Wednesday, November 18, 2015

Panduan meredah air banjir dengan kenderaan



Panduan meredah air banjir dengan kenderaan

Musim banjir tiba lagi. Ada banjir kilat yang turut berlaku di kawasan bandar. Banjir kilat agak merbahaya kerana kedatangnya mengejut.

Berikut ada sedikit panduan jika anda perlu meredah air banjir dengan menggunakan kenderaan anda.

Saya bukan pakar dalam mengendalikan kenderaan semasa banjir. Cuma saya terlibat dalam beberapa siri rally dan penjelajahan darat (overland expedition) hingga ke China sehingga Border Tibet.

Menghadapi scenario banjir sebegini adalah lumrah dalam perjalanan. Saya juga beberapa kali terlibat dalam sesi latihan pengendalian kenderaan 4x4. Malah dalam latihan juga, saya mengkhususkan latihan dalam obstacle dan rescue bukannya pemanduan sebab saya kurang cekap dalam pemanduan. Teknik yang saya inginkan kongsikan ini bukan sahaja digunakan oleh kenderaan 4x4 sahaja malah sesuai untuk semua jenis kenderaan.

Tips 1. Jangan atau elakkan redah air banjir. Tunggu sehingga air surut.

Jika tidak tahu keadaan air banjir atau tidak yakin, jangan redah air tersebut. Malah semasa dalam Rally 4x4 Shell ke Thailand akhir 90an, ada seorang pelumba rally tidak yakin meredah air di satu sungai dan dia meminta saya memandu 4x4 nya menyeberangi sungai tersebut.

Tips 2. Ketahui keadaan dalam air banjir tersebut.

Terutama jika kenderaan anda sahaja yang ada di kawasan banjir tersebut.

Biarkan dan perhatikan kenderaan lain melepasi kawasan banjir tersebut. Buat perbandingan kenderaan yang sama dengan anda. Kereta penumpang dengan kereta penumpang. Jangan bandingkan dengan 4x4.

Lihat paras air kenderaan hadapan. Seeloknya paras air jangan melepasi paras ekzos kenderaan.

Jika tiada kenderaan lain untuk diperhatikan, dengan menggunakan kayu (ranting contohnya) cuba berjalan kaki masuk dalam kawasan air banjir tersebut. Jika air semakin dalam menghampiri lutut, jangan terus berjalan. Patah balik dan tunggu air surut.

Kayu digunakan untuk menguji permukaan jalan terutama air keruh atau bergeladak sehingga tidak menampak permukaan jalan. Kalau jalan bertar sudah terdapat kesan rekahan, batalkan hasrat anda untuk meredah air banjir tersebut.

Perhatikan kelajuan air. Jangan menyeberang jika air bergerak laju sebagai contoh ada pergerakan benda timbul dengan kelajuan 3 meter (10 kaki) dalam masa kurang 5 saat.

Tips 3. Ketahui keupayaan kenderaan anda.

Jika kenderaan anda mempunyai peralatan elektronik di bawah seat, lupakan sahaja hasrat anda itu. Keadaan tayar yang kurang bunga juga merbahaya untuk bergerak di dalam air.

Guna hanya gear rendah semasa memasuki air banjir. Seeloknya gear satu. Jangan tukar gear!

Paling penting sentiasa bagi pecutan malar (constant acceleration). Maksudnya jangan angkat kaki dari pedal minyak. Anda boleh memperlahankan kenderaan tetapi jangan angkat kaki dari pedal minyak.

Pecutan akan menyebabkan proses exhaust berlaku. Jika kaki diangkat dari pedal minyak, proses intake, compression dan power berlaku dan boleh menyebabkan air banjir tersedut masuk ke dalam engine melalui batang lubang ekzos.

Anda juga perlu tahu paras pusat graviti (gravity center level) kenderaan anda. Paras air yang tinggi dari paras pusat graviti ini akan menyebabkan kenderaan anda mudah dihanyutkan (diseret) oleh air banjir.

Berat kenderaan hanya stabil jika berat bawah badan kenderaan anda (below weight) lebih besar dari berat atas kenderaan anda (upper weight). Jika paras air banjir melebihi paras pusat graviti, kenderaan anda akan terapung (walaupun terapung sedikit) akan menyebabkan kenderaan anda akan dihanyutkan oleh air banjir.

Biasanya untuk kenderaan penumpang biasa, paras pusat graviti kenderaan adalah sekitar atas sedikit dari paras pemandu. Setiap jenis kenderaan berbeza paras pusat graviti ini.

Tips 4. Jika kenderaan anda mati engine di dalam air banjir.

Jangan hidupkan di dalam air banjir. Nyalaan (ignition) engine akan menyebabkan  proses intake, compression dan power berlaku,  dan  air banjir tersedut masuk ke dalam engine melalui batang.lubang ekzos.

Tolak sehingga ke kawasan kering. Seeloknya panggil kereta penunda untuk terus di bawa ke bengkel untuk mengelakkan system elektronik terganggu.

Jika anda hendak juga meneruskan perjalanan, pastikan kenderaan anda tidak dihidupkan dengan serta-merta. Seeloknya biarkan setengah jam dahulu terutama jika air sudah masuk ke paras seat pemandu.

Jika engine tidak dapat dihidupkan, jangan berulang-kali menggunakan ignition yang boleh menyebabkan ignition pula rosak. Jika kenderaan anda manual transmission, dan ada rakan lain, anda boleh menghidupkannya dengan menolak kenderaan.

Tips 5. Jika anda berjaya mengharungi air banjir.

Berhenti di kawasan kering yang selamat. Jangan matikan engine. Biarkan engine melahu (idling) sekitar 10 minit.

Mula bergerak dengan perlahan sambal mainkan pedal brek.

Air menyebabkan padding brek basah dan brek kurang berfungsi. Masalah ini boleh diatasi dengan memanaskan padding brek dengan memainkan pedal brek berulang kali.

Teruskan perjalanan dan seeloknya berhenti di bengkel kenderaan berdekatan untuk memeriksa kenderaan anda.

Jangan lupa bersyukur!

Tips 6. Tips umum.

1. Jangan ikut belakang kenderaan berat. Ramai yang menyangka ini kaedah terbaik sebab air banjir dikuak ke tepi.

2. Anda tidak tahu keadaan permukaan jalan di belakang lori tersebut dan pada masa yang sama jika kenderaan berat di hadapan anda terhenti akan menyebabkan masalah kepada anda.

3. Air banjir juga boleh memasuki ke dalam kenderaan anda melalui bonet hadapan. Sudah beberapa kali saya mengharung air banjir yang melepasi paras ekzos (Tronoh dan Air Hitam, Perlis) tetapi masih sekitar paras atas roda (tayar) kenderaan. Saya membalut bonet depan tarpaulin canvas dan dilekatkan dengan masking tape. Dua benda ini sentiasa ada dalam bonet belakang kenderaan saya.  Semasa dalam overland ekspedisi, kami menggunakan daun pisang sahaja.

4. Jika anda tidak nampak permukaan jalan dalam air banjir tersebut, sentiasa memandu ke hadapan mengikut panduan selari dengan tiang elektrik.

Jika tiada tiang elektrik, berpandukan tanah tinggi dan mungkin juga pokok.

5. Elakkan meredah air banjir dalam hujan lebat dan cuaca gelap. Seeloknya jangan meredah pada waktu malam.

6. berhubung dengan pihak berkuasa. Mesti ada senarai nombor telefon penting. Saya terperangkap di Changlun semasa banjir di Jitra beberapa tahun lepas. Saya berhubung dengan PLUS dan mereka menasihati saya melencong ke jalan Air Hitam Perlis jika hendak meneruskan perjalanan ke Taiping.

7. Seeloknya penumpang kenderaan anda tiada bersama dalam kenderaan anda.

8. Jika sudah selamat berada di kawasan kering atau tinggi, jangan sertamerta guna peralatan elektrik seperti lampu dan hon.

Saya akan kemaskini lagi panduan ini dari masa ke semasa dalam blog oshthejourney blogspot dan fb saya.

lukmanw@gmail.com

No comments:

Post a Comment