Saturday, March 24, 2012

Perlu adanya CEP kepada Pemilik Lesen Memandu (Menunggang) Kenderaan



Perlu adanya CEP kepada Pemilik Lesen Memandu (Menunggang) Kenderaan

Membaca berita kemalangan maut akibat dilanggar rempuh lori semasa mengecat garisan putih di lebuhraya begitu memilukan saya. Mengikut laporan akhbar, lori tersebut secara tiba-tiba memasuki lorong kon dan melanggar mangsa.

Satu soalan untuk pemandu lori tersebut dan juga kepada semua. Adakah pemandu lori tersebut memasuki lorong kon tanpa menyedari kawasan pembinaan masih belum tamat? Adakah pemandu lori tersebut faham maksud papan tanda di atas (gambar di atas) iaitu bulatan dengan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8? Adakah kita semua faham maksud papan tanda mirip Tidak Boleh Letak Kenderaan di sini yang cuma berbeza garis silang itu di sebelah lain?

Saya kerap mengacukan soalan mengenai maksud papan tanda di atas (gambar di atas) iaitu bulatan dengan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8, kepada mereka yang telah memiliki lesen memandu dan ada sesetengahnya telah memandu melebihi puluhan tahun. Jawapannya seperti diduga ramai yang tidak mengetahuinya!

Biasanya (kalau di lebuhraya) amalan keselamatan pembinaan akan dilakukan oleh Traffic Management Officer (TMO). Boleh rujuk gambar di bawah di mana pengurusan trafik adalah seperti berikut.

Gambar 1 & 2. Papan tanda awas.
Gambar 3. Makluman mengenai adanya kawasan pembinaan di hadapan.
Gambar 4. Had laju 80 kmj
Gambar 5. Had laju 60 kmj
Gambar 6. Makluman mengenai lencongan di hadapan.
Gambar 7. Makluman lencongan bermula.
Gambar 8. Makluman Zon Had Laju Tamat – boleh kembali ke had laju asal.
Gambar 9. Makluman kawasan pembinaan telah tamat.
Gambar 10. Laluan selamat dan tiada lagi halangan pembinaan.

Papan tanda dengan bulatan dan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8 ini bermaksud Zon Had laju sebelumnya (had laju semasa kawasan pembinaan) telah tamat. Maksud lain juga kawasan pembinaan telahpun tamat dan dengan ini adalah selamat kepada semua pemandu yang melalui kawasan pembinaan ini untuk kembali ke laluan asal ataupun untuk kembali ke had laju asal.

Saya adalah salah seorang seorang pengguna tegar lebuhraya PLUS. Boleh dikatakan setiap hari saya berada di atas lebuh raya. Tidak hairanlah jumlah batuan yang dicatat oleh kenderaan saya ialah sekitar 5 hingga 6 ribu kilometer sebulan dengan bayaran tol pula sekitar RM 400.00 sebulan! Papan-papan tanda dan simbol-simbol inilah sebenarnya yang banyak membantu saya dan juga pasti pengguna lebuhraya lain terutama pemanduan di waktu malam. Dalam sebulan dua ini penambahbaikan laluan di lebuhraya kawasan sekitar Bertam dan Batu Kawan masih belum siap sepenuhnya. Setiap malam ketika melaluinya ada sahaja kon yang hilang atau pecah dilanggar kenderaan yang tidak pasti di manakah kawasan yang telah tamat pembinaannya. Ini lebih merumitkan jika laluan yang diturap belum lagi ada harisan putih!

Walaupun saya difahamkan pihak PLUS mewajibkan amalan pengurusan trafik ini di setiap kawasan pembinaan di lebuhraya, ada juga yang masih terlepas pandang. Saya tidak pasti sama ada di kawasan pekerja mengecat garusan putih yang maut tersebut turut mengamalkan amalan pengurusan trafik ini.

Begitu juga pemahaman pengguna lebuhraya dan jalanraya – adakah mereka memahami isyarat dan papan tanda sebegini? Sudah kerap kali mereka yang perihatin dalam keselamatan jalan raya ini mempersoalkan kewajaran lesen memandu sedia ada yang hanya sekali sahaja dalam seumur hidup untuk kita memohon, menduduki ujian dan lulus tanpa perlunya sebarang kursus ulangan dan sebagainya. Timbul persoalan, adakah wajar pemilik-pemilik lesen memandu ini dikehendaki untuk menghadiri kursus-kursus tertentu berkaitan keselamatan jalan raya dalam tempoh-tempoh tertentu? Sebagai contoh kalau tidak sekerap setahun sekali mungkin dalam 5 tahun sekali?

Kalau SHO malah pegawai perubatan (MO) perlu adanya CEP setahun sekali untuk membaharui lesen kompetensi mereka, apakah CEP sebegini juga wajar diperkenalkan untuk pemilik-pemilik lesen memandu atau menunggang?

Sekadar berkongsi pengalaman, saya mengenali papan tanda dengan bulatan dan satu garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8, lebih awal di arena permotoran (motorsports) yang saya sertai pertengahan 80an. Malah ketika itu saya masih belum lagi memiliki lesen memandu atau menunggang. Pengelibatan saya merentasi benua Asia melalui jalan darat dan dipertanggungjawabkan sebagai Race Official ataupun marshal ini membuatkan saya menghafal kesemua simbol ini – rujuk sebahagian simbol di bawah.

Dalam rali, simbol bulatan dengan tiga garis silang putih dari pukul 2 ke pukul 8 ini bermaksud sama iaitu Zon Had Laju telah tamat. Biasanya zon had laju ini (15 kmj) ditetapkan semasa pemandu (pelumba) memasuki Check Point Zone di mana pemandu perlu memperlahakan dan memberhentikan kenderaan mereka untuk membolehkan Check Point Card mereka diperiksa oleh pertugas.

Kepada pelumba yang engkar tidak mematuhi Zon Had Laju ini, mereka boleh didenda dengan tambahan masa. Di dalam rali, denda sebanyak tambahan 1 saat sahaja boleh menyebabkan kedudukan pendahulu tergugat. Malah kalau berulang-kali kesalahan yang sama, pemandu boleh dihukum lebih berat dan adakala boleh digugurkan penyertaan mereka (disqualified). Penerangan mengenai tanda-tanda dan simbol-simbol ini akan dijelaskan semasa taklimat wajib sebelum perlumbaan kepada semua peserta walaupun mereka yang telah lama menceburi bidang perlumbaan sebegini.

Langkah yang sama perlu diambil oleh pihak berkuasa lebuhraya dan jalan raya. Pengguna lebuhraya dan jalan raya perlu di-sekolah-kan semula dan selepas itu jika berlaku lagi kesalahan berkaitan perlanggaran papan tanda dan simbol lalulintas ini, tindakan bersesuaian mesti diambil.

Take home message kali ini ialah satu soalan untuk semua – apakah maksud “Ghost Island” ataupun garisan bersilang putih yang biasanya terdapat berhampiran persimpangan jalan raya?

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/






Maut dirempuh ketika cat jalan
Harian Metro 21 Mac 2012

SENAWANG: “Saya terdengar bunyi dentuman kuat dan terkejut melihat mangsa sudah tidak bernyawa,” kata Mohd Amin Ali, 51, saksi kejadian kemalangan membabitkan seorang lelaki yang terbunuh akibat dirempuh sebuah lori ketika mengecat garisan putih jalan di Kilometer 248, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa, Muhammad Azlizan Adam, 23, maut dalam keadaan menyayat hati apabila tangan dan kaki kirinya putus dirempuh sebuah lori lima tan.

Menurut Mohd Amin, ketika kejadian dia sedang menurunkan barang daripada lorinya untuk kerja mengecat jalan sementara seorang lagi pekerja memegang bendera keselamatan.

“Kami sudah meletakkan kon keselamatan hampir dua kilometer supaya pemandu di lebuh raya menyedari terdapat kerja penyelenggaraan di hadapan.

“Bagaimanapun, saya tidak tahu mana silapnya, tiba-tiba sebuah lori masuk ke laluan kon dan merempuh mangsa yang sedang tekun mengecat garisan putih itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Mohd Amin berkata, dia yang sudah menganggap mangsa seperti anak kandung sendiri, tidak menyangka arwah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati.

Saya tidak dapat melupakan saat melihat arwah terpelanting jauh dan maut serta-merta di tempat kejadian.

“Arwah rapat dan tinggal bersama keluarga saya di Bukit Katil, Melaka, saya reda dengan pemergiannya kerana Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori dipandu seorang lelaki berusia 40-an hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh mangsa yang mengecat jalan. “Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai sedang memulakan kerja mengecat garisan putih dan datang sebuah lori dari arah Seremban menghala ke selatan hilang kawalan dan melanggar mangsa yang berada di tepi laluan hingga tercampak beberapa meter ke bahu jalan,” katanya.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan. “Pemandu lori ditahan polis untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

No comments:

Post a Comment