Thursday, February 18, 2016

Patuhi panduan penggunaan eskalator






Patuhi panduan penggunaan eskalator
KOSMO ISU 18 FEBRUARI 2016 TAUFIK SALIMIN

SEJAK kebelakangan ini, kemalangan membabitkan kanak-kanak di eskalator atau tangga bergerak semakin kerap berlaku sehingga mencetuskan rasa panik dalam kalangan masyarakat.

Tidak dinafikan, kanak-kanak aktif gemar mencuba sesuatu yang baharu, namun pengawalan dan pemantauan yang tidak efisien menyumbang kepada peningkatan insiden berkenaan.

Ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dalam mengawal anak masing-masing dan perlu sentiasa berhati-hati.

Perunding Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Lukman Wan Mat Daud berkata, biarpun sikap kanak-kanak dilihat menjadi punca utama, kegagalan ibu bapa dalam mengawal, gagal mematuhi peraturan dan beberapa faktor lain turut menyebabkan perkara itu terjadi.

“Kebanyakan kes sebenarnya berpunca daripada pemakaian kasut, selipar dan sandal selain peralatan perlindungan kaki yang terjurai keluar.

“Terjurai atau menggeleber ini tidak semestinya besar dan longgar. Aksesori pada pelindung kaki seperti tali, pengetat juga boleh dianggap terjurai jika tidak dirapikan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, individu yang dilihat memakai selipar atau sandal yang tidak kemas seharusnya dilarang menggunakan eskalator bagi mencegah kemalangan.

Garis panduan

Tambahnya, garis panduan meminta pengguna berdiri di sebelah kiri tangga bagi memberi laluan kepada mereka yang ingin berjalan juga dilihat tidak sesuai.

“Penggunaan asal eskalator adalah bersifat statik dan memang benar banyak premis yang seolah-olah membenarkan pengguna berjalan di atas eskalator.

“Pengguna seharusnya berdiri statik dan kedua-dua belah kaki berada dalam garisan kuning yang ditetapkan. Pada masa sama, mereka perlu berhati-hati ketika hendak tiba di penghujung laluan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menjelaskan mengenai penyelenggaraan eskalator, beliau memberitahu, setelah diuji, diperiksa dan lulus (selepas pemasangan), Pegawai Pemeriksa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan akan mengeluarkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (dikenali sebagai Sijil PMA) kepada eskalator ini.

Sijil itu mempunyai tempoh laku selama 12 bulan dan diberi sehingga tempoh tiga bulan dari tamat tempoh untuk diperbaharui.

“Kontraktor penyelenggaraan yang dilantik oleh majikan atau pemilik premis juga mesti berdaftar dengan JKKP. Kontraktor ini dipertanggungjawabkan untuk menyenggara eskalator ini secara berkala.

Antara aspek penambahbaikan yang perlu diberi perhatian kontraktor adalah ruang kelegaan antara anak tangga dan penghujung laluan kerana apabila eskalator kerap digunakan, ruang kelegaan antara anak tangga akan menjadi luas yang boleh menyebabkan ruangan mudah terkepit,” jelasnya.

Perlu diingatkan bahawa, kebiasaannya peralatan kaki atau pakaian yang terjurai boleh tersangkut atau terkepit di ruang ini.

Hak pengguna

Sebagai langkah keselamatan, majikan atau pemilik premis mesti mempamerkan Sijil Perakuan Kelayakan Mesin Angkat (dikenali sebagai Sijil PMA) di eskalator berkenaan.

Pengguna perlu tahu hak mereka untuk menggunakan eskalator yang mempunyai Sijil PMA tersebut.

Sebenarnya, syarat mempamerkan itu ada dinyatakan dalam perundangan dan pengguna harus mengelak daripada menggunakan eskalator yang tiada Sijil PMA ataupun sijil yang sudah tamat tempohnya.

“Bagaimanapun, terdapat juga premis beli-belah seperti di pasar raya Sogo yang meletakkan seorang petugas bagi mengawal penggunaan eskalator.

“Pada masa sama, petugas juga perlu dilatih untuk bertindak segera dengan menekan butang penghenti kecemasan jika berlaku sebarang insiden,” jelasnya.


Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment