Saturday, July 25, 2015

Manfaatkan teknologi keselamatan di litar lumba ke jalan raya






Manfaatkan teknologi keselamatan di litar lumba ke jalan raya

Ramai yang beranggapan teknologi perlumbaan di litar lumba biasanya dipindahkan ke jalan raya menjurus kepada injin dan cesis sahaja di samping lebih kepada peningkatan imej pembuat atau pengeluar kenderaan yang terbabit. Slogan “Menang hari Ahad,  Jual hari Isnin” (Win on Sunday, Sell on Monday!, Bob “Ford” Tasca) adalah senonim dengan pemindahah teknologi di litar lumba ke jalan raya.  Sebenarnya banyak teknologi keselamatan (safety features) sama ada di litar lumba atau dari kenderaan lumba yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan di atas jalan raya.

Topik kali ini akan membincangkan teknologi perlumbaan litar lumba yang boleh dipindahkan dan dimanfaatkan di jalan raya.

Litar lumba adalah tempat yang paling layak dan sesuai untuk berlumba. Pelbagai peralatan dan kemudahan keselamatan yang disediakan di litar lumba untuk membolehkan ianya layak untuk digunakan sebagai tempat berlumba.

Disamping itu terdapat badan pengawasan sukan bermotor umpamanya FIA (di peringkat antarabangsa dan AAM (di peringkat kebangsaan) yang akan membuat pemeriksaan di litar lumba sebelum permit perlumbaan dikeluarkan.
Kelebaran dan panjang sesuatu litar lumba perlu mengikut spesifikasi yang ditentukan. Ianya juga merujuk kepada jenis kenderaan yang akan digunakan untuk berlumba. Jumlah kenderaan lumba bagi sesuatu perlumbaan juga dihadkan mengikut spesifikasi.

Kemalangan dalam perlumbaan adalah lumrah sukan bermotor jenis kelajuan sebegini (speed event). Selain dari berlanggar sesama sendiri, kenderaan lumba juga berisiko terbabas keluar dari litar lumba.

Ada dua prinsip dalam pengawalan mengurangkan risiko kenderaan terbabas ini. Sama ada prinsip kekangan kesan (impact restraint) atau pengurangan kelajuan (speed trap).

Prinsip kekangan kesan diaplikasi pula terbahagi kepada dua tujuan. Tujuan utama untuk melindungi pelumba (dan kenderaan mereka) dengan penggunaan pengadang (barricade) yang diperbuat dari Beg Udara (airbag), Tayar Terpakai, Guni Pasir atau Guni Jerami Padi. Pelumba itu sendiri pula dilindungi dengan Sistem Perlindungan Terbalik (Roll Over Protection System) seperti Besi Kandang (Roll Cage) dan sebagainya.

Kekangan kesan kedua pula untuk melindungi pihak ketiga (selain dari pelumba seperti pegawai perlumbaan dan penonton) dengan penggunaan pengadang besi atau penghadang konkrik.

Manakala prinsip penggurangan kelajuan diaplikasi dengan penggunaan kawasan lapang kerikil kecil (bed gravel or speed trap). Biasanya kawasan lapang kerikil kecil ini disediakan di lokasi yang diramalkan kekerapan berlaku risiko kenderaan terbabas seperti di penghujung selekoh.

Untuk litar lumba khusus perlumbaan motosikal, kerikil kecil yang digunakan ialah berdiameter 3/8 inci dan tiada sisi tajam (no sharp edges). Kerikil sebegini hanya boleh didapati di Negeri Perak. Bagaimanapun Indonesia merupakan negara pengeksport utama kerikil jenis ini.

Untuk litar lumba khusus perlumbaan kenderaan empat roda, kerikil yang lebih besar digunakan. Tetapi kebanyakan litar lumba termasuk di Litar Lumba F1 Sepang, kerikil berdiameter 3/8 inci digunakan untuk kedua-dua jenis kenderaan dua roda atau empat roda. Ini kerana kerikil berdiameter  3/8 inci didapati berupaya untuk mengurangkan kelajuan kenderaan yang melalui kawasan lapang pengurangan kelajuan ini.

Bagaimana teknologi keselamatan litar lumba ini boleh dipindahkan dan dimanfaatkan ke jalan raya untuk kenderaan biasa bukan kenderaan lumba?
Kebelakangan ini ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap pengadang jalan raya terhadap pengguna jalan raya apabila berlakunya kemalangan terutama yang diperbuat dari besi. Media massa melaporkan beberapa kenderaan (bas dan kereta) yang tertusuk besi pengadang ini menembusi badan kenderaan yang terbabit.

Kebimbangan ini lebih ketara apabila banyak berita di media social yang mengaitkan beberapa kemalangan ngeri penunggang dan pembonceng motosikal dengan pengadang besi ini.

Pengadang jalan raya di Malaysia direka lebih kepada prinsip kekangan kesan kedua iaitu untuk melindungi pengguna jalan raya yang lain seperti kenderaan lain atau pengguna jalan raya yang lain terutama di laluan bersebelahan.

Sepanjang pengetahuan penulis, terdapat tiga jenis pengadang jalan raya di Malaysia iaitu Pengadang Besi, Pengadang Dawai Keluli dan Pengadang Konkrik. Secara umumnya pihak berkuasa di Malaysia telah sedaya upaya memastikan agar pengadang-pengadang ini layak dan sesuai digunakan di jalan raya Malaysia.

Kesuaian lokasi ketiga-tiga pengadang ini juga berbeza. Pengadang besi umpamanya dipasang di kawasan bandar atau sisi bandar di mana kelajuan kenderaan biasanya tidak terlalu tinggi. Pengadang konkrik dipasang di kawasan lebuhraya yang berisiko tinggi kemalangan seperti laluan bercerun berhampiran Terowong Menora.

Lebuhraya Jakarta ke Bandung umpamanya lebih ketara pemilihan lokasi untuk jenis-jenis pengadang ini. Rujuk posting sebelum ini di sini.

Manakala lebuhraya di Thailand pula lebih mengunakan prinsip pengurangan kelajuan. Hampir tiada penggunaan pengadang besi atau konkrik. Di sisi lebuhraya dan di tengah antara dua laluan hanya terdapat kawasan berumput atau lekukan parit tanah untuk saluran air.

Sebenarnya prinsip yang sama digunakan di lebuhraya Malaysia di laluan Seremban ke Air Keroh penghujung 80an. Bagaimanapun keperluan penambahan lorong menyebabkan tiada lagi kawasan lapang berumput di antara dua laluan ini.

Terdapat juga kekangan pengadang berprinsip pengurangan kelajuan ini. Kawasan lebuhraya memerlukan sisi jalan simpanan (road reserve). Penggunaan kawasan pengurangan kelajuan sebelum Rumah Tol di Ipoh (sebelum ini) selepas Terowong Menora telah terbukti keberkesanannya untuk menghentikan kenderaan berat seperti lori yang bermasalah dengan system brek sewaktu menuruni bukit.

Kekangan seterusnya ialah lebuhraya akan menjadi lebih terbuka dan lebih terdedah kepada pelbagai kemasukan seperti haiwan ternakan dan haiwan liar.
Malah ramai pengguna lebuhraya akan menggunakan lokasi yang tidak mempunyai pengadang ini sebagai laluan kemasukan atau keluar dari lebuhraya tanpa membayar tol. Ini telah berlaku semasa Lebuhraya Slim River ke Tanjung Malim beroperasi di tahun 80 an dahulu. Kampung Balun di Slim River menjadi laluan pintas kenderaan (kereta dan motosikal) untuk mengelakkan dari membayar tol.

Berbeza di Thailand, hampir semua lebuhrayanya tidak mengenakan tol kecuali laluan ke Bandar Bangkok.

Apapun kesimpulannya, pengadang yang dipasang perlulah mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti tiada bucu tajam, bahan boleh serap impak dan tidak menghasilkan hazard dan risiko kepada pengguna jalan raya.

Dilaporkan Piawaian Eropah sudah mula memperkenalkan pengadang yang mesra pengguna jalan raya terutamanya penunggang dan pembonceng motosikal.

Di Malaysia, MIROS dan JKJR umpamanya telah banyak menjalankan kajian berkaitan keselamatan jalan raya ini termasuklah penggunaan pengadang yang lebih layak dan sesuai. Semoga hasil kajian ini akan bermanfaatkan semua pengguna jalan raya di Malaysia.

LUKMAN BIN WAN MAT DAUD

Penulis adalah pengajar topik keselamatan (OSH) di beberapa pusat pengajian tinggi di Malaysia dan penasihat keselamatan di beberapa organisasi kerajaan dan swasta. Di samping berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang keselamatan di industri sebagai pengurus dan jurutera keselamatan, penulis adalah pengiat sukan bermotor di Malaysia semenjak dari pertengahan 80an dalam semua aspek bidang perlumbaan, teknikal dan keselamatan. Hampir semua jalan darat di Asia telah dijelajah oleh beliau sama ada dengan kenderaan empat roda dan dua roda. Perjalanan darat paling jauh dilakukannya hingga ke sempadan Tibet. Beliau juga adalah penasihat keselamatan dan perekabentuk litar lumba jalanan dan litar lumba rali.

