Tuesday, August 11, 2015

Perlu ada Smoking Room





Perlu ada Smoking Room

Saya tidak merokok. Saya tidak menyokong dan mengalakkan amalan merokok. TETAPI saya sentiasa mengalakkan organisasi menyediakan Bilik atau Ruang Merokok untuk pekerja mereka yang merokok.

Ada dua maksud larangan di papan tanda DILARANG MEROKOK . Larangan dari segi kesihatan dan juga larangan dari segi keselamatan (bahaya kebakaran).

Kebanyakan orang hanya melihat dari larangan merokok dari segi kesihatan. Memang dari kesihatan sudah dibuktikan melalui penyakit (kronik dan akut) yang dikesan akibat dari amalan merokok ini.

Posting kali ini saya ingin menyentuh larangan merokok dari segi keselamatan bahaya kebakaran dan keperluan mengadakan Bilik Merokok.

(Saya tidak berhasrat menyentuh larangan merokok dari segi hokum. Biarlah mereka yang arif lagi alim menyentuhnya).

Di organisasi atau premis yang tidak ada Bilik Merokok akan menyebabkan perokok tegar  ini “mencuri-curi merokok” atau “terang-terangan merokok” di  tempat yang tidak sepatutnya. Pilihan (sasaran?) mereka ialah Bilik Air/Tandas, Bawah Tangga, dan Bilik Kawalan (contoh AHU Room dan sebagainya). Malah ada yang merisikokan diri dengan merokok di Bilik atau Stor Kimia atau di Stor Bahan Boleh Terbakar (flammable).

Bilik Merokok yang direka dengan baik dan sesuai akan berupaya mengekang hazard dan risiko kebakaran ini.

Saya ingin berkongsi scenario Bilik Merokok di dua organisasi yang saya pernah bekerja.

Di kilang tayar, Ruang Merokok disediakan di luar banggunan (open air) yang dilengkap dengan payung, meja bulat dan kerusi. Organisasi yang saya bekerja ini berharap kedudukannya agak jauh dari tempat kerja akan menyebabkan perokok ini tidak atau jarang keluar untuk merokok.

Sebaliknya tiada masalah untuk perokok tegar ini pergi ke ruang merokok itu. Malah “harapan” pihak pengurusan menyukarkan perokok ini bermasalah lain pula. Jika hari hujan, perokok-perokok ini (selepas merokok) agak keberatan untuk bergerak masuk ke kilang menyambung kerja mereka semula.

Di kilang elektronik yang saya bekerja kemudiannya menyediakan Bilik Merokok Telus Cahaya (transparent) di dalam bangunan. Kedudukannya pula di lokasi perjalan kaki dan berdekatan dengan bilik pihak pengurusan tertinggi syarikat.

Peralatan yang disediakan di dalam Bilik Merokok ini agak ringkas. Hanya beberapa bangku palang besi (bench) tanpa meja. Jumlahpun terhad. Bilik ini juga dilengkapi dengan system aliran udara keluar. Turut diletakkan beberapa pasu tumbuhan hijau.

Bilik Merokok sebegini secara dasarnya memberikan keselesaan minimum kepada perokok tetapi secara tidak langsung Bilik Merokok sebegini tidak begitu “menyenangkan” pandangannya kepada orang ramai yang berjalan berhampiran.

Ada banyak sumber rujukan di internet yang boleh dijadikan panduan dalam merekabentuk Bilik atau Ruang Merokok ini.


Apapun pesanan saya kepada perokok tegar, kurang-kuranglah amalan merokok itu. Kalau boleh berhenti merokok adalah pilihan terbaik. Kepada mereka yang tidak merokok terutama kepada remaja, usahlah mencuba-cuba hendak merokok.

No comments:

Post a Comment