OSH in Prison (Jabatan Penjara Malaysia)
Semalam saya masuk dua penjara! Paginya Penjara Alor Setar, penjara tertua di Malaysia dan tengaharinya Penjara Pokok Sena antara penjara moden di Malaysia. Di sebelah petangnya pula saya “dibebaskan” untuk pulang ke rumah saya di Taiping!
Saya bukannya hanya menjenguk pejabat pentadbiran ataupun bilik mesyuarat, saya diberi kesempatan melawat kesemua bahagian dalam kedua-dua penjara ini bermula dari sel tahanan, ruang kemudahan seperti dewan makan, dobi, riadah, ibadat, pusat rawatan, sehinggalah ke tempat kerja seharian mereka seperti bengkel besi, bengkel kayu. bengkel kraftangan, bengkel rotan, bengkel batik dan bengkel jahitan. Seperti kata Pengarah Jabatan Penjara Alor Setar, penjara merupakan satu komuniti yang mempunyai hampir semua aktiviti kemasyarakatan di luar penjara.
Kunjungan saya semalam bersama-sama rakan sekerja adalah pra-visit (rasanya lebih kepada analysis gap visit) sebelum kami memulakan program OSH in Prison dalam masa terdekat ini.
Diingatkan (oleh Pengarah Penjara) lawatan kami ini tertakluk kepada peraturan sedia ada Jabatan Penjara Malaysia, saya hanya berkongsi mengenai sistem OSH yang sedia ada dalam penjara ini dengan menggunakan gambar-gambar rujukan dari internet.
Kebetulan saya tinggal di Taiping yang turut mempunyai dua penjaranya iaitu Penjara Taiping dan Kem Tahanan Kamunting. Saya pernah melawat Penjara Taiping dan juga kerap mengunjungi Kem Tahanan Kamunting sebelum tetapi tidaklah berpeluang menjenguk ke semua bahagian-bahagian di dalam kedua-dua penjara ini.
Secara dasarnya penjara di Kedah ini ada mempunyai amalan OSH yang diwarisi sebelum ini. Ketika ini juga saya difahamkan kesemua penjara di Malaysia sedang giat mengamalkan Housekeeping 5S.
Mungkin terlalu kerap menonton filem dan tv berkaitan dengan kisah banduan di dalam penjara, ada sedikit kerisauan saya apabila diberi peluang melawat ke dalam bengkel-bengkel kerjatangan yang sudah pasti mempunyai banyak peralatan tangan yang boleh dijadikan senjata.
Penghargaan awal saya kepada penjara di Kedah ini (saya berharap kesemua penjara di Malaysia juga), peralatan tangan (hand tools) yang digunakan seharian oleh banduan-banduan ini mempunyai kotak peralatan (tool box) khusus. Walaupun kotak peralatan ini hanya diperbuat dari kayu ataupun sisa bahan kerja, ianya masih mempunyai elemen Housekeeping 5S iaitu Seiketsu (standardizing).
(Elemen Housekeeping 5S ialah Seiri (sorting), Seiton (straightening), Seiso (sweeping/systematic cleaning), Seiketsu (standardizing), dan Shitsuke (sustaining). Terdapat juga perdekatan dengan dua elemen lagi iaitu Safety dan Security.)
Kesemua kotak peralatan ini mempunyai helaian semak (check list) peralatan-peralatan tangan (dilekat tepi kotak) dan juga dalam kotak peralatan ini mempunyai tanda (bayang) mengikut saiz sebenar peralatan tangan tersebut. Walaupun tujuan utama kotak peralatan yang lengkap dengan helaian semak dan mempunyai tanda (bayang) mengikut saiz sebenar peralatan tangan ini ialah lebih kepada keselamatan sekuriti untuk memudahkan pihak penjara membuat pemeriksaan selepas penggunaan untuk memastikan ianya dipulangkan, ianya juga adalah keperluan dalam OSH dan elemen Housekeeping 5S (Seiketsu - standardizing).
Dalam OSH, peralatan tangan ini mesti disimpan (diletakkan) dalam tempat khususnya untuk mengelakkan sebarang kecederaan jika terjatuh, terpijak dan sebagainya. Biasanya peralatan ini mempunyai bahagian tajam yang berisiko mencederakan pengguna atau mereka yang terdedah dengannya.
Dalam Housekeeping 5S (Seiketsu - standardizing), peralatan tangan ini mesti disimpan (diletakkan) dalam tempat khususnya untuk memudahkannya ia diambil (diguna) semula.
Syabas kepada pihak penjara yang secara dasarnya telah mempunyai beberapa pendekatan OSH ini bersesuaian dengan piagam mereka di antara lain ialah menyediakan tempat kurungan yang selamat untuk penghuninya.
Secara tidak langsung piagam ini adalah pematuhan (compliance) kepada Seksen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (OSHA 1994) yang mewajibkan majikan (dalam konteks ini Jabatan Penjara Malaysia) menyediakan dan menyenggarakan tempat kerja yang selamat dan sihat (dalam konteks ini bengkel kerja banduan) kepada pekerja mereka (dalam konteks ini banduan dan warder bertugas) dan juga mereka selain dari pekerja (dalam konteks ini pegawai penjara, pelawat seperti saya pada hari semalam dan sebagainya).
En. Jais Suratman dan pegawai-pegawainya dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Negeri Kedah (saya difahamkan telah lima kali melawat dan membuat pemeriksaan/audit di penjara ini pada tahun 2009/2010) tentu akan bersetuju dengan salah satu pematuhan yang telah dibuat oleh pihak penjara ini.
Tidak dinafikan juga terdapatnya ruang-ruang untuk penambahbaikan (rooms for improvement) dan insya-Allah kami yang telah diamanahkan oleh Jabatan Penjara Malaysia akan membantu menambahbaikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di dalam penjara.
Kesungguhan Jabatan Penjara Malaysia khususnya dari Datuk Wira Hj. Zulkifli bin Omar sendiri dalam ke arah perlaksanaan OSH in Prison ini sepatutnya menjadi teladan jabatan-jabatan lain terutamanya pihak berkuasa beruniform.
lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/
3 comments:
penjara alor setar penjata tertua? penjara taiping merupakan penjara tertua di Malaysia
Penjara alor setar dibina pada tahun 1893 manakala penjara taiping dibina pada tahun 1879.
maklumat diperolehi dari http://www.prison.gov.my/images/carta/institusi.htm
Terima kasih atas pembetulan fakta. Saya sendiri pernah buat posting mengenai banyak benda (lebih 30) tertua di Malaysia yang terdapat di Taiping.
Bagaimanapun kami dibawa melawat 2 penjara berdekatan dgn 1 adalah antara tertua dan 1 adalah antara termoden.
Terima kasih sekali lagi.
Saya menerima email berikut. Terima kasih atas kesudian Dato' membaca posting ini dan memberi komen.
From: "Dr Junaidy Abu Bakar"
Subject: OSH in Prison (Jabatan Penjara Malaysia) [4 Attachments]
Date: Tue, Feb 1, 2011 11:38 am
Salam. Menarik saya membaca pengalaman tuan menjelajah ruangan penjara, salah satu tempat larangan kpd public.
Saya juga kagum dengan penerangan tuan bahawa pihak penjara mempinyai standard yang tinggi dalam amalan security, safety dan health di penjara. Penerapan amalaan osh yg lebih baik dengan teknologi communication terkini mungkin boleh diterapkan jika ada ruang pembaikan. Manakala dalam aktiviti seprti bengkel dan ruang kerja yang agak merbahaya memerlukan disiplin diri dan PPE yang berkualiti.
Syabas dan teruskan tugas murni ini.
Salam.
Dato' Paduka Dr Junaidy Abu Bakar
Menteri Penasihat
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
+6281 80 88 11111
Sent via Galaxy Tab DDJ Jak.
Post a Comment