Monday, September 17, 2012

Panduan LGBT dalam konteks Malaysia – perlu atau tidak?


Panduan LGBT dalam konteks Malaysia – perlu atau tidak?

Bulai Julai 2012 lepas, saya telah meminta pelajar-pelajar Master HRM UUM di UUM City KL menyiapkan tugasan berkaitan menyediakan satu panduan (di organisasi sendiri) berkaitan hazard psychosocial. Antara 38 orang pelajar saya tersebut, 8 orang dari mereka telah terpilih untuk menyediakan panduan berkaitan lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT). Boleh rujuk soalan tugasan sepenuhnya di bawah. Selebihnya diminta menyediakan panduan berkaitan hazard psychosocial yang lain.

Antara maklumbalas awal saya terima dari pelajar yang terbabit dalam penyediaan tugasan berkaitan LGBT ini ialah bahan rujukan luar negara terutama dari Barat lebih terbuka dan tidak sesuai dengan konteks suasana masyarakat di Malaysia. Saya sudah maklumkan lebih awal kepada pelajar-pelajar ini mengenai cabaran yang akan mereka hadapi untuk mendapatkan rujukan terutama dari luar negara. Ini adalah tanggungjawab mereka yang kebanyakannya adalah terdiri dari pihak pengurusan hadapan (front line management) dalam jabatan sumber manusia di organisasi masing-masing. Saya amat pasti tidak berapa lagi (dalam masa terdekat ini) panduan LGBT ini amat diperlukan untuk dilaksanakan dalam organisasi masing-masing dan sama pentingnya dengan panduan-panduan lain seperti merokok, meminum minuman keras, gangguan sexual dan sebagainya.

Minggu lepas saya terbaca berita memaklumkan satu garis panduan telah diterbitkan oleh Yayasan Guru Malaysia Bhd, Majlis Rundingan Persatuan Ibubapa dan Guru Putrajaya yang mendapat sokongan Kementerian Pelajaran. Antara yang dinyatakan dalam panduan tersebut ialah empat ciri-ciri gay dan lesbian seperti berikut;

Simptom Gay:
1-Mempunyai badan sasa dan suka menunjukkan aset di badan (pakai baju v-neck, sleeveless).
2-Suka memakai baju yang ketat dan fit mengikut tubuh dengan warna yang terang.
3-Lebih cenderung minat kepada lelaki.
4-Suka berjalan-jalan dengan membawa beg yang besar seperti beg perempuan

Simptom Lesbian:
1-Menunjukkan ketertarikan pada wanita.
2-Jaga jarak dan hubungan dengan wanita lain yang bukan pasangannya.
3-Lebih suka pada wanita untuk teman tidur, makan dan ke mana-mana dengan pasangan wanita.
4-Tidak mempunyai perasaan dengan mana-mana lelaki.

Panduan ini diperkenalkan semasa seminar mengenai usaha menangani isu lesbian, gay, biseksual dan transgender di Pulau Pinang pada 12 September 2012 dan merupakan program anjuran Yayasan Guru Malaysia Bhd dan dirasmikan Timbalan Menteri Pelajaran Puad Zarkashi.

Membacakan berita ini membuatkan saya teruja dan berhasrat untuk mendapatkan satu set lengkap panduan ini untuk membuat perbandingan dengan kelapan-lapan panduan LGBT yang telah dihasilkan oleh pelajar-pelajar saya semasa bulan Julai 2012 lalu.

Malah sebelum inipun sekitar pertengahan tahun lepas, seorang Ketua Jabatan di sebuah IPTA telah menghubungi saya untuk mendapat sedikit pandangan dan panduan dari saya bagi menyediakan panduan LGBT ini dari konteks OSH. Menurut Ketua Jabatan ini yang juga merupakan seorang Prof. Madya Dr. dan juga seorang kaunselor berlesen, VC di IPTA beliau bertugas telah meminta beliau menyediakan satu panduan LGBT memandangkan adanya unsur-unsur kewujudan gejala LGBT di IPTA beliau bertugas. Saya ada memberi beberapa makluman tetapi tidak pasti sama ada hari ini telah siap atau tersedia panduan LGBT di IPTA tersebut untuk diamalkan.

Semalam saya dikejutkan dengan satu berita memaklumkan Kementerian Pelajaran menafikan telah mengesahkan garis panduan mengenali golongan LGBT. Saya tertanya-tanya adakah pihak-pihak tertentu yang juga di dalam bidang pelajaran ini dalam menghasilkan ini tidak mendapat restu dari pihak tertentu (pihak atasan?). Ataupun mereka yang menyediakan ini hanya “syok-sendiri” menyediakan panduan LGBT ini tanpa merujuk kepada pihak atasan ini?

Apapun panduan LGBT ini perlu diadakan segera dengan mengambil input-input dari sumber yang telah dikenalpasti keupayaannya (capability). Panduan LGBT dalam konteks Malaysia lebih-lebih lagi dalam konteks pendidikan Malaysia tidak boleh disamakan (ditiru) acuan dengan Barat. Ada yang sesuai diamalkan di Barat tetapi menyalahi adat-resam, budaya dan agama masyarakat Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) juga memainkan peranan yang penting dalam penyediaan panduan LGBT ini. Kalau KPM terlepas pandang atau kekurangan sumber manusia dan masa untuk menyediakan panduan LGBT ini, mereka hendaklah menerima pakai panduan LGBT yang telah diusahakan oleh pihak-pihak tertentu jika bersesuaian. Jika tidak bersesuaianpun, seeloknya diadakan perbincangan untuk menambahbaikan lagi panduan LGBT yang telah disediakan itu.

Janganlah sehingga gejala LGBT ini menjadi serius sehingga ada Menteri atau Perdana Menteri sendiri yang bersuara, barulah satu panduan atau peraturan hendak disediakan. Tidak mustahil jika ketika itu panduan atau peraturan yang diminta disediakan itu dibuat dengan serta-merta tanpa kajian atau sumber yang mencukupi dan menyebabkan hasilnya yang banyak lompangnya. Ibarat terhantuk baru tergadah.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com


UUM College of Business, MHRM, UUM City KL
TUGASAN BULANAN NO. 3 (JULAI 2012)

GARIS PANDUAN ATAU KOD AMALAN PSYCHOSOCIAL

Kamus Merriam Webster mendefinasikan PSYCHOSOCIAL sebagai; “involving both psychological and social aspects” dan “relating social conditions to mental health”. International Labour Organization (ILO, 1986) mendefininasikan Hazard Psychosocial sebagai intraksi antara unsur pekerjaan, kerja organisasi dan pengurusan, dan keadaan persekitaran serta organisasi. Manakala Cox & Griffiths (2005) memberi definasi lebih mudah sebagai aspek-aspek rekabentuk dan pengurusan kerja, unsur-unsur sosial dan organisasi yang berpontensi menyebabkan kemudaratan psychological dan fizikal. Antara yang sering dirujuk sebagai Hazard Psychosocial ialah tekanan kerja (stress), masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah (drug abuse), minuman keras (alcohol), keganasan tempat kerja (workplace violence), vandalism, bullying, gangsterism, sexual harassment, lesbian, gay, bisexual, and transgender (LGBT).dan perlakuan jenayah, masalah emosi seperti motivasi (hilang arah tujuan), takut gagal, pemberhentian/pembuangan kerja dan sebagainya.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga telah menerbitkan beberapa garis panduan dan kod amalan berkaitan psychosocial ini.

Jabatan Sumber Manusia organisasi anda meminta anda menyediakan garis panduan atau kod amalan dalaman berkaitan psychosocial ini dengan mengkhususkan satu aspek social sahaja. Garis panduan atau kod amalan tersebut mestilah memuatkan definasi aspek sosial yang dipilih, contoh-contoh salah laku, cadangan pencegahan, tindakan yang boleh diambil oleh pihak pengurusan dan sebagainya. Rujuk nota untuk contoh CMY Sexual Harassment Code of Practice.

Garis panduan atau kod amalan yang akan disediakan mesti dalam dua bahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris) dan disyorkan menggunakan format dokumen terkawal ISO (ISO Controlled ocument) dan tidak lebih dari dua (2) mukasurat. Anda juga dikehendaki menyertakan sekirang-kurangnya satu cadangan rajah penandaan (signage) mengikut format logo dan warna sedia ada.

Rujukan - Sekurang-kurang satu jurnal (softcopy) berkaitan.

Tarikh akhir penghantaran secara email ialah sebelum 20 Julai 2012 jam 12.00 tengah malam.


Berita penuh:-
Kementerian Pelajaran Nafi Sahkan Garis Panduan Kenali Golongan LGBT
BERNAMA 16 September 2012


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) tidak pernah memberi pengesahan kepada mana-mana pihak menyedia atau mengeluar garis panduan mengenai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk tujuan pengedaran ke sekolah seluruh negara.

"Pengesahan kepada garis panduan tersebut tidak pernah dikeluarkan," menurut kenyataan KPM sebagai merujuk kepada laporan media baru-baru ini berkaitan pengesahan garis panduan LGBT yang dibincangkan di Seminar Keibubapaan mengenai isu LGBT di Pulau Pinang pada 13 September lepas.

Menurut kenyataan itu, KPM memandang berat isu LGBT yang berlaku dalam masyarakat dewasa ini dengan mengambil beberapa inisiatif memerangi gejala tersebut.

"KPM akan sentiasa memberi bimbingan secara langsung dan tidak langsung kepada semua murid (dan pelajar) untuk mengelakkan diri mereka daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat ini," menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak kementerian menyokong satu 'Garis Panduan' kepada ibu bapa untuk mengenal pasti 'simptom' Gay dan Lesbian pada anak mereka bagi mengambil langkah untuk membetulkan keadaan itu.

Antara isi garis panduan itu adalah, "Simptom" gay mempunyai badan sasa dan gemar menunjukkan badan dengan memakai baju berkolar-V dan tidak berlengan serta suka membawa beg besar sama seperti yang digunakan wanita apabila keluar manakala "Simptom" lesbian adalah tertarik kepada wanita serta gemar keluar, makan, dan tidur dengan wanita. - BERNAMA

Update

Email yang saya terima berkaitan posting di atas dan juga jawapan saya.

Saya tidak bersetuju dengan panduan yang dikeluarkan oleh mereka. Bagi saya, panduan itu terlalu dangkal dan bersifat diskriminasi. Saya faham niat murni yayasan tersebut tapi adakah panduan itu bersesuaian dan siapakan koresponden yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut ?

Adakah begitu mudah membuat pelabelan berdasarkan gaya pemakaian dan penampilan? Saya berasakan lebih ramai individu yang bukan lgbt yang mengampalkan gaya pemakaian dan penampilan sebegitu. Jadi adakah adil jika kita labelkan mereka sebagai lgbt sedangkan mereka tidak.

Pada pendapat saya, lgbt tidak sebegitu mudah untuk dilabelkan dan ternyata panduan cetek itu terlalu mudah membuat tafsiran dan kesimpulan yang bersifat memilih. Apatah lagi, ianya melibatkan emosi, naluri dalaman, pengaruh persekitaran semasa dan juga latar belakang serta sejarah kehidupan sesorang lgbt itu.

Tidak salah jika saya katakan, panduan lgbt ini dibuat dengan sambil lewa atau dalam bahasa kasarnya, "syok sendiri". Tapi, terdetik juga di hati saya, jika benar kementerian pelajaran meluluskan panduan sebegitu, adakah kajian menyeluruh sudah dilakukan ? Atau hanya berdasarkan kepada pengalaman dalaman kementerian pelajaran sahaja ?

Mungkin peribahasa ini boleh dikaitkan secara tidak langsung, hanya jauhari yang mengenal manikam.

Jawapan saya:-

Assalam dan terima kasih atas berkongsi pandangan. Saya masih tidak berpeluang membaca sepenuhnya panduan LGBT ini. Bagaimanapun pada perlabelan berdasarkan gaya pemakaian dan penampilan itu juga secara peribadi tidak berapa saya saya setuju.

Ini jelas telah saya katakan kepada pelajar saya - perlabelan secara pakaian dan ketrampilan agak subjektif. Itulah maksud saya dalam ayat - Jika tidak bersesuaianpun, seeloknya diadakan perbincangan untuk menambahbaikan lagi panduan LGBT yang telah disediakan itu.

Malah saya juga tegaskan - Apapun panduan LGBT ini perlu diadakan segera dengan mengambil input-input dari sumber yang telah dikenalpasti keupayaannya (capability). Panduan LGBT dalam konteks Malaysia lebih-lebih lagi dalam konteks pendidikan Malaysia tidak boleh disamakan (ditiru) acuan dengan Barat. Ada yang sesuai diamalkan di Barat tetapi menyalahi adat-resam, budaya dan agama masyarakat Malaysia.

Sekali lagi terima kasih atas berkongsi pandangan.

 lukmanw@gmail.com

No comments:

Post a Comment