Friday, March 4, 2011

Di sebalik permintaan Puteri Gunung Ledang


Di sebalik permintaan Puteri Gunung Ledang
Oleh: Lukman Bin Wan Mat Daud

Pada tahun 1488, Sultan Mahmud Shah mewarisi Melaka dari ayahndanya Sultan Alaudin Riayat Shah yang mangkat pada usia yang masih muda. Pada pemerintahan Sultan Mamhmud Shah, Melaka telah mencapai kemuncak kuasa dan merupakan pusat dagangan yang unggul di Asia Tenggara. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga, Melaka dikenali dengan kebijaksanaan Bendahara Tun Perak dan kepahlawanan Laksamana Hang Tuah. Bagamanapun Sultan Mahmud Shah juga adalah pemerintah kesultanan Melayu Melaka terakhir (selama lebih satu abad) sebelum Melaka tewas di tangan penjajah Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque pada 1511.

Selain dari Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, satu lagi nama besar semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah ini ialah Puteri Gunung Ledang.

Kewujudan atau kesahihan lagenda Puteri Gunung Ledang ini boleh disamakan dengan lagenda Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah.

Tulisan ini tidak berhasrat untuk mengupas kewujudan atau kesahihan lagenda Puteri Gunung Ledang. Tulisan ini ingin membincangkan apa yang tersurat dan tersirat di sebalik tujuh permintaan Puteri Gunung Ledang sebagai syarat jika Sultan Mahmud Shah ingin memperisterikannya.

Dalam buku Prosa Klasik Antologi Anak Laut terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam Bab Peminangan Puteri Gunung Ledang, telah menceritakan selepas kemangkatan permaisuri membuatkan Sultan Mahmud berasa amat dukacita kerana Melaka tidak mempunyai Raja Perempuan.

Baginda memanggil Bendahara Tun Perak serta para pembesar dan menyatakan hasrat baginda untuk beristeri lagi. Kali ini baginda mahu beristerikan seorang wanita yang bukan daripada kalangan anak raja biasa. Hal ini disebabkan baginda berpendapat bahawa raja-raja lain telah pun berkahwin dengan perempuan daripada keturunan raja-raja juga. Sedangkan baginda mahu memperisteri seorang perempuan yang tidak dimiliki oleh raja-raja yang lain. Oleh itu, baginda menitahkan Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia untuk pergi meminang Puteri Gunung Ledang.

Pemergian Laksamana Hang Tuah dan Sang Setia diiringi oleh Tun Mamat iaitu ketua orang Inderagiri. Orang-orang Inderagiri sememangnya arif akan jalan ke Gunung Ledang.

Ketika mendaki Gunung Ledang, mereka berhenti di pertengahan gunung itu . Perjalanan ketika itu terlalu sukar dan angin pula bertiup terlalu kencang. Ahli rombongan itu sudah tidak berdaya untuk meneruskan pendakian. Oleh sebab itu, Tun Mamat meminta kebenaran untuk meneruskan perjalanan ke puncak Gunung Ledang dengan dua orang pembantu yang pantas berjalan, sementara Laksamana Hang Tuah serta yang lain-lain menunggu di tempat itu.

Tun Mamat dengan dua pembantunya sampai di sebuah taman di kawasan buluh perindu. Keadaan di tempat itu digambarkan seperti berikut; angin bertiup terlalu kuat dan sangat kencang sehingga mereka bertiga seperti akan terbang. Manakala awan seperti boleh dicapai (menunjukkan tempat itu terlalu tinggi ).

Kedengaran bunyi buluh perindu yang sangat merdu sehingga burung-burung berhenti terbang untuk menikmati kemerduan itu.

Keadaan di taman itu sangat indah yang digambarkan terdapat pelbagai jenis bunga dan buah-buahan. Terdapat bunga yang boleh bernyanyi dan berpantun. Llimau mangkar boleh bersorak. Anggerik boleh mengilai dan tumbuh-tumbuhan boleh tertawa dan tersenyum.

Tun Mamat tiba di sebuah balai di taman itu yang atap balai itu diperbuat daripada rambut, dindingnya dan lain-lain diperbuat daripada tulang.

Tun Mamat bertemu dengan Dang Raya Rani, seorang tua yang merupakan penjaga Puteri Gunung Ledang, diiringi empat orang perempuan muda.

Tun Mamat memberitahu Dang Raya Rani akan tujuan kedatangannya.

Dang Raya Rani menghilang untuk memberitahu Puteri Gunung Ledang tentang kedatangan Tun Mamat.

Beberapa saat kemudian, muncul seorang perempuan tua yang bongkok tiga memberitahu Tun Mamat hantaran yang diminta Puteri Gunung Ledang sekiranya Sultan Mahmud Shah mahu memperisterikannya.

Hantaran yang mesti disediakan ialah sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak yang dibina menghubungkan Melaka dengan Gunung Ledang. Di samping Sultan Mahmud Shah hendak menyediakan hantaran berupa tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, satu tempayan air mata, satu tempayan air pinang muda, satu mangkuk darah raja dan satu mangkuk darah anak raja.

Ada juga yang mengatakannya perempuan tuan atau Nenek Kebayan ini adalah Puteri Gunung Ledang sendiri yang menyamar.

Tun Mamat pun menuruni Gunung Ledang lalu mempersembahkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Puteri Gunung Ledang itu kepada Laksamana dan Sang Setia.

Rombongan itu pun memulakan perjalanan pulang ke Melaka. Setibanya di istana, Laksamana, Sang Setia dan Tun Mamat pun masuklah menghadap Sultan Mahmud. Mereka mempersembahkan segala syarat yang dinyatakan oleh Puteri Gunung Ledang kepada raja.

Sultan bertitah bahawa baginda sanggup mengadakan semua permintaan Puteri Gunung Ledang kecuali permintaan Puteri Gunung Ledang untuk semangkuk darah raja dan darah Raja Ahmad. Oleh sebab itu, baginda menangguhkan (melupakan?) hasratnya untuk memperisterikan Puteri Gunung Ledang itu.

Apakah sebenarnya yang tersurat dan tersirat di sebalik tujuh permintaan sebagai syarat jika Sultan Mahmud Shah ingin memperisterikannya.

Sebagai pengamal Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) selama lebih 20 tahun dan kini bertukar karier sebagai pengajar mata pelajaran ini, penulis akan membicarakannya dari sudut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Kalau dirujuk dengan gambaran Tun Mamat mengenai persekitaran Puteri Gunung Ledang bolehlah dirumuskan sikap dan keprihatinannya terhadap alam sekitar.

Kecuali gambaran mengenai balai yang diperbuat daripada rambut, dindingnya dan lain-lain diperbuat daripada tulang itu yang perlu dihalusi lagi.

Begitu juga hantaran berupa tujuh dulang hati nyamuk, tujuh dulang hati kuman, satu tempayan air mata, satu tempayan air pinang muda, satu mangkuk darah raja dan satu mangkuk darah anak raja yang sememangnya membuktikan Puteri Gunung Ledang terlalu mementingkan keselamatan dan kesihatan.

Bayangkan dengan pengumpulan tujuh dulang hati nyamuk yang sudah pasti akan membebaskan negeri Melaka ketika itu (dan negeri-negeri berjiran) dari wabak denggi, malaria, demam kuning, chikungunya dan juga penyangkit-penyangkit lain yang berkaitan dengan nyamuk. Malah dengan tujuh hati kuman pula sudah tentu banyak virus dan bakteria akan dapat dihapuskan.

Kesilapan atau ketidaksungguhan Sultan Mahmud Shah untuk mencari jalan mendapatkan satu mangkuk darahnya sendiri dan satu mangkuk darah puteranya menunjukkan beliau (ketika itu) tidak memahami langsung prinsip keselamatan dan kesihatan ini. Mungkin juga ketika masih belum ada penasihat yang mampu menasihati baginda berkaitan dengan keselamatan dan kesihatan ini.

Kuantiti yang diperlukan oleh Puteri Gunung Ledang ketika itu ialah hanyalah satu mangkuk. Kemungkinan besar satu mangkuk ketika itu adalah bersaiz sekitar 300 – 300 mlm iaitu sebesar mangkuk nasi.

Masa kini kuantiti darah sebanyak 275-300 ml (atau 345-490 ml) adalah kuantiti normal untuk darah seseorang penderma darah. Sel darah yang disejukbeku pula boleh bertahan sehingga lima minggu pada suhu -7 darjah celcius.

Malah kitaran hidup sel-sel darah dalam tubuh badan manusia adalah sekitar 120 hari sahaja sebelum dikitar semula. Sum-sum tulang pula bertindak menghasilkan sel darah baru.

Apa pula tujuan Puteri Gunung Ledang meminta satu mangkuk darah baginda dan satu mangkuk darah puteranya.

