Minda: Hindari tragedi menjelang Aidilfitri
Berita Harian, 4-Sept-08
Berita Harian, 4-Sept-08
Selepas menjalani ibadat puasa selama sebulan, umat Islam akan pulang ke kampung halaman bertemu ahli keluarga yang sudah lama berpisah untuk meraikan Aidilfitri.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, ada juga keluarga yang melalui saat kesedihan apabila menerima khabar buruk sanak saudara terbabit dengan kemalangan jalan raya.Malah, baru beberapa hari saja menyambut Ramadan, kita sudah disajikan beberapa laporan kemalangan di media yang cukup mencengkam jiwa.
Memang kita sentiasa berdoa supaya perjalanan pergi dan pulang selamat, tetapi malangnya saban tahun terutama setiap kali sambutan perayaan, pasti kita disajikan dengan berita kemalangan jalan raya yang sentiasa berulang.
Ada juga yang menerima berita malang itu sebagai takdir, tetapi pada masa sama adakah kemalangan akibat memandu terlalu laju dan cuai juga mahu dikatakan takdir?
Kerajaan, pihak berkuasa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerap berusaha menerusi kempen dan penguatkuasaan di jalan raya untuk memastikan tragedi kemalangan tidak menjadi pemusnah kemeriahan Aidilfitri.
Kita masih alpa dan tidak mengambil sebarang pengajaran terhadap kejadian yang berlaku.Masih ada pengguna jalan raya memandu dalam keadaan terburu-buru untuk tiba ke kampung secepat mungkin sehingga mengabaikan faktor keselamatan.
Berdasarkan Ops Sikap XIII sempena Aidilfitri bermula 7 hingga 21 Oktober 2007, sebanyak 15,911 kemalangan dicatatkan dengan kemalangan maut sebanyak 203 kes.
Dalam tempoh itu juga, jumlah kematian yang dicatatkan adalah sebanyak 225 kes. Menerusi Ops Sikap XIII, polis menggunakan empat pendekatan iaitu pemantauan bas secara penyamaran, bantuan daripada pegawai kerajaan kumpulan A bagi mengesan kesalahan lalu lintas, mewujudkan pegawai pemantau yang membuat rondaan menyeluruh terutama di kawasan yang sering berlaku kemalangan dan pengawasan melalui kamera litar tertutup (CCTV).
Jika dibandingkan dengan Ops Sikap XI sempena perayaan sama pada 17 hingga 31 Oktober 2006, terdapat penurunan dalam kes kemalangan maut iaitu 213 manakala jumlah kematian yang catatkan pada tahun itu ialah sebanyak 228.
Bagaimanapun, kemalangan keseluruhan meningkat 195 kes iaitu 15,911 kes berbanding 15,716 kes pada 2006.
Mengikut laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM), terbabas sendiri mencatatkan jumlah tertinggi punca kemalangan maut pada Ops Sikap XIII iaitu sebanyak 55 kes diikuti makan jalan (31), cuba, sedang memotong dan tukar laluan (26), tidak nampak atau tidak perasaan kenderaan lain (21), cuai melintas jalan (14), cuai keluar atau masuk simpang jalan susur (12), mengekori dengan rapat (11), lain-lain (10), tidak diketahui (lapan), pusingan U, patah balik atau menyeberang (tujuh), melawan aliran trafik (enam) serta masing-masing satu kes tidak mengikuti lampu isyarat merah dan leka/ berangan/ letih/mengantuk.
Pecahan kematian mengikut pengguna kenderaan dalam tempoh itu pula menunjukkan pengguna dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah paling ramai iaitu 121 mangsa korban diikuti pemandu dan penumpang kereta seramai 54.
Ia diikuti pejalan kaki seramai 23 orang, lain-lain (14), pemandu dan penumpang lori (enam), basikal (lima) dan masing-masing seorang bagi kategori pemandu dan penumpang van serta bas.
Penurunan dalam kes kemalangan maut bagi Ops Sikap XIII dan Ops Sikap XI mungkin satu kejayaan jika dilihat dari sudut statistik, namun bagi keluarga mangsa, kesedihan tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Ini cerita tahun lalu, bagaimana pula bagi Ops Sikap yang bakal dijalankan pada bulan ini sempena sambutan Aidilfitri 1429 Hijrah?
Berdasarkan kajian, kadar kemalangan jalan raya meningkat berikutan pertambahan jumlah kenderaan berdaftar di seluruh negara yang kini mencatat kira-kira 16.5 juta dan sikap pemandu adalah faktor penyumbang kepada berlakunya kemalangan berbanding faktor jalan raya, teknikal, cuaca dan keadaan kenderaan.
Penunggang dan pembonceng motosikal adalah golongan paling tinggi maut dalam kemalangan iaitu 17 kali ganda risiko berbanding kereta, malah pada Aidilfitri lalu golongan itu paling banyak dikenakan saman.
Kesalahan biasa yang kerap dilakukan pemandu adalah seperti menggunakan telefon bimbit tanpa alat bebas tangan, memotong garisan berkembar, melanggar lampu isyarat dan memandu secara melulu serta berbahaya.
Menjadikan jumlah kemalangan jalan raya ke angka sifar memang mustahil disebabkan beberapa faktor penyumbang selain pertambahan kenderaan saban tahun namun langkah sebaiknya perlu dilakukan pengguna jalan raya.
Agensi membabitkan keselamatan jalan raya seperti polis trafik, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) akan memainkan peranan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.
Pengguna juga perlu bertindak bijak dan mengawal emosi ketika berada di atas jalan raya. Di masa lain, kita mungkin seorang yang berbudi bahasa dan bersopan santun namun sikap itu hilang ketika berada di jalan raya.
Kita secara tiba-tiba mementingkan diri serta cepat marah sehingga menyukarkan kita untuk berdisiplin dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Bagi pengguna yang mahu melakukan perjalanan jauh pulang ke kampung atau bercuti, terdapat beberapa panduan seperti mengamalkan pemanduan berhemah kerana ia adalah langkah terbaik mengurang kemalangan.
Fahami undang-undang lalu lintas, memandu dalam keadaan mental dan fizikal yang baik, pastikan kenderaan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan, elak daripada mengekori kenderaan di hadapan terlalu rapat serta pastikan mendapat rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Di laman web JKJR, turut disenaraikan lapan petua keselamatan jalan raya iaitu merancang perjalanan, sentiasa ikut had laju ditetapkan, berikan isyarat dan patuhi semua peraturan keselamatan sewaktu menukar lorong.
Sentiasa patuhi peraturan jalan raya di simpang dengan berhenti apabila lampu isyarat merah atau kuning dan beri keutamaan kepada pejalan kaki. Elakkan daripada mengekori kenderaan lain pada sepanjang masa kerana ini sering menjadi punca kemalangan yang serius.
Patuhi garis panduan keselamatan ketika memotong, jangan lakukannya jika teragak-agak. Jangan memotong barisan atau menyalahgunakan lorong kecemasan serta tidak mencelah antara kenderaan.
Sebenarnya, faktor utama menyumbang kepada kemalangan di jalan raya adalah sikap pemandu kenderaan itu sendiri.
Selagi sikap berhemah dan mematuhi undang-undang jalan raya diabaikan, selagi itulah nahas jalan raya sentiasa dimuatkan dalam dada akhbar, terutama apabila menjelang musim perayaan.
Justeru, pada bulan Ramadan yang mulia ini sama-samalah kita berdoa semoga umat Islam dapat menjalani ibadat dengan sempurna dan meraikan Aidilfitri dengan kegembiraan bukan kesedihan.
No comments:
Post a Comment