Friday, September 28, 2012

Syabas Felda

Syabas Felda

Berita di akhbar hari Rabu lepas menarik minat saya untuk mengulasnya secara ringkas. Pertama komitmen Felda, antara organisasi terbesar dalam industri peladangan ini terhadap OSH boleh dilihat dengan kewujudan jabatan dan posisi Naib Presiden Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kumpulan Felda Global. Biasanya hanya organisasi multi nasional sahaja yang mengujudkan jabatan dan posisi OSH sebegini.

Kedua, pengadaan Polisi Menghindari Dadah dan Aids dalam Felda. Kebetulan kebelakangan ini saya berminat menyentuh isu-isu berkaitan hazard psychosocial ini termasuklah dadah dan aids/hiv. Malah antara tajuk tugasan yang diberi kepada pelajar-pelajar Master HRM di UUM City KL semasa Sesi Mei 2012 lalu ialah menyediakan polisi-polisi sebegini untuk kegunaan organisasi masing-masing.

Syabas Felda.


Bukan mudah’
Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) komited untuk menarik lebih banyak syarikat di negara ini mempunyai polisi menghindari dadah dan Aids di tempat kerja walaupun mengakui mengalami kesukaran untuk menarik penyertaan mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Johari Basri berkata, setakat tahun lalu, hanya 28 syarikat menyertai pelaksanaan Kod Amalan Pencegahan dan Pengurusan HIV/Aids Di Tempat Kerja (2001).

Dalam pada itu, Kod Amalan Pencegahan dan Pembasmian Penyalahgunaan Dadah, Alkohol dan Bahan Di Tempat Kerja (2004) pula, hanya 19 syarikat mengamalkannya.

“Memang sebenarnya, tidak mudah untuk kita meyakinkan syarikat (untuk mengamalkan kod-kod ini). Sebab itu kita memerlukan komitmen yang berpanjangan. “Kita tidak boleh cepat putus asa, sama ada sikit atau banyak syarikat menyertainya kita akan cuba,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Polisi Menghindari Dadah dan Aids dan Perasmian Explosafe Competition kepada Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di Balai Felda di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden Kumpulan Felda Global, Datuk Sabri Ahmad, Naib Presiden Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kumpulan Felda Global, Daud Amatzin dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Khirudin Drahman.

Menurut Johari, kod-kod amalan itu bertujuan mengurangkan penyebaran Aids dan HIV, penyalahgunaan alkohol dan bahan selain membimbing majikan serta pekerja dalam mengurus isu berkaitannya di tempat kerja.

“Majikan yang bersetuju melaksanakan kod-kod amalan ini digalakkan menyediakan polisi di tempat kerja yang melambangkan komitmen mereka terhadap isu terbabit.

“Pelaksanaannya akan dapat mengurangkan risiko atau potensi kehilangan kakitangan mahir akibat sakit berpanjangan, ketidakhadiran, kematian dan seterusnya menjejaskan produktiviti, faedah kerja, keselamatan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Isa berkata, penyertaan Felda membuktikan komitmen syarikat itu dalam memainkan peranan bagi menimbulkan kesedaran di kalangan pekerjanya mengenai kesan buruk penyalahgunaan dadah.

“Walaupun kurang daripada satu peratus kakitangan dan peneroka Felda terbabit dalam penyalahgunaan dadah, namun Felda tetap komited memainkan peranan bagi menimbulkan kesedaran di kalangan mereka.

“Bila kita sudah ada polisi ini, tentu akan ada langkah-langkah yang perlu diambil secara lebih tersusun untuk membantu mengurangkan isu ini yang sudah menjadi masalah negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/2

Pilih cenderahati OSH yang sesuai

Pilih cenderahati OSH yang sesuai

Rabu lepas saya menghadiri dialog di antara Pengarah-pengarah DOSH, DOE dan SOCSO di Infineon Kulim Hi-tech Park. Saya tidak berhasrat mengulas isu dialog pada hari tersebut. Saya hanya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak penganjur yang menjemput saya dan pengamal OSH yang lain ke majlis tersebut dan juga terima kasih di atas cenderahati (doorgift) yang berupa jam meja. Tidak dilupakan juga terima kasih di atas jamuan makan tengahari Nasi Minyak dan Sate, dua menu pilihan dan popular di kalangan rakyat Malaysia pelbagai bangsa ini.

Dalam posting sebelum ini (boleh rujuk di sini), saya ada menyentuh tentang cenderahati berkaitan OSH ataupun cenderahati sempena majlis atau aktiviti OSH. Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah ditegur oleh pekerja kilang (Silverstone Kamunting) semasa mengadakan kempen derma darah sekitar penghujung 90an. Jabatan OSH di Silverstone ketika itu aktif mengadakan kempen derma darah sebanyak tiga atau empat kali dalam setahun. Biasanya di samping jamuan petang, kami juga mengedarkan cenderahati kepada semua penderma yang secara puratanya 60 – 70 orang pekerja dalam satu-satu sesi.

Dalam salah satu sesi derma tersebut, seorang penderma berbangsa Cina menegur saya kerana cenderahati sesi derma darah kali itu ialah jam dinding. Menurut penderma ini kaum Cina pantang (fengshui) memberi atau menerima hadiah jam dinding kerana dalam bahasa Mandarin jam dinding disebut zhong (akhir). Sebutan zhong ini juga menyerupai mati atau pengakhiran hayat kepada benda hidup (seperti jam dinding yang berdetik).

Bagaimanapun jam tangan atau jam meja (seperti cenderahati Infineon ini) dibolehkan!

Selain jam dinding, sebenarnya kaum Cina juga pantang memberi atau menerima hadiah payung dan buku. Dalam bahasa Mandari payung yang disebut san menyerupai sebutan pecah atau jatuh. Manakala sebutan shu untuk buku dalam bahasa Mandarin menyerupai sebutan nasib buruk.

Sebenarnya hadiah yang paling disukai dan mudah ialah wang tunai atau lebih didkenali sebagai angpau. Bagaimanapun pemberian angpau ini juga ada pantangnya. Sekadar berkongsi makluman, untuk pasangan pengantin, jumlah angpau mesti dalam jumlah yang genap atau berganda dalam sampul merah. Manakala jumlah yang ganjil dan sampul putih dikhususkan untuk pemberian kepada keluarga orang mati.

Pakaian semasa dua majlis ini juga berbeza. Majlis perkahwinan digalakkan memakai pakaian yang terang seperti merah yang bermaksud kebahagian dan kecerian. Manakala di majlis kematian digalakan memakai pakaian berwarna hitam dan putih.

Seorang pelajar saya yang terlibat dalam rombongan bantuan kemanusian Malaysia semasa gempa bumi dan tsunami di Jepun bulan Mac 2011 lepas juga memaklumkan kepada saya mengenai isu warna pakaian (vest) rombongan bantuan kemanusiaan Malaysia ketika itu. Warna oren atau kuning terang pada vest pantul cahaya yang dipakai oleh rombongan bantuan kemanusiaan Malaysia tidak disenangi oleh rakyat Jepun. Warna oren atau kuning terang pada rakyat Jepun hanya dipakai semasa majlis-majlis perayaan dan bukannya sewaktu kesedihan atau semasa trajedi.

Sebagai menghormati pelbagai bangsa lain, kita sebagai penganjur (atau tuan rumah) sebolehnya mengelakkan pemberian cenderahati sebegini dan juga pemakaian pakaian dengan warna-warna tertentu.

http://oshthejourney.blogspot.com

Thursday, September 27, 2012

Syabas – delight service di Proton Edar 3S Juru


Syabas – delight service di Proton Edar 3S Juru

Satu lagi perkhidmatan kualiti yang “delight service”.

Posting lengkap di sini.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Saturday, September 22, 2012

OSH di Litar F1 Sepang

OSH di Litar F1 Sepang

Pepatah Melayu mengatakan “Bagai Sireh Pulang Ke Gangang” dan pelakon filem aksi Arnold Schwarzenegger pula akan berkata “I'll be back”.

Kebanyakan orang mengenali saya melalui dua cara iaitu melalui sukan bermotor (motorsports) ataupun melalui Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH). Malah di hujung-hujung minggu semenjak puluhan tahun dahulu hanya ada dua sahaja tempat aktiviti saya berada iaitu sama ada di litar motorsport ataupun kelas pengajaran OSH. Bagaimanapun dua, tiga tahun kebelakangan ini aktiviti saya dalam motorsport amat kurang sekali kerana banyak komitmen dengan aktiviti OSH seperti pengajaran dan juga konsultansi.

Baru-baru ini saya dijemput oleh Niosh Bangi untuk mengendalikan kursus OSH untuk kakitangan Litar F1 Sepang. Biasanya kalau kursus OSH di Lembah Kelang, saya mengesyork kenalan lain termasuk bekas-bekas pelajar saya sahaja untuk mengendalikannya. Tetapi untuk mengendalikan kursus OSH di tempat motorsports yang biasa saya kunjungi sebelum ini sebagai pegawai perlumbaan (race official) adalah satu jemputan yang tidak boleh saya tolak walaupun jadual saya agak padat kebelakangan ini. Setelah diperjadualkan semula, saya hadir ke Litar F1Sepang sebagai pengajar OSH dan berjumpa semula dengan kebanyakan kakitangan Litar F1 Sepang yang saya kenali sudah sekian lama.

Walaupun Litar F1 Sepang baru sahaja mengujudkan jawatan SHO bermula tahun lepas, kepentingan OSH dalam setiap acara perlumbaan adalah elemen yang perlu dipenuhi seperti mana termaktub dalam manual atau prosedur yang telah ditetapkan oleh AAM (dalam negara) dan FIA/FIM (antarabangsa). Malah kepentingan persekitaran (environment) juga lebih jelas dinyatakan dalam manual dan prosedur ini. Sebagai seorangrace official yang pernah menduduki kursus dan peperiksaan FIA/FIM sebelum ini, saya berupaya mengaitkan kepentingan-kepentingan elemen OSH dan environment ini dalam kelas pengajaran saya.

Semoga dengan adanya kursus-kursus OSH sebegini dan juga komitmen pihak pengurusan Litar F1 Sepang terhadap OSH, litar ini mampu menjadi penyedia lokasi perlumbaan yang bukan sahaja dikagumi dan disegani oleh penyedia lokasi perlumban lain di rantau ini ataupun di peringkat ntarabangsa tetapi turut dikenali sebagai organisasi yang mementingkan dan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan sahaja kepada pekerjanya tetapi turut meliputi kepada orang lain selain dari pekerja mereka terutama pelumba, pegawal perlumbaan tetap dan sukarela, penghujung dan lain-lain.

http://oshthejourney.blogspot.com/

Panduan LGBT dalam konteks Malaysia – perlu atau tidak?


Panduan LGBT dalam konteks Malaysia – perlu atau tidak?

Bulai Julai 2012 lepas, saya telah meminta pelajar-pelajar Master HRM UUM di UUM City KL menyiapkan tugasan berkaitan menyediakan satu panduan (di organisasi sendiri) berkaitan hazard psychosocial. Antara 38 orang pelajar saya tersebut, 8 orang dari mereka telah terpilih untuk menyediakan panduan berkaitan lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT). Boleh rujuk soalan tugasan sepenuhnya di bawah. Selebihnya diminta menyediakan panduan berkaitan hazard psychosocial yang lain.

Antara maklumbalas awal saya terima dari pelajar yang terbabit dalam penyediaan tugasan berkaitan LGBT ini ialah bahan rujukan luar negara terutama dari Barat lebih terbuka dan tidak sesuai dengan konteks suasana masyarakat di Malaysia. Saya sudah maklumkan lebih awal kepada pelajar-pelajar ini mengenai cabaran yang akan mereka hadapi untuk mendapatkan rujukan terutama dari luar negara. Ini adalah tanggungjawab mereka yang kebanyakannya adalah terdiri dari pihak pengurusan hadapan (front line management) dalam jabatan sumber manusia di organisasi masing-masing. Saya amat pasti tidak berapa lagi (dalam masa terdekat ini) panduan LGBT ini amat diperlukan untuk dilaksanakan dalam organisasi masing-masing dan sama pentingnya dengan panduan-panduan lain seperti merokok, meminum minuman keras, gangguan sexual dan sebagainya.

Minggu lepas saya terbaca berita memaklumkan satu garis panduan telah diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd, Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya yang mendapat sokongan Kementerian Pelajaran. Antara yang dinyatakan dalam panduan tersebut ialah empat ciri-ciri gay dan lesbian seperti berikut;

Simptom Gay:
1-Mempunyai badan sasa dan suka menunjukkan aset di badan (pakai baju v-neck, sleeveless).
2-Suka memakai baju yang ketat dan fit mengikut tubuh dengan warna yang terang.
3-Lebih cenderung minat kepada lelaki.
4-Suka berjalan-jalan dengan membawa beg yang besar seperti beg perempuan

Simptom Lesbian:
1-Menunjukkan ketertarikan pada wanita.
2-Jaga jarak dan hubungan dengan wanita lain yang bukan pasangannya.
3-Lebih suka pada wanita untuk teman tidur, makan dan ke mana-mana dengan pasangan wanita.
4-Tidak mempunyai perasaan dengan mana-mana lelaki.

Panduan ini diperkenalkan semasa seminar mengenai usaha menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender di Pulau Pinang pada 12 September 2012 dan merupakan program anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd dan dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran Puad Zarkashi.

Membacakan berita ini membuatkan saya teruja dan berhasrat untuk mendapatkan satu set lengkap panduan ini untuk membuat perbandingan dengan kelapan-lapan panduan LGBT yang telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar saya semasa bulan Julai 2012 lalu.

Malah sebelum inipun sekitar pertengahan tahun lepas, seorang Ketua Jabatan di sebuah IPTA telah menghubungi saya untuk mendapat sedikit pandangan dan panduan dari saya bagi menyediakan panduan LGBT ini dari konteks OSH. Menurut Ketua Jabatan ini yang juga merupakan seorang Prof. Madya Dr. dan juga seorang kaunselor berlesen, VC di IPTA beliau bertugas telah meminta beliau menyediakan satu panduan LGBT memandangkan adanya unsur-unsur kewujudan gejala LGBT di IPTA beliau bertugas. Saya ada memberi beberapa makluman tetapi tidak pasti sama ada hari ini telah siap atau tersedia panduan LGBT di IPTA tersebut untuk diamalkan.

Semalam saya dikejutkan dengan satu berita memaklumkan Kementerian Pelajaran menafikan telah mengesahkan garis panduan mengenali golongan LGBT. Saya tertanya-tanya adakah pihak-pihak tertentu yang juga di dalam bidang pelajaran ini dalam menghasilkan ini tidak mendapat restu dari pihak tertentu (pihak atasan?). Ataupun mereka yang menyediakan ini hanya “syok-sendiri” menyediakan panduan LGBT ini tanpa merujuk kepada pihak atasan ini?

Apapun panduan LGBT ini perlu diadakan segera dengan mengambil input-input dari sumber yang telah dikenalpasti keupayaannya (capability). Panduan LGBT dalam konteks Malaysia lebih-lebih lagi dalam konteks pendidikan Malaysia tidak boleh disamakan (ditiru) acuan dengan Barat. Ada yang sesuai diamalkan di Barat tetapi menyalahi adat-resam, budaya dan agama masyarakat Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga memainkan peranan yang penting dalam penyediaan panduan LGBT ini. Kalau KPM terlepas pandang atau kekurangan sumber manusia dan masa untuk menyediakan panduan LGBT ini, mereka hendaklah menerima pakai panduan LGBT yang telah diusahakan oleh pihak-pihak tertentu jika bersesuaian. Jika tidak bersesuaianpun, seeloknya diadakan perbincangan untuk menambahbaikan lagi panduan LGBT yang telah disediakan itu.

Janganlah sehingga gejala LGBT ini menjadi serius sehingga ada Menteri atau Perdana Menteri sendiri yang bersuara, barulah satu panduan atau peraturan hendak disediakan. Tidak mustahil jika ketika itu panduan atau peraturan yang diminta disediakan itu dibuat dengan serta-merta tanpa kajian atau sumber yang mencukupi dan menyebabkan hasilnya yang banyak lompangnya. Ibarat terhantuk baru tergadah.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com


UUM College of Business, MHRM, UUM City KL
TUGASAN BULANAN NO. 3 (JULAI 2012)

GARIS PANDUAN ATAU KOD AMALAN PSYCHOSOCIAL

Kamus Merriam Webster mendefinasikan PSYCHOSOCIAL sebagai; “involving both psychological and social aspects” dan “relating social conditions to mental health”. International Labour Organization (ILO, 1986) mendefininasikan Hazard Psychosocial sebagai intraksi antara unsur pekerjaan, kerja organisasi dan pengurusan, dan keadaan persekitaran serta organisasi. Manakala Cox & Griffiths (2005) memberi definasi lebih mudah sebagai aspek-aspek rekabentuk dan pengurusan kerja, unsur-unsur sosial dan organisasi yang berpontensi menyebabkan kemudaratan psychological dan fizikal. Antara yang sering dirujuk sebagai Hazard Psychosocial ialah tekanan kerja (stress), masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah (drug abuse), minuman keras (alcohol), keganasan tempat kerja (workplace violence), vandalism, bullying, gangsterism, sexual harassment, lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT).dan perlakuan jenayah, masalah emosi seperti motivasi (hilang arah tujuan), takut gagal, pemberhentian/pembuangan kerja dan sebagainya.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga telah menerbitkan beberapa garis panduan dan kod amalan berkaitan psychosocial ini.

Jabatan Sumber Manusia organisasi anda meminta anda menyediakan garis panduan atau kod amalan dalaman berkaitan psychosocial ini dengan mengkhususkan satu aspek social sahaja. Garis panduan atau kod amalan tersebut mestilah memuatkan definasi aspek sosial yang dipilih, contoh-contoh salah laku, cadangan pencegahan, tindakan yang boleh diambil oleh pihak pengurusan dan sebagainya. Rujuk nota untuk contoh CMY Sexual Harassment Code of Practice.

Garis panduan atau kod amalan yang akan disediakan mesti dalam dua bahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) dan disyorkan menggunakan format dokumen terkawal ISO (ISO Controlled ocument) dan tidak lebih dari dua (2) mukasurat. Anda juga dikehendaki menyertakan sekirang-kurangnya satu cadangan rajah penandaan (signage) mengikut format logo dan warna sedia ada.

Rujukan - Sekurang-kurang satu jurnal (softcopy) berkaitan.

Tarikh akhir penghantaran secara email ialah sebelum 20 Julai 2012 jam 12.00 tengah malam.


Berita penuh:-
Kementerian Pelajaran Nafi Sahkan Garis Panduan Kenali Golongan LGBT
BERNAMA 16 September 2012


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberi pengesahan kepada mana-mana pihak menyedia atau mengeluar garis panduan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk tujuan pengedaran ke sekolah seluruh negara.

"Pengesahan kepada garis panduan tersebut tidak pernah dikeluarkan," menurut kenyataan KPM sebagai merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan pengesahan garis panduan LGBT yang dibincangkan di Seminar Keibubapaan mengenai isu LGBT di Pulau Pinang pada 13 September lepas.

Menurut kenyataan itu, KPM memandang berat isu LGBT yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini dengan mengambil beberapa inisiatif memerangi gejala tersebut.

"KPM akan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung kepada semua murid (dan pelajar) untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini," menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak kementerian menyokong satu 'Garis Panduan' kepada ibu bapa untuk mengenal pasti 'simptom' Gay dan Lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Antara isi garis panduan itu adalah, "Simptom" gay mempunyai badan sasa dan gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan serta suka membawa beg besar sama seperti yang digunakan wanita apabila keluar manakala "Simptom" lesbian adalah tertarik kepada wanita serta gemar keluar, makan, dan tidur dengan wanita. - BERNAMA

Update

Email yang saya terima berkaitan posting di atas dan juga jawapan saya.

Saya tidak bersetuju dengan panduan yang dikeluarkan oleh mereka. Bagi saya, panduan itu terlalu dangkal dan bersifat diskriminasi. Saya faham niat murni yayasan tersebut tapi adakah panduan itu bersesuaian dan siapakan koresponden yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut ?

Adakah begitu mudah membuat pelabelan berdasarkan gaya pemakaian dan penampilan? Saya berasakan lebih ramai individu yang bukan lgbt yang mengampalkan gaya pemakaian dan penampilan sebegitu. Jadi adakah adil jika kita labelkan mereka sebagai lgbt sedangkan mereka tidak.

Pada pendapat saya, lgbt tidak sebegitu mudah untuk dilabelkan dan ternyata panduan cetek itu terlalu mudah membuat tafsiran dan kesimpulan yang bersifat memilih. Apatah lagi, ianya melibatkan emosi, naluri dalaman, pengaruh persekitaran semasa dan juga latar belakang serta sejarah kehidupan sesorang lgbt itu.

Tidak salah jika saya katakan, panduan lgbt ini dibuat dengan sambil lewa atau dalam bahasa kasarnya, "syok sendiri". Tapi, terdetik juga di hati saya, jika benar kementerian pelajaran meluluskan panduan sebegitu, adakah kajian menyeluruh sudah dilakukan ? Atau hanya berdasarkan kepada pengalaman dalaman kementerian pelajaran sahaja ?

Mungkin peribahasa ini boleh dikaitkan secara tidak langsung, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Jawapan saya:-

Assalam dan terima kasih atas berkongsi pandangan. Saya masih tidak berpeluang membaca sepenuhnya panduan LGBT ini. Bagaimanapun pada perlabelan berdasarkan gaya pemakaian dan penampilan itu juga secara peribadi tidak berapa saya saya setuju.

Ini jelas telah saya katakan kepada pelajar saya - perlabelan secara pakaian dan ketrampilan agak subjektif. Itulah maksud saya dalam ayat - Jika tidak bersesuaianpun, seeloknya diadakan perbincangan untuk menambahbaikan lagi panduan LGBT yang telah disediakan itu.

Malah saya juga tegaskan - Apapun panduan LGBT ini perlu diadakan segera dengan mengambil input-input dari sumber yang telah dikenalpasti keupayaannya (capability). Panduan LGBT dalam konteks Malaysia lebih-lebih lagi dalam konteks pendidikan Malaysia tidak boleh disamakan (ditiru) acuan dengan Barat. Ada yang sesuai diamalkan di Barat tetapi menyalahi adat-resam, budaya dan agama masyarakat Malaysia.

Sekali lagi terima kasih atas berkongsi pandangan.

 lukmanw@gmail.com

Sunday, September 16, 2012

Barbeku meletup – Guru tanpa OSH



Barbeku meletup – Guru tanpa OSH

BARBEKU MELETUP
16 Sept 2012 Harian Metro
Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Lima pelajar sebuah sekolah menengah di Taman Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras di sini, pagi semalam melecur teruk selepas berlaku letupan ketika mereka sedang berbarbeku sempena majlis rumah terbuka Adilfitri di sekolah berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Mangsa membabitkan pelajar tingkatan empat dan seorang tingkatan lima dan empat daripada mangsa parah akibat melecur 25 hingga 45 peratus dari paras pinggang hingga muka.

Menurut seorang daripada mangsa, Mohd Hidayad Mohd Yazid, 16; ketika kejadian dia bersama kira-kira 20 rakan lain sedang memerhati seorang guru mencurahkan cecair pelarut ke dalam api, apabila secara tiba-tiba berlaku letupan kuat serta api menyambar kami semua yang berada di sekeliling alat barbeku.

"Baju melayu saya terbakar pada bahagian seluar dan lengan, saya kemudian terus menanggalkan seluar dengan bantuan rakan.

Saturday, September 15, 2012

Sudah sampai masanya KIK dimestikan ada elemen OSH


Sudah sampai masanya KIK dimestikan ada elemen OSH
Minggu lepas saya dijemput menjadi Ketua Juri kepada dua Pertandingan KIK (Kumpulan Inovatif dan Kreatif). Pertama di Pertandingan KIK Kolej Jururawat Zon Utara di Kolej Jururawat Pulau Pinang dan kedua di Pertandingan KIK Lembaga Hasil Dalam Negeri Pulau Pinang di Wisma Hasil Bandar Perda.

Keseluruhannya hasil-hasil dari pertandingan sama ada dari kategori teknikal atau pengurusan boleh diperkembangan dan dimanfaatkan bukan sahaja kepada organisasi yang bertanding tetapi kepada semua organisasi malah boleh dikomersialkan.

Peserta mempunyai idea yang inovatif dan kreatif serta disokong oleh pelbagai peralatan kualiti (tools of quality) dalam penghasilan produk mereka. Walaupun ada juga produk yang tidak ditimbangtara dengan teliti dari segi aspek kos pembuatan, pemulangan modal pelaburan (ROI) and juga kebolehupayaan untuk dipasarkan, rata-rata produk yang dihasilkan boleh dimanfaatkan.

Sebagai pengamal OSH, saya berpendapat sudah sampai masanya KIK dimestikan ada elemen OSH. Saya ingin membincangkan satu produk yang dihasilkan iaitu Mesin Pelupus Tuala Wanita dari segi OSH. Mesin ini direka kerana organisasi yang terlibat sering bermasalah dengan salur paip tandas tersumbat dan dari hasil selidik mendapati salah satu puncanya ialah ada pengguna yang tidak bertanggungjawab melupuskan tuala wanita yang telah diguna ke dalam salur lubang tandas ini.

(Walaupun secara pratikalnya saya dapati produk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini bukanlah penyelesaian terbaik kepada masalah salur paip tandas tersumbat terutama dari segi kos dan kesesuaian prosedur pelupusannya, saya tetap beryakinan ada permintaan untuk produk seumpama ini jika dengan kos dan prosedur yang telah ditambahbaikan).

Mungkin ahli kumpulan yang mereka produk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini tidak begitu atau kurang didedahkan dengan elemen-elemen OSH menyebabkan produk mereka ini terdedah kepada hazard dan risiko penggunaannya.

Sebagai ruang untuk penambahbaikan (room for improvement) berikut adalah antara teguran-teguran saya sebagai Ketua Juri dalam kategori Teknikal untuk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini.

1. Penutup ruang suapan (feeder) tidak mempunyai selak atau kunci – mudah dibuka dan dikuatiri boleh membahayakan pengguna muda/kanak-kanak yang ingin tahu.
2. Nip regions (ruang permukaan hampir sentuh) penggolek/penghancur tuala wanita begitu terdedah.
3. Penghujung aci (syaft) tidak dihadang/dipagar/ditutup.
4. Gegancu dan talisawat (sprocket and belt) tidak dihadang/dipagar/ditutup (sisi sebelah).
5. Pendawaian elektrik tidak kemas terutama berhanpiran penyambung pada soket.
6. Terdapat sisi bucu tajam (sharp edge) pada bahagian logam.

7. Bunyi bising motor boleh dikurangkan litupan (isolation).

Sekiranya elemen-elemen OSH ini diterapkan dalam rekaan produk Mesin Pelupus Tuala Wanita ini dan juga produk-produk rekaan KIK yang lain, saya pasti besar manfaatnya kepada bakal pengguna. Tidak perlu mengubah tau menambah perkataan lain kepada KIK kerana elemen OSH itu sendiri wujud dalam perkataan inovatif itu sendiri.

Semoga mereka yang bertanggungjawab terhadap pertandingan KIK ini (pihak MAMPU?) memasukkan elemen-elemen OSH dalam syarat dan peraturan pertandingan KIK ini.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Posting berkaitan di sini.

Friday, September 14, 2012

Saturday, September 8, 2012

Delight service dari Pejabat Daerah Larut Matang & Selama


Delight service dari Pejabat Daerah Larut Matang & Selama

Takrifan kualiti pada mulanya diterjemahkan sebagai “kehendak pelanggan” (customer need), kemudian berkembang kepada “kepuasan pelanggan” (customer satisfaction). Sejajar dengan peningkatan perkhidmatan yang berasaskan pelanggan (customer oriented), istilah kualiti kini lebih ditakrifkan sebagai “melebihi jangkaan pelanggan” (customer delight).

Antara contoh yang sering saya gunakan di dalam pengajaran saya ialah telefon bimbit. Bermula dengan kehendak pelanggan iaitu satu bentuk alat komunikasi yang bebas wayar, telefon bimbit dihasilkan dengan saiz bermula sebesar beg (Atur) dan kemudiannya masih lagi sebesar bekas air minuman. Telefon bimbit kemudiannya menepati kepuasan pelanggan apabila saiznya dikecilkan sebesar tapak tangan dan liputannya (coverage) meluas. Kini ciri-ciri (features) telefon bimbit melebihi jangkaan pelanggan dengan penggunaan seperti kamera, internet dan yang terbaru sebagai projektor LCD.


Dalam blog ini saya kerap menyentuh tentang kemudahan untuk OKU termasuklah papan tanda berkaitan OKU. Kini banyak bangunan telah menyediakan kemudahan untuk OKU bergerak keluar/masuk lebih mudah. Malah banyak pusat perniagaan membeli belah menyediakan kerusi roda untuk OKU.

Semalam saya ke Pejabat Daerah Larut Matang & Selama di Taping untuk menjelaskan cukai hasil tanah. Saya dapati selain dari terdapat pelantar (ramp) untuk OKU, pejabat daerah ini turut menyediakan kerusi roda untuk OKU.

Memang kebanyakan OKU ada memiliki kerusi roda di kediaman masing-masing. Tetapi bukan semua kenderaan yantg boleh membawa kerusi roda ini kecuali pick-up atau van. Malah tidak semua MPV yang boleh memuatkan kerusi roda ini. Dengan tersedianya kerusi roda ini di bangunan-bangunan awam sebegini akan memudahkan lagi OKU bergerak terutama jika OKU tersebut perlu menghadirkan diri untuk menyelesaikan urusan berkaitan.

Syabas Pejabat Daerah Larut Matang & Selama dengan delight service mereka.


lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

*Saya sudah beberapa kali menghantar email dan juga membuat teguran melalui telefon berkaitan papan tanda OKU yang salah di Zoo Taiping tapi nampaknya pihak pengurusan (MPT) masih lagi menggunakan papan tanda yang salah. Boleh rujuk posting di sini.


Update 16 Sept 2012

Susulan posting di atas, semalam seorang rakan bekas rakan sekerja semasa di Silverstone hampir 10 tahun lalu menghubungi saya. Menurut beliau yang juga sering mengikuti tulisan di blog-blog saya; Pejabat Daerah Taiping kini turut mengamalkan perkhidmatan ala “pandu lalu” (drive in service) untuk golongan berusia yang uzur. Beliau yang baru selesai berurusan menukar nama tanah milik bapanya memberitahu saya ada pegawai bertugas (di kaunter pertanyaan) yang akan menguruskan tandatangan atau cop jari terus dari kenderaan di tempat letak kereta atau di hadapan bangunan Pejabat Daerah jika melibatkan golongan berusia yang uzur tanpa perlu bersusah payah ke dalam bilik pejabat.

Syabas sekali lagi kepada Pejabat Daerah Taiping yang benar-benar mengamalkan perkhidmatan mesra pelanggan ini. Moga perkhidmatan awam lain akan meneladani amalan Pejabat Daerah Taiping ini.

Untuk makluman semua, hampir semua pihak bank juga kini mengamalkan prosedur yang sama jika melibatkan golongan berusia yang uzur atau golongan OKU. Pegawai bank yang bertugas bersedia untuk pergi ke kenderaan yang dinaiki oleh golongan yang uzur atau OKU ini.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

Nasihat berbahasa


Nasihat berbahasa

Kalau ke Pejabat DOSH di Alor Setar (Anak Bukit), saya teruja setiap kali menggunakan bilik air di Wisma ini. Selain dari kemudahan diselanggara dengan memuaskan, pihak pengurusan penyenggaraan telah memasang banyak poster, penyataan dan sebagainya.

Antara yang paling mengujakan saya ialah penyataan (arahan?) penggunaan tandas duduk seperti dalam gambar di atas. Mesejnya jelas iaitu meminta pengguna menutup pintu tandas, menggunakan tandas secara duduk (bukan mencangkung di atas mangkuk tandas!) dan akhir sekali tandas hendaklah dipam setelah menggunakannya. Penyataan ini mengujakan saya kerana ia disampaikan melalui pantun empat kerat.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

*Kalau sesiapa yang pernah menggunakan tandas duduk di Rumah Kelab Silverstone Taiping pasti ternampak papan tanda cara-cara menggunakan tandas duduk yang betul yang memaparkan pengguna (lelaki) kencing (menghalakan dengan tepat) dan buang besar (duduk bukannya mencangkung). Saya diminta mengadakan papan tanda sebegini (awal 90an) setelah pihak pengurusan syarikat banyak mendapat runggutan dari pekerja pembersihan atas sikap tidak berhemah pengguna-pengguna tandas duduk ini. Kalau tak silap saya, papan tanda ini (ketika itu) saya tiru dari tandas duduk R&R PLUS.

Wednesday, September 5, 2012

Garis Panduan Bagi Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) BM




Muat turun di sini

Garis Panduan Bagi Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) BM

Garis Panduan ini akan lebih memudahkan pemahaman berkaitan Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/