Saturday, August 7, 2010

Lebuh raya bukannya untuk perarakan!

Lebuh raya bukannya untuk perarakan!

Semalam (6 Ogos 2010 Jumaat) saya keluar rumah seawal pagi menuju ke Bangi untuk satu temu janji jam 9.30 am. Perjalanan di lebuh raya lancar cuma agak sesak dari tol Jalan Duta ke Tol Sungai Besi.

Dalam perjalanan saya dimaklumkan melalui berita radio, tiada sebarang pengurangan kompaun untuk saman ekor. Sebagai makluman, saya baru sahaja menjelaskan dua saman ekor untuk membolehkan saya memperbaharui cukai jalan kenderaan saya dua minggu lepas.

Petangnya selepas solat Jumaat saya bergerak pulang ke Kamunting. Tidak dinafikan dengan adanya lebuh raya ia melancarkan perjalanan dan memungkinkan saya berulang-alik pada hari yang sama dari Kamunting ke Bangi.

Malangnya lebuh raya yang terbentang bukannya faktor tunggal melancarkan perjalanan ini.

Pada jam 4.00 pm, ketika menghampiri Jambatan Sungai Perak, kelihatan lebih kurang 50 buah Skuter SYM GTS/VTS 200 dan dua buah kenderaan pacuan empat roda baru sahaja keluar dari kawasan RR Sungai Perak Sebelah Selatan tersebut.

Saya difahamkan rombongan ini adalah sempena sambutan kemerdekaan. Hampir kesemua skuter yang mengambil bahagian memasang bendera Malaysia kecil di skuter masing-masing. (Secara logiknya juga saya tidak bersetuju dengan amalan memasang bendera pada kenderaan ini. Boleh rujuk blog saya; http://oshthejourney.blogspot setiap bulan Ogos tahun-tahun sebelum ini.)

Rombongan skuter yang berformasi beriringan dua barisan skuter ini mengambil alih lorong kanan dengan dua kenderaan pacuan empat roda sebagai “sweeper” di bahagian belakang rombongan. Manakala terdapat tiga buah skuter lagi yang lengkap dengan lampu amaran berwarna-warni (kuning, merah dan biru) serta memasang siren di skuter masing-masing mengekori belakang kenderaan pacuan empat roda ini bertindak sebagai pengiring (marshal?).

Penunggang tiga buah skuter di bahagian belakang ini bertindak mengarahkan kenderaan lain di belakang supaya memotong rombongan skuter lebih kurang 50 buah ini (dalam dua barisan) menggunakan lorong di sebelah kiri.

Adalah tidak logik dan munasabah langsung rombongan skuter ini “berarak” di lebuh raya dan menggunakan lorong di sebelah kanan sebagai laluan mereka!

Perjalanan semakin merumitkan terutama terdapat kenderaan berat bergerak di sebelah kiri laluan lebuh raya tersebut.

Sebagai pengguna jalan raya dan biasa terlibat dengan pengendalian rombongan motosikal dan kereta, saya terpanggil untuk mengutarakan beberapa persoalan.

1. Penggunaan Lampu Amaran

Kaedah 9 Lalu lintas 1959 hanya menyatakan kenderaan Polis, JPJ, Bomba, Ambulan dan Kastam sahaja dibenarkan mendapat hak laluan (priority over traffic). Bagaimanapun terdapat kelonggaran pihak lain wang bertindak sebagai pengiring untuk menggunakan lampu amaran (hanya warna kuning) dan tanpa siren dengan kebenaran serta tertakluk kepada peruntukkan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Adakah pengiring dalam rombongan skuter SYM GTS/VTS 200 memohon dan mendapat kebenaran pihak berkuasa? Jika mendapat kebenaran, adakah pengiring ini sedia maklum bahawa hanya lampu kuning sahaja dibenarkan dan tanpa penggunaan siren?

2. Bertindak mengeluarkan arahan supaya kenderaan lain memotong rombongan mengikut laluan di sebelah kiri.

Semua pengguna lebuh raya sedia maklum bahawa lorong sebelah kanan adalah laluan untuk memotong dan bukannya di lorong di sebelah kiri.

Adakah pengiring rombongan skuter ini berhak mengarahkan kenderaan lain (pengguna lebuh raya lain) supaya memotong rombongan skuter mereka ini di sebelah kiri laluan?

3. Bertindak mengeluarkan arahan supaya kenderaan lain memberhentikan kenderaan.

Pengguna lebuh raya yang lain terpaksa mengekori rombongan ini yang bergerak sekitar 80 – 90 km/j ini sehingga ke persimpangan Taiping Utara (Kamunting). Ada juga kenderaan yang berupaya memotong rombongan ini.

Rombongan skuter ini kemudian keluar dari lebuh raya di Susur Keluar Taiping Utara (Kamunting). Di sini pengiring skuter ini menunjuk belangnya lagi dengan menahan semua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Taiping – Bagan Serai, untuk membolehkan semua ahli rombongan skuter ini melepasi persimpangan lampu isyarat ini walaupun semasa lampu isyarat merah sedang menyala.

Manakala di sepanjang Jalan Perindustrian dan Jalan Stesen di Kamunting tersebut, pengiring ini pula bertindak mengeluarkan arahan supaya pengguna kenderaan di sebelah kiri memberhentikan kenderaan masing-masing .

Adakah pengiring rombongan skuter ini berhak mengarahkan kenderaan lain (pengguna jalan raya raya lain) supaya memberhentikan kenderaan masing-masing di sebelah kiri laluan untuk membolehkan rombongan skuter mereka ini meneruskan perjalanan tanpa halangan?

Saya tidak pasti ke mana destinasi rombongan skuter ini selepas itu kerana perjalanan saya petang semalam telah sampai ke rumah saya di Kamunting.

Untuk mengelakkan sebarang kemusykilan pengguna lebuh raya dan jalan raya pada masa-masa akan datang, pihak berkuasa JPJ dan Polis sepatutnya mengeluarkan makluman yang jelas apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan (do and don’t) oleh pengiring-pengiring rombongan bermotor ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

1 comment:

speedrider said...

Semasa kami konvoi, balik dari terengganu... Geng2 STM ni pun melalui Banjaran Titiwangsa. Ada ka patut yang depan2 tu seuruh kami rapat ke kiri (jalan kami bertentangan). Jadi, apabila marker di hadapan marshall memberi arahan agar pengguna bertentangan rapat ke kiri jalan, dia sedang makan jalan!

Satu keadaan yang bahaya.