See and be seen – melihat dan dilihat
Saya difahamkan beberapa organisasi multi nasional di
Malaysia telah menguatkuasakan kenderaan syarikat yang dipandu di waktu siang
mesti dipasang lampu siang (day lights). Ini selaras dengan peraturan
keselamatan yang dibuat oleh syarikat induk mereka di luar negara.
Pengguna motosikal umpamanya telah lama mengamalkan amalan
memasang lampu di waktu siang. Pada pertengahan 80an, sewaktu saya mula
menunggang motosikal berkuasa besar yang diimport tidak mempunyai suis lampu.
Acapkali ditegur oleh pengguna jalan raya lain yang menyangkakan saya terlupa
menutup lampu!
See and be seen – melihat dan dilihat, adalah salah satu
elemen keselamatan. Pemandu yang memandu kenderaan bukan sahaja berkemampuan
melihat kenderaan lain (pengguna jalan raya yang lain) di hadapan dan di
sekeliling kenderaan yang mereka pandu tetapi kenderaan mereka juga hendaklah
boleh dilihat oleh pengguna kenderaan yang lain.
Kerap kali kenderaan yang dipandu pada waktu malam atau
lewat petang terutama di kawasan bandar dipandu oleh pemandu yang tidak
menyalakan lampu kenderaan mereka. Mungkin pemandu ini lupa atau leka kerana
mereka mula memandu pada hari masih cerah ataupun mereka memandu di kawasan di
mana pencahayaannya terang.
Bagaimanapun kenderaan tanpa pemasangan lampu sebegini
terutama lampu belakang amatlah merbahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Beberapa hari lepas semasa saya menunggang motosikal dalam
hujan lebat sekitar jam 7.00 malam dari Prai ke Taiping, saya terserempak dengan
beberapa buah kenderaan yang tidak menyalakan lampu. Saya pasti pemandu
kenderaan ini mempunyai pengelihatan (mata) yang bagus sehingga tidak
memerlukan lampu hadapan kereta untuk melihat kenderaan di hadapan tetapi
pemandu ini mesti ingat tanpa lampu belakang, kenderaan mereka hampir tidak
dapat dilihat oleh pemandu dan pengguna jalan raya lain di belakang mereka.
Pada masa yang sama terdapat juga kenderaan lama yang cermin
lampu kenderaan mereka sudah pudar dimakan usia. Pemilik kenderaan sebegini
bertanggungjawab memastikan cermin lampu mereka yang dimakan usia ini tidak
mengurangkan kecerahan cahaya lampu kenderaan mereka.
Atau sudah sampai masanya adanya satu peraturan yang
memestikan cermin lampu sesuatu kenderaan tersebut ditukar mengikut tempoh usia
hayatnya?
http://oshthejourney.blogspot.com
Posting yang sama di sini.
No comments:
Post a Comment