Sunday, March 11, 2012

Kemalangan berkaitan memberhentikan kenderaan di lebuhraya



Gambar hiasan


Kemalangan berkaitan memberhentikan kenderaan di lebuhraya

Pagi tadi dalam perjalanan ke tempat kerja sekitar jam 7.30am, saya terperangkap di dalam kesesakan lalulintas di Lebuhraya Utara Selatan sebaik sahaja melepasi kawasan perternakan ikan Arowana sebelum persimpangan keluar Bandar Baru. Rupa-rupanya ada kemalangan yang membabitkan dua buah kenderaan MPV (Estima dan Alphard). Ketika melalui kawasan kemalangan, saya ternampak beberapa tubuh manusia terbaring di tepi jalan.

Sumber berita tengahari tadi di media elektronik dan juga di internet melaporkan Estima yang berhenti di tepi lebuhraya dilanggar dari belakang oleh Alphard dan mengakibatkan dua orang terbunuh dan 10 orang cedera.

Pengguna lebuhraya ditegah memberhentikan kenderaan mereka semasa di lebuhraya kecuali kecemasan. Disamping itu penggunaan lampu amaran (hazard light) dan sebagainya mesti digunakan semasa berhenti kecemasan sebegini. Kerapkali kemalangan yang berkaitan memberhentikan kenderaan di lebuhraya berlaku. Disebabkan ini pengguna lebuhraya hanya boleh memberhentikan kenderaan mereka dengan selamat di tempat yang disediakan iaitu di tempat rehar R&R ataupun hentian sebelah.

Usaha PLUS menyediakan beberapa tempat berhenti kecemasan seperti berhampiran susur keluar Kuala Kangsar adalah alternatif terbaik kepada pengguna kenderaan yang bermasalah dan terpaksa memberhentikan kenderaan mereka. Tempat berhenti kecemasan ini hanya boleh memuatkan sekitar tiga atau empat kenderaan membolehkan kenderaan diberhentikan dengan selamat di tepi lebuhraya.

Begitu juga dengan ruang khusus untuk motosikal di bawah jejambat dan beberapa pondok untuk pengguna motosikal berteduh ketika sebelum memasuki Terowong Menora di Ipoh. Tempat sebegini akan mengelakkan pengguna motosikal berhenti di tepi lebuhraya yang boleh membahayakan keselamatan mereka.

Semoga pengajaran amat berharga yang boleh diambil iktibar dari kemalangan pagi tadi. Semoga selepas ini tiada pengguna lebuhraya memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan raya. Semoga pihak PLUS juga menambahkan lagi tempat berhenti kecemasan dan juga ruang khusus untuk motosikal, yang perlu memboleh pengguna kenderaan yang bermasalah dapat memberhentikan kenderaan mereka dengan selamatnya.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com

Berita lengkap adalah seperti berikut:-

Dua terbunuh, 10 cedera dalam kemalangan
BERNAMA Ahad 11 Mac 2012

Dua terbunuh, manakala sepuluh cedera apabila dua kenderaan pelbagai guna (MPV) terbabit dalam kemalangan di Km 181. 5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Parit Buntar hari ini.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Mat Fauzi Nayan berkata, dua penumpang dalam kenderaan yang sama, yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan, mati di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

Sepuluh lagi penumpung kedua-dua buah kenderaan termasuk seorang pemandu salah sebuah kenderaan itu cedera dan dirawat di hospital yang sama, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, kejadian berlaku pada 7.10 pagi apabila kereta jenis Toyota Estima yang dikatakan berhenti di lorong kecemasan dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta jenis Toyota Alphard.

Ketika kejadian kedua-dua kenderaan itu dalam perjalanan dari Selatan ke Utara.

Katanya identiti mangsa yang meninggal dunia dan yang masih dirawat masih belum diketahui dan polis sedang menyiasat.

No comments:

Post a Comment