Thursday, October 27, 2011

Jangan tunggang tanpa topi keledar!


Jangan tunggang tanpa topi keledar!

Lewat petang Ahad lepas saya terkejut apabila mendengar siaran lintas langsung Radio Sinar memaklumkan perlumbaan MotoGP dihentikan semasa di Pusingan ke-2 akibat satu kemalangan. Ketika itu saya dalam perjalanan pulang dari KL ke Taiping setelah habis kelas pengajaran saya.

Malamnya di TV3, Marco Simoncelli, pelumba Itali diumumkan telah meninggal dunia akibat kemalangan yang juga menyebabkan topi keledarnya terpelanting.

Bagi yang biasa dalam sukan bermotosikal ini, kemalangan sehingga menyebabkan topi keledar terbuka adalah satu penanda ngeri. Biasanya akibatnya sama ada maut atau kecederaan di kepala yang parah.

Saya menerima banyak panggilan telefon dan sms berkaitan dengan kemalangan di Sepang ini. Kebanyakannya menyangka saya bertugas semasa kemalangan. Sebenarnya tiga, empat tahun kebelakangan ini saya sudah tidak terlibat lagi dengan MotoGP dan juga F1 kerana komitmen lain.

Saya tidak ingin mengulas mengenai bagaimana (kemungkinan) topi keledar Simoncelli boleh terbuka kerana saya percaya pihak yang terbabit sedang menjalankan siasatan. Apapun sebagai pengamal keselamatan dan juga pegawai perlumbaan motorsport di Malaysia, saya ingin menegaskan sekali lagi kepentingan memakai topi keledar dan mengenakan tali pengikatnya.

Dalam beberapa dialog dengan Polis dan juga JPJ, kedua-dua pihak berkuasa ini masih berlembut (atas budi bicara) dengan gelagat remaja di sekolah menengah yang menunggang motosikal tanpa lesen berulang-alik ke sekolah. Bagaimanapun budi bicara ini dipandang rendah oleh penunggang-penunggang yang masih belum layak mendapatkan lesen ini dengan menunggang tanpa topi keledar.

Perundangan itu jelas! Adalah menjadi kesalahan menunggang motosikal tanpa lesen yang sah. Tetapi menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar atau tidak mengenakan tali pengikatnya adalah bukan sahaja salah dari segi perundangan tetapi seolah-olah sengaja menempah maut atau mengejar kecacatan kekal semasa kemalangan.

Beberapa bulan yang lepas, anak lelaki saya memberitahu saya, rakan-rakannya mengejeknya kerana memakai topi keledar semasa bermotosikal walaupun jarak perjalanan hanyalah sekitar 300 meter dari rumah. Sebagai pengamal keselamatan, saya memang tegas dengan anak lelaki saya terutama jika melibatkan keselamatan jalan raya.

Teringat saya semasa anak lelaki saya di sekolah rendah di tahun ke 2. Saya membenarkannya berbasikal ke sekolah dengan syarat memakai topi keledar dan juga pelindung siku dan lutut. Bukan sahaja rakan sekelas mengejeknya, malah ada juga guru yang turut “menumpang” mengelar anak saya sebagai “transformer”.

Itulah persekitaran kehidupan realiti sebenar yang boleh mempengaruhi dalam faktor ke arah budaya kerja atau budaya hidup yang sihat dan selamat. Sepatutnya kita menyokong usaha-usaha ke arah budaya sihat dan selamat ini walaupun tampak aneh dan bukan amalan biasa yang diamalkan sebelum ini.

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment