Tuesday, March 24, 2009

Gangguan binatang berbisa


Gangguan binatang berbisa

Kebiasaannya anggota Bomba dan Penyelamat dipanggil sekiranya orang awam bermasalah dengan binatang-binatang berbisa seperti ular, tebuan, lipan, kala jengking dan sebagainya. Malah ada kes-kes tertentu seperti kucing terperangkap di atas pokok dan anjing tersepit di antara jeriji longkang juga ditangani oleh anggota Bomba dan Penyelamat ini. Di Kamunting umpamanya pada tahun 2003, anggota Bomba dan Penyelamat di sana telah dipanggil untuk membantu situasi di mana seekor babi hutan telah masuk ke dalam sebuah rumah di kawasan perumahan Taman Kamunting Jaya iaitu taman yang saya diami.

Sebenarnya sudah kerap juga saya maklumkan kepada pelajar-pelajar saya (Msc OSH) dan sesiapa yang menghadiri kursus Emergency Response yang saya kendalikan, majikan (dan orang awam) perlu bersedia dengan sumber-sumber luar (external resource) yang competent dan boleh didatangi (reachable) iaitu bukan sahaja dapat dihubungi semasa kecemasan tak kira waktu dan masa.

Saya dimaklumkan Bomba, JP3, Bulan Sabit, St. John dan sebagainya tidak pernah diajar cara-cara untuk menangani binatang-binatang berbisa ini. Mereka hanya diajar pertolongan cemas (first aid) iaitu cara-cara untuk bertindakpantas menyelamatkan mangsa yang terkena patukan, sengatan atau gigitan dari binatang-binatang berbisa ini.

Sebenarnya terdapat beberapa agensi persendirian yang mengkhususkan menangani binatang-binatang berbisa ini seperti Syarikat Pengawalan Serangga dan sebagainya.

Bomba umpamanya hanya mempelajari teknik-teknik menangkap binatang-binatang berbisa ini sesama mereka. Bagaimanapun banyak anggota bomba ketika ini mempunyai pelbagai peralatan yang direka sendiri untuk menangkap binatang-binatang berbisa ini.

Sebenarnya semalam pada tengaharinya saya membaca berita seorang petani koma dipatuk ular. Kebetulan pada petangnya sekitar jam 6.00pm saya mendapat panggilan telefon dari pelajar asrama perempuan di mana saya adalah felo-nya.

Dalam nada ketakutan beliau memaklumkan biliknya yang terletak di paras bawah bangunan asrama telah dimasuki ular.

Saya yang masih di pejabat ketika itu bergegas ke asrama pelajar perempuan ini. Setibanya di sana saya dimaklumkan oleh seorang perwakilan pelajar yang Unit Keselamatan Universiti telah dihubungi.

Abang Guard ini tibanya setengah jam kemudian dengan membawa sebatang kayu panjang rasanya batang penyapu sawang. Awal-awal lagi dia sendiri memaklumkan kepada saya yang dia tidak pernah menangkap atau membunuh ular sebelum ini.

Bersama-sama saya (sebenarnya saya lebih ”menolong tengok”!), kami menyelongkar bilik pelajar perempuan itu. Kata pelajar perempuan itu, ular telah menyusup ke belakang almari.

Abang Guard ini akhirnya menjumpa ular ini yang tidak diketahui jenisnya.

Saya kemudiannya membuat laporan ke pejabat asrama. Antara lain laporan saya ialah seperti di bawah;-

Langkah pencegahan masa singkat (preventive action in short term)
1. Pelajar terutama mendiami bilik tingkat paras tahan hendaklah menutup ruang di anatara daun pintu dan lantai dengan kain atau tuala.
2. Pelajari dinasihatkan mempratikkan “good housekeeping” di mana tiada barang-barang yang diletakkan terus di atas lantai (biasakan berlapik) dan tidak menyepahkan bilik.
3. Pejabat asrama perlu membeli belerang (sulfur) untuk ditaburkan sekeliling asrama. Belerang ini hendaklah ditabur di atas rumput tepi longkang menghala ke bilik-bilik asrama.

Langkah pembetulan masa panjang (corrective action in long term)
1. Pejabat asrama perlu memasang “rubber pad” pada ruang di anatara daun pintu dan lantai.

Juga saranan kepada Unit Keselamatan Universiti
1. Mengadakan kursus-kursus untuk menangani binatang-binatang berbisa ini.
2. Menyediakan peralatan-peralatan yang sesuai untuk menangkap atau membunuh binatang-binatang berbisa ini.
3. Menyediakan kelengkapan perlindungan diri peribadi (PPE) untuk anggota-anggota yang ditugaskan menangani binatang-binatang berbisa ini.

lukmanw@uum.edu.my
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/




No comments: