Saturday, November 17, 2012

Mula dengan langkah pendek – panjangkan dengan label


Mula dengan langkah pendek – panjangkan dengan label

Perhatikan perbezaan pada 2 tong sampah di atas. Satu milik saya sekeluarga dan satu lagi milik jiran.

Bukan untuk dibanggakan, saya amat berpuas dengan projek penyediaan jaring tong sampah ini dan cuti panjang Deepavali/Maal Hijrah minggu ini pula dimanfaatkan dengan penambahbaikan dengan perlabelan pada badan tong sampah dan juga penutup tong sampah.

Sama ada pemunggut sampah atau orang lain, mereka tahu tong sampah tersebut adalah kepunyaan penghuni rumah bernombor 249.

Langkah kecil bermula dari sini.

lukmanw@gmail.com

Wednesday, November 14, 2012

DIY – jangan ambil mudah!


DIY – jangan ambil mudah!

Di rumah saya ada loteng yang digunakan untuk menyimpan beberapa barangan yang jarang digunakan dan pada masa yang sama digunakan juga sebagai rak majalah terutama majalah kaum hawa milik orang rumah saya seorang itu dan juga komik milik anak lelaki saya seorang itu.

Dalam loteng ini saya membina sendiri sistem rak (DIY) bersama-sama anak lelaki saya pada pertengahan tahun 2000. Semasa memasang L-Channel ini saya tercedera di bahagian kepala dan tangan akibat hujung tajam pada L-Channel ini.

Sempena minggu cuti Deepavali dan Awal Muharam ini saya dan anak lelaki saya menambahbaik semula sistem rak ini dengan memasang “rubber footing” pada semua bahagian hujung tajam pada L-Channel ini.

Semua orang (yang berminat!) boleh melakukan DIY (Do It Yourself) ini tetapi jangan ambil mudah terutama berkaitan dengan OSH!

lukmanw@gmail.com








OSH in Kindergarten – satu cabaran!



OSH in Kindergarten – satu cabaran!

Sekali dalam setahun saya akan dijemput oleh Penganjur Kem Kanak-kanak Tabika Perpaduan Larut Matang, Selama dan Kerian untuk mengendalikan satu slot OSH untuk kem tahunan ini. Minggu lepas seperti tahun-tahun sebelum ini, saya hadir ke Kompleks Aktiviti Perpaduan di Kamunting ini untuk “melatih” kanak-kanak ini berusia 4 hingga 6 tahun ini mengenali asas OSH.

Bukan untuk dibanggakan, saya pernah dan biasa mengendalikan kursus-kursus OSH untuk semua peringkat umur dewasa dengan pelbagai bangsa dan jawatan professional. Mungkin sudah agak lama dalam bidang OSH ini, tidak menjadi masalah kepada saya untuk mengendalikan kursus-kursus OSH ini.

Tetapi berhadapan dengan kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun ini benar-benar mencabar saya! Masih saya ingat lebih 10 tahun dahulu apabila saya hampir-hampir putus-asa untuk cuba menyampaikan ilmu OSH ini kepada anak-anak kecil ini. Malah saya masih teringat Ustaz yang ditugaskan mengajar Asas Fardhu Ain ditarik-tarik janggutnya oleh anak-anak kecil ini. Lebih mencabar lagi apabila salah seorang anak kecil ini terkencing semasa berjamaah Solat Magrib!

Saya teruja menyaksikan bagaimana John Kimble (lakonanArnold Schwarzenegger) seorang dektetif polis yang menyamar sebagai guru tabika dalam filem Kindergarten Cop (1990). Walaupun sekadar filem tetapi banyak yang boleh diteladani ketika menangani telatah anak kecil ini.

Gambar-gambar di atas menunjukkan bagaimana Perdana Menteri kita dan isterinya serta John Kimble melayan kanak-kanak kecil ini. Kanak-kanak ini perlu didekati sehampir mungkin. Paling sesuai ialah duduk (menggunakan bangku kanak-kanak!) atau bersila bersama-sama mereka. Elakkan berdiri kecuali untuk mencatat sesuatu di papan tulis. Malah elakkan menulis, banyakkan melukis!

Topik OSH saya ringkas dan asas sahaja. Asas keselamatan alat elektrik dan bahaya kebakaran di rumah (contoh cerek elektrik, elakkan menyentuh suis dengan tangan basah, jangan bermain mancis dan sebagainya), diikuti keselamatan jalan raya dan seterusnya kemalangan-kemalangan yang mungkin dan biasa terjadi seperti terdedah kepada benda tajam dan terjatuhakibat tergelincir. Saya bercerita sambil melukis untuk mengambarkan semula apa yang diceritakan.

Bantuan alatan mengajar seperti komputer dan LCD serta klip-klip video yang pendek amat membantu.

Paling penting bersedia untuk menukar gaya mengajar jika kanak-kanak ini mula tidak mempendulikan anda!

lukmanw@gmail.com

Wednesday, November 7, 2012

PLUS prihatin tetapi pengguna lebuhraya tidak!





PLUS prihatin tetapi pengguna lebuhraya tidak!

Bermula dari bulan September lepas, sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan saya berulang-alik dari Taiping ke Litar F1 Sepang. Setiap kali itu juga termasuklah hari ini saya singgah di R&R Dengkil untuk ke bilik air dan seterusnya membasahkan tekak.

Saya ingin mengucapkan syabas terhadap keprihatinan PLUS apabila setiap kali menaiktarafkan R&R di sepanjang lebuhraya seperti di R&R Dengkil ini, kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU) turut ditambahbaikan. Contohnya pejalan kaki dan kemudahan bilik air di R&R Dengkin ini (sama ada di hentian Sebelah Selatan atau Utara) telah ditambahbaikan untuk kemudahan dan keselesaan OKU.

Walaupun begitu saya masih tertunggu-tunggu bila lagi kemudahan OKU yang sama akan ditambahbaikan di hentian Rumah Tol Hutan Kampung dan juga Hentian sebelah Selatan Alor Pongsu yang sama-sekali tidak mesra OKU!

Tetapi menjadi kesalan kepada saya juga apabila melihatkan pengguna-pengguna lebuhraya seperti pemandu teksi dan pemilik Toyota Altis ini yang tidak langsung bertanggungjawab! Saya tidak pasti sama ada OKU dalam Toyota Altis tersebut tetapi saya pasti pemandu teksi ini bukan OKU!