Sunday, June 28, 2009

Blog OSH baru

Blog OSH terbaru

Saya sudah menyenaraikan 16 blog berkaitan OSHE di ruangan kiri bawah blog OSH The Journey saya ini. Ada di antaranya aktif memblog dan ada juga telah senyap untuk sekian waktunya.

Di atas adalah satu lagi blog baru berkaitan OSH iaitu 9W2ZNL (call sign untuk amatur radio). Bagaimanapun pemilik blog ini, sdr. Zainal Abidin Hj. Haron turut memuatkan posting-posting berkaitan radio amatur dalam blognya.

Selamat menjadi blogger. Semoga kita sama-sama dapat berkongsi pengetahuan.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com

Saturday, June 27, 2009

Latihan pengungsian bangunan – mengapa ada pengecualian?





Latihan pengungsian bangunan – mengapa ada pengecualian?

Hari ini pada jam 11.00 pagi, Hotel Sunway Seberang Prai mengadakan latihan pengungsian bangunan (building evacuation drill). Selain dari ”head count”, terdapat juga ”mock-up” mangsa tercedera dan demo menyelamat dari anggota ERT hotel. Sistem penggera aktif dan kedudukan lift yang turun secara automatik ke paras paling bawah (semasa penggera dihidupkan) menunjukkan kesemua sistem-sistem mencegah/mengawal kebakaran tersebut disenggara dan dalam keadaan baik.

Bagaimanapun latihan ini diadakan dengan makluman semua pekerja hotel. Bermula seawal Selasa lalu, memo-memo mengenai latihan ini kelihatan di merata tempat. Memo ini juga memaklumkan bahawa tetamu-tetamu hotel tidak terlibat dalam latihan ini. Sistem siaraya (PA System) juga diuji semalam dan adakalanya menganggu peserta-peserta kursus. Rasanya terdapat lebih dari lima kursus dan dua mesyuarat yang diadakan di tingkat dua hotel ini.

Saya mengambil kesempatan meninjau latihan pengungsian bangunan ini. Sememangnya kesemua kakitangan yang terlibat memberikan kerjasama mereka.

Kebetulan saya sempat berbual dengan salah seorang pihak pengurusan hotel dan menyuarakan kenapa tidak melibatkan tetamu-tetamu hotel. Beliau menjawab agar sukar hotel-hotel di Malaysia yang mengadakan latihan pengungsian bangunan untuk melibatkan tetamu-tetamu mereka. Ini berbeza dengan hotel-hotel di luar negara terutama di Eropah dan di Amerika Syarikat yang memestikan tetamu-tetamu hotel juga terlibat dalam latihan sebegini.

Mengapa di Malaysia (hotel-hotel di Malaysia) tidak “menjemput” tetamu-tetamu mereka untuk bersama-sama dalam latihan pengungsian bangunan sebegini? Sekurang-kurangnya tetamu-tetamu hotel ini juga belajar cara-cara untuk mengungsikan bangunan.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Catatan;

Semasa saya bertugas di Silverstone Taiping, saya merancang dan melaksanakan latihan pengungsian bangunan dengan makluman tarikh dan masa hanya diketahui oleh penyelia ke atas sahaja. Malah kami juga mengadakan latihan sebegini pada waktu malam dan pernah mengadakannya pada jam 4 pagi.

Friday, June 26, 2009

PLUS tidak peka (atau PLUS memang pekak!)

Penunjuk arah selepas keluar susur dari jambatan

Penunjuk arah hampir kepada laluan jejantas yang masih belum dibuka

PLUS tidak peka (atau PLUS memang pekak!)

Hari ini adalah hari terakhir saya menghadiri Kursus Pengurusan Trafik di Hotel Sunway, Seberang Prai, Pulau Pinang. Banyak pengetahuan baru yang saya pelajari dalam kursus ini. Rakan-rakan sekursus yang kebanyakannya berkerja di bidang pembinaan jalan raya dan bangunan turut berkongsi pengalaman masing-masing.

Semasa berkursus, kami peserta-peserta didedahkan tentang sistem pengurusan dan perancangan serta pengendalian trafik semasa pembinaan. Ini meliputi semua jenis jalan raya dan laluan di Malaysia termasuklah lebuhraya. Antara topik yang penting ialah penggunaan papan tanda yang betul dan bersesuaian serta tidak mengelirukan pengguna jalan raya.

Saya menyuarakan pemerhatian saya terhadap papan tanda PLUS yang mengelirukan di dalam posting sebelum ini. Rupa-rupanya hampir kesemua peserta-peserta kursus yang kebanyakannya bekerja di sekitar Seberang Prai berkongsi pemerhatian yang sama dengan saya. Ada di antaranya pernah memaklumkan permerhatian ini kepada pihak PLUS. Malah pengajar kursus sendiri berkongsi pemerhatian yang sama dengan kami.

Ulang-alik harian saya dari Taiping ke Seberang Prai semenjak Selasa lalu mendapati penunjuk arah ke Kawasan Perusahaan Perai 2, 3, & 4 ini masih terbentang walaupun laluan jejantas tersebut masih belum dibuka. Malah di laluan bersebelahan penunjuk arah ke Jambatan (melalui laluan baru) telah terbentang walaupun laluan tersebut masih belum terbuka. Mujurlah penunjuk selepasnya yang terletak betul-betul di laluan ini ditutup dengan plastik sampah berwarna hitam.

Mengapa PLUS tidak peka dengan penunjuk arah yang mengelirukan ini? Ataupun sememangnya PLUS ini pekak!

Seorang rakan sekursus membayangkan kemungkinan PLUS atau kontraktor pembekal penunjuk arah ini cuba menjimatkan kos. Untuk memasang penunjuk arah di galang yang tinggi itu memerlukan penyewaan kenderaan yang bersesuaian (crane umpamanya). Sudah pasti sekiranya mereka memasang penunjuk arah ini dan menutupnya sehingga laluan dibuka, memerlukan pula penyewaan kenderaan yang bersesuaian untuk membuka penutup penunjuk arah ini setelah laluan tersebut dibuka kepada pengguna jalan raya tersebut.

Bagaimana pula dengan penunjuk arah ke Jambatan yang hanya ketinggiannya sekitar 6 kaki itu? Apakah alasan PLUS untuk tidak menutupnya sehingga laluan yang dibina itu dibuka kepada pengguna?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Penunjuk arah ke Jambatan (melalui laluan baru yang masih belum dibuka)

Boleh pula penunjuk arah ini ditutup sementara laluan itu masih belum dibuka

Hospital bukan untuk kanak-kanak melawat!




Hospital bukan untuk kanak-kanak melawat!

Bukan sahaja kerana H1N1, hospital bukanlah tempat yang sesuai untuk dilawati oleh kanak-kanak.

Disertakan kembali posting mengenai tajuk yang sama dari blog lama saya;

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/


Zoo dan Hospital bukan untuk kanak-kanak
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/ 24-Julai 2007

Kita dikejutkan dua berita berkaitan dengan haiwan. Terbaru seorang kanak-kanak dicakar oleh seekor harimau di Zoo Negara dan sehari sebelumnya seekor kuda mengigit seorang kanak-kanak di Tapak Pesta Sungai Nibung, Pulau Pinang.

Pada saya zoo dan juga hospital bukanlah tempat yang sesuai untuk kanak-kanak terutama masih bersekolah rendah untuk dilawat.

Mengapa saya berpandangan sempit sebegitu atau mungkin ada yang menganggapnya kolot?

Apakah tujuan kita untuk ke zoo? Melihat binatang yang dikurung? Memberi kesedaran (?) kepada kanak-kanak tentang haiwan dan sifatnya? Atau untuk mengirat silaturahim dengan haiwan-haiwan ini?

Jika sekadar untuk melihat, kita boleh merujuknya di mana-mana seperti tv (siaran Astro berlambak-lambak!), majalah dan sebagainya. Malah sifat haiwan ini lebih ketara seperti ganas dan agresif di dalam tv (secara rakaman tersembunyi) jika dibandingkan dengan sifat mereka yang “bermalas-malasan” di dalam kandang zoo. Mungkin disebabkan itu ramai kanak-kanak terpedaya dan tertipu dengan aksi haiwan-haiwan ini yang “bermalas-malasan” di dalam kandang zoo.

Hospital juga bukan tempat untuk kanak-kanak yang sihat. Faktor persekitarannya walaupun dibersihkan sebaik mungkin masih terdedah kepada risiko rebakan bakteria, penyakit dan sebagainya. Hubungan terus dengan pesakit dengan pelawat seperti bersalam atau bercium akan memudahkan lagi perpindahan bakteria dan sebagainya ini.

Anda sebagai ibubapa (atau bakal ibubapa) perlu memahami persekitaran berisiko ini. Akta Kanak-kanak mempunyai peruntukkan untuk mendakwa ibubapa yang didapati bersalah membahayakan persekitaran anak mereka. Peruntukkan ini hampir sama dengan tanggungjawab majikan terhadap pekerja-pekerja.

Apa yang penting; tanamkan kesedaran OSH kepada anak-anak anda pada usia muda mereka. Kelak mereka akan mempunyai tahap kesedaran OSH yang tinggi dan memahami apakah yang dimaksudkan dengan persekitaran yang berisiko sewaktu usia mereka cukup matang untuk berada di zoo ataupun di hospital.

Jika anda masih ingin juga membawa mereka ke zoo atau hospital di usia mereka yang masih mentah, silakan tapi pastikan anda mengambil langkah
-langkah keselamatan yang lebih tinggi.

Sunday, June 21, 2009

Thursday, June 18, 2009

Pulau Pinang sudah! Negeri lain bila pula?


P.Pinang isytihar “Hari Tanpa Plastik” setiap Isnin
Utusan Malaysia, 5 Jun 2009

Kerajaan Pulau Pinang hari ini mengisytiharkan setiap Isnin sebagai “Hari Tanpa Plastik” bagi negeri itu, bermula 1 Julai ini.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata larangan penggunaan beg plastik oleh kerajaan negeri itu menandakan komitmen seriusnya ke arah mencapai matlamat sebuah negeri hijau.

“Berikutan perundingan dan dialog dengan pasar raya hiper, pasar raya besar, pasar raya mini, pengeluar plastik dan NGO, larangan penggunaan beg plastik itu merupakan komitmen serius kerajaan negeri bagi mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya pada sidang akhbar di sini. - Bernama


Pulau Pinang sudah! Negeri lain bila pula?

Tiada jalan lain untuk mengawal penggunaan beg plastik berluasa di pusat membeli-belah. Mengenakan bayaran untuk setiap beg plastik adalah cara terbaik untuk mengurangkannya.

Pulau Pinang sudah mempraktiknya. Negeri lain bila pula?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Klasifikasi, Pembungkusan dan Perlabelan


Klasifikasi, Pembungkusan dan Perlabelan

(Di Malaysia, Peraturan Klasifikasi, Pembungkusan dan Perlabelan (untuk bahan-bahan kimia ini) lebih dikenali dengan CPL - Occupational Safety and Health (Classification, Packaging and Labelling of Hazardous’ Chemicals) Regulations 1997.)


Semasa di Jakarta dan di Bandung dua minggu lepas, saya mengalami batuk yang amat sangat. Batuk ini menjadi-jadi terutama di waktu malam dan berada di dalam bilik ataupun kenderaan yang berhawa dingin. Sebenarnya beberapa bulan lepas saya mengalami gejala yang sama. Kata Doktor yang merawat saya ini adalah tanda-tanda penghidap lelah. Saya tidak pernah menghidap lelah sebelum ini. Mungkin faktor umur yang semakin meningkat dan antibodi yang sudah lemah mendedahkan badan saya terhadap penyakit lelah ini.

Saya mengunjungi sebuah farmasi di Bandung dan menyatakan kepada pegawai farmasi yang bertugas mengenai batuk saya.

Pegawai farmasi yang bertugas mengesyorkan saya mengambil OBH Combi yang mengandung Paracetamol, Ephedrine HCL dan CTM serta menerangkan kepada saya fungsi-fungsi bahan tersebut.

Antara fungsi-fungsinya ialah mengeluarkan kahak, mengurangi gejala hidung tersumbat dan bersin serta menurunkan suhu badan.

Beliau juga mengingatkan saya OBH Combi tidak sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah sakit jantung dan juga diabetes.

Bukan sahaja maklumat-maklumat yang penting itu saya perolehi dari pegawai farmasi tersebut, kotak pembungkus ubat batuk ini juga lengkap dengan semua maklumat-maklumat tersebut. Malah terdapat juga amaran kesan akibat pengambilan dos berterusan yang boleh menyebabkan kerosakan hati di samping maklumat mengenai kesan-kesan sampingan semasa menggunakannya.

Saya rasa belum pernah menjumpa maklumat-maklumat yang sebegitu banyak dan berguna sebegini tertulis pada kotak pembungkus ubat. Sememangnya ada maklumat yang ”terlalu teknikal” untuk difahami dalam selitan kertas di dalam kotak pembungkus. Tetapi maklumat yang ringkas dan lengkap sebegini pada kotak pembungkus adalah lebih mudah dibaca dan difahami oleh bakal pengguna.

Adakah amalan sebegini di Indonesia atas dayausaha dan kesedaran pihak pengeluar ubat-ubatan ini ataupun sememangnya ada peraturan (seumpama CPL) yang mewajibkannya?

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Tuesday, June 16, 2009

Pemutar Nat Bersaiz 14 mm

Pemutar Nat Bersaiz 14 mm

Kebelakangan ini trend berbasikal MTB mula mendapat perhatian. Di mana-mana saja ada kumpulan MTB ini dengan kayuhan suka-suka ataupun pertandingan. Geng Taiping dan Kulim sudah mula calling-calling. Geng UUM pula bulan depan ada pertandingan. Pak Adib ada menjemput ada menjemput saya menyertai kumpulannya termasuk kayuhan malam di Putrajaya kalau saya ada di KL.

Semasa saya giat (mungkin boleh dikatakan “gila”) berbasikal pertengahan 90an dahulu, saya akan beberapa peralatan khas dan alat ganti yang boleh dibawa sama ada dalam beg galas, beg pinggang atau beg kecil di bawah tempat duduk basikal MTB saya. Antaranya ialah spare tube, crowbar, set rantai, dan peralatan asas.

Ada satu peralatan khas yang direka-semula dengan kegunaan khusus.

Kelmarin semasa berkayuh dengan anak saya di kawasan perumahan berdekatan, pengayuhnya jatuh. Kebetulan beg khas yang memuatkan peralatan khas dan alat ganti tidak dibawa. Mujurlah jaraknya sekitar 5 km sahaja dari rumah kami.

Peralatan khas yang direka-semula itu ialah Pemutar Nat Bersaiz 14 mm. Semasa saya giat berbasikal dahulu (paling jauh KL ke Melaka dan Taiping ke Ipoh), adalah menjadi kebiasaan ada sahaja ahli dalam kumpulan berbasikal kami yang terjatuh pengayuhnya. Kerana nat bersaiz 14 mm terletak dalam ”housing”nya, perengkuh (spanner) biasa tidak dapat memutarkan (mengetatkannya).

Jadi saya mendapatkan satu pemutar nat dan memotongnya untuk lebih pendek serta menyambungnya dengan satu hendal. Pemutar nat yang kecil ini senang dibawa dalam beg kecil.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

1. Pengayuh (pedal) ini memang mudah longgar.

2. Gunakan skru berbaji untuk keluarkan getah penutup.

3. Di dalamnya terdapat nat yang telah longgar dari housing-nya.

4. Ini Pemutar Nat saiz 14 mm.

5. Masukkan nat ke dalam pemutar nat ini.

6. Kenakan pada housing pengayuh.

7. Putarkan mengikut jam.

8. Kenakan semula getah penutup.

9. Ketatkan dengan ketukan perlahan pemegang skru.

Bersedia untuk keadaan kecemasan.

Berita Harian 8-Jun-2009

Kakitangan jambatan Pulau Pinang bahagian peronda mengutip paku dengan menggunakan magnet yang dipercayai ditabur oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Paku sepanjang dua dan tiga inci ditabur di lorong motosikal sebelum plaza tol menuju ke pulau. Dipercayai ada individu yang mengambil kesempatan mencari keuntungan yang berlipat kali ganda apabila tayar motosikal mereka bocor. Keprihatinan kakitangan Jambatan Pulau Pinang amat dihargai kerana berusaha mengurangkan kejadian tayar bocor diatas Jambatan Pulau Pinang berterusan.

Bersedia untuk keadaan kecemasan.

Terbentang satu garis masa yang menyempadani OSH dan ERM. Dalam OSH kita sedaya-upaya mencegah sebarang hazad dan mengawal risiko (dengan hirarki menghapus, menganti, menjauhi atau membendung, pengawalan kejuruteraan, pengawalan pentadbiran dan peralatan perlindungan diri), manakala dalam ERM kita bersedia untuk menerima hazad dan risiko (kemungkinan besar tidak dapat mengelakkannya) dengan mengawalnya secara membendung, mengurangkan dan membendung kerosakan, memastikan operasi semasa berterusan (BCP) dan mengembalikan kepada keadaan normal (BRP).

Sepanjang dua tahun 1996 dan 1997 saya berulang-alik dengan motosikal di hujung minggu sekurang-kurang sekali atau dua kali sebulan menghadiri kelas PPJJ di USM Glugor, kemudiannya bersambung tiga tahun di USM Tronoh sebelum bersambung lagi tiga tahun di Transkrian. Bezanya di Tronoh dan Transkrian saya lebih kerap menggunakan kereta (atas nasihat isteri!).

Alhamdulillah, sepanjang tahun 1996 dan 1997 saya tidak pernah mengalami kejadiaan di mana tayar motosikal saya pancit. Mungkin saya sentiasa memeriksa keadaan permukaan dan celah-celah bunga tayar sehari sebelum memulakan perjalanan. Bagaimanapun saya sentiasa lengkap dengan spare tube, crow bars, foot pump dan peralatan asas.

Dalam dua tahun itu peralatan yang saya bawa itu telah dapat membantu lima penunggang motosikal lain di mana tayar motosikal mereka pancit di atas lebuhraya. Saya tidak mengenakan sebarang upah perkhidmatan tetapi saya meminta mereka menukarnya sendiri spare tube yang saya dengan tunjuk-ajar saya. Manakala spare tube hendaklah diganti dengan baru jika kebetulan mereka menuju ke destinasi yang sama dengan saya atau mengantikannya dengan harga yang tak sampai RM 10.00.

Kadang-kadang angin bukan sahaja keluar dari tayar yang pancit. Ianya boleh meresap melalui spring injap tiub. Spring injap ini boleh diketatkan dengan penutup tiub khas yang mempunyai bilah pemutar ataupun pemutar khas yang boleh dibeli di kedai tayar. Selepas diketatkan ianya hendak diuji. Caranya mudah sehaja. Dengan menggunakan air liur anda, sapu di hujung salur injap tersebut. Sekiranya ada angin yang masih menyerap keluar akan ternampak gelembung udara.









Selain dari mengalami masalah tayar pancit, kerosakan lain yang biasa kepada motosikal ialah kehabisan bahan-bakar petrol (atau kebocoran), rantai putus, kabel pendikit bahan-bakar ataupun yang paling serius kegagalan injin.

Untuk masalah kehabisan bahan-bakar petrol akibat kecuaian sendiri adalah suatu risiko yang paling cuai. Untuk menutup lubang kebocoran tangki (jika kecil), boleh digunakan sabun buku dan jika terdesak boleh menggunakan tanah basah (atau selut!).

Sekiranya latarbelakang anda dari kejuruteraan mekanikal, kejadian rantai putus dan kabel pendikit bahan-bahan putus tidak akan terjadi jika kedua-dua peralatan itu disenggarakan secara berkala dan sentiasa diperiksa. Rantai (jenis penyambung dan bukannya O-ring) dan kabel tidak akan putus tanpa menunjukkan sebarang tanda-tanda kelemahan atau kegagalan. Rantai dan juga kabel yang kering kemerahan, rantai yang sudah panjang (dari spesifikasi asal), pin penyambung rantai yang tidak pernah berganti bertahun, kabel yng sudah terurai satu atau dua wayar adalah tanda-tanda ianya telah lama dan akan gagal (putus) pada bila-bila masa.

Semasa saya mula-mula “belajar” menaiki motosikal dan “berlumba” pada pertengahan 80an, saya diajar semua ini. Sentiasa meminyakkan atau menyembur (dengan minyak yang sesuai) kepada rantai motosikal. Kabel pendikit bahan bakar pula diperiksa dengan kerap. Begitu juga klip (pin penyambung) rantai yang perlu ditukar sekerap mungkin terutama sekiranya motosikal itu dipandu harian dengan jarak kilometer yang tinggi. Untuk motosikal kecil, klip rantai ini hanya berharga beberapa ringgit sahaja.




(Semasa saya menggunakan superbike dengan tubeless tyre dahulu, saya membawa set membaiki tayar tubeless dan foot pump atau kadang-kadang saya bawa tin aerosol yang mengandungi bahan kimia yang boleh menutup lubang kebocoran ini dari dalam tayar dengan menyemburnya melalui injap tayar.)

Berbeza dengan skuter yang tidak menggunakan rantai pemacu dan tubeless tyre, masalah rantai putus dan tayar pancit bukan masalah kepada pemiliknya. Tetapi jika tubeless tyre ini pancit dengan lubang yang besar, anginnya akan keluar dan menjadi kepayahan yang amat sangat kalau hendak menolak skuter .

Mungkin disebabkan itu Vespa adalah kenderaan dua roda yang terbaik untuk perjalanan kerana turut tersedia spare tyre.

Selain dari peralatan yang disebutkan di atas, semasa saya kerap bermotosikal menjelajah di hujung minggu dahulu, saya sentiasa membawa tali sepanjang 10 kaki. Dengan tali ini saya pernah “menarik” beberapa buah motosikal yang rosak di tengah jalan. Antaranya ialah motosikal Honda Raider kepunyaan seorang anggota Polis Hutan Hulu Kinta. Saya menariknya dari sebelum memasuki Terowong Menora di Ipoh hingga ke depan Pintu Utama Kem Hulu Kinta!

Ada beberapa panduan jika hendak “menarik” motosikal ini. Antaranya ialah tali hendaklah cuma diikat ke motosikal penarik di hadapan. Tali tidak boleh diikat ke motosikal yang hendak di tarik di belakang. Penunggang belakang hendaklah memegang hujung tali. Seeloknya hujung tali disimpul ke ranting kayu supaya boleh digenggam.

Ini untuk mengelakkan kemalangan jika motosikal penarik terbabas yang sudah tentu akan membabaskan juga motosikal yang ditarik.

Ada juga yang mahir ”menolak” motosikal dengan menggunakan kaki yang ditonjolkan kepada pemijak motosikal yang hendak ditolak. Mekanik superbike di Taiping (Ah Piau) adalah salah seorang yang mahir dengan cara ”menolak” ini. Dia yang berbadan kecil pernan menolak sebuah Kawasaki Zephyr kepunyaan Manager AMDB yang berbadan amat besar dari Gurun hingga ke Kamunting! Bagaimanapun cara ini amat sukar dilakukan terutama di kawasan yang sesak dengan lalu-lintas.

Apapun kepada semua penunggang-penunggang motosikal di luar sana. Sentiasalah bersedia untuk menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Nota;

Terima kasih dan syabas kepada kakitangan Jambatan Pulau Pinang yang perihatin dengan masalah taburan paku-paku ini.

Saya juga ingin mencadangkan agar “pembaiki-pembaiki tayar pancit jalanan” di atas jambatan dan di lebuhraya ini “dileseni” atau dipantau oleh pihak berkuasa Jambatan Pulau Pinang/Plus terutama kos perkhidmatan dan harga alat ganti yang dikenakan agar berpatutan dan tidak mencekik darah pengguna-pengguna.