Saturday, August 17, 2013

Aktiviti bermotosikal sekeluarga di Trek Motosikal Boon Siew Honda Batu Kawan




















Aktiviti bermotosikal sekeluarga di Trek Motosikal Boon Siew Honda Batu Kawan

Kami sekeluarga jarang dapat bersama kalau mengadakan aktiviti motosikal, sama ada hanya saya berdua dengan anak lelaki seorang itu biasanya atau hanya berdua dengan isteri saya seorang itu kadang-kala. Tetapi hari ini (17-Ogos-2013) kami bertiga dapat melakukan aktiviti bermotosikal sekeluarga bersama-sama dengan menghadiri Kursus Asas Menunggang Selamat Honda di premis baru Boon Siew Honda di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Agak membanggakan apabila Ketua Instruktor, En. Sanusi B. Din memaklumkan bahawa kami bertiga merupakan keluarga pertama yang menghadiri kursus ini dan juga orang awam pertama bersama-sama dua orang lagi rakan anak lelaki saya dari Taiping, menghadiri kursus ini. Sebelum ini penyertaan lebih kepada organisasi sama ada syarikat ataupun persatuan dan kelab.

Kursus sehari ini bermula jam 9.00 pagi dengan kelas teori oleh En Sanusi dan berhenti rehat pada pukul 12.30 tengahari. Kelas praktikal petang, En. Sanusi dibantu oleh dua orang instruktor lagi iaitu En. Azizan dan En. Ooi. Kelas praktikal diadakan di Trek Latihan Motosikal Honda bersebelahan premis baru Boon Siew Honda ini.

Silibus kursus asas ini termasuklah asas penunggangan berhemah, asas penyenggaraan motosikal, titik buta (blind spot),  'slow speed control' ataupun 'plank riding' dan emergency braking.

Kursus berakhir jam 5.00 petang dengan penyampaian sijil. Pada masa yang sama En. Sanusi mewakili Boon Siew Honda Safety Riding mempelawa organisasi-organisasi yang mempunyai pekerja yang berulang-alik ke tempat kerja dengan bermotosikal menghantar pekerja mereka berkursus di sini.

Untuk keterangan lanjut, bolehlah menghubungi En. Sanusi melalui email; sanusi@bswhonda.com.my. Jadual kursus agak padat sehingga penghujung tahun ini dan boleh dirujuk kelapangan dalam blog berikut; http://boonsiewhondasafetyriding.blogspot.com/ .

Pandangan peribadi saya, kursus sebegini amat berfaedah terutamanya kepada remaja yang mula berjinak dengan motosikal sebagai pilihan utama pengangkutan mereka. Malah kepada mereka yang sudah lama menunggang dan telah memiliki lesen menunggang, kursus sebegini juga bolehlah dianggap sebagai kursus ulang-kaji demi keselamatan mereka semasa menunggang ataupun memahami karektoristik penunggang lain semasa berkongsi jalan raya.

Ribuan terima kasih kepada Boon Siew Honda Safety Riding yang menerima penyertaan kami dalam Kursus Asas Menunggang Selamat Honda pada hari ini.

http://oshthejourney.blogspot.com/

1 comment:

  1. Salam En Lukman,

    Kami di BSH Safety Riding amat berterima kasih di atas posting dan pautan ke blog kami.

    Kami mohon untuk pautkan posting ini juga di blog kami. :)

    Diharap kita dapat bekerjasama lagi di masa hadapan.

    -Sanusi Din
    Boon Siew Honda Safety Riding Center

    ReplyDelete