Thursday, April 18, 2013

Salah pergertian kasih sayang atau kecuaian ibubapa?



Salah pergertian kasih sayang atau kecuaian ibubapa?

Gambar di atas saya rakam curi melalui telefon bimbit di Tingkat 3, Wad Pesakit Hospital Melaka pada hari Isnin lepas 15 April sekitar jam 2 petang. Seorang Ibu (bersama ayah) membenarkan anak kecilnya duduk berjuntai keluar di atas tembok koridor di paras tingat 3! Siibu hanya memaut pinggang anak kecil ini dengan sebelah tangan sahaja.

(Saya menziarahi ayah saya yang dimasukkan ke Wad Pesakit Hospital Melaka)

Sudah acapkali saya menulis (atau bercakap jika ada peluang seminar dan kursus) ketidaksesuaian membawa anak kecil ke hospital (untuk tujuan ziarahi pesakit) di atas risiko berjangkit. Apatah lagi membawa anak kecil dan mendedahkan pula kepada risiko hazard fizikal seperti di dalam gambar di atas

Tiada apa yang mampu saya ulas lanjut cuma tertanya-tanya berapa orangkah (ibubapa dan penjaga) yang telah didakwa dan dijatuhkan hukuman mengikut Akta kanak-kanak 2001 Seksyen 31.

Akta kanak-kanak 2001 Seksyen 31 menyebut  sebarang perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi adalah suatu kesalahan dan jika sabit boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Keratan akhar di bawah adalah berkaitan.

http://oshthejourney.blogspot.com/



Utusan Malaysia
ARKIB : 16/10/2007

Ibu bapa cuai - Perlukah mereka didakwa?

Anak adalah anugerah dan amanah Allah kepada pasangan yang berkahwin. Mereka adalah pengikat kasih sayang dan penyeri rumah tangga. Firman Allah: Dan Allah menjadikan bagi kamu dari dari kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri) dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu, anak-anak dan cucu cicit... (an-Nahl: 72)

Bagaimanapun, kematian Mas Sarimah Zulkifli, 17 bulan, akibat terperangkap dalam kebakaran di rumah kedai Jalan Gadek, Off Jalan San Pen, Kuala Lumpur, 8 Oktober lalu amat menyedihkan.

Sekaligus ia membawa kepada persoalan tentang Akta Kanak-kanak 2001. Persoalannya, adakah ibu bapa wajar dikenakan tindakan di atas kecuaian mereka terhadap anak-anak.

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto Mohd. Noor Amin menemu bual Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Noor Aziah Awal bagi memperincikan isu ini.

MEGA: Bagaimanakah Akta Kanak-kanak 2001 mampu melindungi golongan tersebut?

NOOR AZIAH: Mukadimah Akta ini menggariskan hasrat mempertahankan hak kanak-kanak dengan memberi perlindungan dan menjaga kebajikan mereka. Mukadimah ini sangat selari dengan Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989. Malaysia telah meratifikasi Konvensyen ini dan ia menjadi sebagai sebahagian dari perundangan kita dengan beberapa reservasi.

Perlindungan kanak-kanak dari kecederaan, penganiayaan, pengabaian dan kecuaian telah lama wujud di Malaysia walaupun tidak dalam satu dokumen khas.

Apabila kes-kes penganiayaan kanak-kanak semakin meningkat terutama apabila B. Balasundram yang berumur 26 bulan mati pada 15 Mei 1990. Rentetan daripada kes kanak-kanak malang itu yang didapati dicederakan secara fizikal dan seksual oleh bapanya dan kita meluluskan Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994.

Akta ini dimansuhkan dan peruntukannya dimasukan ke dalam Akta Kanak-kanak 2001. Akta ini menambah kekurangan yang ada kepada Akta Perlindungan Kanak-kanak 1994.

Akta kanak-kanak 2001 ini juga menjadikan perbuatan aniaya, abai, cuai, buang atau mendedahkan kanak-kanak kepada kemungkinan kecederaan fizikal, mental dan emosi suatu kesalahan. Jika sabit boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali (seksyen 31).

Seterusnya ibu bapa atau penjaga yang bertanggungjawab menanggung nafkah anak dianggap cuai terhadap tanggungjawab ini jika dia gagal mengadakan makanan, pakaian, perubatan, pergigian, tempat tinggal dan jagaan untuk anak atau anak-anaknya iaitu seksyen 31(4).

Apakah definisi kecuaian sehingga ibu bapa boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini?

NOOR AZIAH: Cuai pula boleh berlaku apabila seseorang sengaja membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu (an act or omission).

Ibu bapa boleh dianggap cuai seperti meninggalkan anak dalam kereta semasa keluar membeli barang atau tidak memegang tangan anak semasa berjalan dengannya di jalan raya atau semasa membeli-belah.

Ibu bapa juga cuai jika meninggalkan kanak-kanak di rumah seorang diri atau sesama mereka tanpa diawasi orang dewasa. Kecuaian ibu bapa atau penjaga boleh dilihat daripada sikap dan cara mereka bertindak. Dalam masyarakat kita, perbuatan cuai berleluasa kerana tiada tindakan terhadap ibu bapa yang cuai.

Meninggalkan anak-anak dalam rumah dan menguncinya dari luar adalah suatu kesalahan terutama apabila anak-anak tidak diawasi oleh seorang dewasa.

Apabila berlaku tragedi seperti kebakaran, kita secara spontan bersimpati dan menghulur bantuan tanpa berpaling sekejap melihat sikap ibu bapa yang tidak bertanggungjawab. Kita akan mengatakan ‘takdir’ dan pasrah dengan kehendak Allah.

Ada ibu bapa yang membiar anak-anak berumur 7 hingga 9 tahun pulang sendiri ke rumah selepas sekolah kerana mereka bekerja. Di rumah mereka membuka pintu sendiri, menukar pakaian, memanaskan makanan sendiri dan kemudian makan sendiri.

Malang tidak berbau. Jika berlaku kemalangan di rumah ketika itu, kita sekali lagi mengucap takziah dan menghulur bantuan. Tiada siapa akan didakwa dan dipersalahkan.

Persoalannya, sampai bila kita akan terus menerus membiarkan ibu bapa yang cuai ini terlepas begitu sahaja? Kejamkah jika mereka kita dakwa? Di mana nilai dan kepentingan kita letakkan - pada anak atau ibu bapanya.

Kata orang berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Di manakah silapnya sehingga kes-kes ibu tunggal yang terpaksa bekerja menyara anak ini seolah-olah tidak mendapat pembelaan sewajarnya?

NOOR AZIAH: Kalau yang terlibat itu ibu tunggal perkara pokok yang mesti diselesaikan ialah isu nafkah. Sebab itu kerajaan perlu serius menangani isu ini.

Kajian saya mendapati dalam banyak kes, bekas suami enggan membayar nafkah kepada anak-anak yang di bawah jagaan bekas isteri. Wanita pula kebanyakannya mahu hak penjagaan anak-anak walaupun mereka tidak bekerja.

Ini menyebabkan berlakunya kes ibu yang terpaksa bekerja bagi mencari sesuap nasi. Keadaan ini ibarat ditelan mati emak diluah mati bapa.

Lebih-lebih lagi jika pasangan yang bercerai itu mempunyai anak yang ramai dan masih kecil. Ibunya pula tidak bekerja. Sudah pasti mereka akan melalui kepayahan hidup.

Di sinilah, pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal perlu bertindak. Malangnya, ada kes di mana ibu tunggal yang mempunyai tiga anak berusia antara dua hingga 10 tahun itu dapat bantuan RM300 sebulan dari JKM. Namun dia tidak layak pula mendapat bantuan Baitulmal. Alasannya kerana sudah ada orang yang menanggung.

Namun, cuba kita perhalusi, cukupkah belanja RM300 sebulan untuk menampung empat beranak ini pada zaman sekarang yang harga barang semuanya naik.

Memanglah kerajaan kita bukan kerajaan kebajikan tetapi dalam memberi bantuan biarlah kadarnya berpatutan. Bagi kes tadi, apa salahnya Baitulmal memberi tambahan RM300 lagi kepada ibu tunggal berkenaan. Saya lihat kita perlu kurangkan birokrasi.

Dengan jumlah RM600 itu, sekurang-kurangnya cukuplah untuk menampung makan, minum dan pakaian anak-anak.

Dalam masa yang sama, kerajaan juga boleh menggunakan khidmat Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk mendaftar jumlah ibu tunggal di kawasan masing-masing. Kumpulkan data yang berkaitan termasuk bilangan anak yang tercicir daripada sekolah, yang miskin dan sebagainya.

Selepas itu, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga misalnya boleh menyusun strategi membantu golongan berkenaan. Jika tidak, masalah ini akan berlarutan.

Sering berlaku, jiran enggan melapor kepada pihak berkuasa apabila terjadi kes penderaan atau penganiayaan kanak-kanak. Sebabnya tidak mahu menjaga tepi kain orang. Adakah tindakan ini betul?

NOOR AZIAH: Ini berlaku sebab kita masih terpengaruh dengan budaya Barat yang pernah menjajah kita. Sekarang pun, kita masih terus menonton filem-filem Barat dan ini secara tidak langsung membuat kita menerima budaya Barat sebagai cara hidup kita.

Saya teringat konsep di Negeri Sembilan iaitu beranak seorang tetapi jaga beramai-ramai. Konsep yang diamalkan zaman dahulu ini memberi kebaikan di mana jiran-jiran turut membantu menegur jika anak-anak kita membuat silap.

Namun, kini masyarakat berubah. Kita semakin individualistik. Kalau ada orang menegur atau memberitahu kesilapan anak kita, ada ibu bapa yang melenting dan marah.

Budaya jaga tepi kain ini sebenarnya perlu dalam masyarakat. Dalam Islam misalnya, jika seorang isteri menuntut taklik kerana ditinggalkan suami tanpa nafkah selama empat bulan berturut-turut maka mahkamah akan memanggil saksi untuk mengesahkannya.

Tanpa sikap ambil tahu ini, sudah pasti sukar untuk mahkamah  memutuskan permohonan tersebut. Begitu juga jika berlaku kes dera anak atau dera isteri. Jiran-jiran yang prihatin dan yang disebut menjaga tepi kain orang’ inilah yang dapat membantu dengan menjadi saksi perbuatan tersebut.

Setakat ini belum ada tindakan diambil kepada ibu bapa. Adakah ini disebabkan tidak ada peruntukan undang-undang?

NOOR AZIAH: Perundangan kita telah ada dan mencukupi. Cuma yang belum berlaku secara sistematik ialah penguatkuasaan. Kita ada mengambil tindakan dalam kes yang jelas wujud penganiayaan fizikal seperti dalam kes terbaru seorang ibu dan kekasihnya yang didakwa kerana menyebabkan kematian anaknya.

Bagi kes cuai dan abai ini kita masih teragak-agak mengambil tindakan. Namun undang-undang tidak memilih siapa yang akan dikenakan tindakan. Jika sahih ibu bapa cuai, abai atau aniaya, mereka juga patut dikenakan tindakan.

No comments:

Post a Comment