Mengapa perlu takut kepada pihak berkuasa?
"Satu lagi yang penting, kanak-kanak jangan dimomokkan atau ditakutkan dengan pihak berkuasa terutamanya polis. Kanak-kanak ini wajar diberitahu bahawa polis akan menolong jika kita dalam kecelakaan atau kemalangan."
Di atas adalah petikan dalam rencana Dimensi Berita Minggu bertarikh 6 April 2008.
Saya terpanggil untuk menulis ingatan ini semula apabila terbaca di dada-dada akhbar mengenai seorang remaja 15 tahun mati ditembak polis di Shah Alam semalam. Bagaimanapun catatan ini tidak akan mengulas peristiwa tersebut yang kini dalam siasatan panel khas polis.
Percaya atau tidak mungkin kita semua akan merasa takut apabila terserempak dengan pihak berkuasa walaupun pada ketika itu kita tidak melakukan apa-apa kesalahan. Perasaan takut ini menyebabkan kita secara sedar atau tidak sedar akan mengambil keputusan yang mungkin boleh mencurigai pihak berkuasa seperti berkelakuan aneh, cuba melarikan diri dan sebagainya. Perasaan takut ini mungkin disebabkan amalan kuno yang telah disuburkan ke atas diri kita semenjak kecil.
Gejala takut kepada pihak berkuasa dan juga kepada hantu adalah omokan yang berterusan dari orang dewasa terutamanya ahli keluarga kepada kanak-kanak. Sebarang tingkahlaku yang cuba dielakkan atau dilarang akan dimomokkan dengan polis ataupun hantu.
Sebenarnya omokkan ini akan berterusan hidup subur dalam kanak-kanak yang akan membesar menjadi remaja seterusnya menjadi orang dewasa.
Oleh itu adalah menjadi lumrah jika seorang penunggang motosikal (yang mempunyai lesen memandu yang sah dan cukai jalan serta insuran yang sah tempohnya) terkejut dan tidak dapat mengawal motosikalnya dengan baik semata-mata terpandang beberapa orang yang memakai vest keselamatan lutsinar di hadapan laluannya. Sedangkan yang memakai vest tersebut hanyalah pekerja pembersihan jalan tetapi disangkakan pihak polis membuat sekatan jalan raya.
Kanak-kanak semasa kecil lagi sepatutnya disuburkan dengan makluman pihak berkuasa adalah rakan yang akan membantu kita jika ditimpa kecelakaan atau kemalangan. Pada masa yang sama kanak-kanak juga perlu diingatkan agar mencurigai dan berwaspada terhadap orang yang tidak dikenali tidak mengira bangsa, usia atau jantina walaupun penampilan mereka begitu menyakinkan sebagai orang bersopan-santun.
lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment