Racun Tikus – alternatif terakhir membasmi tikus
Seorang kenalan (bekas pelajar yang tidak pernah
belajar dengan saya) telah tag saya dalam komennya dalam FB mengenai posting tikus
berkeliaran di sebuah pusat membeli-belah yang terkenal. Saya faham maksudnya
agar saya memberi pandangan sebagai
pengamal OSH.
Sebenarnya secara logik di mana ada makanan pasti
adanya makhluk perosak sebegini. Keadaan lebih memudaratkan lagi jika sisa
makanan yang dibuang tidak dikawal.
Amalan asas yang terbaik ialah mengosongkan tong
sampah sebaik sahaja syif kerja berakhir. Ataupun jangan dibiarkan sampah
berada di dalam tong sampah semalaman.
Penggunaan racun tikus adalah alternatif terakhir
kerana ia amat merbahaya dan boleh memberi kesan sampingan terutama kepada
manusia.
Kawalan kejuruteraan seperti rekabentuk bangunan
tanpa tikus adalah digalakkan. Kebanyakan organisasi IT terkemuka di dunia
menggunakan rekabentuk bangunan tanpa tikus untuk mengelakkan binatang perosak
ini merosakkan kabel peralatan IT. Malah kalau terdapat kehadiran tikus,
kemungkinan adalah disebabkan sabotaj atau tindakan dengan sengaja memasukkan
tikus ke dalam bangunan tersebut.
Penggunaan perangkap tikus sama ada dalam bentuk
sangkar atau gam/getah perekat juga boleh diamalkan.
Kawalan
ekologi juga boleh diamalkan tetapi tidak sesuai untuk dalam bangunan seperti
pemeliharaan binatang pemakan tikus iaitu kucing, burung hantu dan ular.
Di
samping terdapat juga beberapa tumbuhan (termasuk buah) yang boleh mendatangkan
bau yang tidak disukai oleh tikus ini.
Akhir
sekali alternatif yang seboleh-bolehnya dielakkan ialah penggunaan racun tikus.
Sekiraya perlu dapatkan perkhidmatan Pest Control yang berwibawa dalam menangani
tikus dengan penggunaan racun ini.
Berikut
adalah satu artikel yang manfaat untuk dikongsi.
Bahaya Termakan Racun Tikus
Utusan Malaysia, 22 Julai,1995
Racun tikus boleh didapati dalam berbagai
jenama dan bentuk sediaan. Di Malaysia sahaja terdapat lebih kurang 60 jenama
yang berdaftar. Setengah daripadanya digunakan begitu meluas di ladang dan
kebun. Racun tikus yang digunakan di rumah biasanya dalam bentuk sediaan debu,
serbuk, butir dan umpan pepejal. Sediaan dalam bentuk butir berwarna biasanya
menarik perhatian kanak-kanak yang menganggap sebagai makanan ringan. Walaupun
ia tidak merbahaya pada manusia dan haiwan peliharaan tetapi setengah daripada
racun tikus mengandungi bahan kimia tertentu yang toksik kepada manusia.
Keracunan racun tikus kepada manusia bergantung kepada kandungan bahan aktif.
Kandungan bahan aktif (bahan kimia) dalam sediaan racun tikus terdiri dalam
berbagai jenis, antaranya; brodifacoum, bromadiolone, calcium cyanide,
chlorophacinone, coumatetralyl, doumatetralyl, flocoumafen, warfarin dan zinc
phosphide.
Racun tikus yang mengandungi bahan kimia yang amat toksik kepada manusia telah
diharamkan penjualannya oleh kerajaan dan tidak sepatutnya disimpan di rumah,
contohnya; arsenik, fosforus, talium, flourida, sianida dan strichnin.
Bahan-bahan kimia yang disebutkan tadi boleh menyebabkan keracunan ataupun maut
jika diambil dengan kadar dos yang tinggi. Di sini akan dibincangkan tentang
racun tikus yang ada di pasaran sekarang dan mungkin digunakan dan disimpan
oleh pembaca.
Racun tikus yang mengandungi bahan aktif zinc phosphide merupakan antara racun
yang merbahaya dengan mempunyai kadar toksik yang tinggi. Kandungan peratusan
bahan aktifnya adalah sebanyak 80%. Racun tikus ini mengeluarkan bau seperti
ikan busuk dan rasanya tidak akan membuatkan haiwan lain tertarik, tetapi ciri-ciri
ini menarik perhatian tikus.
Biasanya racun tikus ini terdapat di pasaran dalam bentuk serbuk dan pepejal.
Racun ini boleh memasuki badan kita menerusi saluran pernafasan, mulut atau
diserap melalui luka.
Bila racun ini dicampur atau bersentuhan dengan air atau asid lemah ia akan
membebaskan gas fosfin.
Dos
Anggaran dos mautnya lebih kurang 40 mg/kg. Keracunannya menyebabkan kesesakan
paru-paru, tekanan darah menjadi rendah, sukar bernafas, muntah, kadar denyutan
jantung tidak menentu, gelugut dan seterusnya menyebabkan koma, kerosakan
ginjal, pengurangan sel darah putih dan boleh membawa maut dalam masa 4 hari
hingga 2 minggu.
Jika berlaku keracunan rawatan awal yang perlu dilakukan ialah dengan
memberikan mangsa minuman susu atau air bertujuan meneutralkan asid dalam
perut, ikhtiarkan muntah dan segera bawa mangsa ke hospital untuk dapatkan
rawatan lanjut.
Antikoagulan (agen pencair darah) adalah kelas racun tikus mempunyai tahap
keracunan yang rendah pada manusia. Antikoagulan terbahagi kepada dua kumpulan
iaitu coumarin dan indanedione. Warfarin, difenacoum, bromadiolone dan
brodifacoum merupakan komponen utama 4-hydroxycoumarin manakala indanedione
pula terdiri daripada diphacinone, pindone dan chlorphacinone.
Kepekatan warfarin dalam setiap racun tikus biasanya antara 0.025 - 0.5%.
Warfarin tidak mempunyai rasa, bau ataupun warna. Brodifacoum, difenacoum dan
chlorphacinone dijual dalam pasaran dengan kepekatan antara 0.005 - 2%.
Kumpulan ini juga dikenali sebagai superwarfarin. Kesemua komponen tersebut
terdapat di pasaran dalam sediaan serbuk, butir, tablet dan kapsul.
Racun tikus warfarin bila dimakan berulangkali dalam masa sehari menyebabkan
pendarahan pada tikus mahupun manusia kerana darah tidak lagi mudah membeku.
Sekiranya hanya sekali sahaja diambil kesan toksik pada manusia tidak ketara.
Anggaran dos mautnya ialah lebih daripada 5-20 mg sehari diambil selama lebih
daripada 3-5 hari.
Kumpulan superwarfarin didapati lebih toksik daripada warfarin di mana ia boleh
memanjangkan lagi masa pendarahan. Dos keracunan kumpulan superwarfarin adalah
berbeza-beza mengikut kandungan racun tersebut. Dos keracunan melalui mulut
bagi chlorphacinone ialah 250 - 625 mg, 7.5 mg bagi brodifacoum (0.12 mg/kg)
dan 500 mg bagi difenacoum. Kumpulan ini sama juga dengan warfarin jika diambil
sekali tidak merbahaya pada manusia. Ketoksikannya akan bertambah jika diambil
berulangkali selama beberapa hari.
Tanda-tanda keracunan racun tikus antikoagulan seperti terasa mual atau muntah
dan ceret beret.
Racun
Pendarahan yang berlaku menyebabkan luka lambat sembuh, gusi atau hidung
berdarah, najis dan kencing berdarah dan dalam keadaan teruk boleh menyebabkan
renjatan dan tidak sedarkan diri akibat dari pendarahan dalam termasuk
pendarahan usus. Jika berlaku keracunan ikhtiarkan supaya mangsa muntah dan
segera bawa mangsa ke hospital.
Oleh itu, segala racun makhluk perosak yang digunakan di rumah janganlah
dipandang ringan walaupun ia kurang toksik. Jika terdedah berulangkali dalam
jangkamasa yang lama boleh menyebabkan keracunan kronik kepada pengguna. Walau
apa pun kes keracunan, pesakit harus mendapat rawatan dan pemeriksaan doktor
secepat mungkin untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku. Pusat
Racun Negara perlu dihubungi jika berlaku keracunan untuk mendapat nasihat dan
maklumat lanjut tentang keracunan.
Soalan: Bagaimanakah kaedah penyimpanan dan penggunaan racun tikus di rumah.
Racun tikus hendaklah disimpan dengan selamat sebelum dan selepas digunakan
untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Seelok-eloknya simpan
ditempat tinggi dan tidak dapat dilihat oleh kanak-kanak. Tempat simpanan yang
berkunci dan jangan simpan bersama bahan-bahan makanan dan minuman. Simpan
dalam bekas asal racun tersebut dan jangan pindahkan ke dalam bekas lain.
Kebiasaannya racun tikus digunakan pada waktu malam memandangkan pada waktu ini
tikus berkeliaran mencari makanan. Tempat racun diletakkan hendaklah tidak
mudah dilihat oleh kanak-kanak dan haiwan peliharaan. Gunakan bekas yang hanya
untuk menyediakan racun tersebut dan jangan sekali-kali gunakan bekas itu untuk
menyediakan makanan. Jangan sediakan racun tikus dengan tangan dan sebaiknya
cuci tangan selepas menyediakan racun tersebut.