Wednesday, May 6, 2009

Prinsip asas pengungsian bangunan atau kawasan

Prinsip asas pengungsian bangunan atau kawasan

Saya baru pulang dari Air Keroh, Melaka. Saya ke sana untuk mendapat gambaran sebenar Trek Lumba Melaka International Motorsport Circuit sebelum mereka-bentuknya semula dengan tambahan peralatan keselamatan untuk kelulusan AAM bagi acara Petronas Cub Prix Pusingan Keempat Jun ini.

Kalau mengikut “blue-print”, secara amnya fasiliti di sini lengkap dengan kemudahan bilik perubatan, surau di samping peralatan dan kemudahan asas untuk penganjuran sukan bermotor.

Di laluan lumba sendiri lengkap dengan “run-off” di setiap penghujung “racing line” pada selekoh, “crash fence’ di sisi tempat duduk utama dan “paddock/pit”. “Crash fence” yang terdiri dari tayar-tayar kenderaan berbalut kemas ini juga terdapat di beberapa sisi laluan terutama pada laluan yang bersebelahan.

Saya juga tertanya mengapa tidak dibina tembok konkrit di sepanjang laluan lurus garisan permulaan hingga melepasi kawasan paddock/pit seperti trek lumba di Sepang dan juga di Pasir Gudang. Tembok konkrit ini penting terutamanya untuk melindungi pegawai perlumbaan dan krew pasukan lumba yang biasanya akan berada di kawasan ini semasa perlumbaan dijalankan.

Mungkin belum siap sepenuhnya ialah ‘service route” di tepi laluan perlumbaan. Mungkin terlalu awal untuk diperkatakan juga, “service route” ini kelihatan tidak berhubung dengan baik antara satu sama lain.

Bagaimanapun kemudahan asas untuk pengungsian (evacuation) “kelihatannya” tidak begitu dititik-berat di sini. Kalau mengikut “blue-print”, kemudahan letak kereta adalah di luar kawasan litar tetapi kehadiran orang-ramai untuk sesuatu acara tidak boleh dipandang ringan.

Asas pengungsian bangunan atau kawasan ialah laluan keluar mestilah lebih atau ruangnya besar dari laluan masuk. Ciri-ciri laluan keluar masuk yang selamat ialah laluan masuk bersetentang dengan laluan keluar. Seelok-eloknya laluan keluar bukanlah semata-mata di laluan masuk yang sama.

Saya selalu tegaskan dalam kelas kendalian saya bahawa panggung wayang lama di Malaysia sebelum kehadiran Cinemaplex dan sebagainya adalah contoh terbaik bagaimana prinsip asas pengungsian bangunan ini. Biasanya beberapa minit sebelum tayangan filem berakhir, penjaga pintunya akan membuka penghalang atau menarik tirai di setiap pintu-pintu yang terletak di sisi kiri-kanan, hadapan kiri-kanan dan di belakang panggung wayang. Berbeza dengan panggung wayang sekarang yang hanya membenarkan dua laluan sahaja di hadapan kiri-kanan untuk penonton keluar.
Kalau kita amati sistem pembakaran dalam injin kenderaan juga bagi setiap silinder yang mempunyai injap berbilang dengan jumlah ganjil akan menetapkan bilangan injap keluar (outlet) lebih daripada bilangan injap masuk (inlet). Sebagai contoh silinder yang mempunyai lima injap sesilinder akan terdiri dari tiga injap keluar dan dua injap masuk.


Pembinaan rumah teres umpamanya masih mengekalkan prinsip laluan masuk (pintu utama) mestilah bersetentangan dengan laluan keluar (pintu belakang). Bagaimanapun pengubahsuaian rumah kemudiannya tidak menitikberatkan prinsip asas pengungsian bangunan ini.

Berbalik kepada Trek Lumba MIMC ini hanya terdapat dua laluan di mana satu laluan utama (keluar dan masuk) dan satu lagi untuk laluan keluar sahaja iaitu pada sebelahan menghadap jalan raya yang sama.

Walaupun mungkin tiada kenderaan penghujung dibenarkan masuk ke dalam kawasan litar, kehadiran orang ramai yang tidak biasa dengan persekitaran trek ini boleh menyebabkan mereka kehilangan punca untuk keluar menyelamatkan diri jika berlakunya sesuatu bencana.

Lebih membimbangkan saya, trek ini bersetentangan dengan bukit yang mana tiada langsung laluan keluar di sisi yang bersebelahan bukit ini.

Pemilik trek ini (kerajaan Negeri Melaka?) perlulah mengambil kira prinsip-prinsip asas pengungsian bangunan atau kawasan sebegini terutama jika penghujungnya boleh mencapai angka ribuan pada satu-satu ketika.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/



Sebahagian dari gambar-gambar trek diambil dari sini.

No comments: