Tuesday, October 21, 2014

Kemalangan Superbike dan Biker terbakar di Karak






Kemalangan Superbike dan Biker terbakar di Karak

Saya teruja dengan kronologi bergambar yang disiarkan oleh Harian Metro semalam (20 Okt. 2014) mengenai kemalangan Superbike dan Biker terbakar di Lebuhraya Karak ini. Apatah lagi ramai kenalan dan pelajar saya yang telah “tag” saya dalam posting di FB mereka dengan menyertakan kronologi bergambar ini.

Walaupun diminta, saya mengambil keputusan untuk tidak mengulas secara bertulis mengenai penunggang superbike dan pemandu kereta yang terbabit dalam kemalangan ini sementelah ada yang mempertingkaikan kronologi bergambar tersebut. Ada makluman hari ini bahawa pemandu kereta Myvi itu tidak menukar laluan secara mengejut dari kiri ke kanan, berbeza seperti yang dinyatakan dalam kronologi bergambar tersebut. Biarlah pihak berkuatkuasa membuat siasatan terperinci dan kita hanya mampu berharap akan ada penjelasan selepas itu untuk dijadikan teladan dan sempadan.

Bagaimanapun sebagai pengamal OSH dan pada masa yang terbabit dengan sukan permotoran di peringkat Malaysia dan antarabangsa, dan juga pernah menggunakan jalan darat sama ada berkereta (sehingga sempadan Tibet) dan motosikal (sehingga sempadan Mynmmar/China) saya terpanggil untuk mengulas sedikit mengenai kenderaan penyelamat (recovery truck/tow truck) dan kenderaan bermasalah (lori rosak) yang turut terbabit dalam kemalangan ini.

Saya bersetuju dengan pandangan Wazi Hamid, bekas juara Cub Prix, dalam catatan Wall FB nya yang mempertingkaikan keupayaan Tow Truck tersebut yang cuba mengalihkan lori yang rosak. Akibat salah membuat pengiraan keupayaan (kemungkinan), lori yang rosak itu tersasar  dan melintang lalu menghalang laluan lebuhraya tersebut.

Sebagai catatan, hubungan saya dengan Wazi bermula pada penghujung 80an sebagai rakan sukan permotoran. Wazi juga (sebelum ini semasa beliau masih aktif berlumba) adalah sumber rujukan saya semasa saya merekabentuk trek-trek perlumbaan jalanan (road racing) terutama dalam aspek keselamatan.

Ada dua isu yang ingin saya kongsikan berkaitan kemalangan di Lebuhraya Karak ini. Isu pertama adalah amaran awal atau ‘marker”.

Kemalangan di Lebuhraya Karak ini mengingatkan saya terhadap kemalangan melibatkan Jules Bianchi di Litar Suzuka, Japanese Grand Prix Suzuka pada 5 October 2014 di mana beliau terlanggar Recovery Crane. Pada mulanya Bianchi dikatakan memandu selaju  160mph (260 kmh), atas arahan ahli pasukannya dari pit tetapi kemudiannya dinafikan ole Race Director, Charlie Whiting selepas siasatan dibuat ke atas sistem komunikasi pasukan ke pelumba.

Kebetulan beberapa hari lepas (sebelum kemalangan di Lebuhraya Karak ini), saya berpeluang berbual dengan beberapa Motorsport Officer yang berpengalaman luas dalam mengawalselia sukan pemotoran di Malaysia dan juga peringkat antarabangsa. Perbualan kami di trek cub prix Kangar ini lebih menjurus kepada  tindakan yang sepatutnya di ambil (boleh diambil) untuk mengelakkan kemalangan di Litar Suzuka ini berlaku. Peranan komunikasi melalui bendera perlumbaan (2 bendera kuning dikibarkan bermakna litar tidak selamat) sahaja tidak mencukupi. Malah ada yang membuat kesimpulan awal Bianchi menambah kelajuan kerana melihat bendera hijau dikibarkan (litar kembali selamat) sebelum beliau terlanggar Recovery Crane ini.

Apa yang pasti, kegagalan pemandu untuk melihat (meramalkan) keadaan atau situasi di hadapan mereka. Dalam kes Bianchi, penggunaan Safety Car sebagai “marker” adalah penyelesaian yang terbaik.

Sebagai catatan, Bianchi juga terlibat dalam kemalangan di Litar Suzuka pada tahun 2013.

Dalam kes kemalangan di Lebuhraya Karak, kemungkinan besar pemandu dan penunggang superbike ini tidak dapat meihat keadaan dan situasi di hadapan mereka. Banyak faktor yang menyumbang seperti laluan berselekoh ataupun permukaan jalan yang mendaki ketika itu.

Jika ada “marker” seperti sebuah lagi Tow Truck (dengan lampu amaran) atau personnel yang mengibarkan bendera memberi amaran awal mengenai halangan ini mungkin pemandu kereta dan penunggang superbike ini lebih peka terhadap situasi ini.

Isu kedua adalah kegagalan pemandu Tow Truck terhadap keupayaan kenderaan penyelamat. Ini seperti yang dinyatakan oleh Wazi dalam wall Fb nya.

Saya masih tertanya-tanya adakah lori itu rosak dan melintang laluan lebuhraya ataupun semasa ditarik oleh Tow Truck, lori itu tersasar dan menghalang laluan lebuhraya?

Tidak dapat dinafikan dalam banyak kes kemalangan jalan raya, tow truck adalah pihak paling awal sampai di tempat kejadian. Malah ramai di antara pemandu tow truck yang berani mengadaikan nyawa mereka bertindak sebagai penyelamat kepada mangsa yang terperangkap di dalam kemalangan.

Mungkin juga (anggapan saya) dalam kejadian kemalangan di Lebuhraya Karak itu, pemandu tow truck sedaya daya cuba membantu mengalihkan lori yang rosak tersebut tanpa menyedari keupayaaan sebenar kenderaan penyelamatnya.

Setahu saya dalam tow truck tiada “Load Chart” seperti Mobile Crane yang boleh dijadikan panduan kepada pemandu Mobile Crane untuk menentukan keupayaan kenderaan penyelamat mereka. Pemandu tow truck hanya berdasarkan pengetahuan dari pengalaman mereka sahaja untuk menentukankeupayaan kenderaan penyelamat mereka ini.

Kemalangan di Lebuhraya Karak ini mengingatkan saya terhadap dua kejadian yang hampir sama akibat kegagalan membuat pengiraan keupayaan kenderaan masing-masing.

Kejadian pertama ialah mengenai Mobile Crane yang terbalik ke dalam laut di Pelabuhan Liverpool. Rujuk gambar kejadian-kejadiaan tersebut. Ini adalah kajian kes yang kerap saya gunakan dalam kelas pembelajaran saya.

Satu kejadian lain ialah semasa saya mengawalselia (sebagai Stage Commander) dalam acara Classic Car Rally London-Sydney Marathon pada tahun 2000 di mana salah satu laluanya ialah Sumpitan-Lenggong. Di sini sebuah lumba terbabas ke dalam gaung sedalam anggaran 100 kaki. Kami mencuba sedaya-upaya untuk menarik keluar kereta yang terbabas itu menggunakan satu tow truck dan dua pickup. Penggunaan tiga winch ini masih tidak berupaya menarik keluar kereta lumba seberat 3.5 ton itu. Akibatnya kami hanya membuang masa selama tiga, empat jam. Pada masa yang sama terdapat juga kejadian nyaris-hampir yang merbahayakan pengguna-pengguna winch ini.

Tanpa diduga sebuah lori balak (tanpa muatan balak) yang melalui kawasan itu berhenti dan menawarkan pertolongan. Menggunakan rantai, dengan sekali tarik sahaja kereta rally itu berjaya ditarik naik ke atas jalan raya.

Kesimpulan berharga yang saya pelajari dalam kejadian ini, perlu ada peralatan yang sesuai dan mengetahui keupayaannya, membolehkan kerja dapat dilakukan dengan betul dan selamat.

Ingin saya ingatkan, pandangan ini bukanlah untuk menyalahkan pemandu tow truck yang terlibat dalam kemalangan di lebuhraya Karak ini. Lebih kepada penambahbaikan kepada pemandu-pemandu tow truck agar mereka dilengkapi dengan “load chart” atau maklumat tambahan keada keupayaan kenderaan penyelamat masing-masing. Pada masa yang sama, mereka juga perlu membawa “marker” seperti kon keselamatan (biasanya telah ada) dan kelengkapan lain. Ataupun mungkin pembantu yang boleh bertindak sebagai pegawai bendera ketika kecemasan.

Pada masa yang sama, sama-samalah kita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang telah meninggal dunia dan mendoakan agar segera kembali sembuh kepada mereka yang sedang dirawat.

Pohon saya juga agar tidak dipersalahkan mana-mana personnel yang terlibat dalam kemalangan ini baikpun penunggang motosikal ataupun pemandu kereta termasuklah pemandu lori dan pemandu tow truck. Biarlah pihak berkuasa berkenaan membuat siasatan dan pada masa yang sama harap siasatan ini akan dihebahkan kemudian untuk menjadi teladan dan sempadan kepada semua.


http://oshthejourney.blogspot.com/

NOTA UNTUK SHO, Kronologi bergambar adalah teknik terbaik (antara terbaik) untuk membantu penyiasatan kemalangan. Bagaimanapun kemahiran melukis sama ada freehand dan penggunaan software (photoshop) diperlukan. Saya hanya menggunakan software engineering (ACAD) untuk membantu saya membuat siasatan kemalangan berkronologi. Ini adalah contoh penentuan time zone dalam satu kemalangan yang melibat forkflift di salah satu tempat kerja saya sebelum ini.






No comments:

Post a Comment