Saturday, March 24, 2012

Perlu adanya CEP kepada Pemilik Lesen Memandu (Menunggang) Kenderaan



Perlu adanya CEP kepada Pemilik Lesen Memandu (Menunggang) Kenderaan

Membaca berita kemalangan maut akibat dilanggar rempuh lori semasa mengecat garisan putih di lebuhraya begitu memilukan saya. Mengikut laporan akhbar, lori tersebut secara tiba-tiba memasuki lorong kon dan melanggar mangsa.

Satu soalan untuk pemandu lori tersebut dan juga kepada semua. Adakah pemandu lori tersebut memasuki lorong kon tanpa menyedari kawasan pembinaan masih belum tamat? Adakah pemandu lori tersebut faham maksud papan tanda di atas (gambar di atas) iaitu bulatan dengan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8? Adakah kita semua faham maksud papan tanda mirip Tidak Boleh Letak Kenderaan di sini yang cuma berbeza garis silang itu di sebelah lain?

Saya kerap mengacukan soalan mengenai maksud papan tanda di atas (gambar di atas) iaitu bulatan dengan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8, kepada mereka yang telah memiliki lesen memandu dan ada sesetengahnya telah memandu melebihi puluhan tahun. Jawapannya seperti diduga ramai yang tidak mengetahuinya!

Biasanya (kalau di lebuhraya) amalan keselamatan pembinaan akan dilakukan oleh Traffic Management Officer (TMO). Boleh rujuk gambar di bawah di mana pengurusan trafik adalah seperti berikut.

Gambar 1 & 2. Papan tanda awas.
Gambar 3. Makluman mengenai adanya kawasan pembinaan di hadapan.
Gambar 4. Had laju 80 kmj
Gambar 5. Had laju 60 kmj
Gambar 6. Makluman mengenai lencongan di hadapan.
Gambar 7. Makluman lencongan bermula.
Gambar 8. Makluman Zon Had Laju Tamat – boleh kembali ke had laju asal.
Gambar 9. Makluman kawasan pembinaan telah tamat.
Gambar 10. Laluan selamat dan tiada lagi halangan pembinaan.

Papan tanda dengan bulatan dan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8 ini bermaksud Zon Had laju sebelumnya (had laju semasa kawasan pembinaan) telah tamat. Maksud lain juga kawasan pembinaan telahpun tamat dan dengan ini adalah selamat kepada semua pemandu yang melalui kawasan pembinaan ini untuk kembali ke laluan asal ataupun untuk kembali ke had laju asal.

Saya adalah salah seorang seorang pengguna tegar lebuhraya PLUS. Boleh dikatakan setiap hari saya berada di atas lebuh raya. Tidak hairanlah jumlah batuan yang dicatat oleh kenderaan saya ialah sekitar 5 hingga 6 ribu kilometer sebulan dengan bayaran tol pula sekitar RM 400.00 sebulan! Papan-papan tanda dan simbol-simbol inilah sebenarnya yang banyak membantu saya dan juga pasti pengguna lebuhraya lain terutama pemanduan di waktu malam. Dalam sebulan dua ini penambahbaikan laluan di lebuhraya kawasan sekitar Bertam dan Batu Kawan masih belum siap sepenuhnya. Setiap malam ketika melaluinya ada sahaja kon yang hilang atau pecah dilanggar kenderaan yang tidak pasti di manakah kawasan yang telah tamat pembinaannya. Ini lebih merumitkan jika laluan yang diturap belum lagi ada harisan putih!

Walaupun saya difahamkan pihak PLUS mewajibkan amalan pengurusan trafik ini di setiap kawasan pembinaan di lebuhraya, ada juga yang masih terlepas pandang. Saya tidak pasti sama ada di kawasan pekerja mengecat garusan putih yang maut tersebut turut mengamalkan amalan pengurusan trafik ini.

Begitu juga pemahaman pengguna lebuhraya dan jalanraya – adakah mereka memahami isyarat dan papan tanda sebegini? Sudah kerap kali mereka yang perihatin dalam keselamatan jalan raya ini mempersoalkan kewajaran lesen memandu sedia ada yang hanya sekali sahaja dalam seumur hidup untuk kita memohon, menduduki ujian dan lulus tanpa perlunya sebarang kursus ulangan dan sebagainya. Timbul persoalan, adakah wajar pemilik-pemilik lesen memandu ini dikehendaki untuk menghadiri kursus-kursus tertentu berkaitan keselamatan jalan raya dalam tempoh-tempoh tertentu? Sebagai contoh kalau tidak sekerap setahun sekali mungkin dalam 5 tahun sekali?

Kalau SHO malah pegawai perubatan (MO) perlu adanya CEP setahun sekali untuk membaharui lesen kompetensi mereka, apakah CEP sebegini juga wajar diperkenalkan untuk pemilik-pemilik lesen memandu atau menunggang?

Sekadar berkongsi pengalaman, saya mengenali papan tanda dengan bulatan dan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8, lebih awal di arena permotoran (motorsports) yang saya sertai pertengahan 80an. Malah ketika itu saya masih belum lagi memiliki lesen memandu atau menunggang. Pengelibatan saya merentasi benua Asia melalui jalan darat dan dipertanggungjawabkan sebagai Race Official ataupun marshal ini membuatkan saya menghafal kesemua simbol ini – rujuk sebahagian simbol di bawah.

Dalam rali, simbol bulatan dengan tiga garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8 ini bermaksud sama iaitu Zon Had Laju telah tamat. Biasanya zon had laju ini (15 kmj) ditetapkan semasa pemandu (pelumba) memasuki Check Point Zone di mana pemandu perlu memperlahakan dan memberhentikan kenderaan mereka untuk membolehkan Check Point Card mereka diperiksa oleh pertugas.

Kepada pelumba yang engkar tidak mematuhi Zon Had Laju ini, mereka boleh didenda dengan tambahan masa. Di dalam rali, denda sebanyak tambahan 1 saat sahaja boleh menyebabkan kedudukan pendahulu tergugat. Malah kalau berulang-kali kesalahan yang sama, pemandu boleh dihukum lebih berat dan adakala boleh digugurkan penyertaan mereka (disqualified). Penerangan mengenai tanda-tanda dan simbol-simbol ini akan dijelaskan semasa taklimat wajib sebelum perlumbaan kepada semua peserta walaupun mereka yang telah lama menceburi bidang perlumbaan sebegini.

Langkah yang sama perlu diambil oleh pihak berkuasa lebuhraya dan jalan raya. Pengguna lebuhraya dan jalan raya perlu di-sekolah-kan semula dan selepas itu jika berlaku lagi kesalahan berkaitan perlanggaran papan tanda dan simbol lalulintas ini, tindakan bersesuaian mesti diambil.

Take home message kali ini ialah satu soalan untuk semua – apakah maksud “Ghost Island” ataupun garisan bersilang putih yang biasanya terdapat berhampiran persimpangan jalan raya?

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/






Maut dirempuh ketika cat jalan
Harian Metro 21 Mac 2012

SENAWANG: “Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa,” kata Mohd Amin Ali, 51, saksi kejadian kemalangan membabitkan seorang lelaki yang terbunuh akibat dirempuh sebuah lori ketika mengecat garisan putih jalan di Kilometer 248, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Muhammad Azlizan Adam, 23, maut dalam keadaan menyayat hati apabila tangan dan kaki kirinya putus dirempuh sebuah lori lima tan.

Menurut Mohd Amin, ketika kejadian dia sedang menurunkan barang daripada lorinya untuk kerja mengecat jalan sementara seorang lagi pekerja memegang bendera keselamatan.

“Kami sudah meletakkan kon keselamatan hampir dua kilometer supaya pemandu di lebuh raya menyedari terdapat kerja penyelenggaraan di hadapan.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu mana silapnya, tiba-tiba sebuah lori masuk ke laluan kon dan merempuh mangsa yang sedang tekun mengecat garisan putih itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Mohd Amin berkata, dia yang sudah menganggap mangsa seperti anak kandung sendiri, tidak menyangka arwah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

Saya tidak dapat melupakan saat melihat arwah terpelanting jauh dan maut serta-merta di tempat kejadian.

“Arwah rapat dan tinggal bersama keluarga saya di Bukit Katil, Melaka, saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 40-an hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh mangsa yang mengecat jalan. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memulakan kerja mengecat garisan putih dan datang sebuah lori dari arah Seremban menghala ke selatan hilang kawalan dan melanggar mangsa yang berada di tepi laluan hingga tercampak beberapa meter ke bahu jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. “Pemandu lori ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Monday, March 19, 2012

Foolproof or Make It Legally Safe


Foolproof or Make It Legally Safe

Ada pelbagai Kaedah Pengawalan Risiko. Sama ada 6 Hirarki, 3 Hirarki atau 4 Hirarki yang boleh dirujuk di beberapa posting saya sebelum ini. Bagaimanapun kaedah-kaedah ini sering diendahkan oleh manusia. Biasanya manusia mengambil jalan mudah atau jalan pintas untuk mengatasi kaedah-kaedah ini (short-cut).

Sekiranya Kaedah Pengawalan Risiko ini masih berterusan diendahkan, Kaedah Kalis Endah (Foolproof) atau Kaedah Aturkan Menjadi Selamat (Make it Legally Safe) perlu dilaksanakan.

Contoh Kaedah Foolproof yang biasa dibuat ialah binaan pagar sepanjang laluan di antara jalan raya di bawah jejantas perjalan kaki. Dengan adanya pagar ini, pengguna jalan raya tiada pilihan lain terpaksa menggunakan jejantas perjalan kaki jika hendak melintas jalan.

Contoh lain seperti gambar di atas. Ada sebuah sungai kecil berhampiran tempat kerja saya. Di antara laluan sungai ini terdapat binaan merintangi sungai yang saya agak bertujuan untuk memperlahankan arus air. Bagaimanapun sudah beberapa kali saya terserempak beberapa orang pelajar memberanikan diri menggunakan tapak binaan ini untuk menyeberangi sungai ini walaupun terdapat papan tanda melarangnya.

Saya difahamkan dengan menyeberang di tempat yang tidak bersesuaian ini memendekkan jarak perjalanan pelajar ini dari Dewan Kuliah ke Asrama Pelajar.

Papan tanda sahaja tidak mencukupi. Untuk mengelakkan binaan ini berterusan dijadikan tempat menyeberang, laluan di sini perlu dipagar (atau struktur cerucuk) seperti yang sering dibuat pada paip air yang merintangi sungai atau longkang. Rujuk Gambar A.

Tetapi sekiranya laluan tersebut sesuai untuk digunakan kerana memendekkan jarak perjalanan, lebih sesuai sekiranya dibina sebuah jambatan kecil di atas binaan ini. Jadikan supaya selamat untuk menyeberangi sungai ini. Rujuk Gambar B.

Saya akan majukan cadangan ini esok kepada pihak berkenaan.

Di samping itu saya tertarik tindakan yang diambil oleh pihak berkenaan di Hotel EDC UUM ini. Sebelum ini pemandu-pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di tempat letak kereta berhadapan Hotel EDC UUM ini akan mengambil jalan pintas mendaki tebing untuk ke lobi hotel.

Tebing berumput ini agak curam dan biasanya licin terutama di waktu pagi.

Akhirnya pihak berkenaan menjadikan laluan pintas ini sebagai laluan sah dengan membina struktur anak tangga. Rujuk gambar-gambar di bawah.

Kadang-kadang Kaedah Pengawalan Risiko sedia ada perlu ditambah dengan Kaedah Foolproof or Make It Legally Safe.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com


Friday, March 16, 2012

OSH di Sektor Perkhidmatan



OSH di Sektor Perkhidmatan

Walaupun sektor perkhidmatan tidak disenaraikan dalam OSH (SHO) Order 1997 yang memestikan ada jawatan SHO, banyak sektor awam terutama hotel di Malaysia telah mengajikan SHO.

Hazard dan risiko di sektor perkhidmatan juga setara dengan perkhidmatan lain. Selain dari hotel, sektor perkhidmatan ini meliputi restaurants, wholesale and retail, Public/Government sector, Finance dan Professional Services.

Mereka yang bekerja di sektor perkhidmatan ini boleh merujuk kepada DOSH Guidelines On Occupational Safety And Health In The Service Sector 2004.  Boleh muat-turun di sini.

http://oshthejourney.blogspot.com/



Thursday, March 15, 2012

Pastikan lampu kenderaan anda berfungsi


Gambar hiasan

Pastikan lampu kenderaan anda berfungsi

Saya tertarik dengan khdmat sosial atau kerja amal yang dilakukan oleh sebuah NGO di Pulau Pinang beberapa tahun lepas. NGO ini menawarkan khidmat percuma menukar lampu-lampu motosikal terutama lampu belakang yang tidak berfungsi (menyala). NGO ini menunggu di beberapa jalan utama seperti laluan motosikal sebelum memasuki Jambatan Pulau Pinang dan sebelum menaiki feri.

Kenderaan yang dipandu (atau ditunggang) di waktu malam (atau cuaca mmendung/gelap) terutama motosikal amat merbahaya jika lampu-lampu kenderaan ini tidak berfungsi. Kerap-kali kejadian motosikal dilanggar dari belakang kerana lampu belakang tidak berfungsi (menyala).

Ada pengguna kenderaan yang mengambil mudah atau bertangguh untuk menukar mentol lampu-lampu yang tidak berfungsi ini walaupun telah menyedarinya. Ada juga yang tidak menyedarinya terutama lampu belakang ataupun ketika hanya memandu di waktu siang.

Lewat petang Jumaat lepas, saya dan isteri bergegas dari Taiping ke Kedah Medical Center kerana menziarahi anak saudara yang menjalani pembedahan di sana. Sekitar jam 9.00 malam kami bertolak pulang ke Taiping.

Sepanjang perjalanan pulang, kami disimbah hujan lebat. Sebagai pengamal OSH, saya beberapa kali merungut kepada isteri apabila mengekori kenderaan berat seperti lori di mana lampu-lampu kenderaan ini amat malap dan sukar dilihat. Begitu juga ketika mengekori beberapa motosikal yang lampu belakang tidak berfungsi.

Pada masa yang sama, kereta yang saya dinaiki beberapa kali diberi lampu besar dari kenderaan belakang. Agak kehairanan juga kerana saya pasti kereta yang saya pandu di laluan yang betul.

Apabila saya sampai di rumah sekitar jam 11 malam, baru saya sedari lampu belakang kereta saya tidak berfungsi. Mujurlah saya dan isteri selamat sampai di rumah.

Satu pengajaran untuk saya di masa hadapan, agar memeriksa lampu-lampu kenderaan ini sebelum memulakan perjalanan.

Saya rasa sepatutnya semua kenderaan dilengkapi dengan lampu amaran di paparan kokpit yang boleh memaklumkan (memberi amaran) kepada pemandu mengenai lampu kenderaan mereka tidak berfungsi. Saya tidak pasti sama ada alat amaran sebegini sudah ada dipasang di kenderaan mewah.

Andakah semua lampu-lampu kenderaan anda berfungsi?

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

Sunday, March 11, 2012

Kemalangan berkaitan memberhentikan kenderaan di lebuhraya



Gambar hiasan


Kemalangan berkaitan memberhentikan kenderaan di lebuhraya

Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja sekitar jam 7.30am, saya terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di Lebuhraya Utara Selatan sebaik sahaja melepasi kawasan perternakan ikan Arowana sebelum persimpangan keluar Bandar Baru. Rupa-rupanya ada kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan MPV (Estima dan Alphard). Ketika melalui kawasan kemalangan, saya ternampak beberapa tubuh manusia terbaring di tepi jalan.

Sumber berita tengahari tadi di media elektronik dan juga di internet melaporkan Estima yang berhenti di tepi lebuhraya dilanggar dari belakang oleh Alphard dan mengakibatkan dua orang terbunuh dan 10 orang cedera.

Pengguna lebuhraya ditegah memberhentikan kenderaan mereka semasa di lebuhraya kecuali kecemasan. Disamping itu penggunaan lampu amaran (hazard light) dan sebagainya mesti digunakan semasa berhenti kecemasan sebegini. Kerapkali kemalangan yang berkaitan memberhentikan kenderaan di lebuhraya berlaku. Disebabkan ini pengguna lebuhraya hanya boleh memberhentikan kenderaan mereka dengan selamat di tempat yang disediakan iaitu di tempat rehar R&R ataupun hentian sebelah.

Usaha PLUS menyediakan beberapa tempat berhenti kecemasan seperti berhampiran susur keluar Kuala Kangsar adalah alternatif terbaik kepada pengguna kenderaan yang bermasalah dan terpaksa memberhentikan kenderaan mereka. Tempat berhenti kecemasan ini hanya boleh memuatkan sekitar tiga atau empat kenderaan membolehkan kenderaan diberhentikan dengan selamat di tepi lebuhraya.

Begitu juga dengan ruang khusus untuk motosikal di bawah jejambat dan beberapa pondok untuk pengguna motosikal berteduh ketika sebelum memasuki Terowong Menora di Ipoh. Tempat sebegini akan mengelakkan pengguna motosikal berhenti di tepi lebuhraya yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

Semoga pengajaran amat berharga yang boleh diambil iktibar dari kemalangan pagi tadi. Semoga selepas ini tiada pengguna lebuhraya memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan raya. Semoga pihak PLUS juga menambahkan lagi tempat berhenti kecemasan dan juga ruang khusus untuk motosikal, yang perlu memboleh pengguna kenderaan yang bermasalah dapat memberhentikan kenderaan mereka dengan selamatnya.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Berita lengkap adalah seperti berikut:-

Dua terbunuh, 10 cedera dalam kemalangan
BERNAMA Ahad 11 Mac 2012

Dua terbunuh, manakala sepuluh cedera apabila dua kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dalam kemalangan di Km 181. 5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Parit Buntar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, dua penumpang dalam kenderaan yang sama, yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan, mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Sepuluh lagi penumpung kedua-dua buah kenderaan termasuk seorang pemandu salah sebuah kenderaan itu cedera dan dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 7.10 pagi apabila kereta jenis Toyota Estima yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Alphard.

Ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Selatan ke Utara.

Katanya identiti mangsa yang meninggal dunia dan yang masih dirawat masih belum diketahui dan polis sedang menyiasat.

Tuesday, March 6, 2012

Safety Alert kali ini – melabur dalam kasut dan tilam


Gambar hiasan

Safety Alert kali ini – melabur dalam kasut dan tilam

Hari ini saya berpeluang menghadirkan diri di Seminar OSH UniMAP sempena Bulan OSH UniMAP 2012. Pembentang pertama seminar ini ialah Pengarah DOSH Pulau Pinang; En. Mohamad Anuar bin Embi. Manakala saya adalah pembentang ketiga mewakili NRG SHE dari lima pembentang kesemuanya.

Saya ingin berkongsi pesanan umum OSH yang disampaikan oleh En. Anuar. Beliau menyarankan agar kita semua melabur – berbelanja lebih dalam pembelian kasut (terutama kaum wanita) dan juga tilam (serta bantal) untuk kesihatan.

Kebiasaannya terutama kaum wanita akan berbelanja lebih untuk membeli pakaian. Begitu juga untuk keperluan peralatan rumah dengan ramai yang menitik-beratkan set sofa ataupun set dapur.

Sedangkan anggota kaki adalah tubuh badan yang paling bekerja keras untuk menampung dan membawa berat badan manusia. Begitu juga dengan kekerapan kita berada di atas tilam (ketika tidur) jika dibandingkan dengan kekerapan (masa) berada di atas set sofa ataupun berada di dapur.

Kasut yang sesuai dan sihat (healthy) terutama untuk kaum wanita banyak terdapat pasaran. Elakkan menggunakan kasut bertumit tinggi. Begitu juga dengan penggunaan tilam yang sesuai akan mengelakkan dari kesakitan tulang belakang. Malah ada kajian menunjukkan penggunaan bantal yang sesuai mampu menghilangkan atau mengurangkan masalah dengkuran.

Safety Alert kali ini – melaburlah (belilah) kasut dan tilam yang sesuai dan sihat.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com