Friday, September 23, 2011

Cenderahati atau rasuah?



Cenderahati atau rasuah?

Semasa saya bekerja di kilang tayar Taiping, pengurus saya mengajar beberapa elemen dalam “public relationship” yang perlu disemai dengan mereka yang berurusan dengan kita sama ada pelanggan atau sebaliknya.

Di antara salah satu ilmunya ialah menghargai mereka ini dengan cenderahati. Beliau mengingat saya juga, janganlah menghargai ketua jabatan seorang sahaja tanpa mempedulikan kakitangan bawahan. Ilmu ini saya amalkan sehingga hari ini.

“Cenderahati sebagai menghargai pertolongan mereka, dan ini bukannya rasuah!”, itulah yang sering dipesannya kepada saya.

Setiap kali musim perayaan beliau akan mengajak saya mendaki tangga pejabat setiap organisasi yang berurusan, memikul jumlah yang mencukupi untuk diedarkan kepada semua kakitangan organisasi tersebut.

Sebagai contoh, kalau Aidilfitri kami akan mengedarkan pek kecil Kurma. Kalau Raya China, kami akan pikul 2, 3 kotak Buah Limau. Kalau di hujung tahun pula kami akan memikul sejumlah kalendar, diari ataupun log book.

Ilmu yang saya pelajari seterusnya ialah sampaikan cenderahati ini secara bersemuka. Apabila pengurus saya ini bersara, saya berterusan mengamalkan apa yang diajari.

Tetapi terkejut saya mendengarkan apabila saya berhenti di kilang ini, amalan ini masih berterusan tetapi cenderahati ini diedarkan oleh pemandu kenderaan syarikat kepada pengawal keselamatan sahaja dan diminta disampaikan kepada staf-staf berkenaan.

Saya tanya kepada pemandu mengapa hanya diserahkan kepada pengawal keselamatan?

“Boss suruh hantar kepada guard sebab banyak lagi pejabat nak pergi. Lagipun payah parking!”, jawab jujur pemandu.

Saya hanya mengeleng-gelengkan kepala. Masa saya dulu lagi banyak organisasi atau pejabat yang kami pergi tetapi kami mesti serahkan bersemuka.

lukmanw@gmail.com
http:/orangkecilorangbesar.blogspot.com/

Gambar-gambar adalah cenderahati yang saya terima bersempena Ramadhan dan Syawal tahun ini.




No comments: