Buku bulan Jun 2010
Selain dari berlibur sambil berbelanja bersama keluarga di pusat membeli-belah, sudah pasti makan-makan dan menjamu mata adalah aktiviti utama kami. Selain dari itu tidak lupa juga untuk menjenguk MPH, Popular dan kedai buku lain untuk membeli sebuah dua bahan bacaan. Biasanya aku memilih yang berkaitan dengan pembelajaran kursus yang aku ajar, anak jantan aku seorang dengan bahan bacaan umum remaja, encyclopedia, manakala orang rumah aku seorang itu pula dengan bahan bacaan kekeluargaan dan wanita.
Untuk bulan Jun ini, kami sempat mengunjungi beberapa buah kedai buku di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Ipoh.
Billi Lim, Berani gagal (Dare to fail)
Antara buku yang aku beli ialah Billi Lim, Berani Gagal. Buku ini adalah terjemahan dari buku terlaris terbitan NST, Dare to fail. Aku pernah membaca buku ini pada awal tahun 2000 apabila terlibat dengan satu jawatankuasa mahasiswa exco Hari Konvo yang bercadang untuk menjemput penulis buku ini Billi Lim memberi ulasan mengenai bukunya selama 1 jam dan diikuti ½ jam kemudiannya untuk menandanangani autograf. Terkejut kami barisan exco ketika itu apabila dimaklumkan bayaran yang dikenakan amat tinggi. Malah untuk sesi autograf pula dikenakan bayaran yang lain. Lagi mengejutkan kami ialah untuk menempah masa Billi Lim memerlukan lebih kurang setahun! Jadualnya padat bukan sahaja di Malaysia malah di luar Negara!
Bertitik dari itu, aku mula membaca buku Dare to fail ini yang dipinjam dari seorang kawan. Kali ini aku membeli pula buku terjemahannya.
Aku membaca untuk kali kesekiannya. Anak jantan aku seorang itu juga turut membacannya. Ulasan yang pertama dari anak jantan aku seorang itu ialah; kisah gagal ayah 2 universiti lagi hebat!
Aku menanyai diri aku sendiri; adakah aku berupaya menghasilkan sebuah buku mengenai kegagalan aku sebaik mungkin atau lebih baik dari buku Dare to fail / Berani gagal ini?
MOSTI, estidotmy (Sains, Teknologi & Inovasi)
Entah mengapa Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia bukan pilihan utama aku, anak jantan aku seorang itu dan orang rumah aku seorang itu. Kami lebih terarah untuk membeli Berita Harian/Berita Minggu atau Harian Metro/Minggu Metro.
Bagaimanapun sedaya-upaya aku cuba mendapatkan UM/MM pada hari Isnin, Rabu (Rabu terakhir setiap bulan) dan Ahad. Isnin kerana sisipan akhbar Jawi Utusan Melayu, Rabu kerana sisipan estidotmy dan Ahad kerana sisipan Kesihatan serta sisipan hiburannya yang menjadi pilihan utama orang rumah aku seorang itu.
Peluang aku berkunjung ke KL awal bulan Jun ini, aku singgah di Akademik Sains Malaysia di Jalan Tun Ismail untuk membeli set CD kompilasi estidotmy dari tahun 2002 hingga 2009 serta beberapa bahan bacaan terbitan Mosti.
Jenuh mencari dan menelefon Akademik Sains Malaysia ini bertanyakan lokasi. Rupa-rupa bangunan mereka terletak bersebelahan Padang Merbuk.
Walaupun keghairahan membaca bulletin estidotmy di skrin komputer tidak sama dengan membaca di atas kertas, sekurang-kurangnya bahan bacaan berbentuk CD lebih mudah disimpan dan dibawa berjalan.
Kepada penghujung blog OKOB/OSH The Journey ini, saya sarankan agar mendapatkan set CD kompilasi estidotmy ini yang hanya berharga RM 40.00 untuk 8 siri tahun penerbitan. Bukan sahaja bahan bacaan terbaik untuk anak-anak anda, malah ianya bacaan umum (pengetahuan am) mengenai sains, teknologi dan inovasi yang patut juga anda sebagai orang dewasa mengetahuinya.
Maklumat lengkap mengenai bahan-bahan bacaan terbitan Mosti ini boleh dirujuk dalam sisipan estidotmy bersama Utusan Malaysia hari Rabu terakhir setiap bulan.
lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment