidak Sempurna?

(Muhammad Redzuan Ahmad, 26, meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menghidupkan generator di Tapak Pasar Malam di perkarangan Stadium Utama Kangar pada 7.15 malam 10 April 2008.)

Berbanding dengan arus ulang alik (AC) dari talian tetap, arus terus (DC) dari generator atau bateri dianggap lebih selamat. Tetapi sebarang kebocoran arus masih boleh mendatangkan hazad renjatan elektrik dan risiko kecederaan yang boleh mengakibatkan kematian.

Siratan saya sebelum ini di blog ini mengenai hazad pasar malam berkaitan dengan penggunaan peralatan memasak di tempat terbuka menarik perhatian beberapa pihak meminta saya membuat kajian lanjutan dan menyiratnya dengan lebih kerap lagi.

Selain dari bahaya akibat peralatan memasak seperti kuali minyak panas, dapur gas dan pembakar arang ini, sistem kuasa elektrik juga perlu diambil perhatian.

Tumpuan keselamatan perlu dipertingkatkan terutama sewaktu hari hujan. Kebanyakan peniaga tidak mengambilberat jenis kabel penyambungan yang sepatutnya digunakan iaitu dari jenis “high tension cable”. Malah sukar untuk menemui peniaga yang mengambil langkah kecemasan dengan memasang sistem anti litar pintas mudah alih untuk mengelakkan kejadian kebocoran atau aliran melampau arus yang mungkin boleh terjadi.

Langkah pihak berkuasa tempatan di ibu kota menyediakan bekalan elektrik setempat di kawasan-kawasan Pasar Malam “Up Town” sepatutnya dicontohi oleh semua pihak berkuasa tempatan di negeri-negeri lain.

Saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP atau DOSH), antara jenis dan tempat pekerjaan di tempat terbuka yang dibimbangi berlakunya kemalangan melibatkan renjatan elektrik adalah di tempat Pesta Hiburan atau lebih dikenali dengan “Fun Fair”.

Pihak DOSH juga perlu menyenaraikan Pasar Malam juga sebagai satu lagi kawasan dan pekerjaan yang dikenalpasti mempunyai risiko renjatan eletrik ini.

Semasa di dalam industri sebelum ini, saya sering mengingatkan dan memastikan agar pihak kontraktor di bahagian pencucian menggunakan “high tension cable” yang sesuai untuk mesin-mesin pencucian lantai mereka.

Sekiranya memerlukan tambahan kabel, mereka perlu menyediakan sistem anti litar mudah alih. Di samping itu majikan juga sepatutnya menyediakan soket-soket bekalan kuasa elektrik secukupnya.

Kontraktor-kontraktor ini juga digalakkan menggunakan mesin-mesin pencucian berkuasa bateri yang boleh di”charge” semula.

Kontraktor-kontraktor pembinaan dan kerja-kerja utiliti yang lain juga digalakkan menggunakan peralatan berkuasa bateri. Bagaimanapun peralatan berkuasa bateri ini biasanya tidak begitu berkeupayaan atau berkuasa tinggi jika dibandingkan dengan peralatan yang berkuasa elektrik aliran arus ulang alik.

Hazad renjatan elektrik jauh berbeza dengan hazad-hazad lain yang mungkin boleh dikenalpasti seperti keujudan fizikal, bau dan rasa. Pengenalpastian hazad elektrik biasanya ini boleh dibuat selepas adanya mangsa terlibat. Ketika ini sudah terlewat untuk dibuat penilaian risiko.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Wednesday, April 9, 2008

Merokok bukan sahaja merbahayakan kesihatan

Merokok bukan sahaja merbahayakan kesihatan

Malah ianya juga merbahayakan keselamatan (hazad kebakaran). Berita ini disiarkan sebelah menyebelah dalam Berita Harian 7 April 2008.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

PLUS, bila lagi?


PLUS, bila lagi?

Sebagai pengguna lebuhraya yang hampir setiap minggu melalui Rumah Tol Jelapang, saya ingin mengucapkan terima kasih kerana keprihatinan pihak Plus mengadakan beberapa papan tanda mengenai penggunaan ”breaking ramp” sebaik sahaja keluar dari Terowong Menora. Terdapat juga dua buah papan tanda meminta pemandu menguji sistem brek kenderaan masing-masing semasa menuruni laluan berbukit tersebut.

