Monday, September 23, 2013

Socso Accident Prevention Seminar 2013

Socso Accident Prevention Seminar 2013

Hari dan esok saya akan berada di Hotel Sunway Putra, KL menghadiri Accident Prevention Seminar 2013. Ini adalah acara tahunan Socso dengan para pembentangnya dari luar negara dan juga dalam negara.

Mereka yang tidak berpeluang menghadiri seminar ini rasanya berpeluang untuk muat-turun bahan pembentangan dari laman web Socso tidak lama lagi seperti di tahun-tahun sebelum ini.

Ada lima perkara yang saya ingin sentuh di dalam posting ini.

Pertama berkaitan logo seminar tahun ini. Logo adalah jongkang-jongkit yang diduduki oleh Safety dan Health pada setiap bahagian pada paras yang sama.

Memang menjadi persoalan yang manakah menjadi keutamaan. Sama ada Safety (keselamatan) atau Health (kesihatan). Sebagai contoh, karier saya bermula di Jabatan ESH di Silverstone Taiping dan kemudiannya Jabatan EHS di Celestica Kulim dan seterusnya di Jabatan SHE di Tasek Cement .  Mungkin ada yang mengganggap hanyalah sekadar nama dan tidak menjadi persoalan yang besar sama ada yang mana dahulu perlu didahulukan.

Saya pernah terbaca mengenai kepercayaan di barat, seseorang itu perlu sihat sebelum selamat. Mungkin disebabkan itu juga di barat, perkataan kesihatan diletakkan sebelum keselamatan.

Mungkin logo ini memberi maksud kesihatan adalah sama kepentingannya dengan keselamatan. Di mana pula letaknya keutamaan persekitaran (environment)? Apa yang pasti ISO 14000 masih menjadi keutamaan jika dibandingkan dengan OHSAS 18000 atau MS 1722.

Kedua, dalam seminar kali ini (hari ini) saya mendengar (dengan penjelasan) beberapa katakunci yang mungkin baru pada saya. Kalau dalam COSH bulan lepas pengamal OSH diperdengarkan katakunci Perception Hazard, dalam seminar hari ini kami diperdengarkan dengan katakunci seperti salah satunya ialah Sleep Apnoea (pembentang dari Miros) iaitu masalah tidur yang tidak berkualiti yang boleh mempengaruhi tumpuan semasa bekerja atau memandu.

Manakala MKJR pula memperkenalkan katakunci Vehicle Crash iaitu mengantikan Vehicle Accident (MVA?) untuk menunjukkan bahawa crash berupaya untuk dielakkan (dicegah) berbanding accident yang ramai menganggapnya sebagai takdir (act of God?).

Katakunci-katakunci yang lain boleh dirujuk dalam bahan pembentangan jika telah dimuat-naik dalam laman web Socso.

Ketiga, pengharapan budaya self-regulation dalam mengantikan kebergantungan kepada legislation/enforcement. Ir. Mohtar Deputy  DG DOSH membayangkan satu senario di mana SHO tidak perlu lagi berdaftar/memerbarui  kompetensi mereka dengan DOSH malah tidak perlu membuktikan telah mengumpul CEP untuk pembaharuan SHO. Begitu juga dengan majilkan tidak perlu mendaftarkan kilang dan jentera yang mereka gunakan. Adakah kemungkinan senario sebegini akan ujud jika semua orang mengambil berat terdapat OSH?

Keempat, seorang peserta telah mengemukakan cadangan kepada pembentang ketiga, Dato Dr Mohamed Azman (Deputy CEO Socso) agar premium caruman kepada Socso dikurangkan kepada organisasi yang aktif dalam program accident prevention dan kempen healthy life style serta yang berjaya mengelakkan/mengurangkan kemalangan, seperti yang telah dipraktikkan di Jerman (pembentang pertama, Dr Walter Eschendoff).

Bagaimana Dato Dr. Mohamed Azman (yang kemudiannya disokong oleh Datuk K. Selvarajah, CEO Socso) berpendapat Malaysia umumnya (Socso khususnya) belum belum bersedia mencontohi Jerman dalam langkah mengamalkan Risk Based Premium ini kerana dikuatiri akan timbul gejala under-reporting di mana banyak kes-kes yang tidak akan dilaporkan oleh majikan.

(Semasa saya bekerja di kilang tayar di Taiping 10 tahun dahulu, Jabatan ESH telah memperkenalkan program Zero Accident Competition dengan syarat pertandingan jabatan mana yang tiada kemalangan dalam mana-mana suku tahunan akan mendapat hadiah untuk seiap seorang pekerja di jabatan tersebut. Hasilnya amat membanggakan iaitu kadar kemalangan 20 kes sebulan berjaya dikurangankan hingga 10 kes sebulan.  Sebenarnya kempen ini tidak berjaya sepenuhnya kerana ada jabatan yang sanggup untuk tidak melaporkan kemalangan semata-mata untuk memenangi hadiah walaupun nilai hadiah itu hanya barangan cenderahati yang berharga sekitar RM 10.00 satu.)

Kelima dan tidak berkaitan dengan OSH! Pihak hotel telah mengaturkan beberapa persiapan awal untuk keselesaan peserta yang melebihi 500 orang. Di antaranya ialah kudapan untuk rehat pagi dan petang disediakan kalau tidak silap saya di lima tempat berlainan. Meja makanan dan minuman diipisahkan dan peserta boleh berbaris di kedua-dua belah sisi meja hidangan untuk mengambil makanan. Begitu juga semasa makan tengahari, pihak hotel serta-merta mengsyorkan peserta mengambil makanan buffet di bahagian lain sementelah lokasi utama terlalu ramai yang beratur. Sekurang-kurangnya peserta tidak perlu lama berbaris untuk mengambil makanan dan minuman.

Insya-Allah kalau berkesempatan saya akan sambung lagi.

http://oshthejourney.blogspot.com


No comments:

Post a Comment