Antara yang amat membantu terutama pemerhati semasa Latihamal PLUS/MKN MENEX 2011 di Terowong Menora, Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Ipoh pada 31 Mac 2011 lalu, ialah juruhebah bertugas.
Saya tidak pasti juruhebah bertugas sama ada dari Jabatan Penerangan ataupun pihak PLUS sendiri tetapi juruhebah undangan iaitu pegawai dari Sungai Dua Logistik (bertanggungjawab terhadap pengangkutan bahan bakar) banyak membantu menerangkan prosedur menyelamat.
Bagaimanapun pada masa-masa akan datang, saya ingin syorkan ada juruhebah undangan dari MKN sendiri menerangkan prosedur-prosedur berkaitan MKN atau lebuh khusus mengenai prosedur dan mekanisme Arahan 20, MKN.
Berikut adalah beberapa ruang untuk penambahbaikan (room for improvement) yang saya dapati tidak diadakan (atau mungkin ada tetapi luar pengetahuan saya) semasa latihamal ini. Bagaimanapun ini bukan bukan prosedur atau mekanisme yang ditetapkan dalam Arahan 20, MKN. Ia nya lebih kepada melengkapi operasi dalam menyelamat.
Sebahagian ruang penambahbaikan ini juga hasil input dari pelajar-pelajar saya di Niosh Bangi (program Msc MOSH) yang kebetulanmengikuti kelas topik Emergency Response Management pada hujung minggu lepas.
Rajah di atas di atas ialah pembahagian zon tempat kejadian mengikut Arahan 20, MKN. Perlu diingatkan pembahagian zon tidak semestinya berbentuk bulatan berradius, Mungkin boleh dalam bentuk 4 segi, 3 segi dan sebagainya bergantung pada saiz dan struktur kawasan tempat kejadian. Begitu juga dengan jarak radius setiap zon bergantung pada risiko kejadian serta struktur kawasan.
(Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Dokumen Arahan 20, MKN ini bolehlah menghubungi saya untuk mendapatkan salinan softcopynya)
1. Pencatat kronologi latihamal (historian). Dalam latihamal ini hanya pegawai bertugas di Pusat Kawalan Bomba yang membuat kronologi latihamal. Disyorkan tuan rumah (PLUS) bersama dengan staf MKN membuat kronologi mereka sendiri dan kemudiannya membuat perbandingan (dan pengesahan) dengan kronologi yang dibuat oleh pihak Bomba. Untuk ini perlu ada beberapa Jam Utama (master clock) yang diselarikan masanya.
Tempat yang sesuai untuk mencatat semasa latihamal ini ialah di khemah juruhebah dengan menggunakan kemudahan tv yang ada.
setiap acara sukan bermotor yang saya sertai atau anjurkan, pengelola akan melantik seorang pencatat acara dari saat bermula hingga tamat. Pencatat akan mencatat berpandukan siaran langsung tv dan juga dari sebarang pemberitahuan oleh pegawai perlumbaan. Untuk pencatat yang bertugas semasa kejadian sebenar, tempat yang paling sesuai ialah di Pusat Kawatan Tempat Kejadian di mana Komander Kejadian (Incident Commander IC) berada.
2. Pusat Kawatan Tempat Kejadian (PKTK). Perlu adanya khemah khas untuk PKTK dan IC mesti memantau dan memberi arahan dari khemah PKTK ini.
Semasa latihamal ini memang ada khemah PKTK yang digunakan oleh anggota Polis. Saya ingin mencadangkan PKTK pihak Polis dinamakan sebagai Pusat Kawalan Polis (seperti yang diamalkan oleh Bomba) dan PKTK dikhaskan untuk IC dan On-scene Commander (OSC) dari organisasi-organisasi penyelamat seperti Bomba, Polis, Perubatan, JPA3, Sungai Dua Logistik dan sebagainya. PKTK ini mesti dilengkapi dengan kemudahan sistem komunikasi, paparan maklumat dan sebagainya.
3. Kawasan Kaunselor Mangsa. Biasanya mangsa-mangsa kemalangan akan menghadapi trauma akibat dari kejadian kemalangan yang baru dialami. Pihak Hospital boleh menggunakan perkhidmatan kaunselor-kaunselor mereka membantu mangsa-mangsa kemalangan ini.
Tempat yang sesuai ialah bersebelahan dengan Kawasan Tidak Kritikal. Tempat (khemah) untuk kaunseling ini juga disyorkan dilengkapi dengan kemudahan minuman sekurang-kurangnya air mineral.
Begitu juga dengan Khemah Kawasan Rehat Penyelamat, pihak tuan rumah (PLUS semasa latihamal ini) boleh menyediakan kemudahan minuman ini.
4. Kawasan ditanda dengan Pita Sempadan (Barrier Tape). Semasa dalam latihamal ini pihak Bomba menggunakan Pita Sempadan untuk kawasan kejadian dan juga untuk Pusat Kawalan Bomba. Sepatutnya Pita Sempadan ini juga dipasang di semua khemah perubatan Kritikal, Semi Kritikal dan Tidak Kritikal.
Pihak Polis juga perlu memasang Pita Sempadan ini di khemah mangsa maut dan juga Pusat Kawalan Mereka.
5. Kronologi kejadian akhir. Saya tidak pasti sama ada kronologi mangsa semasa latihamal ini dihantar ke Pusat Perubatan diadakan dan dicatat.
Saya difahamkan semasa latihamal yang melibatkan kemalangan LRT di Kuala Lumpur tahun lepas, kronologi akhir sehingga ke Wad Kecemasan, diadakan dan dicatat.
6. Bilik Media dan Bilik Khas Pengunjung / Pemerhati. Pihak media akan menjalankan tugas untuk mendapatkan dan melaporkan berita semasa kejadian. Kadang-kadang dalam keghairahan mendapatkan berita, ada pihak media yang mengabaikan keselamatan diri mereka sendiri.
Kebetulan hujung minggu lepas ialah kelas ERM (Program Msc MOSH) di Niosh Bangi berbincang mengenai topik Communication and Public Relationship (during emergency). Topik yang sama juga akan diadakan di Niosh Prai minggu depan. Saya kongsikan sebahagian kandungan topik tersebut untuk manfaat semua – rujuk presentation slide di bawah.
Selain pihak media, pengunjung atau pemerhati juga perlu disediakan ruang khas sama ada bilik atau kawasan berkhemah. Di samping perlu adanya pegawai bertugas (liaison officer) untuk berurusan dengan mereka ini.
7. Bilik Waris Mangsa. Dengan teknologi moden yang ada sekarang, waris serta kenalan mangsa akan dapat segera hadir ke tempat kejadian. Waris atau kenalan mangsa ini perlu ditempatkan di ruang khas untuk mengelakkan mereka masuk ke tempat yang boleh membahayakan diri mereka. Malah biasa terjadi orang awam mengambil kesempatan menyamar sebagai waris semata-mata untuk masuk atau menghampiri kawasan kejadian.
Selain pegawai bertugas, pihak Polis, kaunselor juga perlu ditempatkan di kawasan ini. Disyorkan juga kemudahan minuman.
Mungkin ada lagi ruang penambahbaikan dan akan dikongsi kelak.
1 comment:
Ada yg tanya saya apakah maksud MENEX 2011. Menurut pegawai MKN, MENEX = Menora Emergency Exercises di mana Menora merujuk kepada nama terowong tempat latihan diadakan.
Post a Comment