Saturday, January 10, 2009

Amaran OSH kepada semua parti politik



Amaran OSH kepada semua parti politik

Saya tertarik artikel mengenai ”Pengantung poster abai keselamatan” dalam Harian Metro hari ini. Dalam siratan sebelum ini saya juga telah menyentuhnya tanpa merujuk ke mana-mana politik.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Amaran OSH kepada semua parti politik
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/, 14-Feb-2008

(Siratan ini tidak menjurus khusus ke mana-mana parti politik masa kini – penyirat blog)

Malam semalam dalam perjalanan dari dalam kampus saya terserempak dengan beberapa “kumpulan” yang sedang bergelut memasang bendera-bendera parti yang mengupah mereka. Ada dari parti pemerintah (sebelum hari semalam kini sudah dibubar!) dan ada juga dari parti pembangkang. Suasana malam yang kelam, pakaian mereka yang seorang pun tiada bercahaya (baju pantul cahaya) dan hanya menggunakan lampu suloh yang lebih terang kalau menggunakan api pelita.

Itulah hakikatnya “pekerja-pekerja” upahan musim pilihanraya ini. Dari semuda usia remaja atau pelajar belasan tahun hinggalah mereka yang bercicit piut. Ada yang semata-mata menaguk air yang keruh cuba menambah wang sesen dua dan ada yang semata-mata kerana fanatik dengan parti yang disokong. Ada juga yang “melabur” tenaga empat kerat dengan harapan jasa budi akan dikenang kemudian hari.

Walau apapun yang dikejar atau diihajati, mereka ini adalah “pekerja” walaupun sekadar “janji-terima” sebagai seorang pekerja sesebuah parti hanya sebutan manis di mulut tanpa sebarang kata bertulis. Apa yang pasti “majikan” mereka tidak kiralah dari mana parti politikpun mesti bertanggungjawab terhadap pekerja-pekerja ini.

Dalam keghairahan memasang poster, yang biasanya dilakukan di waktu malam, tiada yang ambil peduli tentang keselamatan diri. Tidak kira tiang lampu atau batang pokok, semuanya boleh dipanjat. Tidak kira bumbung bangunan atau benteng tinggi, semuanya boleh dipanjat. Tiada “harness”, tiada lampu suloh, tiada peralatan seperti tangga atau sebagainya. Semuanya ada duit boleh jadi. Ada yang berkaki ayam, ada yang tangan kosong.

Semuanya kerana duit ataupun kerana kefanatikan parti yang disokong.

Kepada “majikan-majikan” mereka yang akan menang atau akan kalah dalam pilihanraya ini, jagalah keselamatan dan kebajikan “pekerja-pekerja” anda ini.

Kepada “pekerja-pekerja” ini, harga nyawa dan keselamatan anda.

Amaran OSH Kepada Semua Parti Politik. Bhg. II
http://thejourney.weblog.uum.edu.my/, 17-Feb-2008

(Siratan saya mengenai ‘Jalur Gemilang Yang Memudaratkan’ dalam blog saya pada Ogos 2007 mendapat pelbagai reaksi yang pelbagai. Banyak juga yang mempertingkaikan kepatriotikan saya dalam pengisian kemerdekaan).

Awal pagi tadi saya tiba di Changlung sebelum jam 7.00 pagi. Saya merancang perjalanan seawal mungkin dari Taiping supaya dapat bersama-sama warga UUM yang lain dalam perhimpunan bulanan yang dijadualkan bermula pada 7.45 pagi.

Setibanya di persimpangan lampu isyarat di Changlung, pengelihatan saya terganggu dengan bendera-bendera parti politik yang kibarannya hampir-hampir menghalang lampu isyarat di situ.

Saya hampir-hampir ingin menghentikan kereta dan mengambil gambar bendera parti politik tersebut dan menyiarnya di dalam blog saya ini. Tetapi saya tidak mahu dilabelkan sebagai “anti” kepada parti politik yang benderanya digantung di situ. Seperti yang jelaskan dalam siratan sebelum ini, teguran saya hanyalah semata-mata atas kepentingan keselamatan.

Kepada semua pekerja-pekerja sukarela berupah atau tidak, kepada semua penyokong-penyokong parti politik terutama yang fanatik dan taksub kepada ideologi masing-masing, berikut adalah beberapa saranan atas kepentingan keselamatan. Terpulanglah kepada anda untuk mengambil nasihat ini atau tidak. Sekurang-kurang “sudah lepas” tanggungjawab saya sebagai insan menasihati anda.

1. Sentiasa memikirkan keselamatan dan nyawa anda sebelum melakukan sebarang kerja yang memerlukan anda melakukannya pada waktu malam, keadaan yang gelap gelita, kawasan yang merbahaya (semak samun, lereng bukit dan sebagainya), lalulintas yang sibuk, struktur binaan yang merbahaya (jerucuk tajam) dan sebagainya.

2. Sentiasa memikirkan keselamatan dan nyawa anda sebelum melakukan sebarang kerja yang mungkin anda tidak pernah lakukan sebelum ini ataupun tidak pernah dilatih atau dimaklumkan sebarang risiko yang akan terjadi. Contohnya seperti memanjat tiang atau batang pokok dan seumpamanya.

3. Sentiasa memikirkan keselamatan dan nyawa orang-orang di sekeliling anda sebelum melakukan sebarang kerja yang mungkin boleh membahayakan mereka seperti;

a. memasang bendera dan sepanduk yang boleh menghalang pengelihatan lampu isyarat,

b. memasang bendera dan sepanduk di kenderaan anda yang boleh menyebabkan pengelihatan pengguna jalan raya yang lain terganggu keselamatan mereka jika bendera dan sepanduk ini terjatuh dari kenderaan anda

4. Usahlah fanatik dan taksub sehingga membalut kenderaan anda dengan bendera dan mengikat tiang kayu sepanduk parti politik ideologi anda sehingga boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Anda perlu faham apakah maksudnya apabila bendera membaluti kenderaan anda, seolah-olah keranda kematian.

5. Usahlah terlalu fanatik dan taksub kepada parti ideologi anda sehinggakan berhasrat untuk membuat kain bendera yang terbesar merentang sepanjang-panjang jalan, tiang bendera yang tertinggi yang menjulang sayup di atas pokok kelapa dan sebagainya.

Pilihanraya bukannya untuk diraya-sakan sehingga keselamatan dan nyawa diabaikan.


Seperti disiarkan dalam Harian Metro, 10-Januari-2009


Ganu Sohor Lening: Penggantung poster abai keselamatan
SUDAH lima hari kempen pilihan raya kecil Kuala Terengganu berjalan menyaksikan ratusan rentangan kain berwarna biru, merah-putih dan putih-hijau di pelbagai lokasi ibarat pesta.

Memang gantungan kain rentang sebahagian daripada kempen calon yang bertanding bagi menagih ihsan supaya pengundi memangkah mereka.

Tidak dinafikan, ada pihak bertanding, begitu ghairah menggantung kain rentang yang dilihat lebih kepada mempromosikan simbol parti dan bukannya calon bertanding.

Bukan memperkecilkan usaha itu tetapi yang hendak disampaikan adalah sama ada aspek keselamatan kaki gantung poster atau kain rentang itu diberikan perhatian. Mungkin tidak dinafikan ada kaki gantung poster ini dibayar imbuhan dan mungkin juga melakukannya secara sukarela.

Sebenarnnya, soal ada imbuhan atau tidak, bukan isu utama tetapi kaki gantung poster ini perlu memikirkan keselamatan terutama apabila menggantung poster di lokasi berbahaya, termasuk di tepi jalan raya utama dan di puncak bukit.

Bukan mendoakan, tetapi kaki gantung poster perlu mengambil langkah keselamatan termasuk memakai pakaian lut sinar ketika memasang poster atau kain rentang di tepi jalan terutama waktu malam, bagi membolehkan pemandu kenderaan melihat kelibat mereka.

Bukan itu saja, kain rentang yang digantung itu ada ketikanya boleh membahayakan orang lain apabila tiang kain rentang melentuk sehingga mengganggu penggunan jalan raya.

Jadi, jangan marah jika pihak berkuasa segera mengambil tindakan melipat kain rentang yang boleh dibuat beberapa helai baju itu kerana ia tidak lain tidak bukan bagi menjaga keselamatan orang ramai.

Tidak kurang juga, ada pihak sanggup membahayakan diri menggantung kain rentang bukan saja di atas pokok tetapi pokok itu terletak di bukit yang tinggi.

No comments:

Post a Comment