Lukman menghabiskan masa lapang hujung minggunya dengan bermotosikal atau berbasikal dengan isteri dan anaknya.


Tulisan beliau boleh dirujuk di oshthejourney.blogspot.com. Beliau boleh dihubungi di lukmanw@gmail.com


Thursday, July 23, 2015

Besi penghadang jalan ragut nyawa


Tunggu edisi khas dari sebuah akhbar arus perdana

Sunday, May 24, 2015

Amalan label





\
Amalan label

Bapa saya adalah guru OSH saya yang pertama. Beliau mendisiplinkan saya ala tentera. Kerap saya ceritakannya dalam blog orangkecilorangbesar saya. Jangan terkejut kalau tajuk posting saya itu ialah "ayah yang ku benci"! Amalan-amalan bapa ini memang saya benci semasa saya kecil tetapi ini amalan-amalan yang saya amat hargai dan saya gunakannya sebagai bahan pengajaran OSH saya ketika ini.

Salah satu amalannya ialah "melabel".

Bapa melabelkan semua barangan di dalam rumah. Sesiapa yang pernah menjengah rumah dan pejabat saya tentu nampak kebiasaan saya melabel ini. Hinggakan saya digelar "structured" di UUM.

Dulu saya menggunakan marker (sudah tentu mengikut pilihan bapa Artline 70) terus kepada barangan. Kemudian saya guna masking tape atau sticker yang bercetak khas menggunakan Laser Jet.

Sekarang saya menggunapakai price tag label roti.

Terima kasih bapa

Tuesday, May 19, 2015

Tatacara Panduan Majlis – susunan meja peserta kursus











Tatacara Panduan Majlis – susunan meja peserta kursus

Hari ini dan esok saya berada di Leader Cable Industry Berhad, Sungai Petani. Bilik Latihannya dari luar tampak ringkas sahaja tetapi kelengkapan di dalamnya melebihi jangkaan saya.

Di dalam Bilik Latihan ini mempunyai bilik tandas berasingan lelaki dan perempuan. Di bahagian belakang bilik ini terdapat meja mesyuarat yang dijadikan tempat makan.

Susunan bentuk-U ini adalah kesukaaan saya. Lebih menarik, meja pengajar disediakan panjang untuk kemudahan barangan milik pengajar. Terdapat satu ruang untuk membolehkan pengajar masuk di dalam susunan bentuk-U ini dan memudahkan saya bergerak menghampiri peserta kursus.

Ada LCD screen, ada white board dan ada flip chart yanng boleh dimanfaatkan penggunaannya.


Loose cable tersimpan rapi dalam “half moon” housing. Manakala kaki meja diikat menggunakan masking tape.

Tuesday, May 12, 2015

Tatacara Panduan Majlis































Tatacara Panduan Majlis

1. Banner dan penunjuk arah mesti lengkap. Security perlu dimaklumkan acara, lokasi dan masa. Seeloknya ada penyambut tamu.
2. Susunatur lokasi mesti diperiksa sebelum pendaftaran bermula terutama PA, LCD dan sebaganya. Meja mesti lengkap dengan Air Minuman dan Gula-gula (jika perlu).
3. Pendaftaran mesti lengkap dengan edaran aturcara dan dokumen berkaitan serta goodies jika. Pastikan juga alatan menulis disertakan.
4. Seeloknya ada ruangan pameran berkaitan acara dan berkaitan penganjur.
5. Juruacara majlis bersedia dengan protokol nama, gelaran dan jawatan.
6. Juruacara majlis memastikan semua jemputan mengambil tempat.
7. Majlis dimulakan dengan taklimat keselamatan. Seeloknya dari tuan rumah / premis dan bukannya pihak penganjur kecuali majlis diadakan di premis penganjur.
8. Taklimat keselamatan mesti dimulakan dengan pengenalan layout premis, tindakan semasa kecemasan, makluman pegawai bertugas semasa kecemasan dan nombor untuk dihubungi. Mesti dimaklumkan juga prosedur security terutama berkaitan barangan peribadi berharga yang dibawa oleh peserta.
9. Majlis diikuti dengan bacaan doa selamat.
10. Majlis disusuli dengan ucapan perasmian dan penyampaian cenderahati.
11. Juruacara majlis mempersilakan jemputan mengambil tempat.
12. Juruacara majlis memperkenalkan dan menjemput Speaker pertama.
13. Juruacara majlis memperkenalkan dan menjemput Speaker seterusnya.
14. Juruacara majlis menjaga / mengingatkan masa kepada Speaker.
15. Juruacara majlis memaklumkan masa rehat / makan dan menjemput peserta.

Ada sesiapa yang ingin berkongsi tatacara panduan majlis bersambung semula selepas rehat sehingga majlis penamat? Dipersilakan.