Friday, September 28, 2012

Syabas Felda

Syabas Felda

Berita di akhbar hari Rabu lepas menarik minat saya untuk mengulasnya secara ringkas. Pertama komitmen Felda, antara organisasi terbesar dalam industri peladangan ini terhadap OSH boleh dilihat dengan kewujudan jabatan dan posisi Naib Presiden Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kumpulan Felda Global. Biasanya hanya organisasi multi nasional sahaja yang mengujudkan jabatan dan posisi OSH sebegini.

Kedua, pengadaan Polisi Menghindari Dadah dan Aids dalam Felda. Kebetulan kebelakangan ini saya berminat menyentuh isu-isu berkaitan hazard psychosocial ini termasuklah dadah dan aids/hiv. Malah antara tajuk tugasan yang diberi kepada pelajar-pelajar Master HRM di UUM City KL semasa Sesi Mei 2012 lalu ialah menyediakan polisi-polisi sebegini untuk kegunaan organisasi masing-masing.

Syabas Felda.


Bukan mudah’
Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) komited untuk menarik lebih banyak syarikat di negara ini mempunyai polisi menghindari dadah dan Aids di tempat kerja walaupun mengakui mengalami kesukaran untuk menarik penyertaan mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Johari Basri berkata, setakat tahun lalu, hanya 28 syarikat menyertai pelaksanaan Kod Amalan Pencegahan dan Pengurusan HIV/Aids Di Tempat Kerja (2001).

Dalam pada itu, Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan Di Tempat Kerja (2004) pula, hanya 19 syarikat mengamalkannya.

“Memang sebenarnya, tidak mudah untuk kita meyakinkan syarikat (untuk mengamalkan kod-kod ini). Sebab itu kita memerlukan komitmen yang berpanjangan. “Kita tidak boleh cepat putus asa, sama ada sikit atau banyak syarikat menyertainya kita akan cuba,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Polisi Menghindari Dadah dan Aids dan Perasmian Explosafe Competition kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Balai Felda di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Sabri Ahmad, Naib Presiden Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kumpulan Felda Global, Daud Amatzin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Khirudin Drahman.

Menurut Johari, kod-kod amalan itu bertujuan mengurangkan penyebaran Aids dan HIV, penyalahgunaan alkohol dan bahan selain membimbing majikan serta pekerja dalam mengurus isu berkaitannya di tempat kerja.

“Majikan yang bersetuju melaksanakan kod-kod amalan ini digalakkan menyediakan polisi di tempat kerja yang melambangkan komitmen mereka terhadap isu terbabit.

“Pelaksanaannya akan dapat mengurangkan risiko atau potensi kehilangan kakitangan mahir akibat sakit berpanjangan, ketidakhadiran, kematian dan seterusnya menjejaskan produktiviti, faedah kerja, keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Isa berkata, penyertaan Felda membuktikan komitmen syarikat itu dalam memainkan peranan bagi menimbulkan kesedaran di kalangan pekerjanya mengenai kesan buruk penyalahgunaan dadah.

“Walaupun kurang daripada satu peratus kakitangan dan peneroka Felda terbabit dalam penyalahgunaan dadah, namun Felda tetap komited memainkan peranan bagi menimbulkan kesedaran di kalangan mereka.

“Bila kita sudah ada polisi ini, tentu akan ada langkah-langkah yang perlu diambil secara lebih tersusun untuk membantu mengurangkan isu ini yang sudah menjadi masalah negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/2

No comments: