Saturday, July 27, 2013

Keselamatan Kanak-kanak Semasa Keluar Membeli-belah


Keselamatan Kanak-kanak Semasa Keluar Membeli-belah

Antara perkara yang kami suami-isteri paling cuba elakkan semasa anak lelaki kami berusia sekitar 4 dan 5 tahun dahulu ialah keluar membeli-belah. Anak lelaki kami yang lahir tidak cukup bulan ini dianggap oleh doktor sebagai hyperactive pada usia 4 dan 5 tahun ketika itu. Ketika ini juga anak lelaki kami itu sudah tidak mahu lagi menggunakan kereta tolak kanak-kanak.

Dengan susuk badannya yang kecil dan kurus (ketika itu), mudah sekali dia melepaskan diri dari pandangan kami suami-isteri.

Dengan nasihat pakar, doktor kanak-kanak dan juga melalui pembacaan, kami rasanya berjaya “mengekang” sifat hyperactive anak lelaki kami itu semasa keluar membeli-belah. Bagaimanapun kami tidaklah sampai menggunakan tali pengikat seperti yang pernah disyorkan oleh seorang doktor kanak-kanak. Antara langkah-langkah yang diamalkan kami ialah:

Persedian Awal Sebelum Keluar Rumah

Pilih waktu dan masa sesuai. Jangan pilih waktu tengahari atau waktu lain yang kurang sesuai untuk keluar rumah. Jangan ajak atau paksa anak kecil ini keluar rumah bersama kita semasa mereka sedang menonton tv siri kegemaran mereka. Seeloknya elakkan mereka menonton tv atau membuat apa-apa aktiviti kegemaran mereka sejurus sebelum keluar rumah.

Ibubapa perlu bersiap dahulu. Begitu juga dengan persiapan kenderaan yang hendak digunakan. Jangan biarkan kanak-kanak menunggu terlalu lama untuk memulakan perjalanan setelah mereka siap berpakaian.

Sedondong! Iya, itulah yang dicadangkan oleh pakar kanak-kanak. Pakaian dengan warna yang sama atau hampir sama sebenarnya memudahkan untuk kanak-kanak ini dicam ataupun sebaliknya untuk mereka mengecam ibubapa mereka.

Pengenalan di kepala (bahagian tertinggi kanak-kanak) seperti topi pada anak lelaki atau skaf dan tudung pada anak perempuan yang berwarna garang dan mudah kelihatan dari jarak jauh. Elakkan warna hitam atau puteh.

Deringan pada aksesori pakaian atau kasut. Pakar juga mencadangkan agar kanak-kanak terutama yang superactive mengenakan aksesori pakaian atau kasut yang mengeluarkan deringan. Deringan ini boleh membantu ibubapa lebih peka (alert) dengan kehadiran yang hampir kanak-kanak ini dengan mereka. Deringan yang mula pelahan menandakan kanak-kanak itu mula berjauhan.

Pastikan kanak-kanak bersedia untuk memulakan perjalanan. Ibubapa perlu memenuhi kehendak-kehendak asas kanak-kanak ini seperti makan (sekadar mengalas perut, jangan pula terlalu kenyang), buang air kecil/besar dahulu dan sebagainya.

Malah ibubapa juga perlu memenuhi kehendak-kehendak asas ini sendiri sebelum memulakan perjalanan.

Memaklumkan rancangan perjalanan kepada kanak-kanak. Walaupun kanak-kanak ini belum mengerti sepenuhnya, ibubapa perlu memaklumkan rancangan perjalanan kepada mereka. Gambarkan perjalanan dengan membayangkan keseronokan semasa berperjalanan ini.

Malah pakar kanak-kanak mengesyorkan agar kegembiraan atau keseronokan untuk keluar rumah itu dizahirkan secara lebih awal atau berulang kali. Mungkin boleh dizahirkan secara menyanyikannya.

Jangan pakaikan aksesori yang mahal dan mewah (atau nampak mahal dan mewah!) kepada kanak-kanak seperti rantai, subang dan sebagainya. Malah jam walaupun sebenarnya berharga murah juga tidak digalakan.

Merancang perjalanan

Kami cuba merancang seteliti yang mungkin dan cuba mematuhi perancangan asal atau perancangan awal. Harus dingatkan ketika penghujung 90an itu kami berdua suami-isteri belum lagi menggunakan kemudahan telefon bimbit.

Langkah awal ialah memulakan pembelian untuk anak dahulu. Kemudian giliran saya sebagai bapa dan akhir sekali giliran isteri saya. Sekiranya semasa tiba giliran isteri, anak saya sudah mula membuat perangai (jemu), saya akan membawanya ke kawasan menjual alat permainan ataupun terus ke tempat makanan (pusat penjaja). Pada masa yang sama ianya memberi peluang masa yang lebih panjang untuk isteri saya membeli-belah ataupun memilih pakaian yang diminatinya.

Langkah kedua ialah memastikan tiada atau kurang barangan yang dibawa ketika berjalan. Ini bertujuan agak saya atau isteri tiada bermasalah untuk memegang tangan anak saya tersebut. Ini bermakna barangan yang dibeli dihantar dan disimpan di dalam kereta sebelum menyambung sesi membeli-belah ataupun pergi ke tempat lain.

Melekakan mereka seketika

Ada pakar kanak-kanak yang mengesyorkan agar kanak-kanak ini dilekakan seketika. Syoran pakar ini ialah permainan yang selamat. Elakkan permainan yang sukar dipegang atau digengam seperti bola kerana ianya mudah terlepas dari genggaman anak kecil ini.

Alat permainan yang sesuai ialah jenis bertali (tali pendek) yang boleh dikepilkan pada pakaian. Ataupun jenis bertali dengan gegelang yang boleh disarung pada pergelangan tangan anak kecil ini.

Yang dahulu didahuluikan

Bagaimana anda memesan menu makanan untuk dimakan? Biasakan memesan makanan atau minuman untuk sikecil dahulu. Minta dihantar dahulu makanan anak kecil ini. Atau pesan dahulu makanan ringan kesukaan mereka.

Ini bertujuan mengelakkan kanak-kanak ini menjadi jemu jika terlalu lama menunggu makanan siap dihidang.

Bersedia Untuk Sebarang Kemungkinan

Ada pakar kanak-kanak yang mencadangkan kanak-kanak dipakaikan dengan tag nama lengkap dengan keterangan atau butiran ibubapa. Tetapi langkah inijuga merbahaya jika ada penculik yang ingin ambil kesempatan.

Saranan lain ialah memastikan ada butiran ibubapa di dalam kocek atau saku pakaian kanak-kanak ini untuk memudahkan pihak berkuasa untuk menghubungi ibubapa jika terjadinya kehilangan kanak-kanak ini.

Ibubapa jangan panik jika menyedari kehilangkan anak kecil mereka. Jangan ambil masa terlalu lama cuba mencari kanak-kanak hilang ini. Terus berhubung dengan pihak berkuasa di tempat membeli belah atau polis.Maklumkan pengenalan kanak-kanak tersebut seperti saiz badan (gempal atau kurus), ketinggian, warna pakaian dipakai, lokasi terakhir dilihat dan sebagainya.

Sepatutnya kanak-kanak yang berusia 4 tahun ke atas (atau lebih muda) sudah boleh menyebut nama penuh kedua-dua iubapanya dan juga beberapa makluman asas seperti tinggal di mana dan sebagainya. Maklumat sebegini penting jika kanak-kanak ini dijumpai berkeliaran oleh pihak berkuasa.

Akhir sekali pepatah lama ada menyebut – biar anak menangis sekarang jangan ibubapa menangis kemudian ada benarnya. Ketegasan ibubapa juga perlu untuk menangani sebarang masalah berkaitan kanak-kanak semasa keluar membeli-belah. Jalan yang paling selamat ialah tidak atau kurangkan membawa kanak-kanak keluar membeli-belah. Cari alternatif atau pendekatan lain untuk membeli peralatan keperluan kanak-kanak ini tanpa perlu membawa mereka bersama.

http://oshthejouurney.blogspot.com/

Pesanan Semasa Berkenderaan Pulang Bercuti


Pesanan Semasa Berkenderaan Pulang Bercuti

Takala menghampiri cuti perayaan sebegini, saya terkenang CEO kilang simen di Ipoh semasa saya bekerja di sana dahulu sekitar tahun 2006 dan 2007.

Setiap kali menjelang cuti perayaan terutama di petang hari terakhir bekerja, beliau akan membuat pengumuman melalui pembesar suara ataupun beliau sendiri akan berdiri di pondok pengawal keselamatan untuk menyampaikan pesanan berkaitan OSH.

Pihak pengurusan pejabat serta pihak kawalan keselamatan tempat saya bekerja sekarang ini juga turut menyampaikan pesanan-pesanan penting berkaitan cuti perayaan sebegini tetapi lebih kepada keselamatan sekuriti. Rujuk di sini.

Antara organisasi lain yang aktif dalam pesan-memesan ini adalah PLUS yang menunaikan tanggungjawab OSH mereka bukan sahaja kepada pekerja sendiri (Seksyen 15, OSHA 1994) tetapi juga kepada orang lain selain dari pekerja mereka (Seksyen 17, OSHA 1994) yang berada di premis mereka iaitu lebuhraya.

Antara pesanan PLUS ialah:

1.       Rancang perjalanan berdasarkan jadual  Cadangan Waktu Perjalanan (TTA Travel Time Advisory) yang dikeluarkan oleh PLUS
2.       Periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan
3.       Jangan berhenti di lorong kecemasan kecuali berlaku kecemasan
4.       Berhenti rehat di R&R atau Hentian Sebelah sekiranya anda berasa mengantuk
5.       Pastikan Kad PLUSmiles atau Touch 'n Go anda mempunyai baki yang mencukupi untuk perjalanan anda
6.       Jangan memandu di lorong kecemasan kecuali diarahkan oleh Polis
7.       Jangan mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat
8.       Patuhi had laju yang ditetapkan
9.       Pakai tali kaledar
10.   Hormati had anda dan had kemampuan kenderaan anda
11.   Pandu dengan berhemah pada setiap masa

PLUS juga menyarankan pengguna sentiasa merujuk laman web PLUS  dan berhubung melaluitwitter atau talian PLUSline 18 0088 0000 untuk mendapatkan sebarang maklumat perjalanan dan sebagainya.

Sebenarnya selain dari 11 pesanan di atas, mereka yang akan menggunakan kenderaan untuk pulang menyambut perayaan perlu bersedia dengan perkara-perkara berikut:

Merancang Perjalanan

Benjamin Franklin pernah berkata - "If you fail to plan, you are planning to fail!" Sememangnya tanpa perancangan yang menyebabkan kita gagal atau seolah-olah kita yang merancang untuk gagal.

Perancangan yang baik tidak semestinya memerlukan perancangan yang lengkap dan teliti. Selain dari cuba mengikut syoran PLUS berdasarkan jadual  Cadangan Waktu Perjalanan (TTA Travel Time Advisory), anda boleh membuat perancangan asas iaitu di mana anda merancang untuk perhentian yang pertama, kedua atau seterusnya semasa dalam perjalanan. Cuba patuhi perancangan awal atau perancangan asal kecuali jika kecemasan atau ada perkara yang tidak dapat dielakkan seperti tiba-tiba terasa untuk buang air dan sebagainya.

Anda sebenarnya boleh membuat perancangan berhenti untuk dua tempat berbeza seperti berhenti membuang air kecil atau besar di hentian kecil dan berhenti pula untuk semata-mata menjamu selera di perhentian R&R. Walaupun di perhentian R&R kemudahan untuk buang air kecil dan air besar ini banyak tetapi biasanya di musim perayaan ianya sentiasa penuh.

Di bulan Ramadan ini, biasanya juga tempat duduk semasa waktu berbuka di R&R sentiasa penuh. Dengan perancangan awal, anda boleh berhenti berbuka dengan bekalan yang dibawa di hentian kecil ataupun berbuka di dalam kereta di tempat letak. Saya biasa berjumpa keluarga yang menghamparkan helaian tikar plastik berhampiran kenderaan mereka di tempat letak kereta sambil menjamu selera bersama-sama.

Kenderaan Anda Dalam Keadaan Siapsiaga

Sehari atau malam sebelum bertolak, pastikan kenderaan anda dalam keadaan siapsiaga atau kesiapsediaan. Bukan sahaja memastikan bahan bakar (petrol atau diesel) memenuhi tangki tetapi juga pastikan tekanan udara dalam tayar terisi elok dan juga air atau pencuci cermin telah diisi semula.

Elakkan dari mengisi petrol sejurus sebelum bertolak ataupun mengisi petrol di dalam perjalanan seperti di lebuhraya atau sebagainya. Isi lebih awal!

Bilah pencuci cermin (wiper) juga perluditukar jika sudah atau mula tidak berfungsi dengan sempurna.

Mencuci kenderaan sebelum memulakan perjalanan juga adalah langkah terbaik untuk mengesan sebarang masalah atau kerosakan kenderaan anda secara visual.

Peralatan Kecemasan Semasa Berkenderaan

Mesti dingatkan peralatan kecemasan ini bukanlah peralatan membaiki kerosakan kenderaan anda. Peralatan kecemasan ini bertujuan membantu anda dari kemudaratan lain yang boleh berlaku akibat dari kerosakan kenderaan anda.  Anda boleh rujuk posting-posting lama saya berkaitan peralatan kecemasan semasa berkenderaan ini di sini, di sini dan di sini.

Jangan lupa juga memastikan tayar ganti dalam keadaan siapsiaga.

Jangan Bawa Bebanan Berlebihan Di Dalam Kenderaan

Sebenarnya bebanan berlebihan yang dibawa akan menyebabkan penggunaan bahan bakar (petrol atau diesel) akan meningkat.

Bebanan yang tidak disusunatur dengan baik juga boleh membahayakan pemanduan serta tidak menyelesakan penumpang yang lain.

Barangan yang tidak ditempatkan dengan betul (loose) boleh membahayakan (menghentam) pemandu dan penumpang jika kenderaan diberhentikan dengan mengejut ataupun semasa kemalangan. Barangan seperti payung, botol pewangi, kasut ataupun penghiasan seperti model kereta dan sebagainya seeloknya dielakkan dari diletakkan di dalam kereta secara tidak bertempat (loose).

Bawa Air Untuk Diminum Sahaja

Bekalan air di dalam kenderaan hanya untuk tujuan diminum bukanlah untuk tujuan lain seperti untuk kegunaan penyejuk radiator dan sebagainya. Pastikan juga air ini dalam bekas yang boleh bertutup kemas dan diletakkan di dalam ruang khas bekas air.

Jangan lupa makanan terutama jika ada anak kecil di dalam kenderaan anda. Bekalan makanan juga perlu sebagai persediaan untuk berbuka puasa. Jangan terlalu berharap untuk membeli di perhentian R&R untuk juadah berbuka semasa bulan Ramadan ini.

Persediaan Menghilangkan Perasaan Jemu Semasa Perjalanan

Jika berkenderaan sambil membawa anak kecil, anda perlu bersedia untuk menghilanglan perasaan jemu anak kecil ini semasa perjalanan. Selain dari penggunaan tayangan VCD melalui perakam, anda juga boleh bersedia dengan pelbagai kaedah lain seperti alat pemainan ringkas seperti kad, bahan bacaan ringan atau sekadar berkongsi cerita sesama ahli keluarga.

Tidak dapat dinafikan gadget elektronik amat membantu menghilangkan perasaan jemu ini semasa berperjalanan. Tetapi jangan pula lupa apabila leka dengan gadget-gadget seperti ini kita membiarkan pemandu seolah-olah berseorangan memandu kenderaan! Sekali-sekala sapalah atau berbual-buallah dengan pemandu untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk beliau.

Persediaan Kerohanian

Di samping bersedia dari segi kesihatan dan juga kesiapsiagaan kenderaan, persediaan kerohanian juga perlu. Berdoalah sebelum memulakan perjalanan. Sentiasa berlapangdada dan merendah diri semasa berkenderaan.

Selamat Berkenderaan Pulang Bercuti

http://oshthejourney.blogspot.com/

Monday, July 22, 2013

Ditimpa Emas, Ditimpa Batu dan Ditimpa Epal


Ditimpa Emas, Ditimpa Batu dan Ditimpa Epal

Hujan Emas, Hujan Batu dan Hujan Epal

Ada dua lagi posting yang dibuat oleh sdr Muhammad Asri Mat Lazin dalam mailing list NRG-SHE yang pasti ada manfaatnya untuk dikongsi mereka yang selain dari senarai penerima email mailing list NRG-SHE.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Hujan batu di negeri sendiri
Muhamad Asri Mat Lazin, asristar@gmail.com

Dulu depa kata: "Walau hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berada di negeri sendiri".

Namun, berita "hujan batu pembunuh" yang disiarkan oleh  media pada 20 Julai 2013, jelas hujan batu tidak boleh diterima. Dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Ringan MIEL, Seri Alam, Johor Bahru tersebut, seorang pekerja terbunuh dan 11 orang dilaporkan parah. Mereka menerima musibah angkara kerja-kerja meletupkan batu dari sebuah kuari di mana letupan kuat menyebabkan batu granit berterbangan dalam radius 1 kilometer. Kilang bersebelahan kuari yang menjalankan pemprosesan minyak sawit dan bahan kimia dilaporkan menngalami kerugian antara RM3 - RM8 juta kerana perlu menghentikan operasi akibat kerosakan mesin yang ditimpa hujan batu itu.

Kejadian ini memberikan contoh tepat betapa pekerja di sesuatu kawasan perindustrian perlu diberitahu tentang hazard dan risiko dari kilang bersebelahan. Kilang yang berisiko tinggi dan boleh membahayakan pihak lain wajar memaklumkan aktiviti mereka kepada komuniti sekeliling. Di samping itu, tidak sewajarnya menempatkan industri ringan bersebelahan dengan industri berat yang beriko tinggi. Kejadian ini juga memberikan iktibar bahawa zon penampang adalah penting. Dalam kejadian di tempat lain, zon penampang memainkan peranan dalam konteks kawalan pelepasan berbahaya seperti gas toksik atau zarahan. Dalam kes hujan batu di Johor Bahru, hazard bukan  lagi pelepasan zarahan kecil malah ia dalam bentuk "peluru batu" yang membunuh.

Bertuah selepas ditimpa buah epal - versi OSH
Muhamad Asri Mat Lazin, asristar@gmail.com

Terima kasih kepada pihak NRG-SHE yang menganjurkan majlis berbuka puasa di UiTM Permatang Pauh pada 20 Julai 2013. Majlis yang dapat mengeratkan persaudaraan. Boleh bertanya khabar dan bersembang sesama pengamal OSH.

Seperti biasa pelbagai juadah dihidangkan. Menikmati buah-buahan potong termasuk epal membawa fikiran melayang jauh. Ya, suatu ketika dahulu, seorang budak ditimpa sebiji epal di atas kepala. Dia adalah Isaac Newton. Semasa di sekolah, gurunya tidak menaruh harapan tinggi terhadap tahap kecerdikannya. Namun, Newton ingin mencari punca kenapa buah itu jatuh ke bumi. Diringkaskan cerita, lahirlah Teori Graviti Newton yang banyak dimanfaatkan selepas itu.

Dengan menekuni atau fokus terhadap sesuatu, boleh menghasilkan penemuan baru yang bermanfaat. Semasa belajar di Jalan Semarak KL lama dahulu, saya kerap juga duduk sekejap selepas solat untuk mendengar taklim atau `majlis fikir' yang dibuat oleh rakan-rakan tabligh. Antara ungkapan depa yang masih saya ingat: "Tuan-tuan, kita perlu fikir atas iman dan amal untuk berjaya di sisi Allah. Seperti juga di dunia. Ada yang beri fikir terhadap besi. Maka, akhirnya besi yang berat kini boleh terbang (maksudnya dicipta kapal terbang)".

Maka begitulah juga dengan kita. Apa juga kepakaran dan kemahiran OSH yang dimiliki kini perlu terus dikembangkan.

Fikir dan terus fikir. Belajar dan terus belajar. Hasilkan sesuatu yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat.

Seperti kata orang Jepun - Kaizen ! Kaizen ! Kaizen. Seperti tuntutan sistem pengurusan iaitu `continual improvement'.

Di sisi agama pun diminta supaya beramal sehingga hari ini lebih baik berbanding semalam.

Moh ! Para pengamal OSH, teruskan perjuangan. Sesungguhnya bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang akan menamatkanya....

Wednesday, July 17, 2013

Kedai nasi kandar meloyakan


Kedai nasi kandar meloyakan
Siti Nadiah, 16 Julai 2013, Kosmo

BAYAN LEPAS - Selamba saja si tukang masak sebuah restoran nasi kandar di sini memakai singlet serta berkain pelekat yang diikat tinggi, sambil memasak lauk pauk untuk dijual kepada pelanggan.

Tepung yang digunakan untuk membuat roti canai dan pelbagai jenis roti lain pula hanya diletakkan di sebelah tandas sahaja.

Bukan itu saja, si tukang masak yang juga dipercayai pemilik restoran berkenaan mengejutkan pegawai penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ketika membuka peti sejuk tempat menyimpan bahan mentah.

Di dalam peti tersebut didapati kuah kari meleleh di segenap ruang dalam peti sejuk yang terdapat di dalam restoran yang terletak di kawasan Bayan Lepas itu.

Operasi mengejut yang bermula seawal jam 8.30 pagi semalam turut mendapati darah haiwan bertakung di atas lantai di bahagian dapur belakang.

Tidak basuh sebelum masak

Ketua Unit Inspektorat dan Perundangan JKNPP, Ideris Mohamed kemudiannya bertanya kehairanan bagaimana telur yang dimasak untuk pelanggan dipecahkan dalam keadaan yang mengotorkan.

“Saya tahu telur-telur ini memang tidak basuh kerana lihatlah bagaimana keadaan kamu gunakannya, kamu basuh atau tidak?,” katanya.

Kemudian selamba sahaja lelaki yang penuh dengan jambang itu mengaku kepada penguat kuasa telur ayam yang dimasaknya langsung tidak dibasuh sebelum dimasak.

Ketika ditegur supaya mencuci peti sejuk, lelaki berkenaan dengan nada ceria menjawab, ‘hari-hari saya cuci encik’.

Jawapannya hanya disambut dengan senyuman daripada anggota penguat kuasa sedangkan kacang dal yang berada di dalam peti sejuk sudah mula tumbuh akar.

Pemeriksaan kebersihan itu kemudiannya beralih ke sebuah lagi restoran nasi kandar yang terletak di hadapan lokasi restoran yang sama.

Ketika melangkah ke satu ruangan yang dipenuhi bekalan tepung dan gula dalam restoran itu, didapati lipas dan pelbagai jenis serangga memenuhi kawasan tersebut.

Akibatnya, kedua-dua restoran berkenaan diarahkan tutup oleh JKNPP selama dua minggu.

Operasi setiap bulan

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,  Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, operasi hampir tujuh jam itu mengakibatkan 22 premis makanan ditutup di seluruh Pulau Pinang.

Menurutnya, sebanyak 34 premis diperiksa dan hampir 50 peratus daripadanya melibatkan kedai nasi kandar.

“Kesemua premis yang ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983, sekiranya didapati bersalah, pemilik premis boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Sekiranya dalam tempoh dua minggu ada antara pemilik premis yang berdegil, kami tidak akan teragak-agak dan akan mengambil tindakan pendakwaan di mahkamah,” katanya.

Operasi yang turut melibatkan Bahagian Perlesenan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan pejabat Kementerian Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu turut mengeluarkan sebanyak 57 kompaun dan enam notis amaran dari KPDNKK.

Bermula Januari 2013 hingga Julai ini, sebanyak 96 premis ditutup atas kesalahan terlalu kotor di seluruh negeri ini sementara 3,288 telahpun diperiksa. Ku Nafishah berkata, pihaknya akan menjalankan risikan selama lima hari untuk melihat premis yang mana perlu diperiksa.

“JKNPP kami akan menjalankan operasi kebersihan ini setiap bulan sehinggalah memastikan premis makanan di Pulau Pinang mencatat tahap kebersihan yang sepatutnya,” katanya.



 Selamba saja si tukang masak bersinglet dan berkain pelekat diikat tinggi ini menyediakan bahan masakannya di tepi tandas dengan pintu terbuka.

 Sudah tumbuh akar, begitulah rupa kacang dal yang disimpan dalam peti sejuk sebuah restoran nasi kandar

Pegawai kesihatan mengesan lipas yang begitu banyak dalam stok tepung dan gula di sebuah premis nasi kandar

Tuesday, July 16, 2013

Tangan hancur angkara mercun

NGERI...Tangan kiri Ahmad Fuad yang cedera setelah mercun buatan sendiri meletup dalam genggamannya di Kampung Teluk Kandis, Kota Bharu semalam.

Tangan hancur angkara mercun
Oleh YATIMIN ABDULLAH
berita@kosmo.com.my 16 Julai 2013

KOTA BHARU – Keghairahan seorang lelaki untuk menghasilkan mercun dengan menyumbat belerang daripada pelbagai jenis mercun ke dalam batang besi payung hampir menyebabkan tangan kirinya kudung apabila bahan ‘uji kajinya’ itu meletup ketika berada dalam genggamannya.
Kejadian yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 4 petang Sabtu lalu itu menyebabkan mangsa, Ahmad Fuad Jaafar, 27, terputus jari tengah dan jari manis, manakala tapak tangannya turut terkoyak.
Mangsa yang berasal dari Kampung Telok Kandis dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZII) di sini menggunakan ambulans untuk menerima rawatan kira-kira pukul 5 petang pada hari kejadian ekoran kecederaan parah yang dialaminya.
Menurut sumber, mangsa tersebut menceritakan kepada pasukan perubatan yang merawatnya bahawa kejadian itu berlaku ekoran belerang yang disumbat di dalam batang payung itu tiba-tiba meletup.
“Menurut mangsa, dia mengumpul belerang yang banyak di dalam batang besi itu dan ketika sedang memampatkannya, ia tiba-tiba meletup sehingga terkena tangannya,” cerita sumber itu kepada Kosmo! di sini semalam.

Monday, July 15, 2013

Bila mercun boleh dibeli secara online!

Bila mercun boleh dibeli secara online!

Harap pihak berkuasa ambil tindakan.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Posting berkaitan di sini.

Sunday, July 14, 2013

Nampak mudah dan ringkas sahaja tetapi amat berguna




Nampak mudah dan ringkas sahaja tetapi amat berguna

Antara benda yang selalu hilang dalam simpanan saya ialah Nozzle Hose pada Spray Can sama ada penyembur rantai motosikal ataupun penyembut cat.

Penyembur rantai motosikal jenis Faito saya baru sahaja kehabisan. Penyembur rantai motosikal jenis Faito ini agak unik rekabentuknya. Nozzle Hosenya disekalikan dengan Nozzle Head dan boleh dilekatkan kepada penutup tin penyembur apabila selesai digunakan.

Apabila saya membeli penyembur rantai motosikal berjenama lain, kelebihan sebegini tiada. Kebanyakan penyembur rantai motosikal masih lagi menggunakan rekabentuk lama di mana Nozzle Hose perlu diikat pada badan tin selepas digunakan.

Apa yang saya buat ialah saya tukarkan penutup tin penyembur yang kebetulan sama saiznya. Selesai masalah sering kehilangan Nozzle hose ini.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Pulangan berterusan menerusi OSH (Part 1)


Pulangan berterusan menerusi OSH (Part 1)
Muhamad Asri Mat Lazin, asristar@gmail.com

(Berikut adalah catatan/posting yang dibuat oleh seorang kenalan baru OSH dalam mailing email NRG-SHE. Semoga melalui blog ini lebih ramai yang bermanfaat dengan penulisan dan kupasan beliau berkaitan OSH - Lukman).

Menerusi kursus, forum dan sebagainya, pengamal OSH telah diberi faham bahawa kerjaya mereka adalah suatu yang mulia.

Ya, kita menyumbang ke arah kebahagian hidup manusia. Mengurangkan penderitaan akibat kemalangan, penyakit, keracunan, kejadian berbahaya dan sebagainya. Di Malaysia, yang warganya mempunyai pegangan agama, mengharapkan pulangan dari pekerjaan yang dilakukan termasuk dalam bidang OSH.

Di sisi agama Islam misalnya, 3 golongan yang masih menerima pahala amal walaupun telah meninggal ialah mereka yang mempunyai anak yang soleh (mendoakannya), ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah jariah. Jika kita golongan berduit, boleh infak untuk mendirikan akademi keselamatan dan kesihatan untuk manfaat orang ramai. Atau, untuk menempatkan diri sebagai insan bertuah yang mendapat pulangan berterusan ialah dengan berkongsi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang OSH. Sama ada menjadi OSH trainer, pensyarah KKP atau blogger aktif seperti En Lukman.

Saya nak imbas sejenak, sumbangan tokoh perubatan silam iaitu Ibn Sina (Avicenna) 980-1037M. Saya tak pasti adakah beliau adalah OHD. Ibn Sina telah menghasilkan 250 buah karya yang masih kekal sehingga hari ini termasuk 116 buah karya dalam bidang perubatan. Buku karangannya yang berjudul `Al-Qanun Fit-Tibb' (Peraturan Perubatan) dianggap sebagai himpunan perbendaharaan perubatan yang agung. Ia telah diterjemah ke dalam banyak bahasa. Buku itu dijadikan rujukan utama di universiti-universiti di Eropah sehingga tahun 1500M. Buku itu diulang cetak sebanyak 16 kali (rujukan: Sains Menurut Perspektif Islam, UKM, 1990).

Bersambung... insya'allah

Pulangan berterusan menerusi OSH (Part 2)

Mengambil teladan dari kesungguhan Ibnu Sina yang menghasilkan 250 buah karya bagi berkongsi pengetahuan dalam bidang perubatan, maka wajar sekali pengamal OSH mengambil pendekatan yang sama. Betul, sudah banyak buku mengenai OSH di pasaran. Tapi, kita sebagai mata rantai pengamal OSH, mesti turut menyumbang.

Ya, kita juga perlu wariskan sesuatu bagi mendapatkan pulangan kebaikan (pahala) yang berterusan.

Mari imbas sejenak sumbangan pendokong bidang OSH di Barat. Buku `Safety Management' (1956) ditulis oleh John V. Grimaldi dari University of Southern California dan Rollin H. Simonds  dari Michigan State University.

Dalam prakata buku mereka, penulis menyatakan: "It was designed to meet a need brought on by degree programs aimed either to prepare career safety professionals or indoctrinate business administration majors and engineers in safety principles and practice".

"Industrial Safety Handbook" (1977) diusahakan oleh North-West Regional Association of Industrial Safety Groups dan diterbitkan oleh McGraw-Hill, UK. 

Buku 39 bab yang memuatkan pelbagai tajuk dalam bidang OSH berjaya diterbitkan hasil karya sumbangan para pengamal OSH seperti perunding, pensyarah, penyelidik, safety engineer, safety advisor dan juga safety instructor. Justeru, dalam konteks Malaysia, NRG-SHE, CRG-SHE, SRG-SHE dan lain-lain badan yang mempunyai ahli-ahli dari pelbagai kepakaran dan persekitaran tempat kerja boleh mengorak langkah menghasilkan bahan-bahan rujukan sedemikian rupa, sama ada dalam bentuk buku atau e book.

Bersambung... insya'allah.

Pulangan berterusan menerusi OSH (Part 3)

Pensyarah OSH di IPTA/IPTS juga telah mengorak langkah menghasilkan buku-buku rujukan khususnya untuk siswa-siswi. Di UUM, Dr Mohamad Khan Jamal Khan dengan bantuan 2 lagi rakannya, telah menghasilkan buku "Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dalam Organisasi".

Cetakan pertama 2005, memuatkan 22 bab termasuklah sejarah OSH, akta, penyiasatan kemalangan, pengurusan risiko dan kecemasan, etika, ergonomik serta syor dan cadangan terhadap OSH.

Di UiTM, Sariwati Mohd Sharif dari Fakulti Pengurusan Perniagaan telah menghasilkan buku "Occupational Safety & Health Management".  Edisi ke-3, 2011, buku tersebut memuatkan tajuk-tajuk seperti `Accident Prevention Programs'; 'Fire Safety Management Programs'; "Occupational Health & Diseases' dan `Introduction to OHSAS & EMS and Standards'. Ia dijadikan buku teks bagi pelajar yang mengambil subjek OSHMS.

Di UTM, Dr Mohd Saidin Misnan dari Fakulti Alam Bina dengan kerjasama 2 lagi rakannya telah menerbitkan buku "Pembangunan Budaya Keselamatan di Tempat Kerja" (2011). Buku tersebut mengandungi 15 bab. Ia mengupas tajuk-tajuk seperti `Konsep Pembangunan Budaya Keselamatan'; 'Sistem Penghargaan dan Perakuan'; `Kerja Berkumpulan dan Berpasukan'; 'Tingkah Laku Pekerja'; `Polisi dan Peracangan Keselamatan'; dan `Masa Depan Budaya Keselamatan'.

Sebenarnya di kampus, terdapat banyak kajian mengenai OSH telah didokumenkan. Di UKM, pelajar pasca siswazah yang mengambil Sarjana Keselamatan Industri dan juga Sarjana Pengurusan Persekitaran banyak menghasilkan tesis pengajian mereka. Tinjauan saya di Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM Bangi, begitu banyak tesis yang tersimpan sama ada dalam bentuk buku mahu pun CD. Namun, tidak ramai pengamal OSH di lapangan kerja dapat membaca hasil kajian tersebut, kecuali menerusi pembentangan di mana-mana conference seperto COSH. Untuk dimanfaatkan kajian mereka, wajar satu naskhah tesis tersebut dihadiahkan kepada pihak perpustakaan seperti Perpustakaan NIOSH.
  
Bersambung... insya'allah

Thursday, July 11, 2013

Back to basics – antara OSH dan OSHA, DOSH dan NIOSH


Back to basics – antara OSH dan OSHA, DOSH dan NIOSH

Kadang-kadang (seeloknya biasakan) dalam mengendalikan sesi pembelajaran (kursus, seminar dan sebagainya) berkaitan dengan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP atau OSH) kita mulakan dengan perkara-perkara asas.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ramai pegawai atasan di tempat kerja saya sekarang ini agak keliru (tidak dapat membezakan?) antara OSH dan OSHA serta DOSH dan NIOSH. Tidak hairanlah kalau jawatan saya sekarangini sering disebut Pensyarah OSHA ataupun Pengerusi Jawatankuasa OSHA. Sepatutnya ianya disebut Pensyarah OSH dan Pengerusi Jawatankuasa OSH!

OSH (KKP) adalah bidang manakala OSHA (AKKP) adalah perundangan, jika disebut dalam konteks Malaysia. Di luar negara biasanya akronim (huruf) A pada OSHA dikaitankan dengan ADMINISTRATION dan ada juga dikaitkan dengan ASSOCIATION.

Manakala DOSH (JKKP) adalah organisasi yang bertanggungjawab (pihak berkuasa) berkaitan OSH di Malaysia. NIOSH pula adalah organisasi penyedia latihan (training provider) dan juga penyelidikan (research) berkaitan OSH.

Isu yang sama pernah ditimbulkan oleh seorang kenalan yang bekerja di MAS apabila ramai yang keliru dengan fungsi dan tanggungjawab MAS dengan MAB. Semalam semasa Hari KKP LLM 2013, saya dimaklumkan oleh seorang pegawai kanan LLM, perkara sama juga berlaku apabila ramai yang keliru dengan fungsi dan tanggungjawab LLM dengan PLUS.

Sudah menjadi kebiasaan pada saya ketika ini, apabila memulakan kelas berkaitan OSH pada hari pertama, saya akan bertanya kepada peserta, apakah perbezaan di antara OSH dan OSHA serta DOSH dan NIOSH. Semoga selepas ini lebih ramai orang awam yang memahami perkara-perkara asas berkaitan OSH sebegini.

http://oshthejourney.blogspot.com/

* Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) diiktiraf oleh DOSH dan bukannya SHO diiktiraf oleh NIOSH. Ini satu lagi kesilapan yang dikesan di dalam iklan penawaran kerja.

Wednesday, July 10, 2013

Hari Keselamatan dan Pekerjaan Kesihatan LLM 2013 & Majlis Penganugerahan Persijilan OHSAS 18001 Dan MS ISO/IEC 27001:2007



Hari Keselamatan dan Pekerjaan Kesihatan LLM 2013 & Majlis Penganugerahan Persijilan OHSAS 18001 Dan MS ISO/IEC 27001:2007

Semalam saya dijemput bersama-sama oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia di ibupejabat mereka di Bangi untuk Hari Keselamatan dan Kesihatan pekerjaan LLM 2013 & Majlis Penganugerahan Persijilan OHSAS 18001 Dan MS ISO/IEC 27001:2007.

Selain dari kakitangan LLM, majlis ini turut dihadiri ramai pihak/organisasi dan pelanggan yang berkaitan dengan LLM. Sebagai pengguna tegar lebuhraya peluang sebegini tidak boleh tidak saya mesti hadir walaupun jadual tugasan saya amat padat minggu ini. Peluang sebegini juga dimanfaatkan oleh saya untuk mengetahui serba-sedikit berkaitan isu laluan di lorong motosikal dan juga kemalangan di Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Pada masa yang sama saya berpeluang mengetahui dan memahami fungsi dan tanggungjawab LLM di samping organisasi lain berkaitan seperti JKR, PLUS dan sebagainya. LLM merupakan sebuah Badan Berkanun yang ditubuhkan di bawah Akta 231,1980 dan bertanggungjawab ke atas lebuhraya bertol di Malaysia manakala JKR merupakan sebuah Jabatan Kerajaan dan bertanggungjawab ke atas semua Jalan Persekutuan, Jalan Negeri dan kemudahan awam lain.

Tahniah kepada LLM di atas Penganugerahan Persijilan OHSAS 18001 Dan MS ISO/IEC 27001:2007 dan juga di atas kejayaan mengadakan Hari Keselamatan dan Pekerjaan Kesihatan LLM 2013. Semoga selepas ini LLM sebagai badan bertanggungjawab ke atas semua lebuhraya bertol di Malaysia bukan sahaja berterusan memastikan aspek-aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada pekerja mereka (Seksyen 15, OSHA 1994) tetapi termasuk kepada pelanggan mereka (Seksyen 17, OSHA 1994) yang menggunakan lebuhraya.


Posting berkaitan di sini.