Mengapa perlu pulang atau berperjalanan semasa cuti raya?
Dalam kursus “accident prevention”, pelajar-pelajar dan
peserta-peserta kursus yang saya kendalikan ada yang tidak bersetuju dengan
saya apabila saya menyarankan (selepas merujuk root cause accident analysis)
agar tidak pulang atau elakkan bercuti raya di kampung.
Statistik (trend) menunjukan kadar kemalangan jalan raya
berlaku sehari sebelum dan sehari selepas cuti hari perayaan. Analisa Ops Sikap
dan Ops Selamat setiap tahun menunjukkan kadar tertinggi kemalangan jalan raya
berlaku pada Hari Raya Aidilfitri diikuti Hari Raya China. Kadar kemalangan ini
tidak ketara sangat semasa Hari Raya Deepavali, Krismas dan Hari Raya Haji.
Mengapa perlu pulang atau berperjalanan semasa cuti raya?
Alasan utama untuk berjumpa kedua-dua ibubapa di kampung.
Tidak bolehkah kita berjumpa di hari lain selain dari Hari Raya? Dengan
kemudahan pasarana lebuhraya yang ada sekarang ini sebenarnya kita boleh pulang
menjenguk kedua-dua ibubapa kita di kampung setiap minggu tanpa perlu menunggu
hari raya.
Semasa saya kecil, bapa saya seolah-olah tidak bersungguh
untuk pulang berhari raya di kampung. Semasa itu saya menyangka mungkin kami
tiada memiliki kenderaan untuk pulang ke kampung. Bukan sahaja kereta malah
motosikalpun bapa tidak mampu memilikinya. Berbeza pula semasa cuti sekolah di
bulan Disember, kami mesti pulang ke kampung dengan menaiki keretapi menggunakan
waran kerana bapa seorang askar.
Kini baru saya sedar bapa tidak mahu mengambil risiko
bersusah-payah (membahayakan kami sekeluarga?) dengan pulang ke kampung berhari
raya.
Saya pernah terbaca (lupa sumbernya), antara tiga tempat
yang mesti dan kerap dilawat ialah (i) hospital, (ii) kubur, dan (iii) penjara.
Banyak manfaatnya jika kita pernah mengunjungi ketiga-tiga tempat ini
termasuklah penjara!. Mengapa penjara? Ini saya akan terangkan dalam catatan
yang lain.
Saya ingin tambah satu lagi iaitu keraplah melawat
ibubapa dan mertua tanpa menunggu cuti hari raya. Jika kedua-dua ibubapa dan
mertua sudah meninggal dunia, ambil peluang sekali-sekala melawat Rumah atau
Pusat Jagaan Orang Tua.
Kami Komuniti Amal Taiping (KaT) bermatlamatkan
menceriakan hati nurani penghuni-penghuni Pusat Jagaan Warga Emas ini dan
memberi motivasi amal kepada anak-anak yatim dan anak tahfiz, akan mengadakan
lagi Program Ziarah Amal, Jamu Selera & Ramah Mesra Ke Pusat Jagaan Warga
Emas Al-ikhlas Rozy (P) dan Pusat Jagaan Warga Emas Aminur Ain (L) di Ekspo
pada bulan Februari 2017 ini. Tarikh sebenar akan diumumkan kemudian.
Setiap tahun KaT mengadakan
Program Ziarah Amal, Jamu Selera Sambil Beramah-mesra dengan penghuni Pusat
Jagaan Warga Emas
Al-ikhlas Rozy (P) Ekspo dan penghuni Pusat Jagaan Warga Emas Aminur Ain (L)
Ekspo. Setakat ini KaT telah mengadakannya bersama penghuni Rumah Anak Yatim Nur
Iman Kpg Pinang, penghuni Rumah Anak Yatim Kediaman Cahaya Ain Bagan Serai,
penghuni Rumah Anak Yatim Maahad Tahfiz Amal Nur Qaseh Batu 4, pelajar Lake
View College Bukit Merah dan beberapa badan amal/pelajar sekolah lain.
Untuk maklumat lanjut, boleh klik di sini.
No comments:
Post a Comment