Monday, July 22, 2013

Ditimpa Emas, Ditimpa Batu dan Ditimpa Epal


Ditimpa Emas, Ditimpa Batu dan Ditimpa Epal

Hujan Emas, Hujan Batu dan Hujan Epal

Ada dua lagi posting yang dibuat oleh sdr Muhammad Asri Mat Lazin dalam mailing list NRG-SHE yang pasti ada manfaatnya untuk dikongsi mereka yang selain dari senarai penerima email mailing list NRG-SHE.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Hujan batu di negeri sendiri
Muhamad Asri Mat Lazin, asristar@gmail.com

Dulu depa kata: "Walau hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik berada di negeri sendiri".

Namun, berita "hujan batu pembunuh" yang disiarkan oleh  media pada 20 Julai 2013, jelas hujan batu tidak boleh diterima. Dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Ringan MIEL, Seri Alam, Johor Bahru tersebut, seorang pekerja terbunuh dan 11 orang dilaporkan parah. Mereka menerima musibah angkara kerja-kerja meletupkan batu dari sebuah kuari di mana letupan kuat menyebabkan batu granit berterbangan dalam radius 1 kilometer. Kilang bersebelahan kuari yang menjalankan pemprosesan minyak sawit dan bahan kimia dilaporkan menngalami kerugian antara RM3 - RM8 juta kerana perlu menghentikan operasi akibat kerosakan mesin yang ditimpa hujan batu itu.

Kejadian ini memberikan contoh tepat betapa pekerja di sesuatu kawasan perindustrian perlu diberitahu tentang hazard dan risiko dari kilang bersebelahan. Kilang yang berisiko tinggi dan boleh membahayakan pihak lain wajar memaklumkan aktiviti mereka kepada komuniti sekeliling. Di samping itu, tidak sewajarnya menempatkan industri ringan bersebelahan dengan industri berat yang beriko tinggi. Kejadian ini juga memberikan iktibar bahawa zon penampang adalah penting. Dalam kejadian di tempat lain, zon penampang memainkan peranan dalam konteks kawalan pelepasan berbahaya seperti gas toksik atau zarahan. Dalam kes hujan batu di Johor Bahru, hazard bukan  lagi pelepasan zarahan kecil malah ia dalam bentuk "peluru batu" yang membunuh.

Bertuah selepas ditimpa buah epal - versi OSH
Muhamad Asri Mat Lazin, asristar@gmail.com

Terima kasih kepada pihak NRG-SHE yang menganjurkan majlis berbuka puasa di UiTM Permatang Pauh pada 20 Julai 2013. Majlis yang dapat mengeratkan persaudaraan. Boleh bertanya khabar dan bersembang sesama pengamal OSH.

Seperti biasa pelbagai juadah dihidangkan. Menikmati buah-buahan potong termasuk epal membawa fikiran melayang jauh. Ya, suatu ketika dahulu, seorang budak ditimpa sebiji epal di atas kepala. Dia adalah Isaac Newton. Semasa di sekolah, gurunya tidak menaruh harapan tinggi terhadap tahap kecerdikannya. Namun, Newton ingin mencari punca kenapa buah itu jatuh ke bumi. Diringkaskan cerita, lahirlah Teori Graviti Newton yang banyak dimanfaatkan selepas itu.

Dengan menekuni atau fokus terhadap sesuatu, boleh menghasilkan penemuan baru yang bermanfaat. Semasa belajar di Jalan Semarak KL lama dahulu, saya kerap juga duduk sekejap selepas solat untuk mendengar taklim atau `majlis fikir' yang dibuat oleh rakan-rakan tabligh. Antara ungkapan depa yang masih saya ingat: "Tuan-tuan, kita perlu fikir atas iman dan amal untuk berjaya di sisi Allah. Seperti juga di dunia. Ada yang beri fikir terhadap besi. Maka, akhirnya besi yang berat kini boleh terbang (maksudnya dicipta kapal terbang)".

Maka begitulah juga dengan kita. Apa juga kepakaran dan kemahiran OSH yang dimiliki kini perlu terus dikembangkan.

Fikir dan terus fikir. Belajar dan terus belajar. Hasilkan sesuatu yang boleh memberikan manfaat kepada masyarakat.

Seperti kata orang Jepun - Kaizen ! Kaizen ! Kaizen. Seperti tuntutan sistem pengurusan iaitu `continual improvement'.

Di sisi agama pun diminta supaya beramal sehingga hari ini lebih baik berbanding semalam.

Moh ! Para pengamal OSH, teruskan perjuangan. Sesungguhnya bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang akan menamatkanya....

No comments:

Post a Comment