Saturday, February 18, 2012

Parking/memberhentikan kenderaan berhampiran persimpangan


Parking/memberhentikan kenderaan berhampiran persimpangan

Semasa bekerja di industri perkilangan dahulu, saya amat pantang melihatkan adanya kenderaan terutama lori yang meletak atau memberhentikan kenderaan mereka berhampiran persimpangan jalan di laluan utama masuk ke kawasan kilang.

Tindakan oleh pemandu yang tidak bertanggungjawab ini boleh membahayakan pemandu kenderaan lain yang menggunakan persimpangan yang sama. Sudah pasti pemandu kenderaan lain tidak nampak atau sukar melihat kenderaan lain kerana dilindungi oleh kenderaan yang diletak di persimpangan ini.

Acap kali nasihat dan kadang-kadang sehingga amaran saya berikan kepada pemandu-pemandu yang meletak atau memberhentikan kenderaan mereka berhampiran persimpangan jalan ini. Ini juga adalah sebahagian tugas dan tanggungjawab saya ketika itu. Saya juga sering mengingatkan pihak sekuriti terutama di Pondok Kawalan Utama mengambil tindakan yang sama.

Sebenarnya masih ramai pengguna kenderaan yang mengambil mudah hal sebegini dalam rutin harian mereka. Kesemuanya memberi alas an untuk mengelakkan terpaksa berjalan jauh ke destinasi yang hendak dituju.

Berbeza dengan seorang pengusaha Gerai Char Ketiaw berhampiran rumah saya di Kamunting ini. Majlis Perbandaran Taiping baru sahaja menyiapkan satu lagi lokasi gerai-gerai penjaja makanan di laluan masuk ke Kampung Ekspo ini.

Sebelum ini memang saya sentiasa merunggut di dalam kereta saya apabila sampai di persimpangan jalan bersebelahan Gerai Char Ketiaw Amat ini. Manakan tidak, kenderaan milik pelanggan gerai ini yang diletak berhampiran persimpangan ini menghalang pengelihatan saya untuk melihat kenderaan lain.

Mulai minggu lepas, saya melihat pekerja-pekerja Amat akan menyusun beberapa kerusi plastik lama di hadapan dan di tepi gerai ini sebelum memulakan perniagaan mereka. Dengan adanya kerusi plastik lama ini, pelanggan Amat tidak boleh lagi meletakkan kenderaan mereka di hadapan dan di tepi gerai beliau. Tindakan Amat mungkin tidak disenangi pleh pelanggan-pelanggannya tetapi tindakan sebegini pastiya mengembirakan atau akan menyelamatkan pengguna-pengguna kenderaan lain yang melalui persimpangan jalan berhampiran gerai beliau.

Syabas Amat! Semoga tindakan Amat ini akan dicontohi pengusaha-pengusaha gerai di tepi jalan yang lain. Lagi elok sekiranya pihak berkuasa tenpatan dan berkenaan juga memainkan peranan dalam mereka-bentuk susunan gerai-gerai di tepi jalan ini bagi memastikan keselamatan semua.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/


No comments: