Saturday, August 14, 2010

Bencana Bazar Ramadhan


Bencana Bazar Ramadhan

KOSMO
14 Ogos 2010

Bazar Ramadan dilanda ribut, dua peniaga maut


JASIN – Dua peniaga bazar Ramadan di Stadium Jasin di sini maut akibat ditimpa payung gerai yang berterbangan setinggi tiang lampu 40 meter dalam kejadian ribut semalam.

Mereka yang terkorban dalam kejadian pada pukul 4.45 petang itu ialah seorang peniaga cendol, Abdul Omar, 73, dan Mahadi Mohamad, pembantu kedai martabak.

Mereka terkorban akibat hentakan batang besi payung gerai yang berterbangan.

Selain dua mangsa yang terkorban, seorang lagi peniaga parah dan 18 lagi cedera ringan.

Jurucakap polis berkata, ribut selama kira-kira tiga minit itu melanda pada pukul 4.45 petang semasa 23 peniaga di bazar itu sedang menyiapkan juadah masing-masing untuk dijual.

“Ribut tanpa hujan itu terlalu kencang sehingga semua barang berterbangan dan ramai peniaga rebah,” katanya.

Jurucakap polis itu memberitahu, kejadian ribut kencang itu adalah yang pertama kali berlaku dan terburuk di daerah ini.

Sementara itu, seorang peniaga, Norhafizah Shiraj, 24, berkata, ribut itu datang secara tiba-tiba tanpa hujan.

“Saya yang sedang menjual char kuey teow tidak dapat berpaut pada apa-apa menyebabkan saya terjatuh ditolak angin,” kata Norhafizah

Jelasnya, kejadian itu sangat menakutkan kerana ramai yang menjerit-jerit apabila semua barang berterbangan.

Rujuk posting saya sebelum ini:

1.
Tapak Pasar Ramadhan UUM

2.
Tapak Pasar Ramadhan Kamunting

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan Code

Jangan abaikan keselamatan





Jangan abaikan keselamatan

Jangan abaikan keselamatan di bulan Ramadhan ini. Kunjungan saya ke perkarangan Masjid UUM semalam mendapati semua khemah-khemah di sini mempunyai tapak kaki khemah yang bertanam (bolted). Begitu juga dengan laras tiang (bolt) lengkap dengan nut tapi masih panjang terjulur keluar.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com

Sunday, August 8, 2010

Sehari lebih awal; 24 jam atau 4 jam sahaja?

Sehari lebih awal; 24 jam atau 4 jam sahaja?

Dalam posting sebelum ini, saya mempertingkaikan mengapa pihak yang bertanggungjawab terhadap berita pengumuman mengenai kenaikan ini berdasarkan kepentingan keselamatan pengguna terutama pemilik kenderaan. Pertingkaian saya ialah mengapa perlu diumumkan (disahkan) berita ini pada waktu berita perdana jam 8.00 malam? Kenapa tidak diawalkan dan kalau boleh seawal pagi?

Melalui Bernama, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Daud Tahir memaklumkan pengumuman hanya dibuat sehari lebih awal dan tidak dibuat lebih awal untuk mengelakkan spekulasi dan kes sorok.

Saya menyetujui tindakan melindungi kepentingan pengguna (spekulasi dan kes sorok) dengan tidak mengumumkannya lebih awal tetapi taarifan sehari lebih awal itu masih samar-samar. Malah saya juga sama sekali tidak bersetuju jika pengumuman kenaikan harga ini dibuat berhari-hari (atau sebulan) awalnya! Saya hanya mengesyorkan agar diawalkan masa dalam tempoh sehari itu!

Jika penggunaan bahasa seharian, sehari lebih awal bermaksud 24 jam iaitu sehari semalam. Ini memberi pengertian kenaikan harga (ataupun pelarasan harga) yang berkuat kuasa pada jam 12.00 pagi Jumaat 16 Julai 2010 dahulu perlulah diumumkan pada jam 12.00 pagi Khamis 15 Julai 2010.

Sebaliknya jika pengumuman dibuat hanya pada jam 8.00 malam Khamis 15 Julai 2010, tempoh senggang itu hanyalah sekitar 4 jam!

Harap Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan lebih prihatin dalam perkara ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Berita sepenuhnya;

Kerajaan tak umum kenaikan harga lebih awal elak spekulasi, kes sorok
04/08/2010 3:24pm


KUCHING 4 Ogos - Kerajaan tidak bercadang untuk mengubah mekanisme pengumuman pelarasan semula subsidi bagi gula dan bahan api bagi melindungi kepentingan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Karim berkata, mekanisme sedia ada iaitu membuat pengumuman sehari sebelum ia dilaksanakan adalah bagi mengelakkan elemen spekulasi dan kes sorok gula.

"Di negara lain pun tidak ada buat ”advance notice” berkaitan dengan perkara tersebut dan ini bagi mengelakkan pengguna dimanipulasi,” katanya kepada pemberita selepas majlis dialog bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan peniaga di sini hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Daud Tahir berkata, tindakan membuat pengumuman sehari sebelum dilaksanakan berikutan banyak elemen spekulasi dan kes sorok gula berlaku di Semenanjung, Sabah dan Sarawak awal tahun ini.

"Sebagai contoh selepas makmal khas berkaitan dengan subsidi mencadangkan supaya subsidi dikurangkan dalam tempoh enam bulan, sudah ada kes sorok gula berlaku kerana spekulasi harga gula akan dinaikkan pada Jun tahun ini tapi ini terbukti tidak betul,” katanya
. - Bernama

Saturday, August 7, 2010

Lebuh raya bukannya untuk perarakan!

Lebuh raya bukannya untuk perarakan!

Semalam (6 Ogos 2010 Jumaat) saya keluar rumah seawal pagi menuju ke Bangi untuk satu temu janji jam 9.30 am. Perjalanan di lebuh raya lancar cuma agak sesak dari tol Jalan Duta ke Tol Sungai Besi.

Dalam perjalanan saya dimaklumkan melalui berita radio, tiada sebarang pengurangan kompaun untuk saman ekor. Sebagai makluman, saya baru sahaja menjelaskan dua saman ekor untuk membolehkan saya memperbaharui cukai jalan kenderaan saya dua minggu lepas.

Petangnya selepas solat Jumaat saya bergerak pulang ke Kamunting. Tidak dinafikan dengan adanya lebuh raya ia melancarkan perjalanan dan memungkinkan saya berulang-alik pada hari yang sama dari Kamunting ke Bangi.

Malangnya lebuh raya yang terbentang bukannya faktor tunggal melancarkan perjalanan ini.

Pada jam 4.00 pm, ketika menghampiri Jambatan Sungai Perak, kelihatan lebih kurang 50 buah Skuter SYM GTS/VTS 200 dan dua buah kenderaan pacuan empat roda baru sahaja keluar dari kawasan RR Sungai Perak Sebelah Selatan tersebut.

Saya difahamkan rombongan ini adalah sempena sambutan kemerdekaan. Hampir kesemua skuter yang mengambil bahagian memasang bendera Malaysia kecil di skuter masing-masing. (Secara logiknya juga saya tidak bersetuju dengan amalan memasang bendera pada kenderaan ini. Boleh rujuk blog saya; http://oshthejourney.blogspot setiap bulan Ogos tahun-tahun sebelum ini.)

Rombongan skuter yang berformasi beriringan dua barisan skuter ini mengambil alih lorong kanan dengan dua kenderaan pacuan empat roda sebagai “sweeper” di bahagian belakang rombongan. Manakala terdapat tiga buah skuter lagi yang lengkap dengan lampu amaran berwarna-warni (kuning, merah dan biru) serta memasang siren di skuter masing-masing mengekori belakang kenderaan pacuan empat roda ini bertindak sebagai pengiring (marshal?).

Penunggang tiga buah skuter di bahagian belakang ini bertindak mengarahkan kenderaan lain di belakang supaya memotong rombongan skuter lebih kurang 50 buah ini (dalam dua barisan) menggunakan lorong di sebelah kiri.

Adalah tidak logik dan munasabah langsung rombongan skuter ini “berarak” di lebuh raya dan menggunakan lorong di sebelah kanan sebagai laluan mereka!

Perjalanan semakin merumitkan terutama terdapat kenderaan berat bergerak di sebelah kiri laluan lebuh raya tersebut.

Sebagai pengguna jalan raya dan biasa terlibat dengan pengendalian rombongan motosikal dan kereta, saya terpanggil untuk mengutarakan beberapa persoalan.

1. Penggunaan Lampu Amaran

Kaedah 9 Lalu lintas 1959 hanya menyatakan kenderaan Polis, JPJ, Bomba, Ambulan dan Kastam sahaja dibenarkan mendapat hak laluan (priority over traffic). Bagaimanapun terdapat kelonggaran pihak lain wang bertindak sebagai pengiring untuk menggunakan lampu amaran (hanya warna kuning) dan tanpa siren dengan kebenaran serta tertakluk kepada peruntukkan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Adakah pengiring dalam rombongan skuter SYM GTS/VTS 200 memohon dan mendapat kebenaran pihak berkuasa? Jika mendapat kebenaran, adakah pengiring ini sedia maklum bahawa hanya lampu kuning sahaja dibenarkan dan tanpa penggunaan siren?

2. Bertindak mengeluarkan arahan supaya kenderaan lain memotong rombongan mengikut laluan di sebelah kiri.

Semua pengguna lebuh raya sedia maklum bahawa lorong sebelah kanan adalah laluan untuk memotong dan bukannya di lorong di sebelah kiri.

Adakah pengiring rombongan skuter ini berhak mengarahkan kenderaan lain (pengguna lebuh raya lain) supaya memotong rombongan skuter mereka ini di sebelah kiri laluan?

3. Bertindak mengeluarkan arahan supaya kenderaan lain memberhentikan kenderaan.

Pengguna lebuh raya yang lain terpaksa mengekori rombongan ini yang bergerak sekitar 80 – 90 km/j ini sehingga ke persimpangan Taiping Utara (Kamunting). Ada juga kenderaan yang berupaya memotong rombongan ini.

Rombongan skuter ini kemudian keluar dari lebuh raya di Susur Keluar Taiping Utara (Kamunting). Di sini pengiring skuter ini menunjuk belangnya lagi dengan menahan semua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Taiping – Bagan Serai, untuk membolehkan semua ahli rombongan skuter ini melepasi persimpangan lampu isyarat ini walaupun semasa lampu isyarat merah sedang menyala.

Manakala di sepanjang Jalan Perindustrian dan Jalan Stesen di Kamunting tersebut, pengiring ini pula bertindak mengeluarkan arahan supaya pengguna kenderaan di sebelah kiri memberhentikan kenderaan masing-masing .

Adakah pengiring rombongan skuter ini berhak mengarahkan kenderaan lain (pengguna jalan raya raya lain) supaya memberhentikan kenderaan masing-masing di sebelah kiri laluan untuk membolehkan rombongan skuter mereka ini meneruskan perjalanan tanpa halangan?

Saya tidak pasti ke mana destinasi rombongan skuter ini selepas itu kerana perjalanan saya petang semalam telah sampai ke rumah saya di Kamunting.

Untuk mengelakkan sebarang kemusykilan pengguna lebuh raya dan jalan raya pada masa-masa akan datang, pihak berkuasa JPJ dan Polis sepatutnya mengeluarkan makluman yang jelas apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan (do and don’t) oleh pengiring-pengiring rombongan bermotor ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Keselamatan di Pasar Ramadan





Keselamatan di Pasar Ramadan

Kebanyakan tempat terbuka di mana-mana kawasan dan daerahpun ketika ini sudah terdiri khemah-khemah untuk Gerai Jualan Pasar Ramadan.

Saya berkunjung ke tapak Pasar Ramadan berdekatan rumah saya di Kamunting. Tahun ini saya dapati kaki tiang khemah (footing) telah diperkukuhkan dengan satu batang besi. Walaupun tiang besi ini kemudiannya diikatkan menggunakan tali ke tiang khemah, sekurang-kurangnya struktur khemah ini lebih teguh.

Sepatutnya tapak tiang khemah ini dibuat lebih lebar dan batang besi atau paku ditanam terus pada sisi tepi tapak tiang khemah ini.

Penggunaan bolt pada tiang khemah masih lagi tidak terurus. Kebanyakan bolt ini masih terjulur keluar (panjang). Sepatutnya bolt ini dipendekkan selebar tiang khemah sahaja dan perlu diketatkan menggunakan nut.

Bagaimanapun tinjauan di sini, tiada yang menggunakan besi atau paku menggantikan bolt.

Kunjungan ramai pelanggan ke Pasar Ramadan dan kadangkala terpaksa bersesak-sesak memungkinkan sebarang kemalangan akan terjadi. Adalah menjadi tanggungjawab pemilik gerai jualan serta pihak berkuasa tempatan yang mengeluarkan lesen penjaja untuk memastikan keselamatan pelanggan termasuk penjaja sendiri.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/