Saya sendiri pernah mencadangkan papan-papan tanda sebegini agar diadakan, semenjak dari tahun lepas lagi sementelah kerapnya berlaku kemalangan ngeri di Rumah Tol Jelapang ini.

Satu lagi saranan saya agar pihak Plus mengeluarkan hebahan bercetak (phamplet) untuk diedarkan kepada semua pemandu-pemandu kenderaan berat sebaik sahaja mereka memasuki Rumah Tol Juru (menghala ke Selatan) dan mana-mana susur keluar sepanjang laluan dari Prai sehinggalah Kuala Kangsar. Bagaimanapun saranan saya ini belum lagi dilaksanakan oleh pihak Plus.

Papan-papan tanda yang sedia ada tidak mencukupi untuk memaklumkan hazad dan risiko ini. Pemandu-pemandu ini hanya senpat mengerling sahaja. Malah ada di antara mereka ini sehingga kini langsung tidak tahu kewujudan papan-papan tanda ini.

Hotel yang saya menginap minggu lepas menyediakan satu hebahan bercetak yang diletakkan di atas meja di dalam bilik. Hebahan tiga bahasa yang ringkas tetapi padat ini amat berguna sekali kepada penghuni-penghuni bilik di hotel ini. Langkah sebegini perlu dicontohi oleh pihak Plus.

Plus sebagai pengusaha atau penyenggara rangkaian lebuhraya adalah bertanggung-jawab di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) untuk memaklumkan hazad dan risiko pengguna-pengguna lebuhraya yang melalui Rumah Tol Jelapang ini.

Sehubungan dengan itu, pihak Plus bertanggung-jawab untuk menerbitkan hebahan bercetak mengenai hazad dan risiko yang mungkin dihadapi oleh pengguna-pengguna lebuhraya di Rumah Tol Jelapang. Hebahan ini juga bertujuan untuk memberi makluman apa yang patut dilakukan oleh pengguna-pengguna lebuhraya ini terutama pemandu kenderaan berat jika berlakunya kecemasan semasa menghampiri Rumah Tol Jelapang ini.

Walaupun proses pemindahan Rumah Tol Jelapang ini dijangka tamat penghujung tahun ini, pihak Plus tidak boleh menjadikannya sebagai alasan untuk tidak mengeluarkan hebahan bercetak ini. Jangan sampai berlakunya lagi kemalangan-kemalangan ngeri yang diakibatkan kurangnya pengetahuan mengenai hazad dan risiko semasa menuruni laluan berbukit selepas Terowong Menora dan menghampiri Rumah Tol Jelapang. Ataupun kemalangan ini sepatutnya boleh dielakkan atau dikurangkan risikonya tetapi pemandu-pemandu ini sendiri yang tidak mengetahui kewujudan dan cara-cara untuk mengunakan ”breaking ramp” yang berhampiran Rumah Tol Jelapan ini.

Plus, bila lagi?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Hari OSH Sedunia 2008 (WOSH 2008)


Tuesday, April 8, 2008

Sistem sentiasa berkawan (Buddy System)


Sistem sentiasa berkawan (Buddy System)

Antara sistem kerja di dalam industri yang boleh diserapkan dalam keselamatan kanak-kanak ialah sistem sentiasa berkawan (SSB) ataupun lebih dikenali dengan ”buddy system”.

SSB di dalam industri ini diperlukan untuk kerja-kerja yang berisiko seperti pekerjaan memasuki ruang terhad (confined space), pekerjaan di luar waktu kerja seperti di waktu malam serta pekerjaan di tempat terpencil dan sebagainya. SSB ini menetapkan sesuatu pekerjaan itu memerlukan lebih dari seorang yang terlibat walaupun pekerjaan tersebut boleh dilakukan oleh seorang sahaja.

SSB ini amat sesuai untuk dipratikkan kepada keselamatan kanak-kanak terutama yang melibatkan kegiatan luar kelas atau luar sekolah secara beramai-ramai ataupun berkumpulan.

Sebagai contoh, jika kanak-kanak yang terlibat di dalam kegiatan luar yang memerlukan pengangkutan seperti bas umpamanya. Kanak-kanak mestilah ditentukan dan ditetapkan mempunyai pasangan masing-masing sebelum menaiki bas lagi. Pasangan ini tidak boleh diubah di saat-saat akhir. Setiap kanak-kanak perlu memastikan pasangan masing-masing sentiasa bersama di tempat duduk di dalam bas sebelum bas memulakan perjalanan. Malah kedudukan kanak-kanak pada kerusi bas juga mesti ditentukan terlebih dahulu dan tidak dibenarkan bertukar tempat.

Begitu juga apabila kanak-kanak ini terlibat di dalam sesuatu aktiviti. Mereka mestilah memastikan pasangan masing-masing berada di samping mereka apabila aktiviti yang disertai telah selesai.

Selain dari SSB, kanak-kanak dari kumpulan yang besar hendaklah dibahagi-bahagikan kepada sub kumpulan kecil yang mempunyai ketua masing-masing. Ketua kepada sub kumpulan ini hendaklah dikenalpasti dari mereka yang boleh mengawasi dan bertanggungjawab kepada rakan-rakan yang diamanahkan di bawah pengawasan mereka.

Sistem pembahagian kepada sub kumpulan ini juga boleh dipratikkan kepada ahli keluarga yang ramai. Ibu bapa perlu mengenal-pastikan anak-anak yang lebih dewasa agar mengawasi adik-adik mereka yang tertentu. Sebagai contoh, kakak mengawal adik yang terkecil manakala abang mengawal adik nombor dua terkecil. Sementara ayah atau ibu mengawal mana-mana ahli keluarga yang dikenalpasti agak nakal dan sukar dikawal.

Berbalik kepada pembahagian kepada sub kumpulan untuk kanak-kanak sekolah, bilangan guru-guru yang terbabit dalam pengawasan juga perlu dalam nisbah yang sekecil yang mungkin.

Untuk memudahkan pengawasan, kanak-kanak ini perlu dipakaikan pakaian seragam ataupun baju-t yang berwarna sama.

Lebih pratikal kalau setiap sub kumpulan ini mempunyai tanda pengenalan identiti mereka tersendiri. Tanda pengenalan ini boleh dibuat secara pengikat lengan (arm band), penutup kepala (skaf atau head band) dan sebagainya.

Setiap guru yang mengawasi sub-sub kumpulan ini mesti mempunyai senarai nama kanak-kanak yang terlibat. Senarai ini juga boleh dilengkapkan lagi dengan nama ibu bapa atau penjaga kanak-kanak bersertakan nombor telefon yang boleh dihubungi jika berlakunya sebarang kecemasan.

Sekiranya perancangan dibuat lebih awal dan teliti, ibu bapa atau penjaga juga perlu dimaklumkan nama dan telefon bimbit guru yang dipertanggung-jawab untuk mengawasi kanak-kanak di bawah jagaan mereka ini.

Di samping itu ibu bapa atau penjaga perlu diingatkan agar memaklumkan kepada guru yang berkenaan jika mereka ingin membawa pulang kanak-kanak di bawah jagaan mereka selepas ataupun semasa acara masih berjalan.

Seelok-eloknya kanak-kanak ini hanya dilepaskan kepada ibu bapa atau penjaga mereka di tempat permulaan mereka berkumpul sebelum acara bermula, walaupun ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini menggunakan kenderaan mereka sendiri mengikut bas ke tempat acara.

Sekiranya ada juga ibu bapa atau penjaga kanak-kanak yang ingin mengambil kanak-kanak di bawah jagaan mereka sebaik sahaja acara selesai di tempat acara, ibu bapa atau penjaga kanak-kanak ini hendaklah diminta menandatangani pada senarai nama kanak-kanak yang ada. Ini akan memudahkan guru membuat semakan bilangan kanak-kanak yang akan pulang ke tempat permulaan mereka berkumpul.

Pengawalan keselamatan kanak-kanak dalam bilangan yang ramai juga lebih berkesan jika guru-guru yang terlibat mempunyai peralatan perhubungan seperti pembesar suara, wisel, sepanduk (untuk nama sub kumpulan), tanda pengenalan identiti yang sama dengan kanak-kanak di bawah pengawasan masing-masing, dan sebagainya.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Khabar angin yang sering dikhabarkan


Khabar angin yang sering dikhabarkan

Saya cuba tidak mempercayainya tetapi khabar yang sering dikhabarkan seolah-olah mendesak sesiapa yang mendengarnya untuk mempercayainya.

Bermula seawal usia saya belum menjangkau belasan tahun, saya dikhabarkan bahwa Cendol Bismillah yang amat terkenal di Taiping semenjak 70an lagi mengunakan beberapa kaedah untuk mengelakkannya ianya cepat basi dan lebih lazat untuk dinikmati.

Kononnya untuk mengelakkan cepat basi, penjual cendol ini memasukkan cacing tanah hidup yang dibungkus dalam kain puteh ke dalam bekas cendol. Manakala untuk melazatkannya sehingga menjadi seolah ketagihan dengan merendamkan seluar dalam pemiliknya ke dalam bekas cendol tersebut.

Semasa saya bersekolah asrama di Ipoh, saya dikhabar bahawa penjual sate yang terkenal di Medan Kid Ipoh itu memasukkan ganja di dalam ramuan kuahnya.

Kemudian dikhabarkan pula penjual-penjual laksa di Kuala Kedah menggunakan kertas tisu tandas untuk memekatkan kuah laksa.

Terbaru dikhabarkan penjual pisang goreng memasukkan botol plastik dalam minyak panas untuk menjadikan pisang goreng itu ranggup.

Ingin saya nyatakan di sini, usah percayakan khabar-khabar angin. Saya pasti pengusaha-pengusaha makanan ini tidak akan tergamak mempermainkan keselamatan pelanggan dan kesihatan makanan yang disediakan oleh mereka.

Secara kebetulan salah seorang generasi Anshari iaitu pengusaha Cendol Bismillah itu adalah rakan sebaya saya. Manakala pengusaha sate yang terkenal di Medan Kid itu pula menjadi rakan ”superbike” saya setelah meningkat dewasa. Salah seorang kenalan kepada ipar saya adalah penguasa laksa yang terkenal di Kuala Kedah itu. Akhir sekali salah seorang saudara saya di Batu Kurau pula adalah pembuat tepung khas yang boleh meranggupkan pisang yang digoreng.

Dari mereka ini saya disahkan bahawa itu hanyalah khabar-khabar angin terutama dari saingan yang mencemburui mereka.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keterangan gambar;
1. Restoran Bismillah yang terkenal semenjak zaman askar British lagi.
2. Gerai Cendol Anshari, Generasi ketiga Cendol Restoran Bismillah
3. Gerai Cendol Bismillah, juga keturunan kepafa Cendol Restoran Bismillah

Periksa kunci pintu bilik air rumah anda


Periksa kunci pintu bilik air rumah anda
Siratan asal pada 4-Mac-08,
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/

(Dalam siratan sebelum ini, saya sering mengingatkan tentang kemalangan di bilik air terutama pada permukaan lantainya yang basah dan melibatkan pengguna dari kalangan kanak-kanak kecil dan orang tua yang kurang upaya.)

Saya mengunjungi rumah orang tua saya pada cuti hujung minggu lepas. Alhamdulillah, kesihatan ayah saya bertambah baik dan boleh bergerak sendiri tanpa bertongkat atau dipimpin oleh emak sama ada ke bilik air dan sebagainya. Emak meminta saya menasihati ayah supaya tidak mengunci pintu bilik air semasa beliau berada di dalamnya. Sebenarnya sudah kerap-kali saya mengingatkan ayah tapi beliau masih lagi cenderung untuk mengunci pintu bilik air semasa berada di dalamnya.

Saya bercadang pada minggu ini akan menukar kunci pintu bilik air di rumah orang tua saya kepada jenis yang boleh dibuka dari luar jika perlu. Kunci seumpama ini banyak digunakan di pintu bilik air di hospital dan sebagainya.


Mengapa kita memerlukan kunci kepada pintu?

Pada dasarnya kunci diperlukan supaya pintu boleh ditutup dengan selamat. Sistem pintu berkunci penting untuk menghalang mereka yang tidak diingini dari masuk atau keluar dari sesuatu ruang (rumah atau bilik umpamanya). Bagaimanapun dalam situasi bilik air, pintunya hendaklah menggunakan sistem kunci yang boleh dikunci dari dalam dan pada masa yang sama ianya boleh dibuka dari luar jika perlu ataupun jika berlaku kecemasan di mana penggunanya (terutama dari kalangan kanak-kanak atau orang tua yang kurang upaya) tidak boleh atau tidak mampu membukanya.

Selain dari pintu bilik air, pintu-pintu kabinet atau laci almari sama ada di dapur atau di dalam bilik juga perlu diberi perhatian terutama terdapat kanak-kanak kecil di dalam rumah.

Kini terdapat pelbagai pengunci yang boleh dibeli di pasaran untuk mengunci ”sementara” pintu-pintu kabinet atau laci almari ini. Emak saya dahulu hanya menggunakan tali ”rafia” dan kadang-kadang ”getah bulat” sahaja untuk mengunci pintu-pintu kabinet ini. ”Cable tie” juga boleh digunakan untuk tujuan ini.

Selain dari itu, sekiranya bilik air menggunakan tandas duduk, ciri keselamatan pada penutup tandas itu juga perlu diambik berat. Terdapat kemalangan yang dilaporkan apabila kanak-kanak kecil cuba memanjat masuk ke dalam takungan tandas ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keterangan gambar;
Gambar 1. Kunci pintu yang boleh dibuka dari luar menggunakan pin.
Gambar 2., 3., dan 4. Jenis-jenis pengunci pintu kabinet dan almari.
Gambar 5. dan 6. Pengunci atau pengikat penutup tandas duduk

Wednesday, April 2, 2008

Apabila hazard dan anda tidak boleh dipisahkan lagi

Apabila hazard dan anda tidak boleh dipisahkan lagi

Apabila hazad (hazard in English) dengan bangganya membuat pengumuman bahawa semenjak kehadirannya pada tahun 1965, mereka menjalinkan persahabatan yang erat (dengan anda?) sehingga kini. Slogan mereka ialah;

Kami telah sentiasa berada di sisi anda, dan kami akan terus berada di sisi anda.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keselamatan di kawasan pembinaan perlu dipertingkat

Berita Harian, 1-April-2008
Keselamatan di kawasan pembinaan perlu dipertingkat

TAPAK pembinaan boleh dikategorikan sebagai zon berbahaya bukan saja kepada pekerja, malah juga orang awam di sekitar atau berhampiran kawasan terbabit.

Rata-rata pekerja di tapak pembinaan terdedah kepada bahaya atau risiko antaranya disebabkan ketinggian tempat kerja, barang yang dikendalikan, elektrik, motor, objek tajam yang bergerak, lif, bahan kimia, habuk, bunyi bising dan ruang yang terbatas. Kebanyakan tapak pembinaan tidak dapat memisahkan sepenuhnya bukan pekerja atau orang awam. Tapak pembinaan jalan umpamanya pada kebanyakan masa perlu membenarkan trafik menggunakan laluan berkenaan.

Kompleks beli-belah atau bangunan awam yang lain pula tidak boleh ditutup apabila sebahagian daripada bangunan itu menjalani pengubahsuaian. Ini menyumbang sedikit-sebanyak risiko kepada orang awam dan bukan pekerja.

Menurut Presiden Persatuan Pengguna Standard Malaysia, Datuk N Marimuthu, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), pemaju, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan banyak pihak lain mempunyai peranan penting dalam mengurangkan kemalangan.

“Sasarannya harus kematian sifar di tapak pembinaan dan juga mana-mana tempat kerja,” katanya kepada Bernama sebagai mengulas laporan akhbar mengenai kematian seorang pemuda seselepas terjatuh ke dalam lubang ketika memasuki kawasan yang sedang diubahsuai di sebuah kompleks beli-belah terkemuka di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemungkinan berlakunya kecederaan membabitkan orang awam bergantung kepada pelbagai faktor termasuk kedudukan tapak kerja pembinaan dengan kanak-kanak atau pihak lain yang kurang kesedaran mengenai bahaya, contohnya sekolah atau taman permainan.

Jumlah serta bentuk bahaya di tapak pembinaan termasuk tempoh kerja pembinaan dijalankan perlu diambil kira di samping pembinaan pagar keselamatan atau ciri lain yang boleh mengelakkan kemalangan.

“Apa yang kita inginkan ialah tapak pembinaan dipastikan berada dalam keadaan selamat sekiranya dicerobohi orang awam,” kata Marimuthu.

Beliau menyatakan beberapa contoh pencegahan termasuk memagar lubang yang dikorek, menutup lubang, mengadakan tanda amaran, mengunci pintu masuk tapak yang dipagar dan menugaskan pengawal keselamatan sekiranya perlu.

“Pendekatan kejuruteraan atau prosedur lain yang benar-benar berkesan bagi mengelakkan orang awam daripada menceroboh tapak pembinaan boleh juga dipertimbangkan,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai standard keselamatan untuk orang awam sewaktu operasi pembinaan, Marimuthu berkata ia perlu juga mengambil kira objek yang jatuh daripada membahayakan keselamatan orang awam.

“Gunakan penghadang atau jaring, ambil langkah berwaspada untuk melindungi orang awam daripada kren, kenderaan bermotor atau sebarang jentera dan peralatan. Beri ingatan kepada orang awam mengenai kesan bunyi bising, peralatan pembinaan dan pastikan laluan berhampiran tapak pembinaan boleh dilalui dan selamat. “Simpan bahan yang berbahaya, kaji kawasan yang hendak digerudi atau digali lubang serta adakan pelan bertindak kecemasan di tapak pembinaan,” katanya.

Menurut Marimuthu, apa yang diharapkan oleh Standard Users ialah supaya industri pembinaan atau pengilangan dapat mengawal perjalanan industri masing-masing.

Setakat ini, katanya, perkara yang menjadi kebimbangan besar ialah hakikat ramainya bilangan pekerja asing yang diambil bekerja oleh industri pembinaan di mana kecederaan yang dialami mereka tidak dimasukkan ke dalam statistik yang disediakan oleh DOSH.

Keadaan itu, katanya tidak memberikan gambaran tepat mengenai tahap keselamatan dalam industri pembinaan di negara ini.

“Negara kita semakin bergantung kepada pekerja asing dan pengecualian data itu mungkin memberikan kita gambaran palsu bahawa semuanya selamat dan tidak perlu mengambil sebarang tindakan segera,” hujah Marimuthu.

Beliau berharap DOSH, CIDB dan dua kementerian (Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kerjaraya) yang boleh memastikan agensi penguatkuasaan masing-masing, menggunakan sepenuhnya kuasa berhubung dengan tapak pembinaan dan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

Beliau juga meminta pihak berkuasa berkenaan untuk memaju dan melaksanakan standard mandatori untuk mengaudit serta menilai pencapaian keselamatan tapak pembinaan serta membawa pemaju dan pemilik bangunan ke muka pengadilan apabila tapak yang tidak selamat menyebabkan kecederaan dan kematian di kalangan orang awam.

“Hentikan sikap melindungi pemaju dan pemilik tapak yang sedang dibangunkan. Undang-undang sepatutnya menghukum pemilik dan pemaju dan bukannya mencari kambing hitam,” tegas Marimuthu.

”Meletakkan tanggungjawab ke atas pemaju dan pemilik tapak yang sedang dalam pembinaan akan memastikan insiden lampau seperti insiden yang menyebabkan kematian Dr Liew Boon Horng pada awal 2006 di Plaza Damas dan dua pekerja di Pavilion Kuala Lumpur pada 2007, tidak berulang,” tegas Marimuthu. Marimuthu juga berpendapat bahawa CIDB yang banyak melaksanakan program membangun keupayaan untuk pemaju dan pekerja perlu memasukkan sama isu kesedaran dan penghargaan keselamatan awam ke dalam program berkenaan. Beliau menjelaskan orang awam mempunyai hak untuk mengharapkan keselamatan di tapak pembinaan terutama jika mereka berada di kawasan berkenaan ketika operasi kerja pembinaan sedang berjalan umpamanya di kompleks beli-belah dan di sekitar rumah kedai.

CIDB dan DOSH, katanya perlu bekerjasama dengan pertubuhan, lazimnya bukan kerajaan yang mempunyai rangkaian jaringan yang baik dengan orang awam.
“Kedua-dua pihak ini boleh menekankan betapa pentingnya untuk mengenal pasti isu keselamatan serta menepati standard keselamatan bukan saja untuk tapak pembinaan malah juga tempat kerja lain seperti hospital dan stesen minyak,” katanya. - Bernama

Dimanakah Sharline dan Asmawi?

Dimanakah anak-anak anda sekarang ini?