Monday, March 30, 2009

Kehadiran ambulan semasa penamaan calon. Mengapa perlu prasangka?

Kehadiran ambulan semasa penamaan calon. Mengapa perlu prasangka?

Ada beberapa blog yang menghabarkan kehadiran ambulan semasa penamaan calon pilihanraya Parlimen Bukit Gantang berhampiran bangunan Majlis Perbandaran Tempatan Taiping. Malangnya tiada satupun akhbar-akhbar arus perdana yang melaporkannya.

Kebanyakan blogger-blogger ini menyuarakan prasangka mereka mengapa perlu kehadiran ambulan semasa penamaan calon sebegini.

Saya tidak pasti siapa atau pihak mana yang bertanggungjawab sehinggakan terhadirnya ambulan semasa penamaan calon ini. Secara peribadi dan juga sebagai seorang pensyarah dalam topik Respon Kecemasan (Emergency Response) serta sebagai jurulatih bomba sukarela, saya menganggap kehadiran ambulan ini adalah satu langkah yang tepat dan terbaik jika dibandingkan dengan nisbah kehadiran orang ramai yang dilaporkan melebihi 50 ribu orang pada hari penamaan calon tersebut.

Sekurang-kurangnya pertugas perubatan yang bertugas di dalam ambulan tersebut dapat memberikan rawatan awal kepada mana-mana yang mungkin tercedera semasa bersesak dalam khalayak ramai itu. Lebih-lebih lagi hampir semua laluan dan jalan raya sama sekali tidak dapat dilalui oleh sebarang kenderaan.

Ramai di antara kita yang lupa atau tidak tahu mengenai kejadian tragedi keruntuhan Jeti Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butreworth, Pulau Pinang pada 31 Julai 1988 yang mengakibat 32 kematian dan 1,674 kecederaan.

Apakah kaitannya tragedi keruntuhan jeti dengan kehadiran orang ramai di luar jangkaan semasa hari penamaan calon ini?

Sebenarnya pada hari tragedi tersebut iaitu 31 Julai 1988 adalah hari sambutan Perayaan St. Anne yang disambut di sebuah gereja di Bukit Mertajam. Walaupun kedudukannya agak jauh di antara Bukit Mertajam dan jeti di Butterworth, penghujung-penghujung sambutan Perayaan St. Anne mengambil peluang berkunjung ke Pulau Pinang selepas majlis perayaan tersebut.

Jangan terkejut kalau dimaklumkan setiap tahun masa kini, penghujung-penghujung ke Perayaan St. Anne ini terutamanya dari Singapura sanggup menempah hotel untuk didiami sekitar Taiping dan Ipoh untuk bersama-sama yang lain di gereja di Bukit Mertajam ini semasa tarikh sambutan perayaan.

Kehadiran orang ramai ketika tragedi itu disedari oleh pihak berkuasa jeti dan feri tetapi tidak banyak tindakan pro-aktif yang diambil. Apa yang pasti tindakan-tindakan pro-aktif yang telah tidak mengambil-kira perlunya pertugas kecemasan dan perubatan termasuklah perlunya kehadiran ambulan.

Mungkin sejarah mendewasakan dan mematangkan mereka yang terbabit dalam pengendalian respon kecemasan ini.

Pihak berkuasa terhadap lebuhraya umpamanya menyediakan pasukan kecemasan, pertolongan cemas termasuklah ambulan terutamanya di musim-musim perayaan dengan andaian pertambahan mendadak pengguna lebuhraya.

Malah dalam penganjuran sukan lumba motosikal atau lebih dikenali dengan Cub Prix juga menitikkan aspek keselamatan dan kecemasan ini. Secara kebetulan saya juga terlibat dalam penganjuran Cub Prix ini. Pada kejohanan di Alor Setar pada pertengahan bulan Mac lalu, pihak penganjur bukan sahaja menyediakan truk kotena khas yang dikenali dengan Unit Trauma yang lengkap untuk operasi pembedahan kecil tetapi turut mendapat bantuan sebuah ambulan dari Hospital Besar Alor Setar dan sebuah ambulan dari Pertubuhan Kecemasan.

Seperti yang telah diramal kehadiran penonton untuk Cub Prix ini adalah melebihi 50 ribu orang. Kehadiran ambulan-ambulan yang lengkap dengan pertugas perubatan ini bersedia bukan sahaja untuk memberi rawatan awal kepada pelumba-pelumba tapi juga kepada orang ramai.

Semasa persidangan Umno di ibukota baru-baru ini dan sebelum ini, kehadiran unit pertolongan cemas dan perubatan yang mengadakan kempen pemeriksaan kesihatan percuma dan juga kempen menderma darah adalah satu bentuk aktiviti situasi menang-menang. Perwakilan bukan sahaja dapat membuat pemeriksaan kesihatan tapi pada masa yang sama dapat membuang sumbangan iaitu menderma darah.

Saya tidak pasti bagaimana situasinya di Muktamar Pas tapi semasa di ceramah-ceramah Pas dan seumpamanya ramai peniaga-peniaga produk kesihatan turut serta mempamer dan menjual produk-produk mereka. Apa yang pasti sudah tentu ada sampel-sampel produk yang diedarkan secara percuma kepada mereka yang mengunjungi gerai-gerai mereka.

Berbeza dengan suasana hari penamaan calon di Taiping ini, aktiviti dan kegiatan sama ada dari parti yang terlibat atau orang ramai hanyalah berasaskan kempen dan peluang kesempatan berniaga. Di sana-sini boleh kelihatan gerai minuman, kacang rebus, kebab, burger dan kawah sup. Malah ada di antaranya yang membuka gerai di awal pagi sebelum azan Subuh dilaungkan.

Mengapa tidak mengambil peluang untuk berkempen demi kesihatan? Ini masa yang sesuai untuk mencuri perhatian umum. Kementerian Penerangan dan Kementerian boleh mengadakan kempen-kempen kesihatan seperti Kempen Berhenti Merokok, Amalan Permakanan Sihat, Cara Hidup Sihat dan sebagainya.

Malah parti-parti politik yang terlibat tidak kiralah sama dari pihak Kerajaan atau sebaliknya, mereka boleh mengeluarkan sedikit belanja untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan dari mana-mana pertubuhan seperti Pertolongan Cemas, St. John dan sebagainya.

Apa yang pasti semasa hari penamaan calon terutama sebelah petangnya adalah lambakan botol-botol plastik air mineral yang kebanyakan adalah sumbangan parti-parti politik yang telibat. Sampah-sarap lain yang lain terutamanya pembungkus makanan mungkin mengunung kalau disusun. Tiada langsung kesedaran persekitaran.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments: