Gambar hiasan. Sumber internet
Larangan berarak menggunakan kenderaan untuk berkempen dan
meraikan kemenangan
Media pada 29 April
2013 lalu melaporkan seorang remaja retak tulang bahu dan lutut kanan selepas
dilanggar seorang peserta konvoi bermotosikal sebuah parti politik di Pekan
Tasek Gelugor, Kepala Batas. Menurut Muhamad Amirul Wadi Azlan, 18, beliau
dilanggar oleh dua motosikal yang ditunggangi peserta konvoi yang datang dari arah
bertentangan laluannya.
Hari ini 2 Mei
2013, seorang pemimpin politik mengesyorkan agar tidak diadakan sebarang
perarakan menggunakan kenderaan sama ada untuk berkempen atau meraikan kemenangan
kelak.
Sebagai pengamal OSH
saya bersetuju dengan syoran pemimpin politik ini dan berharap pihak berkuasa
memainkan peranan masing-masing.
Petang isnin lepas
semasa minum petang di sebuah gerai di Changlung, saya dan pelanggan lain
dikejutkan dengan bunyi hon motosikal bertalu-talu dari sekumpulan anak muda
yang berarak menggunakan motosikal sambil membawa bendera parti politik.
Gelahat mereka ini dicemuh oleh kebanyakan pengguna jalan raya dan juga
pelanggan di dalam gerai. Apatah lagi ada di antara mereka yang cuba berlagak
ala pihak berkuasa dengan memberi arahan agar kenderaan lain memberi ruangan
kepada mereka untuk bergerak.
Pada masa yang sama
minggu ini tanpa disangka saya menerima pelawaan (jemputan?) dari dua pihak
parti politik yang berbeza di Kamunting ini untuk menyertai perarakan berkempen
di saat akhir pada pagi ahad 5 Mei 2013 ini. Kemungkinan saya dijemput kerana
kelibat saya yang sentiasa bermotosikal di Kamunting ini sama ada dengan skuter
Honda Click atau superbike Kawasaki ER6N saya.
Kedua-dua jemputan ini saya tolak dengan baik. Apabila
ditanya kenapa menolak, adakah kerana saya menyokong “pihak sebelah lagi”?
Jawapan saya ialah sebagai memenuhi tanggungjawab (kewajipan?) saya akan keluar
mengundi tetapi saya berpegang kepada hak mengundi saya adalah rahsia.
Mengapa perlu berarak menggunakan kenderaan untuk berkempen
atau meraikan kemenangan?
Masalah kesesakan dan kemalangan jalan raya adalah risiko
utama keselesaan dan keselamatan sekarang ini. Dengan berarak menggunakan
kenderaan akan bertambahlah lagi risiko ini.
Untuk meraikan kemenangan lebih sesuai jika diadakan di
kawasan terbuka seperti tempat kereta atau padang. Malah sebagai umat Islam
lebih sesuai jika kemenangan ini diraikan dengan sujud syukur dan diikuti
dengan jamuan kesyukuran kepada semua yang terlibat.
Janganlah orang lain (pemimpin) mendapat laba dari
kemenangan, anda sebagai penyokong pula mendapat kemalangan ataupun celaan
dan makian dari pengguna jalan raya lain.
http://oshthejourney.blogspot.com/
1 comment:
Tindakan tegas jika berkonvoi
Kosmo 5 Mei 2013
IPOH - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana parti politik dan penyokong yang menganjurkan konvoi bermotosikal khususnya pada hari pengundian esok.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya tidak mahu ketenteraman proses pengundian diganggu dengan perbuatan sedemikian yang akan menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, larangan tersebut selaras peruntukan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan berbahaya hingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Pihak polis bahkan saya secara peribadi menerima banyak aduan mengenai ketidakselesaan orang ramai yang berhadapan kelibat peserta konvoi bermotosikal di seluruh negeri ini.
“Larangan tersebut selaras dengan bermaksud memandu dalam gaya yang cepat dan bergegas-gegas dan kita memberi amaran kepada semua yang terlibat supaya tidak menganjurkan (konvoi) terutama berdekatan lokasi-lokasi pusat pengundian,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.
Katanya, bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi pihaknya akan menempatkan lebih ramai anggota cawangan trafik di semua 24 kawasan parlimen di negeri ini.
Post a Comment