Thursday, February 3, 2011

Kepimpinan OSH mestilah melalui teladan dan bukannya semata-mata arahan

Posting asal pada 30 Okt 2007 di sini

Kepimpinan OSH mestilah melalui teladan dan bukannya semata-mata arahan

”Do as I say, not as I do”, adalah satu bentuk kepimpinan yang berkuasa-veto. Dalam perlaksanaan OSH, bentuk kepimpinan ini hanya berjaya untuk masa yang singkat. Apabila pemimpin yang berkuasa-veto ini kehilangan kuasanya atau pemimpin ini sendiri yang ”hilang”, perlaksanaan OSH itu dengan sendirinya akan merundum kembali ke keadaan asal.

Tetapi bentuk kepimpinan berkuasa veto ”do as I say, not as I do” ini juga kadang-kadang dapat menjayakan perlaksanaan OSH dengan jayanya sekiranya pengikut-pengikut pemimpin ini (atau pekerja-pekerjanya) dapat memahami kesan-kesan buruk implikasi yang akan timbul sekiranya mereka (pengikut atau pekerja) ini masih mahu melakukan apa yang perkara negatif yang masih diamalkan (atau dilakukan) oleh pemimpin mereka ini.

Saya ambil satu contoh mudah. Ayah saya seorang perokok dan dia dengan garangnya memberi amaran kepada saya semasa saya masih bersekolah rendah lagi agar tidak menjadi seorang perokok.

Saya rasa pendekatan ayah saya ini melarang saya merokok menjadi lebih berkesan apabila dia tidak dengan secara terang-terangan merokok di hadapan saya. Ayah begitu teliti menyimpan kotak rokok di dalam rumah, mahupun abu rokok dan bekas abu rokok. Jauh sekali dia hendak menyuruh atau memesan kepada saya untuk membelikannya rokok jika saya hendak ke kedai runcit yang berdekatan rumah kami semasa saya berusia belasan tahun. Malah seingat-ingat saya dia tidak pernah menyuruh saya mengambil rokok untuk diberikan kepadanya.

Minggu lepas di sebuah kedai runcit berdekatan rumah saya di Kamunting, pemilik kedai tersebut merunggut panjang tetapi masih juga menjual sekotak rokok kepada seorang kanak-kanak perempuan yang usianya saya pasti belum lagi menjangkau umur 10 tahun. Manakala ayah kepada anak perempuan itu menunggu di atas motosikal di luar kedai.

Saya teringat kejadian yang hampir sama beberapa tahun lepas di sebuah kedai yang lain apabila pemilik kedai tersebut enggan menjual rokok kepada seorang kanak-kanak belasan tahun walaupun beliau tahu kanak-kanak tersebut anak kepada tetangga yang berhampiran dan rokok yang hendak dibeli itu adalah untuk ayahnya.

Kata pemilik kedai tersebut kepada kanak-kanak; ”Cakap kepada ayah awak kalau pakcik jual rokok ini kepada awak, pakcik boleh kena tangkap dengan polis!”.

Mungkin disebabkan pendekatan ayah saya itu, saya bukan seorang perokok sehingga hari ini dan saya pasti dalam hal merokok ini saya boleh berkata kepada anak saya; ”do as I say, and as I do”.

Kesimpulan mudah dari siratan kali ini ialah walaupun anda seorang perokok, jangan sama-sekali anda merokok secara terang-terangan di hadapan anak kecil anda. Apatah lagi cara anda merokok seolah-olah membayang ”dunia ini anda yang punya” dan tanpa mempunyai sedikitpun rasa bersalah. Jangan sekali-kali menyuruh atau memesan anak kecil anda itu membelikan rokok untuk anda walaupun ketika itu sekadar anda berada di dalam kereta di hadapan kedai.

Jangan sekali-kali dengan sengaja atau tidak sengaja memberitahu atau membayangkan kepada anak kecil anda bahawa perbuatanb merokok hanya dilarang kepada kanak-kanak dan tidak kepada orang dewasa. Seterusnya ialah memberi kesedaran kepada anak kecil anda tentang keburukan rokok dan implikasinya kepada kesihatan. Langkah yang terbaik ialah berhenti merokok dengan sendirinya atau sekurang-kurang mencuba untuk mengurangkan bilangan rokok yang anda hisap.

Kalau langkah-langkah di atas tidak juga berjaya, dapatkan pertolongan atau nasihat khidmat runding. Kerajaan melalui Kementerian kesihatan telah memperkenalkan perkhidmatan secara percuma melalui hospital-hospital kerajaan kepada perokok-perokok untuk membuang tabiat buruk ini. Bukan sahaja dengan khidmat runding secara kauseling, mereka juga menyediakan beberapa alternatif material kepada perokok-perokok ini.

Dapatkan bantuan ini dan saya pasti seketika kelak, anda boleh berkata; ”do as I say and as I do”, kepada anak anda.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

No comments: