Friday, April 11, 2008

Hazad Pasar Malam

Hazad Pasar Malam atau Hazad Renjatan Elektrik Akibat Penyambungan Tidak Sempurna?

(Muhammad Redzuan Ahmad, 26, meninggal dunia akibat terkena renjatan elektrik ketika menghidupkan generator di Tapak Pasar Malam di perkarangan Stadium Utama Kangar pada 7.15 malam 10 April 2008.)

Berbanding dengan arus ulang alik (AC) dari talian tetap, arus terus (DC) dari generator atau bateri dianggap lebih selamat. Tetapi sebarang kebocoran arus masih boleh mendatangkan hazad renjatan elektrik dan risiko kecederaan yang boleh mengakibatkan kematian.

Siratan saya sebelum ini di blog ini mengenai hazad pasar malam berkaitan dengan penggunaan peralatan memasak di tempat terbuka menarik perhatian beberapa pihak meminta saya membuat kajian lanjutan dan menyiratnya dengan lebih kerap lagi.

Selain dari bahaya akibat peralatan memasak seperti kuali minyak panas, dapur gas dan pembakar arang ini, sistem kuasa elektrik juga perlu diambil perhatian.

Tumpuan keselamatan perlu dipertingkatkan terutama sewaktu hari hujan. Kebanyakan peniaga tidak mengambilberat jenis kabel penyambungan yang sepatutnya digunakan iaitu dari jenis “high tension cable”. Malah sukar untuk menemui peniaga yang mengambil langkah kecemasan dengan memasang sistem anti litar pintas mudah alih untuk mengelakkan kejadian kebocoran atau aliran melampau arus yang mungkin boleh terjadi.

Langkah pihak berkuasa tempatan di ibu kota menyediakan bekalan elektrik setempat di kawasan-kawasan Pasar Malam “Up Town” sepatutnya dicontohi oleh semua pihak berkuasa tempatan di negeri-negeri lain.

Saya dimaklumkan oleh pihak berkuasa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (JKKP atau DOSH), antara jenis dan tempat pekerjaan di tempat terbuka yang dibimbangi berlakunya kemalangan melibatkan renjatan elektrik adalah di tempat Pesta Hiburan atau lebih dikenali dengan “Fun Fair”.

Pihak DOSH juga perlu menyenaraikan Pasar Malam juga sebagai satu lagi kawasan dan pekerjaan yang dikenalpasti mempunyai risiko renjatan eletrik ini.

Semasa di dalam industri sebelum ini, saya sering mengingatkan dan memastikan agar pihak kontraktor di bahagian pencucian menggunakan “high tension cable” yang sesuai untuk mesin-mesin pencucian lantai mereka.

Sekiranya memerlukan tambahan kabel, mereka perlu menyediakan sistem anti litar mudah alih. Di samping itu majikan juga sepatutnya menyediakan soket-soket bekalan kuasa elektrik secukupnya.

Kontraktor-kontraktor ini juga digalakkan menggunakan mesin-mesin pencucian berkuasa bateri yang boleh di”charge” semula.

Kontraktor-kontraktor pembinaan dan kerja-kerja utiliti yang lain juga digalakkan menggunakan peralatan berkuasa bateri. Bagaimanapun peralatan berkuasa bateri ini biasanya tidak begitu berkeupayaan atau berkuasa tinggi jika dibandingkan dengan peralatan yang berkuasa elektrik aliran arus ulang alik.

Hazad renjatan elektrik jauh berbeza dengan hazad-hazad lain yang mungkin boleh dikenalpasti seperti keujudan fizikal, bau dan rasa. Pengenalpastian hazad elektrik biasanya ini boleh dibuat selepas adanya mangsa terlibat. Ketika ini sudah terlewat untuk dibuat penilaian risiko.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment