Sunday, March 30, 2008

Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan di Hari Sukan Sekolah


Sekolah kini perlu menerapkan soal keselamatan dan kesihatan pekerjaan di antara guru (mewakili pekerja) dan pelajar-pelajar (mewakili pelanggan ataupun mereka yang selain daripada pekerja). Ini telah termaktub di dalam Akta Kesihatan dan Pekerjaan 1994 (OSHA) dalam seksyen tanggungjawab majikan terhadap pekerja mereka dan kepada mereka yang selain daripada pekerja tetapi masih dalam premis mereka.

Akhbar telah melaporkan pelbagai kemalangan yang melibatkan pelajar malah guru kebelakangan ini. Dari isu kesihatan (kebersihan dan higen) di mana kes-kes keracunan makanan dilaporkan sehinggakan kemalangan maut ditimpa tiang gol, jatuh dari bangunan dan sebagainya. Terbaru kejadian pagar sekolah runtuh turut dilaporkan.

Selain dari pemantauan semasa operasi harian, soal keselamatan dan kesihatan semasa menjalankan aktiviti sama ada mingguan, bulanan atau tahunan juga perlu dititikberatkan Sebagai contoh semasa mengadakan Hari Sukan Tahunan yang turut melibatkan kunjungan ibu bapa dan penjaga serta ahli keluarga lain yang berminat menyaksikan pelajar-pelajar ini mengambil bahagian.

Pengurusan Masa, Logistik dan Lokasi

Pihak pengurusan perlu merancangkan perkara-perkara yang berkaitan masa, logistik dan lokasi dengan lebih teliti. Sebagai contoh, terhadkan acara-acara yang hendak dipertandingkan di hari sukan. Semua acara hendaklah diatur supaya boleh berakhir sebelum pukul 12 tengahari. Kelewatan sehingga berlarutan sehingga pukul 2 petang sepatutnya tidak terjadi jika perancangan dibuat dengan teliti.

Mungkin boleh diadakan hanya satu acara sahaja buat setiap peringkat umur atau kelas pada hari sukan. Manakala acara-acara lain, dari acara saringan hingga acara akhir boleh diadakan sebelum hari sukan.

Ini boleh mengelakkan kepanasan terik haba matahari dan gejala kehilangan air yang melampau dari tubuh badan. Kemungkinan besar juga ramai di antara pelajar-pelajar yang tidak mengambil sarapan pagi dan tidak berpeluang untuk mengisi perut semasa acara dan ini boleh membahayakan mereka.

Pihak sekolah juga perlu memastikan makanan yang sesuai untuk pelajar-pelajar disediakan sebelum acara bermula dan juga turut dihidangkan sama ada percuma atau dijual semasa acara dijalankan. Air minuman sama ada minuman biasa atau minuman berkhasiat seperti Milo umpamanya perlu disediakan dari masa ke semasa. Pihak Milo (Nestle) biasanya tidak keberatan untuk menaja minuman ini secara percuma sekiranya mereka dimaklumkan lebih awal.

Selain dari bendera segi tiga yang berwarna-warni direntang untuk menghiaskan padang, pihak sekolah juga memastikan tali pita keselamatan (biasanya berwarna merah-putih) direntang untuk menunjukkan kawasan acara yang akan berlangsung dan juga kawasan yang perlu dielakkan oleh penghujung. Tali pita keselamatan ini amat penting untuk acara-acara yang melibatkan balingan lembing, bola besi dan sebagainya.

Khemah-khemah dan kerusi dengan bilangan yang bersesuaian perlu disediakan untuk para penghujung. Saya pernah menghadiri satu hari sukan sekolah di mana terdapat pelajar-pelajar yang berpakaian seragam persatuan mengedarkan air minuman percuma kepada semua para penghujung.

Khemah kecil atau payung berkaki juga pelu disediakan untuk pertugas di tengah padang seperti para pegawai sukan, juri, anggota pertolongan cemas dan sebagainya. Selain boleh mengelakkan kepanasan terik haba matahari, peralatan ini juga sesuai untuk mengelakkan diri mereka dan peralatan yang digunalan dari air hujan.

Ada pegawai sukan dan juri yang mengenakan topi besar mengkuang atau ala-Mexico tetapi anggota pertolongan cemas biasanya setia dengan topi pasukan seragam mereka.


Hazad-hazad dari Peralatan

Ini kerap kali terlepas pandang oleh pihak sekolah terutama yang menggunakan khidmat pemasangan khemah secara sukarela.

Banyak pin-pin penyendat tiang yang hilang menyebabkan pihak yang memasang khemah ini menyematkan sahaja besi atau dawai ke dalam lubang tiang-tiang khemah ini. Besi dan dawai yang tajam ini amat merbahaya sekali terutama kepada kanak-kanak kecil yang berlari-lari berdekatan dengan tiang-tiang ini.

Kes pelajar ditimpang tiang gol masih lagi tidak diambil iktibar oleh kebanyakan mereka yang bertanggungjawab menyediakan tiang bendera. Pelapik tiang berdera perlu mempunyai cerucuk tambahan yang boleh ditanam di dalam tanah untuk mengelakkan tiang besi ini terbalik dan berkemungkinan akan menimpa mereka yang berhampiran dengannya.

Pelajar-pelajar yang mengambil bahagian biasanya gemar berkaki ayam sebelum dan selepas acara yang mereka sertai. Pekerja kebersihan sekolah perlu memastikan agar tiada sebarang objek-objek tajam dan merbahaya di atas atau di sekeliling pada sebelum hari acara.

Tong-tong sampah yang bersesuaian dengan bilangan yang mencukupi perlu disediakan. Malah perlu adanya pekerja kebersihan yang bertugas pada hari acara untuk mengosongkan dan mengemaskan tong-tong sampah yang sudah penuh.


Berhati-hati dengan acara selingan

Acara-acara yang melibatkan pelajar biasanya memerlukan siri-siri latihan sebelum hari acara. Tetapi tidak kepada acara selingan seperti acara ibu bapa atau acara guru. Kebanyakannya mereka hanyalah kali pertama mengambil bahagian dalam acara-acara selingan ini.

Acara-acara selingan ini biasanya mencuri tumpuan bukan sahaja kepada semua pelajar yang ingin menyaksikan ibu bapa atau guru mereka beraksi, malah turut menarik minat kanak-kanak kecil yang masih belum bersekolah (yang mengikuti ibu bapa) untuk menyaksikannya.

Ketika inilah tali pita keselamatan dan penghadang-penghadang (jika disediakan) tidak lagi dipedulikan oleh penonton-penonton. Mereka ingin menghampiri serapat mungkin kepada ibu bapa atau guru mereka yang akan mengambil bahagian. Mungkin untuk acara tarik tali kategori bapa tidak begitu merbahayakan. Tetapi tidak kepada acara baling bola besi kategori ibu. Ataupun acara-acara yang lebih merbahaya seperti lontar lembing dan sebagainya.


Tidak kira acara apapun, pihak pengurusan hari sukan atau pegawai yang bertanggungjawab pada hari tersebut perlu memastikan agar kesemua acara-acara dijalankan di lokasi yang bersesuaian. Para pelajar dan penghujung perlu sentiasa diingatkan tentang keselamatan-keselamatan diri mereka. Ini adalah tanggungjawab majikan (pihak pengurusan sekolah) seperti yang diwartakan dalam OSHA terhadap pekerja-pekerja mereka (para guru), pelanggan (pelajar) dan penghujung (mereka selain dari guru).

Sudah tiba masanya kepada sekolah-sekolah yang tiada guru yang khusus dipertanggungjawabkan mengenai keselamatan dan kesihatan ini dilantik dan diberi pendedahan serta latihan yang secukupnya agar kesemua warga sekolah dan juga penghujung ke sekolah merasa selamat dan sihat semasa berada di dalam kawasan sekolah.

lukmanw@uum.edu.my
http://oshthejourney.blogspot.com/

Caption photo;
Besi atau dawai yang sepatutnya tidak dijadikan penyedat tiang. Gambar atas (tepi) pelapik tiang besi bendera, perlu ada cerucuk yang boleh ditanam di dalam tanah.

No comments:

Post a Comment