Kemungkinan besar tujuan Puteri Gunung Ledang itu lebih kepada pemeriksaan kesihatan sebelum mereka melangsungkan perkahwinan. Kementerian Kesihatan Malaysia ketika ini mengesyorkan agar pasangan yang hendak melangsungkan perkahwinan agar menjalani dahulu pemeriksaan kesihatan. Mungkin Puteri Gunung Ledang sudah terfikirkan idea sebegini terlebih dahulu.

Malah satu mangkuk darah putera Sultan Mahmud Shah itu juga membuktikan Puteri Gunung Ledang begitu serius dalam isu kesihatan sebegini demi menjamin bakal zuriat yang akan dikandungnya.

Ada juga kemungkinan satu mangkuk darah Sultan Mahmud Shah yang bersamaan satu beg darah penderma darah 1 pint (450 ml) adalah bekalan darah untuk baginda sendirinya jika berlakunya sesuatu kecemasan. Langkah menyediakan bekalan darah ini telah diamalkan oleh Kerajaan Amerikat Syarikat masa kini terhadap presidennya di mana di dalam kereta rasmi pemimpin Negara itu mempunyai ruang khas untuk penyimpanan bekalan darah ini.

Bagaimana pula dengan permintaan sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak yang dibina menghubungkan Melaka dengan Gunung Ledang?

Permintaan sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak yang dibina menghubungkan Melaka dengan Gunung Ledang ini pula merupakan strategi perlancongan.

Seperti yang giat diusahakan oleh Ketua Menteri Melaka sekarang iaitu Datuk Seri Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dalam bidang pelancongan negeri untuk menarik penghujung luar, pembinaan sebuah jambatan emas dan sebuah jambatan perak ketika itu bukan sahaja memudahkan perjalanan tetapi mampu menarik ramai orang mengunjungi ke Gunung Ledang.

Tidak keterlaluan juga jika jambatan emas dan jambatan perak tersebut hanyalah kiasan kepada pembinaan kereta kabel masa kini seperti yang telah dibina di Genting Highlands dan Gunung Mat Cincang di Langkawi.

Akhir sekali apa pula kaitan dengan permintaan satu tempayan air mata serta satu tempayan air pinang muda?

Secara kasarnya air mata dan air pinang ini adalah kiasan kepada keraian besar-besaran yang akan diadakan. Pada hari keraian terutama besar-besaran sudah pasti ramai yang menghamburkan air mata tidak kiralah air mata kegembiraan ataupun air mata kesedihan. Manakala air pinang muda yang memabukkan ini akan lebih mengembirakan atau dapat melupakan kesedihan mereka semasa keraian ini.

Di samping itu ramai yang tidak mengetahui buah pinang ini adalah salah satu bahan pewarna dan buah pinang muda mampu mengeluarkan air lebih banyak jika dibandingkan buah pinang tua. Ada juga yang mengkatakan buat pinang pernah dijadikan bahan untuk peluru.

Ramai penduduk kampong masa kini yang mengusahakan perusahaan buah pinang yang bernilai tinggi ini.

Tidak keterlaluan dikatakan Puteri Gunung Ledang ini sebenarnya berfikiran jauh menjangkau masa terutama berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pelancongan.

Adakah Puteri Gunung Ledang ini juga seperti Nostradamus (Michel de Nostredame lahir di Perancis pada 14 Disember 1503 dan meninggal pada 2 Julai 1566) yang meramal dengan tepat banyak kejadian besar selepas kematiannya?

Penulis adalah pensyarah Pengurusan Respons Kecemasan (ERM) dan Keselamatan dan Pekerjaan Kesihatan (OSH) di Universiti Utara Malaysia

3 comments:

  1. encik memang kreatif. artikel yg sangat bagus. boleh hantar majalah ni.

    ReplyDelete
  2. kreatif...tapi ini semua hanyalah andaian semata

    ReplyDelete
  3. syarat pertama.
    orang merajuk hampir menangis

    kedua.
    orang marah hampir pecah , 7 dulang

    3.
    soleh dan warak tetapi marah jugak akhirnya sebab racun shiah

    4.
    walau bercerita satu dunia, tetap juga berdarah

    5.
    semua tanah milik Ali

    6.
    sultan melaka mesti tunjuk belang ke atas rakyat untuk menerangkan tanda tanda kekuasaan

    7.
    satu ujian kesabaran kebatilan dari puncak siguntang yang mendapat pahala yang tidak putus putus bagi orang yang sabar

    ReplyDelete