Friday, December 30, 2011

Etika dalam email

Etika dalam email

Dalam setiap kelas pembelajaran yang saya kendalikan ataupun saya lebih suka menganggapnya sesi berkongsi pengetahuan dan pengalaman, saya sering mempelawa mereka yang hadir agar menghubungi saya (disyorkan secara email) untuk susulan. Jika saya boleh membantu, insya-Allah saya akan membantu dengan menjawab email yang diterima.

Biasanya ada seorang dua yang akan menghubungi saya. Ada juga yang masih berterusan menghubungi saya walaupun pertama kali beliau bersemuka dengan saya dalam satu kursus sekitar penghujung 90an. Malah kami kini menjadi rakan dan kadang-kadang berjumpa untuk perkena teh tarik walaupun beliau menetap di Seremban dan saya di Taiping.

Bagaimanapun ada juga email-email yang diterima mengecilkan hati saya walaupun saya bukanlah orang yang "terlalu formal" dalam kehidupan seharian. Saya tidak dapat bayangkan jika email-email sebegini dihantar kepada bakal majikan mereka ataupun bakal pensyarah/pengajar mereka di institut pengajian.

Biasanya saya akan menjawab email ini dengan nasihat dahulu. Malah mengesyorkan mereka membaca posting berkaitan etika email ini di sini.

Harap penghantar-penghantar email ini mempunyai sedikit etika dalam email mereka di masa-masa akan datang. Janganlah ber-sms dalam dalam email.

Ini adalah email yang diterima sebentar tadi.

From: Ladybird Here [ladybirdhere@xxxxx.com)
Sent: 30 December 2011 20:06
To: Lukman Bin Wan Mat Daud
Subject:

salam, saya pelajar politeknik sedang menjalangkan final projek mengenai penghadang jalan, dari mana saya boleh dapatkan contoh2 tesis untuk membuat bahan rujukan?

Dan ini adalah jawapan saya.

From: Lukman Bin Wan Mat Daud
To: Ladybird Here
Sent: Friday, December 30, 2011 8:16 PM
Subject: RE:

Assalam

Teguran ikhlas dari saya

1. Biasakan guna email rasmi (official) untuk urusan rasmi seperti mohon kerja, pertanyaan rasmi dan sebagainya. maksud saya contoh email rasmi ialah menggunakan nama sebenar dan bukannya nick name.

2. Kalau guna email tak rasmi (nick name) biasakan memperkenalkan diri terlebih dahulu atau email diakhiri dengan nama sebenar. Surat tanpa nama (tanpa tandatangan) adalah surat layang. Email tanpa nama sebenar juga boleh dianggap email layang.

3. Surat mestilah lengkap dengan tajuk begitu juga email.

Wsl

LUKMAN BIN WAN MAT DAUD
EMAIL lukmanw@uum.edu.my

Sunday, December 18, 2011

Lesson learned di Boustead Penang Shipyard


Lesson learned di Boustead Penang Shipyard

Saya baru habis mengendalikan kursus keselamatan di Boustead Penang Shipyard Pulau Jerjak Pulau Pinang. Agak sibuk bulan Disember ini berterusan mengendalikan kursus di Kuala Lumpur, Prai, Pulau Langkawi dan Pulau Jerjak. Sebelum ini pada pertengahan tahun 2011 saya mengendalikan kursus yang sama di sektor pembinaan kapal di Lumut, Perak.

Seperti yang saya pernah tulis sebelum ini, di setiap tempat saya menyampaikan kursus atau saya lebih suka menganggapnya sesi berkongsi pengetahuan dan pengalaman, saya juga sentiasa mengambil peluang mempelajari sesuatu yang baru.

Dalam perjalanan harian menaiki bot di Jeti Batu Maung ke Pulau Jerjak, saya tertarik dengan budaya (disiplin) yang ditunjukkan oleh warga Boustead ini termasuklah pekerja kontraktor mereka. Bermula di jeti, mereka ini akan berbaris kemas dan teratur sebelum menaiki bot. Oleh kerana tidak menggunakan tiket, bilangan penumpang ditentukan secara pengiraan oleh pekerja bot. Tiada yang membantah ketika ditahan apabila bilangan penumpang sudah mencukupi untuk satu-satu trip perjalanan.

Membanggakan lagi, terdapat ruangan khas untuk penumpang wanita di dalam bot.

Semua penumpang mengambil tempat duduk masing-masing sebelum bot memulakan perjalanan. Begitu juga apabila bot menghampiri jeti Pulau Jerjak, penumpang-penumpang ini akan kekal duduk di tempat dudk masing-masing (tidak berdiri) sehinggalah tali bot ditambat ke jeti dan selepas siren dibunyikan.

Sewaktu berkursus, saya menyampaikan penghargaan saya kepada peserta kursus berkaitan dengan budaya atau tertib ketika menaiki bot ini. Saya dimaklumkan pada setiap sesi orientasi pekerja baru, budaya dan tertib ini akan ditekankan oleh pihak HSE Boustead Penang Shipyard. Di samping itu juga denda (saman?) akan dikenakan jika ada penumpang yang tidak mematuhinya.

Keselamatan bukan sahaja perlu diamalkan di dalam kawasan kilang atau di tempat kerja. Ia perlu bermula seawal dari rumah kediaman, di dalam perjalanan pergi dan pulang dan seterusnya berterusan di tenpat kerja.

Kesungguhan pihak HSE Boustead Penang Shipyard ini dengan memperkenalkan dan mengamalkan peraturan atau tertib semasa menaiki bot ini sepatutnya dicontohi oleh organisasi-oganisasi lain. Peraturan ini tidak semestinya diamalkan kepada pengguna laluan air sahaja, ia juga sama pentingnya di laluan darat ataupun di laluan udara.

Syabas sekali lagi, Boustead Penang Shipyard!

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Wednesday, December 7, 2011

Menara Antena HF 9M4ITU Bantu Komunikasi Saat Kecemasan


Menara Antena HF 9M4ITU Bantu Komunikasi Saat Kecemasan

UUM ONLINE: Pelbagai usaha telah dilakukan untuk meningkatkan tahap sistem telekomunikasi di Malaysia bagi memudahkan komunikasi antara satu sama lain terutama mereka yang mendiami kawasan terpencil atau jauh dari bandar.

Justeru itu, dalam usaha untuk meningkatkan taraf sistem telekomunikasi ini, ITU-UUM Asia Pacific Centre of Excellence for Rural ICT Development, Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama ahli Radio Amateur Malaysia (RACIM) telah menjalankan satu projek memasang Antena HF 9M4ITU.

Projek yang menelan belanja hampir RM7,000 ini bertujuan memudahkan komunikasi terutama ketika berlakunya kecemasan seperti bencana alam dan ketidakupayaan komunikasi sedia ada.

Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid berkata, negara terdedah kepada bencana alam dan hubungan komunikasi adalah amat penting.

"Sebagai sebuah universiti yang terletak jauh dari bandar, UUM amat memerlukan kelengkapan telekomunikasi lengkap sebagai persediaan awal jika berlakunya perkara tidak diingini seperti bencana alam," katanya di Majlis Pelancaran Menara HF 9M4ITU baru-baru ini.

Antena HF 9M41TU ini dipasang di Bangunan ITU-UUM, Kompleks Konvensyen UUM dan berupaya menghasilkan komunikasi jarak jauh ke seluruh dunia.

DARIPADA:
SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3007/3014/3066/4078
FAKS: 04-928 3016
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my