Sunday, February 6, 2011

Tanggungjawab sekuriti semasa kecemasan




Tanggungjawab sekuriti semasa kecemasan

Buletin TV3 sebentar tadi (8.30pm 6 Feb 2011) melaporkan penduduk Kampung Liang Batu, Lenga, Muar telah menubuhkan Sistem Rondaan Sukarela (S.R.S) untuk mengawal rumah-rumah mangsa banjir yang ditinggalkan penghuninya.

Tindakan diambil berdasarkan banyak kegiatan pecah rumah dan kecurian yang berlaku di kampong yang sama semasa banjir pada tahun 2006. Dilaporkan setiap rumah membayar RM 25.00 untuk memastikan rumah-rumah mereka dijaga oleh S.R.S sepanjang peninggalan mereka.

Setiap kali semasa mengendalikan latihan pengungsian bangunan (evacuation drill) di industri-industri yang saya bekerja dahulu, saya sentiasa pastikan pihak sekuriti menempatkan beberapa anggotanya di dalam bangunan. Anggota-anggota sekuriti ini dikecualikan dari mengambil bahagian mengungsikan bangunan tetapi ditugaskan menjaga keselamatan barangan peribadi dan juga harta syarikat.

Ini sebagai langkah jaminan supaya semua pekerja-pekerja akan respon segera (tanpa sebarang perasaan curiga), terhadap loceng atau penggera kecemasan yang telah berbunyi.

Pekerja-pekerja juga terutama perempuan dinasihatkan agar tidak berpatah balik (ke meja atau loker mereka) untuk mengambil barangan berharga seperti beg tangan, telefon bimbit dan sebagainya.

Menjadi kebiasaan kepada pekerja-pekerja perempuan berpatah balik ke tempat kerja mereka untuk mengambil barangan berharga ini sebelum keluar mengungsikan bangunan. Kebiasaan ini amat ditakuti terutama jika berlakunya kecemasan sebenar.

Pernah terjadi di satu latihan pengungsian bangunan tempat saya bekerja, seorang operator mesin telah kehilangan beg tangannya (yang disimpan dalam laci bersebelahan mesin) semasa beliau menyertai pekerja-pekerja lain mengungsikan bangunan. Beg tangannya dijumpai keesokan harinya di dalam tong sampah dan seperti diduga beliau kehilangan semua wang tunai yang dibawanya. Akibat dari kejadian ini, operator perempuan ini (serta rakan-rakannya) agak serik untuk menyertai latihan pengungsian bangunan kemudiannya.

Nasihat saya kepada pengamal-pengamal OSH, jika hendak mengadakan latihan pengungsian bangunan, pastikan adanya anggota sekuriti yang bertanggungjawab menjaga keselamatan barangan peribadi dan juga harta syarikat.

Pastikan juga arahan jelas kepada semua pekerja-pekerja yang terlibat dalam latihan pengungsian bangunan ini. Loceng atau penggera kecemasan yang berbunyi berterusan menandakan adanya kecemasan (mungkin latihan, mungkin kecemasan sebenar) dan semua pekerja-pekerja dikehendaki meninggalkan tempat kerja masing-masing, mengungsikan bangunan dan berkumpul di tempat perhimpunan yang telah ditetapkan sebelumnya. Tunggu arahan selanjutnya dari pegawai yang berkenaan.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

Gambar-gambar di atas ialah semasa latihan pengungsian bangunan Hotel Sunway Prai pada 27 Jun 2009, kebetulan saya adalah penghuninya pada hari tersebut. Malangnya latihan ini hanya melibatkan kakitangan hotel tetapi tidak termasuk penghuni-penguninya.

No comments:

Post a Comment