Saturday, July 27, 2013

Pesanan Semasa Berkenderaan Pulang Bercuti


Pesanan Semasa Berkenderaan Pulang Bercuti

Takala menghampiri cuti perayaan sebegini, saya terkenang CEO kilang simen di Ipoh semasa saya bekerja di sana dahulu sekitar tahun 2006 dan 2007.

Setiap kali menjelang cuti perayaan terutama di petang hari terakhir bekerja, beliau akan membuat pengumuman melalui pembesar suara ataupun beliau sendiri akan berdiri di pondok pengawal keselamatan untuk menyampaikan pesanan berkaitan OSH.

Pihak pengurusan pejabat serta pihak kawalan keselamatan tempat saya bekerja sekarang ini juga turut menyampaikan pesanan-pesanan penting berkaitan cuti perayaan sebegini tetapi lebih kepada keselamatan sekuriti. Rujuk di sini.

Antara organisasi lain yang aktif dalam pesan-memesan ini adalah PLUS yang menunaikan tanggungjawab OSH mereka bukan sahaja kepada pekerja sendiri (Seksyen 15, OSHA 1994) tetapi juga kepada orang lain selain dari pekerja mereka (Seksyen 17, OSHA 1994) yang berada di premis mereka iaitu lebuhraya.

Antara pesanan PLUS ialah:

1.       Rancang perjalanan berdasarkan jadual  Cadangan Waktu Perjalanan (TTA Travel Time Advisory) yang dikeluarkan oleh PLUS
2.       Periksa kenderaan sebelum memulakan perjalanan
3.       Jangan berhenti di lorong kecemasan kecuali berlaku kecemasan
4.       Berhenti rehat di R&R atau Hentian Sebelah sekiranya anda berasa mengantuk
5.       Pastikan Kad PLUSmiles atau Touch 'n Go anda mempunyai baki yang mencukupi untuk perjalanan anda
6.       Jangan memandu di lorong kecemasan kecuali diarahkan oleh Polis
7.       Jangan mengekori kenderaan di hadapan dengan terlalu rapat
8.       Patuhi had laju yang ditetapkan
9.       Pakai tali kaledar
10.   Hormati had anda dan had kemampuan kenderaan anda
11.   Pandu dengan berhemah pada setiap masa

PLUS juga menyarankan pengguna sentiasa merujuk laman web PLUS  dan berhubung melaluitwitter atau talian PLUSline 18 0088 0000 untuk mendapatkan sebarang maklumat perjalanan dan sebagainya.

Sebenarnya selain dari 11 pesanan di atas, mereka yang akan menggunakan kenderaan untuk pulang menyambut perayaan perlu bersedia dengan perkara-perkara berikut:

Merancang Perjalanan

Benjamin Franklin pernah berkata - "If you fail to plan, you are planning to fail!" Sememangnya tanpa perancangan yang menyebabkan kita gagal atau seolah-olah kita yang merancang untuk gagal.

Perancangan yang baik tidak semestinya memerlukan perancangan yang lengkap dan teliti. Selain dari cuba mengikut syoran PLUS berdasarkan jadual  Cadangan Waktu Perjalanan (TTA Travel Time Advisory), anda boleh membuat perancangan asas iaitu di mana anda merancang untuk perhentian yang pertama, kedua atau seterusnya semasa dalam perjalanan. Cuba patuhi perancangan awal atau perancangan asal kecuali jika kecemasan atau ada perkara yang tidak dapat dielakkan seperti tiba-tiba terasa untuk buang air dan sebagainya.

Anda sebenarnya boleh membuat perancangan berhenti untuk dua tempat berbeza seperti berhenti membuang air kecil atau besar di hentian kecil dan berhenti pula untuk semata-mata menjamu selera di perhentian R&R. Walaupun di perhentian R&R kemudahan untuk buang air kecil dan air besar ini banyak tetapi biasanya di musim perayaan ianya sentiasa penuh.

Di bulan Ramadan ini, biasanya juga tempat duduk semasa waktu berbuka di R&R sentiasa penuh. Dengan perancangan awal, anda boleh berhenti berbuka dengan bekalan yang dibawa di hentian kecil ataupun berbuka di dalam kereta di tempat letak. Saya biasa berjumpa keluarga yang menghamparkan helaian tikar plastik berhampiran kenderaan mereka di tempat letak kereta sambil menjamu selera bersama-sama.

Kenderaan Anda Dalam Keadaan Siapsiaga

Sehari atau malam sebelum bertolak, pastikan kenderaan anda dalam keadaan siapsiaga atau kesiapsediaan. Bukan sahaja memastikan bahan bakar (petrol atau diesel) memenuhi tangki tetapi juga pastikan tekanan udara dalam tayar terisi elok dan juga air atau pencuci cermin telah diisi semula.

Elakkan dari mengisi petrol sejurus sebelum bertolak ataupun mengisi petrol di dalam perjalanan seperti di lebuhraya atau sebagainya. Isi lebih awal!

Bilah pencuci cermin (wiper) juga perluditukar jika sudah atau mula tidak berfungsi dengan sempurna.

Mencuci kenderaan sebelum memulakan perjalanan juga adalah langkah terbaik untuk mengesan sebarang masalah atau kerosakan kenderaan anda secara visual.

Peralatan Kecemasan Semasa Berkenderaan

Mesti dingatkan peralatan kecemasan ini bukanlah peralatan membaiki kerosakan kenderaan anda. Peralatan kecemasan ini bertujuan membantu anda dari kemudaratan lain yang boleh berlaku akibat dari kerosakan kenderaan anda.  Anda boleh rujuk posting-posting lama saya berkaitan peralatan kecemasan semasa berkenderaan ini di sini, di sini dan di sini.

Jangan lupa juga memastikan tayar ganti dalam keadaan siapsiaga.

Jangan Bawa Bebanan Berlebihan Di Dalam Kenderaan

Sebenarnya bebanan berlebihan yang dibawa akan menyebabkan penggunaan bahan bakar (petrol atau diesel) akan meningkat.

Bebanan yang tidak disusunatur dengan baik juga boleh membahayakan pemanduan serta tidak menyelesakan penumpang yang lain.

Barangan yang tidak ditempatkan dengan betul (loose) boleh membahayakan (menghentam) pemandu dan penumpang jika kenderaan diberhentikan dengan mengejut ataupun semasa kemalangan. Barangan seperti payung, botol pewangi, kasut ataupun penghiasan seperti model kereta dan sebagainya seeloknya dielakkan dari diletakkan di dalam kereta secara tidak bertempat (loose).

Bawa Air Untuk Diminum Sahaja

Bekalan air di dalam kenderaan hanya untuk tujuan diminum bukanlah untuk tujuan lain seperti untuk kegunaan penyejuk radiator dan sebagainya. Pastikan juga air ini dalam bekas yang boleh bertutup kemas dan diletakkan di dalam ruang khas bekas air.

Jangan lupa makanan terutama jika ada anak kecil di dalam kenderaan anda. Bekalan makanan juga perlu sebagai persediaan untuk berbuka puasa. Jangan terlalu berharap untuk membeli di perhentian R&R untuk juadah berbuka semasa bulan Ramadan ini.

Persediaan Menghilangkan Perasaan Jemu Semasa Perjalanan

Jika berkenderaan sambil membawa anak kecil, anda perlu bersedia untuk menghilanglan perasaan jemu anak kecil ini semasa perjalanan. Selain dari penggunaan tayangan VCD melalui perakam, anda juga boleh bersedia dengan pelbagai kaedah lain seperti alat pemainan ringkas seperti kad, bahan bacaan ringan atau sekadar berkongsi cerita sesama ahli keluarga.

Tidak dapat dinafikan gadget elektronik amat membantu menghilangkan perasaan jemu ini semasa berperjalanan. Tetapi jangan pula lupa apabila leka dengan gadget-gadget seperti ini kita membiarkan pemandu seolah-olah berseorangan memandu kenderaan! Sekali-sekala sapalah atau berbual-buallah dengan pemandu untuk menghilangkan rasa jemu atau mengantuk beliau.

Persediaan Kerohanian

Di samping bersedia dari segi kesihatan dan juga kesiapsiagaan kenderaan, persediaan kerohanian juga perlu. Berdoalah sebelum memulakan perjalanan. Sentiasa berlapangdada dan merendah diri semasa berkenderaan.

Selamat Berkenderaan Pulang Bercuti

http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment