Wednesday, December 8, 2010

Seminar Safety Commuting 29 Nov 2010 di UUM




UUM ONLINE: Golongan pekerja berumur 30 tahun ke bawah merupakan kategori umur yang paling ramai terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan.

Manakala kaum lelaki adalah 80 peratus penyumbang kepada analisa yang telah dijalankan oleh PERKESO antara tahun 2008 ke 2009.

“Pada tahun 2009, statistik PERKESO menunjukkan kemalangan di dalam perjalanan dari atau ke tempat kerja telah meningkat sebanyak sembilan peratus iaitu dari 19,041 kes di tahun 2008 kepada 20,810 kes di tahun 2009,” kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Sumber Manusia Dato’ Shariff Hussin ketika berucap merasmikan Seminar Kempen Keselamatan Pengguna Kenderaan Ulang-alik yang dianjurkan oleh UUM College of Arts and Sciences (UUM CAS) di Hotel EDC-UUM pagi tadi.

Beliau berkata, statistik PERKESO 2009 menunjukkan kemalangan semasa dalam perjalanan pergi balik dari atau tempat kerja adalah serius kerana ianya telah menyumbang lebih 37 peratus dari keseluruhan jumlah kemalangan yang dilaporkan kepada PERKESO.

Sehubungan dengan itu beliau memuji langkah UUM CAS dengan PERKESO yang mempertingkatkan usaha pencegahan kemalangan dalam perjalanan ini dengan menganjurkan aktiviti kesedaran Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan terutama bagi mereka yang bermotosikal ketempat kerja.

“Usaha sebegini pastinya tidak menampakkan kejayaan sekiranya semua pihak samada agensi atau institusi enggan bekerjasama bagi mengurangkan peratus kemalangan walaupun tidak dapat mengurangkan sepenuhnya peratus kemalangan,”ujarnya lagi kepada lebih 200 peserta yang mengikuti seminar sehari ini.

Terdahulu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dato’ Dr Ahmad Faiz Hamid ketika menyampaikan ucapan aluannya berkata, seminar sehari yang dianjurkan oleh UUM CAS ini mendapat kerjasama PERKESO dan beberapa agensi seperti Jabatan Trafik Polis Diraja Malaysia Kedah, Jabatan Ortopodik Hosiptal Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Jabatan Keselamatan Jalanraya, Institut Keselamatan dan Kesihatan Nasional atau NIOSH cawangan utara, Modenas dan syarikat-syarikat pembekal alat keselamatan perlindungan peribadi.

Katanya pembangunan sesebuah negara ditentukan dengan pelbagai faktor dan perkembangan industri produk maupun perkhidmatan pula berkait rapat dengan sumber manusia oleh itu modal insan dilihat menjadi peneraju utama dalam perancangan dan pengendaliannya.

Seterusnya beliau berharap langkah UUM CAS, PERKESO dan agensi yang mengambil bahagian dalam seminar seperti ini akan terus diadakan bagi mengurangkan kemalangan terutama golongan muda yang menjadi aset kepada negara.

Habis.

DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3013/3661/3066/4078
FAKS: 04-928 3016
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my

No comments: