OSH IN PRISON
BANDUAN BERPELUANG LANJUTKAN PENGAJIAN DI UUM
UUM ONLINE: Banduan juga berpeluang untuk melanjutkan pengajian diperingkat ijazah atau pasca siswazah dengan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, sekiranya ada permohonan dari banduan terutama dengan persetujuan daripada Kementerian Dalam Negeri amnya dan Penjara khususnya pihak UUM bersedia untuk bekerjasama dalam perkara ini.
“UUM kini menjadi pilihan badan korporat, pengarah filem, artis, personaliti television, agensi kerajaan, wartawan dan ahli parlimen untuk melanjutkan pengajian mereka dengan universiti ini dan sekiranya ada permohonan dari pihak Jabatan Penjara untuk membenarkan banduan untuk melanjutkan pengajian kami bersedia untuk bekerjasama kearah itu, ” kata beliau ketika ditemui selepas menghadiri majlis sambutan Hari Jabatan Penjara ke-162 di Maktab Penjara, Kajang yang dirasmikan sambutannya oleh Datuk Abu Seman Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa menambah sekiranya ini terlaksana pastinya banduan yang akan meninggalkan penjara akan keluar sebagai seorang graduan nanti.
Dalam perkembangan yang sama Ketua Pengarah Penjara, Datuk Wira Zulkifli Omar yang diminta mengulas mengenai tawaran pengajian kepada banduan oleh Naib Canselor UUM berkata, pihaknya akan mengkajinya selepas mendapat persetujuan daripada Kementerian Dalam Negeri.
Katanya pihak Jabatan Penjara melihat peluang seperti ini dilihat dapat memberi sinar baru kepada banduan selain menjadikan Penjara tempat untuk mereka membetulkan kesilapan akibat melakukan pelbagai jenayah dan kesalahan.
“Kami melihat penghuni penjara ini ada antara mereka yang disisihkan dan diabaikan oleh keluarga dan masyarakat dan berharap dengan usaha sebegini mereka ini akan mula diberi perhatian oleh masyarakat dan seterusnya berterima kasih kepada kerajaan amnya dan jabatan penjara khasnya kerana menjadikan penjara sebagai institusi atau sekolah terakhir untuk penghuni kembali semula ke pangkuan masyarakat, “ katanya.
UUM turut diundang ke majlis sambutan itu bagi majlis penandatangani MoA antara Jabatan Penjara dengan universiti ini bagi perjanjian persefahaman dalam program akademik peringkat pasca siswazah iaitu Diploma Siswazah Sains Koreksional.
Perjanjian yang disaksikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri ini diwujudkan khas sebagai kursus asas kepada Timbalan Penguasa Penjara KX41 lantikan baru selaras dengan keperluan pihak jabatan bagi memastikan semua anggota dapat menguasai ilmu berkaitan dengan bidang pengurusan koreksional.
Program yang memfokuskan kepada pemulihan dan pengurusan koreksional ini adalah satu-satunya program pasca siswazah di Malaysia.
Dalam pada itu bagi Program Persijilan pihak Jabatan Penjara dan UUM telah memulakan kerjasama dengan program Sijil Eksekutif Amalan Koreksional pada Oktober 2009 di Langkawi yang disertai oleh 80 orang pegawai kanan.
Bagi merealisasikan kesinambungan program sijil ini kedua pihak telah bersetuju untuk melaksanakan dua lagi program persijilan iaitu Sijil Eksekutif Amalan Koreksional (Kerja Sosial) dan Sijil Eksekutif Amalan koreksional (Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan).
Dalam perkembangan yang sama Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Abu Seman ketika berucap dimajlis itu memberi sokongan kepada kakitangan Jabatan Penjara untuk menambahbaik kualiti diri dikalangan mereka.
Katanya, peluang untuk menyambung pengajian dan meningkatkan pencapaian akademik perlu direbut seperti Program Jarak Jauh (PJJ) yang tidak memerlukan cuti atau berkunjung ke kampus yang terletak jauh seperti UUM di Sintok, Kedah.
“Justeru saya melihat penguasaan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang seperti Kemahiran Komunikasi yang berkesan, Pencegahan Jangkitan Penyakit, Psikologi, Kawalan Diri dan Asas Undang-undang pastinya akan dapat membantu untuk melaksanakan tugas dengan lebih baik, “ ujarnya.
Sempena sambutan Hari Jabatan Penjara itu Datuk Abu Seman turut menyematkan Pingat Bakti Setia kepada Prof Madya Dr Noor Azniza Ishak dari UUM dan 22 penerima lain.
DARIPADA:
SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3007/3014/3066/4078
FAKS: 04-928 3016
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
No comments:
Post a Comment