Thursday, March 15, 2012

Pastikan lampu kenderaan anda berfungsi


Gambar hiasan

Pastikan lampu kenderaan anda berfungsi

Saya tertarik dengan khdmat sosial atau kerja amal yang dilakukan oleh sebuah NGO di Pulau Pinang beberapa tahun lepas. NGO ini menawarkan khidmat percuma menukar lampu-lampu motosikal terutama lampu belakang yang tidak berfungsi (menyala). NGO ini menunggu di beberapa jalan utama seperti laluan motosikal sebelum memasuki Jambatan Pulau Pinang dan sebelum menaiki feri.

Kenderaan yang dipandu (atau ditunggang) di waktu malam (atau cuaca mmendung/gelap) terutama motosikal amat merbahaya jika lampu-lampu kenderaan ini tidak berfungsi. Kerap-kali kejadian motosikal dilanggar dari belakang kerana lampu belakang tidak berfungsi (menyala).

Ada pengguna kenderaan yang mengambil mudah atau bertangguh untuk menukar mentol lampu-lampu yang tidak berfungsi ini walaupun telah menyedarinya. Ada juga yang tidak menyedarinya terutama lampu belakang ataupun ketika hanya memandu di waktu siang.

Lewat petang Jumaat lepas, saya dan isteri bergegas dari Taiping ke Kedah Medical Center kerana menziarahi anak saudara yang menjalani pembedahan di sana. Sekitar jam 9.00 malam kami bertolak pulang ke Taiping.

Sepanjang perjalanan pulang, kami disimbah hujan lebat. Sebagai pengamal OSH, saya beberapa kali merungut kepada isteri apabila mengekori kenderaan berat seperti lori di mana lampu-lampu kenderaan ini amat malap dan sukar dilihat. Begitu juga ketika mengekori beberapa motosikal yang lampu belakang tidak berfungsi.

Pada masa yang sama, kereta yang saya dinaiki beberapa kali diberi lampu besar dari kenderaan belakang. Agak kehairanan juga kerana saya pasti kereta yang saya pandu di laluan yang betul.

Apabila saya sampai di rumah sekitar jam 11 malam, baru saya sedari lampu belakang kereta saya tidak berfungsi. Mujurlah saya dan isteri selamat sampai di rumah.

Satu pengajaran untuk saya di masa hadapan, agar memeriksa lampu-lampu kenderaan ini sebelum memulakan perjalanan.

Saya rasa sepatutnya semua kenderaan dilengkapi dengan lampu amaran di paparan kokpit yang boleh memaklumkan (memberi amaran) kepada pemandu mengenai lampu kenderaan mereka tidak berfungsi. Saya tidak pasti sama ada alat amaran sebegini sudah ada dipasang di kenderaan mewah.

Andakah semua lampu-lampu kenderaan anda berfungsi?

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment