Saturday, December 20, 2008

Myvi sebagai “OSH Car”





Myvi sebagai “OSH Car”

(Sudah begitu terlalu lama saya tidak menulis laporan pemanduan ujian kenderaan sama ada kereta atau motosikal. Semasa bekerja sebagai wartawan motor 20 tahun yang lalu, inilah saat-saat yang ditunggu. Dengan motosikal baru (biasanya model terbaru) saya berpeluang untuk membawa balik ke kampong halaman ataupun menjelajah pelusuk Semenanjung. Malah kadang-kadang menyeberangi sempadan! Biasanya laporan yang saya tulis berdasarkan prestasi dan keselesaan. Hanya terlalu sedikit untuk disentuh mengenai keselamatan. Kali ini saya ingin menulis berdasarkan pandangan seorang pengamal OSH.

Sebenarnya saya baru kembali menghantar Myvi untuk diservis 10,000km hari ini dan Pesona yang juga telah mencecah 10,000 minggu lepas. Mujurlah saya berselang-seli menggunakan kedua-dua buah kereta ini kerana purata batuan yang saya lalui ialah 6,000 sebulan. Ini bermakna kalau saya tidak bergilir menggunakan Myvi dan Pesona, saya perlu ke pusat servis setiap bulan!)


Biasanya saya membeli kereta selepas memandu uji. Tidak kiralah sama ada kereta yang diuji itu adalah sememangnya kereta baru ataupun kereta rerakan. Kebetulan pula ada pengeluar dan pengedar kenderaan di Malaysia ini kadang-kadang menjemput saya untuk memandu-uji kenderaan-kenderaan terbaru mereka.

Ini termasuklah motosikal! Malah BMW sendiri pernah menjemput saya memandu-uji kereta dan motosikal mereka. Malangnya saya sekalipun tidak berkesempatan memandu-uji kereta mereka. Bagaimanapun saya begitu teruja menunggang-uji dua buah motosikal keluaran mereka beberapa tahun lepas, walaupun hanya tidak sampai 30 minit!

Saya membeli Perodua Myvi ini pada bulan September 2008 lalu. Pada masa yang sama juga saya membeli sebuah Proton Pesona setelah menjual Inokom Atos dan Proton Wira Aeroback.

Sebelum ini saya tidak pernah memandu-uji ataupun berpeluang menumpang Myvi ini. Saya membelinya kerana kedua-dua kereta saya sebelum ini (Atos dan Wira) itu sudah melangkau lima tahun dan penyenggaraannya mula meningkat bukan sahaja tahunan tetapi sudah masuk tempoh kekerapan bulanan.

Setelah menggunakannya hampir empat bulan dan setelah tiga kali servis (1,000, 5,000 dan 10,000 hari ini), saya merasakan telah mermbuat keputusan yang tepat membeli Myvi ini.

Mungkin ciri-ciri keselamatannya tidak sehebat Volvo atau Audi yang sememangnya dikenali sebagai “Safety Car”, Myvi ini saya boleh kategorikan sebagai “OSH Car” kerana ianya digunakan sebagai pengangkutan ulang-alik ke tenpat kerja sama ada saya sendiri atau orang rumah saya. Malah dengan penggunaan bahan bakar yang jimat (jika dibandingkan dengan Pesona), kami kadang-kala menggunakan Myvi untuk ke Kuala Lumpur atau Pulau Pinang untuk kelas pengajaran saya di hujung minggu,

Antara ciri-ciri keselamatan yang mengagumi saya ialah seperti berikut (disusun mengikut keutamaan);

Sistem Auto Lock

Sebaik sahaja anda duduk di kerusi pemandu dan menekan pedal brek, keempat-empat pintu Myvi akan terkunci. Sistem ini lebih sekuriti terutama kepada pemandu wanita yang berseorang di tempat letak kereta bawah tanah yang sunyi. Kebanyakan kereta lain memerlukan anda mengerakkan sedikit kereta (samaada maju atau berundur) sebelum menekan pedal brek untuk menguncikan keempat-empat pintu.

Bagaimanapun saya agak terkejut Myvi ini tidak dilengkapi dengan lampu penunjuk pintu. Ianya bergantung kepada lampu bumbung dalam kereta dan juga auto lock tidak berfungsi jika ada mana-mana pintu yang tidak ditutup rapat.

Cermin sisi yang besar

Bukan sahaja besar, skop pandangannya meluas. Mungkin kelihatan capang kepada pemandu-pemandu muda tetapi cermin sisi yang besar masih lagi berbentuk slaid. Berbeza dengan Atos saya sebelum ini di mana cermin sisinya yang besar ala kenderaan berat (lori dan sebagainya)!

Kedua-dua cermin sisi ini boleh dikawal dengan suis yang terletak di sebelah kanan steering.

Lampu isyarat membelok pada cermin sisi.

Ini adalah satu ”trend” masa kini tetapi pada masa yang sama ianya alatan keselamatan yang terbaik dan dipasang pada tempat sepatutnya.

Tiada ”blind spot” (setakat ini).

Sehingga kini saya masih belum menjumpai sebarang ”blind spot” di Myvi ini sama ada di bahagian sisi kanan atau kiri cermin besar depan ataupun cermin belakang.

Paras tempat duduk yang agak tinggi

Kereta kompak Myvi menyerupai Kenari dan Atos ini sememangnya mempunyai paras tempat duduk yang tinggi sedikit dari kenderaan penumpang yang lain. Bagi mereka yang biasa memandu mpv atau kenderaan 4x4, kelebihan duduk di paras sebegini amat berguna untuk permerhatian sekeliling.

Tuas pengundur kerusi berbentuk palang penuh

Tuas sebegini sebenarnya bukan sahaja mudah diguna tetapi dapat mengelakkan kaki seluar atau kain pemandu dan penumpang depan tersangkut.

Kotak ”Glove Box” yang besar.

Ini memudahkan untuk menyimpan dokumen-dokumen penting seperti salinan Kad Pendaftaran Kereta, salinan Polisi Insuran ( bukan Cover Note!), Buku Servis, Lampu Suluh, alatan menulis dan buku nota serta beberapa barangan kecil yang lain.

Kotak bawah kerusi pemandu/penumpang hadapan

Myvi menggunakan ruang yang ada di bawah kerusi hadapan untuk dipasang kotak yang boleh dillungsurkan. Saya menyimpan buku servis, lampu suluh, sebilah pisau lipat dan penunjuk angin tayar di da;am kotak lungsur ini.

Myvi tidak menyediakan alas rehat lengan kiri pemandu (arm rest). Saya membeli sebuah dari kedai aksesori yang mempunyai beberapa ruangan untuk duit shiling, kunci rumah dan sebagainya.

Terdapat ruang kecil untuk beberapa keping duit syiling serta ruang lapang di bawah radio yang boleh diletakkan telefon bimbit dan juga kacamata hitam. Bagaimanapun ruang ini adalah sebenarnya untuk tambahan alatan audio atau pemain VCD/CD.

Lampu-lampu penunjuk serta meter batuan dan RPM mudah dibaca. Bagaimanapun saya terkejut apabila mendapati kotak lampu-lampu penunjuk ini akan menjadi agak kelam jika saya memasang lampu besar hadapan.

Meter penunjuk bahan bakar ditunjukkan secara blok di mana memudahkan pemandu menganggarkan baki bahan bakar. (Dahulu saya boleh menganggar dengan tepat tetapi kini tidak lagi semenjak harga petrol yang berubah-ubah!)

Bagaimanapun terdapat juga kelemahan-kelemahan seperti tiada lampu penunjuk pintu tidak ditutup rapat, ’arm rest” lengan kiri pemandu dan beberapa alatan lain seperti;

Pintu bonet belakang tiada tuas dalaman.

Sistem kunci serentak pada Myvi ini menyebabkan tiada tuas pembuka bonet yang beroperasi dari dalam kereta yang biasanya dipasang di bahagian sisi kanan tempat duduk pemandu.

Saya tidak berapa setuju dengan sistem kunci serentak ini. Kealpaan tidak mengunci pintu secara butang penggera boleh mengundang bahaya kerana pintu bonet belakang boleh dibuka. Mujurlah tuil pengunci manual di keempat-empat pintu Myvi ini dipasang pada sisi pintu dan bukannya di atas rangka pintu. Ini menyebabkan tuil ini tidak dapat dilihat dari luar.

Ruang barang terhad

Rasanya Atos saya dan Kancil saya sebelum ini mempunyai ruang besar sedikit dari ruang barang Myvi ini.

Bateri sel basah

Myvi masih menggunakan bateri sel basah yang memerlukan penyenggaraan yang lebih kerap jika dibandingkan degan bateri sel kering.

Secara keseluruhannya ciri-ciri keselamatan yang ada pada Myvi ini begitu mengagumkan saya. Syabas Perodua.

(Myvi masih mengekalkan prestasi keseluruhan kenderaan dan kenderaan nasional yang paling laris jualannya untuk tahun 2008 dan sebelumnya sehingga kini.)

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Klik di sini untuk artikel berkaitan.

Keterangan gambar;
1. Pilihan yang tepat dari Atos ke Myvi
2. Cermin sisi yang pratikal
3. Meter-meter penunjuk
4. Ruang duit syiling

No comments:

Post a Comment