Thursday, April 7, 2011

The 4th Regional Conference on Occupational Health


Click here for pamphlet/form


The 4th Regional Conference on Occupational Health


Organized by : The Society of Occupational and Environmental Medicine, Malaysian Medical Association




Date : 23 June 2011 - 25 June 2011


Time : 0800 am - 1730 pm


Venue : Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, Malaysia


Conference fees is 'HRDF Claimable'


CPD points for MMA and CEP points for SHO registered with DOSH


For further details and registration, refer to attachment or contact


RCOH2011 SOEM-MMA Secretariat (Attn: Ms Hema)

MMA, Society of Occupational & Environmental Medicine,

4th Floor, MMA House, 124 Jalan Pahang,

53000 Kuala Lumpur, Malaysia

Tel: +603 4041 1375

Fax: +603 4041 8187 / +603 4041 9929

E-mail: admin@rcoh.org.my

Tuesday, April 5, 2011

Ruang Untuk Penambahbaikan – MENEX 2011 Latihamal PLUS/MKN Terowong Menora 2011


Klik sini untuk file pdf yang lebih jelas.

Ruang Untuk Penambahbaikan – MENEX 2011 Latihamal PLUS/MKN Terowong Menora 2011


Antara yang amat membantu terutama pemerhati semasa Latihamal PLUS/MKN MENEX 2011 di Terowong Menora, Lebuh raya Utara Selatan berhampiran Ipoh pada 31 Mac 2011 lalu, ialah juruhebah bertugas.


Saya tidak pasti juruhebah bertugas sama ada dari Jabatan Penerangan ataupun pihak PLUS sendiri tetapi juruhebah undangan iaitu pegawai dari Sungai Dua Logistik (bertanggungjawab terhadap pengangkutan bahan bakar) banyak membantu menerangkan prosedur menyelamat.


Bagaimanapun pada masa-masa akan datang, saya ingin syorkan ada juruhebah undangan dari MKN sendiri menerangkan prosedur-prosedur berkaitan MKN atau lebuh khusus mengenai prosedur dan mekanisme Arahan 20, MKN.


Berikut adalah beberapa ruang untuk penambahbaikan (room for improvement) yang saya dapati tidak diadakan (atau mungkin ada tetapi luar pengetahuan saya) semasa latihamal ini. Bagaimanapun ini bukan bukan prosedur atau mekanisme yang ditetapkan dalam Arahan 20, MKN. Ia nya lebih kepada melengkapi operasi dalam menyelamat.


Sebahagian ruang penambahbaikan ini juga hasil input dari pelajar-pelajar saya di Niosh Bangi (program Msc MOSH) yang kebetulanmengikuti kelas topik Emergency Response Management pada hujung minggu lepas.


Rajah di atas di atas ialah pembahagian zon tempat kejadian mengikut Arahan 20, MKN. Perlu diingatkan pembahagian zon tidak semestinya berbentuk bulatan berradius, Mungkin boleh dalam bentuk 4 segi, 3 segi dan sebagainya bergantung pada saiz dan struktur kawasan tempat kejadian. Begitu juga dengan jarak radius setiap zon bergantung pada risiko kejadian serta struktur kawasan.


(Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Dokumen Arahan 20, MKN ini bolehlah menghubungi saya untuk mendapatkan salinan softcopynya)


1. Pencatat kronologi latihamal (historian). Dalam latihamal ini hanya pegawai bertugas di Pusat Kawalan Bomba yang membuat kronologi latihamal. Disyorkan tuan rumah (PLUS) bersama dengan staf MKN membuat kronologi mereka sendiri dan kemudiannya membuat perbandingan (dan pengesahan) dengan kronologi yang dibuat oleh pihak Bomba. Untuk ini perlu ada beberapa Jam Utama (master clock) yang diselarikan masanya.


Tempat yang sesuai untuk mencatat semasa latihamal ini ialah di khemah juruhebah dengan menggunakan kemudahan tv yang ada.


setiap acara sukan bermotor yang saya sertai atau anjurkan, pengelola akan melantik seorang pencatat acara dari saat bermula hingga tamat. Pencatat akan mencatat berpandukan siaran langsung tv dan juga dari sebarang pemberitahuan oleh pegawai perlumbaan. Untuk pencatat yang bertugas semasa kejadian sebenar, tempat yang paling sesuai ialah di Pusat Kawatan Tempat Kejadian di mana Komander Kejadian (Incident Commander IC) berada.

2. Pusat Kawatan Tempat Kejadian (PKTK). Perlu adanya khemah khas untuk PKTK dan IC mesti memantau dan memberi arahan dari khemah PKTK ini.


Semasa latihamal ini memang ada khemah PKTK yang digunakan oleh anggota Polis. Saya ingin mencadangkan PKTK pihak Polis dinamakan sebagai Pusat Kawalan Polis (seperti yang diamalkan oleh Bomba) dan PKTK dikhaskan untuk IC dan On-scene Commander (OSC) dari organisasi-organisasi penyelamat seperti Bomba, Polis, Perubatan, JPA3, Sungai Dua Logistik dan sebagainya. PKTK ini mesti dilengkapi dengan kemudahan sistem komunikasi, paparan maklumat dan sebagainya.


3. Kawasan Kaunselor Mangsa. Biasanya mangsa-mangsa kemalangan akan menghadapi trauma akibat dari kejadian kemalangan yang baru dialami. Pihak Hospital boleh menggunakan perkhidmatan kaunselor-kaunselor mereka membantu mangsa-mangsa kemalangan ini.


Tempat yang sesuai ialah bersebelahan dengan Kawasan Tidak Kritikal. Tempat (khemah) untuk kaunseling ini juga disyorkan dilengkapi dengan kemudahan minuman sekurang-kurangnya air mineral.


Begitu juga dengan Khemah Kawasan Rehat Penyelamat, pihak tuan rumah (PLUS semasa latihamal ini) boleh menyediakan kemudahan minuman ini.


4. Kawasan ditanda dengan Pita Sempadan (Barrier Tape). Semasa dalam latihamal ini pihak Bomba menggunakan Pita Sempadan untuk kawasan kejadian dan juga untuk Pusat Kawalan Bomba. Sepatutnya Pita Sempadan ini juga dipasang di semua khemah perubatan Kritikal, Semi Kritikal dan Tidak Kritikal.


Pihak Polis juga perlu memasang Pita Sempadan ini di khemah mangsa maut dan juga Pusat Kawalan Mereka.


5. Kronologi kejadian akhir. Saya tidak pasti sama ada kronologi mangsa semasa latihamal ini dihantar ke Pusat Perubatan diadakan dan dicatat.


Saya difahamkan semasa latihamal yang melibatkan kemalangan LRT di Kuala Lumpur tahun lepas, kronologi akhir sehingga ke Wad Kecemasan, diadakan dan dicatat.


6. Bilik Media dan Bilik Khas Pengunjung / Pemerhati. Pihak media akan menjalankan tugas untuk mendapatkan dan melaporkan berita semasa kejadian. Kadang-kadang dalam keghairahan mendapatkan berita, ada pihak media yang mengabaikan keselamatan diri mereka sendiri.


Kebetulan hujung minggu lepas ialah kelas ERM (Program Msc MOSH) di Niosh Bangi berbincang mengenai topik Communication and Public Relationship (during emergency). Topik yang sama juga akan diadakan di Niosh Prai minggu depan. Saya kongsikan sebahagian kandungan topik tersebut untuk manfaat semua – rujuk presentation slide di bawah.


Selain pihak media, pengunjung atau pemerhati juga perlu disediakan ruang khas sama ada bilik atau kawasan berkhemah. Di samping perlu adanya pegawai bertugas (liaison officer) untuk berurusan dengan mereka ini.


7. Bilik Waris Mangsa. Dengan teknologi moden yang ada sekarang, waris serta kenalan mangsa akan dapat segera hadir ke tempat kejadian. Waris atau kenalan mangsa ini perlu ditempatkan di ruang khas untuk mengelakkan mereka masuk ke tempat yang boleh membahayakan diri mereka. Malah biasa terjadi orang awam mengambil kesempatan menyamar sebagai waris semata-mata untuk masuk atau menghampiri kawasan kejadian.


Selain pegawai bertugas, pihak Polis, kaunselor juga perlu ditempatkan di kawasan ini. Disyorkan juga kemudahan minuman.


Mungkin ada lagi ruang penambahbaikan dan akan dikongsi kelak.





PERTANDING​AN HIRARC QUEST

PERTANDING​AN HIRARC QUEST


Warga kerja dan majikan di seluruh dunia akan menyambut ‘World Day For Safety And Health At Work’ pada 28 April setiap tahun. Tujuan sambutan ini ialah untuk memberi fokus kepada masalah dan bagaimana hendak mempromosi dan membentuk budaya kerja selamat bagi mengurangkan bilangan kemalangan maut di tempat kerja.


Sehubungan dengan sambutan hari tersebut, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia dengan usahasama Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) merancang untuk menyambut ‘World Day For Safety And Health At Work’ di Tapak Pembinaan Malbourough College Nusajaya, Johor pada 28 April 2011.


Selari dengan tema sambutan pada tahun ini iaitu “OSH MANAGEMENT SYSTEM : A tool for continual improvement”, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia(JKKP/DOSH) dan Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) akan menganjurkan HIRARC QUEST.


Sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi urusetia pertandingan HIRARC QUEST, En. Afanizam - 019-2364500 / En. Bahrudin - 0192678114


Borang yang telah lengkap diisi boleh : (REFER ATTACHMENT), boleh dihantar ke emel : omar@mohr.gov.my. atau;faks: 07-2242667 atau; pos kepada alamat :


Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Johor

Tingkat 9, Menara TJB,

Jalan Dato’ Syed Mufti,

80534 Johor Bahru


Friday, April 1, 2011

Latihamal Bencana – Latihan Kecemasan Kemalangan Lebuh raya (MENEX 2011) di Terowong Menora, Ipoh

Latihamal Bencana – Latihan Kecemasan Kemalangan Lebuh raya (MENEX 2011) di Terowong Menora, Ipoh

Semalam 31 Mac 2011, saya dijemput oleh Majlis Keselamatan Negara Negeri Perak menjadi Pengadil untuk latihamal ini bersama-sama wakil Lembaga Lebuh raya Malaysia, PLUS, Polis Ipoh, DOSH Ipoh dan Jabatan Kesihatan Ipoh. Saya dijemput atas kapasiti pengajar subjek Emergency Response di UUM (Program Msc OSH) dan di NIOSH (tajuk yang sama untuk Program SHO).

(Tahun-tahun sebelum ini saya juga sudah beberapa kali dijemput oleh pihak MKN (atau pengelola) sebagai pemerhati latihamal mereka seperti Latihamal Tsunami, Latihamal Lima. Latihamal Kemalangan Industri dan sebagainya)

Hujan awal pagi yang lebat berhenti sebelum latihamal ini bermula. Latihamal bermula dengan tiupan Air Horn pada jam 9.32 am oleh En. Abdul Razak Basaran, Pengurus Wilayah Utara, Plus Expressway Bhd, bersama dengan Mejar Abdul Halim Samsuri, Setiausaha Keselamatan Negeri, MKN Negeri Perak

Senario yang dirancang ialah suatu kemalangan berlaku di dalam Terowong Menora (arah selatan)di Lebuh raya Utara Selatan di KM 260.4 yang membabitkan pelanggaran sebuah lori tangki berisi bahan bakar (petrol), sebuah bas berpenumpang, sebuah trak tentera yang turut membawa anggota tentera dan 2 buah kereta penumpang. Mulanya dirancang menggunakan trak tentera yang membawa bahan letupan, mungkin ia dibatalkan atas sebab faktor keselamatan.

Latihamal bersepadu ini secara keseluruhan berjaya diaktifkan, diamalkan dan diakhiri dengan jayanya. Kesemua pihak dan bantuan sumber utama yang terlibat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis dan Hospital serta bantuan sampingan seperti organisasi dalaman sendiri (pihak PLUS), JPAM, penyelamat sukarela lain, bantuan pihak swasta berkaitan dan sebagainya berjaya melengkapkan latihamal bersepadu ini.

Malah “mangsa-mangsa” kemalangan dalam latihamal ini seolah-olah pelakon profesional yang berjaya membawa watak masing-masing. Sebagai contoh ada mangsa yang mengambil keselamatan menelefon waris atau kenalan untuk memaklumkan tentang kemalangan, ada mangsa yang meraung kesakitan apabila anggota penyelamat menyentuh atau cuba mengalihkan mangsa. Senario ini seolah-olah kejadian sebenar cuma saya tidak nampak mangsa yang cuba mengambil gambar persekitaran kemalangan menggunakan telefon bimbit seperti yang biasa berlaku jika terbabit dalam kemalangan.

Latihamal menyelamat bermula dengan “first responder” anggota Bomba bermotosikal tiba di tempat kejadian. Tidak dinafikan, pasukan Bomba bermotosikal ini adalah “first responder” yang paling efektif jika berlakunya kemalangan di antara kesesakan jalan raya. Sejurus sebelum itu kakitangan PLUS bertindak pantas membuat lencongan laluan lalu lintas.

Seterusnya seperti yang dicadangkan dalam Arahan 20, MKN, pihak penyelamat menubuhkan Pusat Kawalan masing-masing. Paling hampir ke tempat kejadian (dikenalpasti sebagai Zon Merah) ialah Pusat Kawalan Bomba iaitu dalam jarak 100 meter (dalam Zon Kuning, luar Zon Merah). Penubuhan Pusat Kawalan ini dibuat berdasarkan penilaian risiko , sebagai contoh jika melibatkan bahan lebih berbahaya jarak boleh sehingga sejauh 300 meter.

Pusat Kawalan kedua ialah Pusat Kawalan Tempat Kejadian oleh pihak Polis yang juga di Zon Kuning I belakang Pusat Kawalan Bomba. Berhampiran dengan PKTK Polis ini ialah Kemah Rawatan Kritikal Perubatan (Kawasan Merah – mengikut Triage Card) .

Selepas “first responder” Bomba membuat penilaian awal tempat kejadian, pasukan paramedic Bomba masuk ke tempat kejadian utama (Zon Merah) untuk penilaian status mangsa dengan menggunapakai sistem Triage Card. Ada 4 jenis Triage Card yang digunakan iaitu P1 (Merah) untuk Kritikal, P2 (Kuning) iaitu Separa Kritikal, P3 (Hijau) iaitu Tidak Kritikal dan P4 (Putih) iaitu Kematian atau keadaan tenat yang tidak dapat diselamatkan (deceased / unsalvageable).


Penggunaan Triage Card ini memudahkan dan melancarkan pergerakan mangsa terutama melibatkan pelbagai anggota penyelamat yang terpaksa melalui tiga zon berbeza di tempat kejadian iaitu Zon Merah (tempat kejadian utama), Zon Kuning (luar Zon Merah) dan Zon Hijau (luar Zon Kuning). Sebagai contoh “first responder” Bomba membawa mangsa keluar dari Zon Merah ke Zon Kuning dan anggota JPAM mengambil alih mangsa di Zon Kuning ini dan berdasarkan Triage Card ini, anggota JPAM ini kemudiannya menghantar mangsa ke pusat rawatan di tempat kejadian yang juga menggunakan warna Merah, Kuning dan Hijau sebagai identiti tahap keseriusan mangsa.

Kemah rawatan kritikal yang digunakan oleh pihak perubatan di Kawasan Merah ini lengkap dengan pendingin hawa dan kelengkapan asas untuk merawat mangsa kritikal. Saya dimaklumkan kemah yang boleh didirikan dalam masa beberapa minit sahaja hanya ada sebuah di Ipoh kerana kosnya yang terlalu tinggi.

Pihak Polis bertanggungjawab terhadap keselamatan dan sekuriti di persekitaran tempat kejadian seperti mengawal kehadiran orang ramai, pemberita akhbar dan sebagainya. Polis juga mengambil maklumat diri mangsa. Untuk mangsa yang meninggal dunia, Polis mengambil dan melabelkan barangan peribadi yang ada pada mangsa yang meninggal dunia.

Selepas usaha menyelamat mangsa dilakukan, pihak Bomba seterusnya memastikan tempat kejadian diselamatkan (dibersihkan) dengan menggunakan larutan Form.

Sumber luar yang dikenal pasti iaitu Pasukan Tindakan Kecemasan Sri Sungai Dua Sdn. Bhd., iaitu pihak Depot Bahan Bakar Lori Tangki telah bersedia untuk memindahkan bahan bakar ( petrol) dari lori yang terlibat dalam kemalangan ke lori yang lain. Pemindahan ini menggunakan “diaphragm pump” berkuasa angin dan “fan blade’ menggunakan bahan dari Teflon yang “spark proof”.

Setelah disahkan selamat dari sebarang bahan bahaya, Trak Penunda dibenarkan untuk mengalihkan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan.

Akhirnya Incident Commander membuat penilaian akhir sebelum mengisytiharkan operasi menyelamat berakhir. Pihak PLUS kemudiannya menamatkan lencongan dan membuka semula laluan untuk lalu lintas.

PANDANGAN SAYA SEBAGAI PENGADIL

Tiada saluran komunikasi dalam terowong. Pandangan utama ini juga telah disedia maklumkan oleh pihak PLUS sendiri ialah ketiadaan saluran komunikasi di dalam terowong. Berbeza dengan Smart Tunnel, Terowong Menora ini tiada langsung liputan talian telefon bimbit dan juga siaran radio. Bagaimanapun saya difahamkan adanya usaha-usaha untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi ini pada masa yang terdekat ini.

Tiada Laluan Kecemasan. Saya dapati Terowong Menora ini tiada laluan kecemasan untuk kenderaan penyelamat masuk jika berlakunya kecemasan. Sebagai seorang yang terlibat dalam reka bentuk dan penyediaan tapak perlumbaan rally (special stage), saya sentiasa diingatkan untuk memastikan laluan alte. rnatif 9atau dikenali sebagai service route) tersedia untuk digunakan sama ada untuk operasi penyelamat dan juga kepada pihak lain seperti pemberita, dan sebagainya. Mungkin sukar untuk menyediakan laluan kecemasan (membesarkan) di Terowong Menora ini. Bagaimanapun saya difahamkan di dalam terowong ini ada jalan pintasan untuk kenderaan di antara dua belah terowong.

Nombor telefon kecemasan bersepadu. Saya difahamkan semasa latihamal ini berlaku sedikit kekeliruan penerimaan makluman kejadian oleh pihak bertanggungjawab. Nombor telefon kecemasan yang digunakan perlu jelas (penerimaan dan pengedaran makluman) supaya operasi menyelamat dapat diaktifkan segera.

Incident Commander (IC). Seperti dalam Arahan 20 MKN dan digunapakai dalam latihamal ini, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar dilantik sebagai IC. Sebagaimana yang pernah saya tulis sebelum ini dalam kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada tahun 2008, IC perlu dimudahkan pengenalan dirinya oleh bukan sahaja anggota penyelamat utama tetapi oleh semua sumber dan bantuan yang terlibat. Dicadangkan IC mengenakan Vest yang tertera perkataan Incident Commander di belakangnya.

Pelarasan istilah hierarki penyelamat. D alam latihamal ini setiap pasukan penyelamat mempunyai hierarki organisasi sendiri. Pelarasan istilah hierarki perlu untuk memastikan usaha menyelamat berjalan dengan lancar. Istilah utama seperti Incident Commander dan On Scene Commander (OSC)perlu dilaraskan. Dicadangkan untuk operasi bersepadu, istilah IC hanya dikhaskan untuk posisi utama (dalam latihamal ini ialah Ketua Polis Daerah) dan istilah OSC boleh digunakan untuk pasukan penyelamat masing-masing seperti Bomba, JPAM, Pasukan Tindakan Kecemasan Sri Sungai Dua Sdn. Bhd., dan sebagainya.

Lakukan seolah sebenar walaupun hanya latihan. Pengumpulan Barangan Peribadi Mangsa. Dalam latihamal ini, Pihak Polis mempamerkan kerja mereka sehinggalah membalut mayat mangsa yang telah disahkan meninggal dunia. Bagaimanapun Polis tidak menunjukkan (hanya memaklumkan) bagaimana mereka mengambil dan melabelkan barangan peribadi milik mangsa yang telah meninggal dunia. Pertunjukan pengambilan dan pelabelan barangan peribadi mangsa ini penting terutama ada waris-waris mangsa yang mempertikaikan kejadian kehilangan barangan peribadi mangsa selepas kemalangan.

Lakukan seolah sebenar walaupun hanya latihan. Membumikan (earthing) semasa pemindahan (pam) bahan bakar. Semasa Pasukan Tindakan Kecemasan Sri Sungai Dua Sdn. Bhd, melakukan pemindahan bahan bakar antara 2 lori, kakitangan mereka hanya membumikan penghujung wayar bumi ke celah batu kaki lima jalan. Setelah saya tegur baru kakitangan ini memasang crocodile clip itu ke gegelang man hole jalan. Walaupun kejadian sebegini hanyalah latihan, tindakan menyelamat perlulah dilakukan seolah-olah ia kejadian sebenar.

Makluman jika berlakunya kecemasan. Seperti makluman pengujian brek kenderaan selepas menuruni Terowong Menora menuju ke Selatan, pihak PLUS semestinya menyediakan makluman untuk pengguna kenderaan yang melalui (atau terperangkap) dalam terowong apa yang perlu, boleh dan tidak dilakukan jika mereka terperangkap di dalam terowong ini. Adakah mereka perlu mematikan enjin kenderaan untuk mengelakkan pengeluaran melampau karbon monosida? Perlukah mereka tinggal atau keluar dai kenderaan? Kalau terperangkap di dalam Terowong Menora, arah manakah yang perlu mereka keluar/ sama ada ke arah Utara atau ke arah Selatan? Dicadangkan makluman sebegini disediakan 9dengan tepat dan ringkas) di laluan sebelum memasuki terowong.

Tempat rehat anggota penyelamat terbabit. Mereka yang terlibat atau memahami proses dalam operasi menyelamat ini akan sedia maklum anggota penyelamat yang telah selesai tanggungjawab mereka akan mengambil kesempatan untuk berehat melepaskan penat lelah bertungkus-lumus sebelum itu. Bagaimanapun pandangan awam terhadap anggota penyelamat yang berehat ini (ada di antara berbaring keletihan dan ada yang dalam kesakitan!) mudah disimpulkan dengan pengertian yang salah. Ini akan lebih ketara jika di dalam kejadian sebenar. Cadangan saya tempat berehat anggota penyelamat tidak boleh berdekatan (atau bersebelahan) dengan Pusat Kawalan. Seeloknya jauh dari Pusat Kawalan dan kalau boleh terlindung dari pandangan orang awam. Pada masa yang sama, pihak penganjur (atau penyelaras logistik) perlu memastikan terdapatnya sebarang light resfreshment sekurang-kurangnya air minuman untuk mereka menghilangkan haus kepenatan. Walaupun nampak kecil perkara ini tetapi sebagaimana yang saya sering bincangkan di dalam kelas pengajaran saya, perkara ini boleh memberikan imej negatif kepada anggota penyelamat.

Pengenalpastian persekitaran tempat kejadian. Pihak penganjur latihamal ini dicadangkan supaya melabelkan (sepanduk bertiang dan sebagainya) di semua tempat kejadian seperti Tempat Kejadian Utama (Zon Merah), Zon Kuning, Zon Hijau dan sebagainya. Ini akan memudahkan banyak pihak memahami proses menyelamat, terutama mereka yang tidak tahu atau tidak pernah terlibat dalam latihamal berdasarkan Arahan 20, MKN. Sebagai contoh penggunaan Papan Berwarna Hijau di Kawasan Hijau Rawatan tidak berlabel (rasanya huruf tertanggal!).

Begitu juga mereka yang terlibat dalam latihamal ini seperti pemberita, jurugambar termasuklah vip, jemputan dan sebagainya, tag nama saya rasa tidak mencukupi, perlu vest keselamatan yang berlabel.

Postmortem. Cadangan asal postmortem ini ialah sebaik sahaja latihamal berakhir. Bagaimanapun disebabkan ada beberapa aktiviti susulan selepas latihamal seperti sidang akhbar, jamuan makan tengah hari dan sebagainya, postmortem ini ditangguh ke suatu hari yang akan diumumkan kelak. Penangguhan ini sebenarnya ada manfaatnya.

Di dalam kelas , saya selalu mengingatkan kepada pelajar-pelajar saya, masa mengadakan postmortem yang terbaik ialah sebaik sahaja latihan berakhir. Tetapi sejurus selepas berakhir bukanlah masa yang tepat kerana pada masa ini banyak pihak terbabit sibuk dengan aktiviti-aktiviti pengemasan dan sebagainya. Jika diadakan juga kemungkinan besar mereka yang hadir dalam postmortem ini dalam keadaan keletihan dan tidak dapat memberi maklum balas dengan sebaiknya. Cadangan saya ialah secepat-cepat sehari selepas latihan. Bagaimanapun jangan sampai melebihi 3 hari!

KESIMPULAN

Latihamal ini saya pasti berjaya mencapai objektifnya. Saya pasti ramai pengguna lebuh raya yang terperangkap akibat latihamal ini tidak puas hati dengan pihak PLUS tetapi kepentingan dan manfaat latihamal sebegini akhirnya akan kembali kepada pengguna lebuh raya sendiri jika berlakunya kecemasan seumpama ini.

Latihamal di lebuh raya sebegini perlu dikerapkan lagi. Dicadangkan sekurang-kurangnya 2 kali setahun dengan menggunakan lokasi berbeza. Selain lokasi dalam terowong, lokasi kemalangan te;ah dikenal pasti di kawasan yang kerap kemalangan juga perlu diadakan. Mungkin selepas latihamal seterusnya ialah di atas Jambatan Pulau Pinang.

Begitu juga kepada pihak MKN khususnya MKN Perak dan MKN negeri-negeri lain amnya, latihamal-latihan bencana yang meliputi semua 11 kategori yang dinyatakan dalam Arahan 20, MKN termasuklah Tsunami perlu diadakan sekerap mungkin. Latihamal bersepadu adalah sukar dilakukan tanpa kesungguhan usaha-usaha semua pihak yang terbabit. Tetapi dengan adanya latihamal bersepadu sebegini, sebarang bencana (yang tidak dielakkan) boleh di-mitigasi-kan.

Terima kasih saya kepada MKN Perak dan PLUS yang menjemput saya sebagai Pengadil dan juga Pemerhati latihamal ini. Sesungguhnya latihamal sebegini adalah satu pengalaman dan pengetahuan yan sukar diperolehi secara teori melalui bilik darjah terutama kepada diri saya yang terlibat secara langsung sebagai pengajar subjek Emergency Response dan juga sebagai salah seorang sukarelawan dalam beberapa NGO.

Pada masa yang sama semasa latihamal ini saya telah berjumpa semula beberapa bekas pelajar saya yang kini bertugas di pelbagai pihak yang terlibat dalam latihamal bersepadu ini seperti PLUS sendiri, Lembaga Lebuh raya Malaysia, DOSH Ipoh (masih dalam kursus) dan dari Pasukan Tindakan Kecemasan Sri Sungai Dua Sdn. Bhd. Kebetulan semua mereka ini pernah mengikuti subjek Emergency Response yang saya ajar dan mereka bersetuju banyak pengetahuan yang telah dipelajari digunapakai dalam latihamal ini dan pada masa yang sama juga banyak ruang untuk penambahbaikan subjek.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/