Friday, September 23, 2011

Panduan Penggunaan Kain Pengelap


Panduan Penggunaan Kain Pengelap.

Sebagai seorang pengguna lebuh raya yang membayar saban bulan tol di antara RM 400.00 hingga RM 500.00, saya boleh dianggap pengguna tegar. Saya memang bersyukur adanya Lebuh raya Plus yang banyak memudahkan saya membuat perjalanan sama ada memenuhi tuntutan kerja ataupun berlibur.

Walaupun ada posting-posting saya sebelum ini menegur Plus, saya rasa sebagai pengguna, saya berhak menegur untuk tujuan penambahbaikan.

Begitu pun juga ada pujian saya luahkan dengan hakikat iaitu yang benar katakan benar dan yang salah atau silap perlu dikatakan salah atau silap.

Syabas saya ingin ucapkan kepada Plus dengan pengenalan Panduan Penggunaan Tuala atau Kain Pengelap. Sememangnya tidak dinafikan banyak pengusaha kedai makanan mengambil mudah penggunaan Kain Pengelap. Ada yang “mempelbagaikan” kegunaan satu Kain Pengelap. Kain yang satu itulah digunakannya untuk mengelap tangan, pinggan malah meja!

Saya difahamkan panduan ini baru diperkenalkan tahun ini. Kain Pengelap Putih dikhaskan untuk mengelap tangan. Kain Pengelap warna Kuning untuk mengelap pinggan mangkuk sudu dan sebagainya. Manakala Kain Pengelap warna Biru pula untuk mengelap meja, kerusi, dapur, peti ais dan sebagainya.

Dengan penggunaan Kain Pengelap berwarna ini akan dapat menjaga hygiene dan kebersihan makanan serta peralatan yang berkaitan.

Ini langkah yang baik diperkenalkan oleh Plus tapi malangnya poster Panduan Penggunaan Kain Pengelap hanya kelihatan dipasang di dalam gerai R&R dan agak tersorok. Sepatutnya panduan sebegini perlu dihebahkan melalui poster-poster pemberitahuan yang lebih mudah dilihat oleh pengguna. Kalau perlu mungkin melalui kain sepanduk juga.

Saya juga tidak pasti sama ada warna-warna ini adalah seragam dengan mana-mana piawaian pengusaha makanan sedia ada sama ada di Malaysia ataupun luar negara. Apa pun ia nya amat bermanfaat jika diamalkan oleh semua pengusaha makanan yang ada. Pihak Berkuasa Tempatan seharusnya meneladani usaha Plus ini.

Beberapa hari lepas, saya berhenti di R&R Gurun sekitar jam 2 pagi. Saya tertarik dengan menu Pau Serat (whole meal) di sini. Saya mencuba dan ,mendapati ia lembut seperti pau yang sudah dikenali ramai. Menu atau makanan berasaskan serat dan kesihatan yang lain perlu diperbanyakkan untuk memastikan makanan yang seimbang diambil oleh pengguna.

Cuma yang menjadi kemusykilan saya, di R&R Gurun harga secawan Teh-O ialah RM 1.00 sahaja tetapi di Hentian Sebelah Alor Pangsu harganya ialah RM 1.30! Adakah kerana gerai di Alor Pongsu itu berbentuk kafe dan menyebabkan harganya lebih mahal!

lukmanw@gmail.com
http://oshthejourney.blogspot.com



No comments:

Post a Comment